BAB 34

Romance Completed 25726

HANA berdiri tegak di luar bangunan Syarikat Iris Star Holding. Semalam, Datin Ruhaina terus menghantarnya pulang ke rumah. Kereta kakaknya sudah dihantar oleh pemandu Datin Ruhaina. Masuk saja ke dalam rumah semalam, ahli keluarga Hana tidak habis-habis memarahinya atas kelakuan yang sudah membuatkan mereka semua risau. Hana diam dan hanya memasang telinga sahaja. Memang patut dia dimarahi.

Hana menghela nafas berat. Datin Ruhaina mahu dia berjanji untuk mengenali Aniq lebih lagi selepas ini. Mahu tidak mahu, Hana terpaksa menerimanya dengan hati yang berat. Sepanjang malam dia berfikir tentang janjinya dengan Datin Ruhaina. Soal Faiz sudah tiada kena mengena dengan dia lagi. Dalam fikirannya sekarang adalah Aniq, tunangnya. Macam mana dia mahu timbulkan perasaan suka itu pada Aniq?

“Hana! bila kita nak masuk?” Suara Mitsuha menyentak lamunannya. Hana tersengih. Nasib baik, Mitsuha tidak garang seperti ahli keluarganya itu. Cuma, kalau dengan Mitsuha pula kena banyak menelan sebab temannya itu tidak habis-habis dengan nasihatnya.

“Nak masuk tapi…” Hana telan liur. Sempat dia membetulkan kerudungnya yang berwarna kuning lembut. Bakul kertas bertukar ke sebelah tangan. Soal ahli keluarganya dan juga Datin Ruhaina sudah selesai. Hanya tinggal Aniq sahaja. Hana tidak tahu bagaimana dia hendak berdepan dengan tunangnya itu.

Tiba-tiba tangannya ditarik oleh Mitsuha. Hana cuak. Mitsuha pula tidak peduli dengan reaksi wajah Hana. Apa yang penting mereka berdua masuk ke dalam bangunan tersebut. Mitsuha terus menarik tangan Hana ke kaunter pertanyaan.

“Yes, may I help you?” Tanya pekerja wanita itu dengan mesra. Mitsuha membalas dengan senyuman. Hana jadi tidak keruan. Tidak tahu bagaimana hendak berdepan dengan pengarah syarikat Iris Star Holding ini?

“Mitsuha, jom balik. Lain kalilah kita ke sini.” Kata Hana sambil menarik lengan temannya. Mitsuha bertukar serius.

“No. You should meet him, now!” Tegas suaranya. Pekerja itu mengamati Hana. Pandangannya kejap.

“Cik Ivy?” Pekerja itu meminta kepastian. Serentak Hana dan Mitsuha memandang pekerja wanita tersebut.

“Cik Ivy… tunang Tuan Aniq, kan?”

Perlahan-lahan Hana mengangguk.

“Maaflah, sebab tak dapat cam tadi. Kejap, ya.” Pekerja wanita itu terus membuat panggilan. Ketika itu juga, mereka berdua dikejutkan dengan satu suara nyaring dari pintu utama bangunan tersebut. Mereka serentak berpaling.

“Cik Edine?!” Hana terkejut dengan kehadiran perempuan itu. Seperti biasa pakaian perempuan itu seksi, menjolok matanya. Edine memandangnya sinis.

“Kau pun dah reti nak ke sini, ya? Ingatkan aku seorang je.” Katanya sinis. Hana menahan geram.

“Kanojo wa dare? (Siapa perempuan ini?)” Tanya Mitsuha separuh berbisik.

“Dia ni perempuan yang tak sedar diri. Dah berapa kali di halau tapi masih juga datang ke sini. Agaknya telinga dia dah hilang kut.” Ketawa Mitsuha dengan pekerja wanita yang berada di belakang mereka bila mendengar lawak Hana itu.

“Hoi perempuan!”

“Aku ada namalah. Panggil Aku Hana! Sedap saja mulut dia panggil aku hoi.” Selamba Hana membidasnya. Edine merengus. Kebetulan Muaz sudah muncul di lobi. Laju kakinya mendekati Hana dan juga Mitsuha.

“Aku tak kisahlah nama kau tu Hana, nanah atau tanah! Aku nak kau pergi sekarang sebelum aku apa-apakan kau.”

Hana menggeram. Sukat hati dia saja mengejek nama aku!

“Eh, nak halau aku pula. Sepatutnya kau tu yang kena pergi atau nak aku panggil polis.” Hana siap-siap mengeluarkan telefonnya dan kebetulan telefonnya berdering. Terkejut. Dia mengerling memandang Edine yang sedang menahan marah.

“Nasib aku bertuah sangat. Kau tak nak keluar dari bangunan ni, kan? Kenalan polis aku ni dah telefon.” Hana dengan senyuman sinisnya terus menjawab panggilan tersebut. Edine cuak.

“Helo, abang polis. Saya nak buat laporan…”

Belum sempat Hana menghabiskan ayatnya, Edine terus beredar daripada tempat tersebut. Tahu takut!

“Laporan apa yang Suha nak buat ni?” Hana telan liur. Tegas bunyinya. Dia tahu itu suara Aniq. Panggilan itu memang dari lelaki itu.

“Arr…”

“Naik atas sekarang! Tinggalkan Mitsuha dengan Muaz.” Arah Aniq lalu mematikan taliannya. Hana melepaskan kelegaan. Mitsuha dipandang.

“Mitsuha, saya naik atas dulu, ya. Encik Muaz yang akan temankan awak dulu sementara saya di atas.” Beritahu Hana. Mitsuha senyum dan mengangguk. Hana perasan yang pembantu tunangnya itu asyik tersengih.

“Hoi, Encik Muaz! Tersengih-sengih ni kenapa? Jaga elok-elok teman saya ni tau. Kalau Mitsuha nangis, siaplah Encik Muaz nanti.” Hana memberi amaran sebelum meminta diri naik ke atas. Mitsuha tergelak dengan telatah temannya itu.


BERKALI-KALI Hana menarik dan menghembus nafas di depan pintu masuk bilik pejabat Aniq. Takut sungguh dia hendak masuk ke dalam. Mana tidaknya dia sudah menghilangkan diri beberapa hari dan pastinya akan mengundang amarah lelaki itu. Tapi…

“Suara dia okey je dalam telefon tadi.” Gumam Hana sendirian.

“Apa yang okey? Bila masa saya okey dengan awak?” Mencerlung tajam matanya memandang Hana. Jarak mereka terlalu dekat. Hana cepat berundur ke belakang.

Ingatkan dia ada di dalam. Rupanya dekat luar. Hana menundukkan wajahnya. Takut untuk bertentang mata dengan lelaki itu.

“Masuk!” Arahnya yang sudah membuka daun pintu. Takut-takut Hana hendak masuk ke dalam.

Dengan langkah yang lemah dia masuk ke dalam dan menutup pintu. Hana terus ke meja kerja tunangnya. Aniq duduk di tempatnya sambil meneliti beberapa dokumen yang dia ambil dari bahagian kewangan dan juga pemasaran sebentar tadi.

“Duduk.” Arah Aniq tanpa memandang gadis di depannya itu. Hana hanya mengikut arahan.

“Bukan sini. Dekat sana.” Tajam matanya mengarah ke arah sofa. Hana terasa dengan kelakuan Aniq. Dengan wajah masamnya, dia berjalan ke arah sofa. Hana duduk membelakangi lelaki itu. Bakul kertas diletakkan di atas meja tengah itu.

Serius sangat wajah dia. Kalau macam ni susahlah aku nak minta maaf dekat dia. Hana mengeluh.

Tidak lama kemudian pintu bilik pejabat diketuk dan ditolak dari luar. Seorang wanita yang cukup anggun berjalan ke arah Aniq. Hana mengerling dengan ekor mata. Tertanya-tanya dia siapa wanita di depan matanya ini. Wajahnya ayu dan cantik. Pakaiannya agak menjolok mata juga namun masih nampak sopan di mata Hana.

“Aniq, saya tak tahu pula awak ada tetamu hari ini.” Tegur wanita itu dengan suara lembutnya. Aniq memandang wanita itu dengan senyuman. Sudahlah wanita itu memanggil Aniq dengan panggilan biasa. Sakit hati pula Hana melihatnya.

“Chinta datang sini ada apa-apa masalah ke?”

Hana ternganga. Terkejut bila mendengar Aniq memanggil wanita itu dengan panggilan cinta. Tiba-tiba hatinya terasa lain. Tenang Hana, mungkin mereka teman sekerja saja. Hana cuba berlagak tenang. Nasib baik dia membelakangi lelaki itu. Kalau tidak kantoi dengan riak wajahnya yang sudah bertukar.

“Ya. Nah, saya nak minta awak periksa ni?” Chinta menyerahkan dokumen itu kepada Aniq. Hana buat-buat tidak tahu. Kemudian mereka berbual-bual mesra di belakangnya. Bertambah sakit pula hati Hana. Hana melihat bakul kertas di atas meja. Mahu sahaja dia mencampakkan bakul kertas itu ke dalam tong sampah. Biar puas hatinya. Bukannya dia nak kenalkan aku pun!

Tapi, kau tak boleh buat macam tu, Hana. Kau kena sabar. Mereka berdua tu tiada apa-apa. Aniq bergurau saja dengan wanita itu. Cinta… Ish! Dia tak panggil pun aku macam tu! Hana tersentak. Dia menyentuh dadanya.

Apa kena dengan aku ni? Dada aku lain macam saja. Laju sangat ni berdebar. Hana cuba mengatur nafasnya yang sudah tidak teratur.

“Nak pergi kilang? Buat apa pula?” Tanya wanita itu. Hana memasang telinga.

“Saja nak melawat. Sebulan sekali ke sana untuk pastikan mereka tidak buat kesalahan dalam proses membuat produk barangan dari bahan utama syarikat kita.” Ujar Aniq dengan senyuman manisnya.

“Bila nak pergi? Awak pergi dengan siapa nanti?” Tanya wanita itu lagi. Hana semakin panas duduk di dalam bilik pejabat itu.

“Tak jadi masalah pun kalau awak nak ikut sama.” Kata-kata tunangnya seperti dia mahu mengajak wanita itu ikut sama. Hana mengetap bibir.

“Eh, awak betul nak ajak saya? Teringin sangat saya nak ke sana tau.” Nada wanita itu begitu teruja bila Aniq mengajaknya. Hana menjeling ke belakang. Aniq menganggukkan kepalanya tanda mahu wanita itu mengikutnya.

“So, bila nak gerak?” Tanyanya sekali lagi.

“Lepas lunch nanti.”

“Okey. Kalau macam tu saya keluar dulu.” Ujar wanita itu. Sempat dia memberikan senyuman kepada Hana sebelum keluar dari tempat tersebut. Hana mencebik.

Makin lama dia duduk di situ makin panas hatinya bila mengingat perbualan mesra dua orang itu. Hana berdiri. Bakul kertas itu diambil semula.

“Nak ke mana tu?” Aniq perasan tingkah laku tunangnya itu.

“Balik.” Jawab Hana sepatah.

“You baru datang. Takkan dah nak balik.” Aniq jadi pelik. Dia meletakkan pen di atas meja. Dia menyandarkan tubuh pada kerusi kerjanya sambil memandang Hana.

Tahu tak abang rindu gila dengan Suha, luah Aniq di dalam hati. Mahu saja dia memeluk gadis itu untuk melepaskan rindunya. Pada masa yang sama dia juga geram dengan tunangnya itu. Apa yang berlaku sebelum ini betul-betul membuatkan dia risau. Kalau saja terjadi apa-apa pada tunangnya itu, dia tidak akan memaafkan dirinya.

"Saya nak balik. Ada hal." Jawab Hana tanpa memandang lelaki itu. Entah kenapa dia terasa sakit hati pula hari ini?

“Ada hal? So, you datang sini untuk apa pula? Tadi, you jawab panggilan I, you kata nak buat laporan. Laporan apa?” Aniq masih ingat kata Hana masa dia menelefon tadi.

You. I. Tak boleh cakap melayu dah ke?! Aku tak suka bila dia bahas aku macam tu.

“Bukan laporan penting, pun. Saya nak baliklah.” Hana melangkah keluar terus dari bilik pejabat tersebut. Tujuan asalnya untuk meminta maaf daripada lelaki itu tapi nampaknya dia tidak jadi untuk berbuat begitu. Hatinya panas dengan perbualan mesra tunangnya dengan wanita itu. Aniq terkesima.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience