BAB 45

Romance Completed 25726

LELAKI itu melepaskan amarahnya. Habis meja di dalam bilik itu menjadi sasaran tumbukannya. Pandangan tajam dihalakan pada dua orang suruhannya. Hanya tinggal mereka berdua lagi.

“Kenapa dia orang tu tak bunuh saja perempuan tu di sana. Menyusahkan!” Marah lelaki itu.

“Maaf, tuan. Kami tak tahu pula ada orang yang akan tolong perempuan tu.” Jawab salah seorang daripada mereka.

“Sepatutnya, korang lebih berhati-hati. Fikir dulu sebelum bertindak. Korang tak kenal siapa lagi lelaki tu.” Nadanya keras.

“Siapa lelaki tu, tuan?” Tanya lelaki berpakaian singlet hitam. Dia merengus.

“Itu Aniq Rafisqy. Pengarah syarikat Iris Star Holding.”

“Syarikat yang mengeluarkan barangan-barangan eksklusif daripada kristal dan juga emas putih tu ke? Saya dengar ramai yang tertawan dan suka dengan produk yang dikeluarkan oleh syarikat tersebut.”

Dia tersenyum sinis mendengar pujian orang suruhannya itu.

“Dia adalah salah seorang usahawan yang berjaya mengembangkan perniagaannya di luar negara. Ramai clients dari luar negara mahu menempah produk yang dihasilkan oleh syarikat dia. Lelaki ni juga cukup perisai dan bukan mudah untuk kita tembusinya. Sebelum korang bertindak lebih, dia terlebih dulu yang akan bertindak untuk menghalang dan dia tidak akan lepaskan orang itu bila orang itu sudah membuat kesilapan.” Beritahunya. Telan liur mereka berdua apabila mendengar serba sedikit tentang pengarah syarikat tersebut.

“Apa yang mereka berdua buat jadi pengajaran kamu berdua. Rancangan kita tetap diteruskan dan saya mahu kamu berdua lebih berhati-hati lagi selepas ini. Berfikir sebelum bertindak!”

“Mereka berdua tiada kaitan lagi dengan saya. Korang berdua jangan lagi masuk campur dalam hal mereka berdua yang sudah ditangkap itu.” Dia memberi amaran dan terus meninggalkan mereka berdua yang jelas masih terpinga-pinga.


MATAHARI mulai terbenam. Hana masih terlantar di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Sebaik sahaja Hana dibawa ke HKL, Aniq terus menghubungi abangnya untuk meminta tolong. Arissa dan Yana sudah dibawa pulang oleh Harith. Mamanya dan juga keluarga Hana sudah dihubungi tadi dan sebentar lagi mereka akan tiba.

Telefonnya berdering mahu diminta angkat.

“Helo, Muaz. Ada apa-apa perkembangan tentang penculik tu?” Tanya Aniq. Dia meminta Muaz terus ke balai polis selepas menghantar kereta milik kakak Hana itu.

“Mereka berdua mengaku yang mereka memang berniat hendak menculik Cik Ivy dan mereka beritahu yang mereka juga telah diupah oleh seseorang untuk melakukan penculikan tersebut. Tapi..." Terdengar keluhan berat yang dilepaskan oleh Muaz.

"Sampai sekarang ni mereka masih berdegil. Mereka tak nak beritahu siapa yang mengupah mereka berdua tu.” Beritahu Muaz. Aniq tergamam. Hana yang masih belum sedarkan diri itu dipandang dengan belas kasihan.

“Kenapa dan apa sebab mereka mahu menculik tunang saya?” Tanya Aniq lagi.

“Maaf, tuan. Tentang itu, mereka masih belum mahu mengaku sepenuhnya. Hanya itu saja maklumat yang saya dapat tadi. Pihak polis masih lagi membuat soal selidik terhadap mereka berdua sekarang.”

Aniq merengus.

“Okey. Saya mahu kamu terus di sana sehingga perbicaraan mereka selesai. Apa-apa hal beritahu saya segera.” Ujar Aniq sebelum menamatkan panggilannya.

Aniq duduk di kerusi dan menghala pandangannya ke wajah Hana. Polos dan tenang sahaja wajah gadis itu. Saat itu juga fikirannya melayang kepada dua orang lelaki yang berani menculik tunangnya ini. Siapa mereka? Apa motif mereka mahu menculik tunangnya?


PERLAHAN-LAHAN dia membuka mata dan melihat sekeliling. Hana sedar bahawa dia sekarang berada di hospital. Aniq yang sedang tidur menghadapnya itu dipandang lama. Tidak semena-mena air matanya mengalir. Tangisannya membuatkan lelaki itu sedar daripada tidurnya.

“Suha, awak dah sedar?” Aniq menegur Hana sebaik sahaja dia tersedar dari tidurnya. Hana senyum nipis. Comel bila melihat Aniq memisat-misat matanya itu.

"Alhamdulillah. Syukurlah Suha selamat." Tidak putus-putus Aniq mengucapkan syukur kepada-Nya.

"Siapa yang bawa saya ke sini?" Tanya Hana.

"Abang." Jawab lelaki itu. Senyuman nipis dihadiahkan buat gadis itu. Hana mengerutkan dahinya.

"Awak? Macam mana..." Hana diam. Dia bingung.

"Abang ikut kereta Suha tadi. Lepas ambil Yana, abang tak terus pulang tapi ikut Suha dari belakang. Mana Suha pergi abang ikut. Abang sebenarnya rasa tidak sedap hati. Abang asyik fikirkan Suha saja tadi. Jadinya, abang ikut sajalah kata hati abang ni." Beritahu Aniq. Hana terpana. Saat itu, ada sesuatu menjentik hatinya.

Hana… Apa yang Aniq buat hari ini jelas membuktikan yang dia sangat mengambil berat tentang kau. Dia betul-betul sayangkan kau, bisik kata hatinya. Tidak semena-mena air matanya jatuh. Cepat-cepat dia mengesat air matanya itu.

Ya Allah, terima kasih atas semua pertolongan yang Engkau berikan kepada ku. Aku tidak tahu apa yang akan terjadi kepada diri aku sekiranya Aniq tidak ada pada masa tu. Hana tidak henti-henti mengucap syukur kepada Allah. Dia menangis lagi.

“Aniq, terima kasih sebab tolong saya tadi. Saya tak tahu apa yang akan jadi lepas tu kalau awak tak ada dekat sana.”

Aniq ubah posisi. Dia duduk di birai katil pesakit itu. “Dah. Jangan nangis. Buruk muka tu.”

Hana ketawa kecil sambil mengesat air matanya. Mahu sahaja Aniq tolong mengesat air mata gadis itu tapi dia tidak mampu selagi mereka berdua belum ada status yang sah.

“Nasib baik abang datang tepat masa. Kalau tidak abang akan kehilangan Suha hari itu juga.”

“Habis, penculik tu?” Hana baru teringat akan dua penculik itu.

“Dah diberkas. Abang telefon polis sebelum mereka bertindak lebih jauh. Pasal penculik tu, Suha jangan risau. Biar abang je yang uruskan.”

Hana diam. Fikirannya memikirkan satu hal. Siapa lagi kalau bukan perempuan yang tidak cukup kain itu. Takkanlah dia yang upah penculik tu? Hana masih ingat lagi ugutan perempuan itu kepadanya tempoh hari.

“Suha, you okay?” Tanya Aniq bila Hana tidak bersuara.

Bagi tahu saja Hana! Bisik hatinya. Hana memandang Aniq lama. Mencari kekuatan untuk memberitahu lelaki itu.

“Aniq, kalau saya bagi tahu awak… awak jangan marah, ya. Lagipun, benda ni awak juga yang nak tahu tapi saya tak sampai hati nak bagi tahu. Saya tak nak orang risaukan tentang saya.”

Aniq mengerutkan dahi. “What it is?” Suaranya bertukar serius. Hana telan liur bila Aniq bertukar nada.

“Tell me, now. Suha dah buat abang risau tau. Sekarang bagi tahu abang apa yang Suha rahsiakan dari abang.” Aniq berpeluk tubuh. Tajam matanya memandang Hana.

“Pasal…”

“Pasal apa?!”

“Edine!” Laju Hana menjawab bila suara Aniq menyergahnya.

“Edine?! Cepat, bagi tahu abang apa yang dia cakap dengan Suha tempoh hari.” Gesa Aniq. Hana garu kepalanya yang bertutup.

“Dia... dia ada ugut saya sebelum ini. Kalau saya tak putuskan pertunangan dengan awak, tak pergi jauh dari awak dia akan buat saya rasa menyesal. Dia juga cakap yang dia akan apa-apakan Arissa dengan Yana sekiranya saya tetap berdegil.” Akhirnya terluah juga apa yang cuba dia ingin sampaikan kepada tunangnya ini. Bulat mata Aniq mendengar bicara Hana.

“Suha, benda macam ni Suha mana boleh rahsiakan. Suha sepatutnya beritahu abang. Abang lebih kenal Edine tu macam mana orangnya.” Aniq berasa geram dengan Hana.

“Saya cuma tak nak awak dengan yang lain risau. Selagi saya boleh lawan saya lawanlah.” Perlahan saja suaranya namun dapat ditangkap oleh Aniq.

Aniq menghela nafas dan memandang serius pada gadis itu.

“Suha, kahwin dengan abang, ya? Abang boleh jaga Suha dan lindungi Suha. Lepas apa yang terjadi tadi dan juga pasal Edine tu, mana mungkin abang akan duduk diam. Abang tak akan biarkan hal itu macam tu saja. Suha dah jadi sebahagian daripada hidup abang. Abang tak nak apa-apa berlaku dekat Suha lagi.”

Hana bungkam. Dia berpaling membelakangi Aniq. Lama mereka mendiamkan diri. Aniq kaku di tempatnya dan begitu juga dengan Hana.

“Baiklah…” Jawab Hana perlahan setelah lama berfikir. Aniq tersenyum. Akhirnya jawapan yang dinanti-nantikan daripada tunangnya itu sudah berjawab.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience