EL 5: Jejak Kasih

Drama Completed 20201

"Papa, anak kawan papa yang mana kahwin ni?"

Danial yang memandu bertanya. Setahunya tak pernah dia ikut papa dan mamanya ke rumah di kawasan ini. Biasanya semua rumah kawan papa dan mamanya dia memang tahu sejak menjadi pemandu rasmi setiap kali bercuti atau ke rumah kenalan papanya di luar urusan rasmi.

"Rumah Uncle Imran. Kamu ingat tak Iffadh? Kakak ingat tak Iffadh? Sebaya kakak lah dia. Tahun ni 21 tahun, nikah masa belajar. Nikah tahun lepas lagi tak silap papa ni baru Uncle Imran dengan Aunty Syimah buat majlis jemput menantu kebetulan mereka tengah cuti semester."

Datuk Seri Burhan menerangkan kepada Danial dan dalam masa yang sama memberitahu Danisha tentang temannya semasa kecil. Danial kelihatan mengangguk.

"Oh..kakak ingat! Nikah dah Fadh? Lama la kakak tak jumpa dia, handsome lagi ke tak agaknya ye, ma?"

Tercetus ketawa Danial yang tengah memandu.

"Handsome pun nak buat apa kakak oi..suami orang tu!"

Selorohnya mengundang tawa mereka semua kecuali Damia. Iffadh..adakah Iffadh yang diceritakan ini Abang Fadhnya yang terpisah sejak 6 tahun lepas?

Datin Seri Basyirah yang sedar anak bongsunya hanya diam memegang tangan Damia.

"Adik okay? Kenapa diam je."

Damia membalas pandangan mamanya lalu mengangguk.

"Adik okay je, ma..dah lama tak pergi kenduri jadi nervous."

Sekali lagi tawa Danial meletus.

"Adik ni kelakarlah..Itulah, sibuk sangat belajar aje kan dah lama tak makan nasi kenduri. Sedap tau dik..takpe, hari ni adik makan puas-puas sebab nak tunggu kenduri abang lambat lagi."

Danisha yang berada di belakang Danial terus sahaja bergerak ke hadapan dengan gaya kepohnya.

"Abang nak kahwin? Bila...???"

Kalau tak over acting bukanlah dinamakan Danisha si drama queen. Datuk Seri Burhan hanya geleng kepala.

"Kakak, duduk diam-diam. Kan abang tengah memandu."

Tegas dalam lembut suara Datuk Seri Burhan menegur anak gadisnya. Danisha hanya tersengih menayang sebaris giginya yang cantik.

Damia dan Datin Seri Basyirah pula hanya tersenyum dengan keletah Danisha yang sememangnya selalu ceria itu.

---

"Terima kasih Kak Syirah sudi datang majlis saya. Dah berapa tahun agaknya kita tak jumpa ya?"

Datin Hasyimah menyambut mesra kedatangan Datin Seri Basyirah yang sudah lama tidak bertemu. Bersamanya ada dua orang anak gadis.

"Lebih 10 tahun rasanyakan. Anak-anak pun dah besar. Ni kenalkan Danisha dan Damia."

"Damia? Mia ke tu..?"

Satu suara yang menyampuk seakan menghentikan semua deria Damia..dia terpaku. Benarlah Iffadh yang menjadi topik perbualan mereka tadi adalah Iffadh yang sama, yang telah terpisah sejak 6 tahun lepas.

"Ya Allah..betul Mia!"

Sekali lagi suara itu menerpa pendengarannya dan serentak dengan itu terus tubuhnya dirangkul. Pelukan erat diberikan kepadanya. Ada suara tangisan dan ada suara yang mengucapkan kesyukuran.

"Nenek rindu Mia.."

Pelukan orang yang dirindui masih belum dilepaskan. Begitulah jejak kasih mereka setelah sekian lama tidak bertemu.

Tangannya digenggam erat Nek Limah seakan tidak mahu dilepaskan..Dia jadi segan sendiri apabila semua mata tertumpu kepadanya sekejap tadi. Sampai pengantin yang di atas pelamin pun berlari ke arah dia yang dipeluk Nek Limah sebentar tadi.

"Mia cantik sekarang. Hampir nenek tak kenal tadi.."

Nek Limah masih belum berhenti memuji dirinya. Dia cuma senyum sahaja. Kekok sebenarnya. Sudah lama terpisah, tiba-tiba bertemu dalam keadaan begini sumpah dia rasa segan. Tambahan dengan jelingan daripada pengantin perempuan, lagilah dia rasa kekok mahu berlama di sini.

"Mia ni saya ambil kat rumah anak-anak yatim yang diuruskan kakak saya, mak cik. Buat kawan dengan Danisha. Tapi sekarang ni dia memang betul anak saya. Minggu depan dah nak tinggal mama, sunyilah rumah."

Mama yang setia disebelahnya berbual mesra dengan Nek Limah dan Datin Hasyimah. Danisha pula kelihatan rancak berbual dengan pasangan pengantin. Bergelak ketawa dengan Iffadh. Yelah, kawan baik zaman kanak-kanak. Tak sangka pula pertemuan mereka yang ditakdirkan Allah ini bersangkut paut. Papa pula dengan group lelaki termasuk Danial. Damia bersyukur akhirnya dia dapat bertemu kembali dengan Nek Limah, insan yang banyak mencurahkan kasih sayang selepas kematian arwah ibunya.

"Mia nak pergi mana?"

Pertanyaan Datin Hasyimah menarik Damia ke alam realiti.

"Mia nak ke India. Buat medic kat sana."

Damia menjawab sambil tersenyum. Syukur, akhirnya hasrat arwah ibunya bakal tertunai berkat usaha dia belajar tanpa lelah dan sokongan keluarga angkatnya, dia adalah bakal doktor perubatan.

"Alhamdulillah, tahniah Kak Syirah. Tahniah Doktor Damia. Dahlah cantik, bijak pula tu."

Seloroh Datin Hasyimah di selang seli dengan tawa mamanya.

"Belum doktor lagi, aunty."

Damia merendah diri. Terasa segan pula dipuji lebih-lebih. Nek Limah di sebelahnya turut tertawa senang hati. Lega hati tuanya, penantiannya berakhir jua akhirnya.

---

"Fadh nanti bawalah isteri datang rumah aunty, lagi dua hari ni aunty nak buat kenduri doa selamat sikit untuk adik."

Mama menjemput Iffadh dan isterinya ke rumah keluarga mereka. Damia hanya diam sahaja. Dia rasa tak selesa asyik direnung oleh mata Marissa yang semestinya pandangan matanya bukanlah mesra.

"Ha, Fadh..Icha. Korang datang tau. Adik aku nak fly dah next week."

Danisha pula ramah menjemput mereka. Sememangnya Danisha sejenis cepat mesra. Dengan Marissa, walaupun baru pertama kali berjumpa, dia dah boleh masuk geng dah. Itulah bezanya Damia dan Danisha. Melalui lirikan matanya, dapat dilihat lingkaran tangan Marissa di lengan Iffadh sungguh erat, seolah risau Iffadh jauh daripadanya. Walaupun rindu, Damia langsung tak berpeluang berbual dengan Iffadh. Hanya berbalas senyuman dan bertanya khabar sahaja.

"Mia nak pergi mana?"

Wajah Marissa yang dimaniskan tiba-tiba sahaja ceria menegurnya. Damia keliru kerana daripada renungan tajam bertukar menjadi senyuman mesra apabila berita dia akan keluar negara disampaikan.

"Mia nak further study kat India."

Damia hanya senyum ketika menjawab soalan Marissa.

"Oh, congratulations. Jauhnya..Mia belajar apa?"

Marissa masih ingin berbual dengannya. Danisha dan Iffadh pula entah apa topik bercerita dia dah tak dengar. Sekarang dia seperti berada dalam satu kotak yang hanya ada dia dan Marissa. Tak tahu lah kenapa dia rasa tak enak sahaja berbual dengan Marissa yang tadinya dingin dan tiba-tiba kini bertukar mesra.

"Mia buat medic kak."

"Adik, jomlah. Abang ada hal lagi ni. Mama dengan papa dah ready tu. Nisha..dah dah. Pengantin nak layan orang lain pula. Asyik layan kakak je borak beratur panjang da tu ha nak bergambar."

Danial yang datang mengajak mereka pulang, sempat lagi di'fire'nya Danisha sambil menjuihkan bibir ke arah pelamin. Fuh! Danial memang penyelamat. Walaupun Danisha dah muka cemberut dan Iffadh merah muka akibat ketawa lepas, Damia bersyukur dia dapat meloloskan diri daripada Marissa yang entah kenapa dia takut sangat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience