EL 9: Kembali

Drama Completed 20201

Kenangan hari pertama kembali menjejakkan kaki di kampung halamannya ini benar-benar mengusik hati Damia. Namun, ini pilihannya. Pesan mama, dia harus kuat ketika kembali ke rumah arwah ayah dan ibunya.

Suasana rumah pusaka peninggalan kedua orang tuanya tidak banyak yang berubah. Kata mama dan papa, Nek Limah banyak membantu menjaga rumah itu ketika dia 'hilang'. Dia tersenyum mengenangkan betapa baiknya Nek Limah terhadapnya.

Pagi ini, setelah habis syif malamnya dia akhirnya dapat melepaskan lelah dan menghirup udara pagi yang segar. Di kampung ini, walaupun tidak maju seperti bandar, namun ketenangannya tiada tandingan.

"Assalamualaikum.."

Sedang ralit dia mengimbau kenangan dan mensyukuri nikmat kurniaan Allah, dia disapa mesra oleh satu suara yang dia sangat kenali. Dia berpaling seraya menjawab salam insan yang banyak menabur budi padanya.

"Waalaikumussalam nek.."

Damia tersenyum mesra melihat susuk tubuh Nek Limah yang berjalan ke arahnya.

"Ni nenek ada masak nasi lemak, bolehlah Mia buat sarapan. Tengahari nanti Mia datang makan kat rumah nenek ye. Sukalah Imani nanti ada ibunya makan sekali."

Ceria wajah Nek Limah namun kesat berpasir dirasakan liur Damia sekarang.

"Nek..tak payah susah-susah, Mia boleh makan sendiri."

Damia masih berbahasa mahu menjaga hati tua yang terlalu baik dengannya ini. Bukan seperti cucu kesayangan wanita ini. Mulut main lepas, agaknya masa merubah personaliti seseorang. Sebab tu lah kot Marissa lari!

"Tak ada susahnya Mia..kamu dah macam cucu nenek..dan harapan nenek kamu dan Iffadh.."

"Err..nek, terima kasih tau..Mia masuk dulu ya. Nak mandi lepas tu makan..Sedapnya bau nasi lemak nenek ni."

Damia yang menatang pinggang berisi nasi lemak yang dilapik dan dilitupi dengan daun pisang itu memotong cakap Nek Limah. Sesak dadanya membayangkan seorang lelaki kasar seperti Iffadh menjadi teman hidupnya seperti harapan Nek Limah.

Nek Limah hanya mengeluh kecil. Nampaknya usahanya masih belum berhasil. Iffadh dengan alasannya, Damia dengan mengelaknya. Entahlah bila nak jadi.

---

Telefonnya bergetar tanda ada panggilan masuk. Dia tersenyum melihat sebaris nama yang tertera sebagai pemanggil.

"Assalamualaikum nek.."

Iffadh menggerakkan tubuhnya kiri dan kanan, meregangkan segala urat. Kelasnya pagi ini penuh. Dia dapat agak dah panggilan neneknya ini pasni mahu mengingatkannya waktu makan.

"Waalaikumusslam..nenek ganggu Fadh ke ni?"

"Eh taklah nek..Fadh baru habis kelas, kejap lagi nak pergi makan je ni. Ada apa nek?"

"Haaa..nenek nak ingatkan kamu waktu makanlah, dah kamu lupa bawa nasi lemak pagi tadi..nenek dah bagi pada Damia. Ni kamu balik makan tengah hari tak nanti? Nenek ajak Mia sekali."

Senyuman Iffadh mati. Entah apa lagi yang patut dia buat supaya neneknya faham yang dia tidak berniat mahu mencari pasangan hidupnya lagi.

"Err nek..Fadh ada kelas tambahan nanti, jadinya Fadh tak baliklah makan."

Di sebelah sana, Iffadh terdengar keluhan Nek Limah..Hatinya dijentik rasa bersalah, namun dia tidak mahu memberi harapan. Tidak adil rasanya jika dia memberi harapan palsu kepada neneknya. Dia juga tidak mahu mempermainkan perasaan gadis sebaik Damia.

"Ha ye lah..kamu pergilah makan dulu, nanti ada kelas lagi, tak sempat pula. Assalamualaikum."

Talian terus dimatikan.

Iffadh meraup wajahnya. Dia tahu neneknya merajuk lagi.

"Waalaikumussalam."

Skrin telefon yang sudah gelap itu dipandang. Keluhan kecilnya mengundang perhatian teman di sebelahnya.

"Girlfriend merajuk lagi ke, bro?"

Ashraf teman sekerjanya menegur seraya memusingkan kerusinya mengadap Iffadh.

"Macamtulah rasanya.."

Iffadh tersenyum kelat. Ashraf menepuk bahu sahabatnya sekali.

"Jomlah minum dulu. Boleh share kisah kau dengan aku kot-kotlah ada nasihat daripada 'doctor love' ni yang kau boleh pakai."

Ashraf berseloroh mengundang tawa bersahaja Iffadh. Kendur sikit tegang wajahnya. Kalau dah namanya harapan nenek, memang tanpa hentilah usaha neneknya yang satu itu.

Kerusi ditolak rapat ke meja di bilik guru itu, dan kedua sahabat itu jalan beriringan menuju ke kantin sekolah tempat mereka menaburkan bakti. Teguran daripada murid-murid dibalas dengan senyuman.

"Apa cer kau, Fadh? Makan macam tak pernah jumpa makanan. Ke stress lagi?"

Ashraf yang menyisip teh tarik itu menegur Iffadh yang sedang menyedut nescafe o aisnya. Daripada tadi dia tunggu Iffadh angkat muka, bukan main berselera makan tak pandang kiri kanan dah.

"Nenek aku..dia masih tak give up nak jodohkan aku dengan Damia.."

Wajah Iffadh kembali keruh. Ashraf mengangguk-angguk tanda faham. Rasanya dah berlarutan hampir dua bulan masalah Iffadh ni. Kalau dia jadi Iffadh, terima sahajalah. Dahlah cantik, berkerjaya, baik budi pekerti pula. Yang dia tak faham dengan Iffadh ni, boleh pula dia trauma dengan cinta wanita. Dah lima tahun, tetap tak move on lagi.

"Kau pehal Acap, terangguk-angguk. Tadi kau tanya aku, dah sekarang kau mengelamun apesal?"

Iffadh yang sudah selesai makan memandang Ashraf yang sedikit tersentak dengan 'hujahnya' sebentar tadi. Tahulah dia, berangan rupanya si teman seperjuangannya ini. Melihatkan wajah Ashraf yang seakan terkejut, tawa Iffadh terhambur. Hampir sahaja Ashraf dimandikan dengan semburan nescafe o ais.

Tawa Iffadh yang masih bersisa segera mati apabila mendengar nasihat ikhlas seorang sahabat.

"Kau tanya hati kau, Fadh..apa yang kau nak dan aku harap kau cepat move on. Marissa pun dah lama nikah baru. Dah ada teman pengganti kau."

"Daripada awal lagi dia memang ada pengganti.."

Dan begitulah sesi luahan perasaan dan nasihat mereka berakhir. Ashraf yang sudah sedia maklum fe'el Iffadh jika tidak mahu lagi membuka ruang untuk dinasihati hanya mengikut rentak sahabatnya sahaja..Apa yang dia tahu, setiap apa yang Iffadh putuskan, dia sebagai sahabat harus tetap menyokong.

---

Usai membersihkan, dia menuju ke meja makan..Ditahan sabarnya mahu menikmati nasi lemak Nek Limah yang dia rindui itu. Baunya sungguh enak, sekali suapan terpejam mata Damia betapa dia menikmati rasa nasi yang lembut, wangi dan berlemak secukup rasa dengan sambal yang dimasak lama hingga pecah minyak dan menggunakan gula merah, rahsia sambal tumis berwarna cantik dan rasanya lebih sedap. Kemudian, diserikan lagi dengan ikan bilis yang rangup dan hirisan timun yang segar. Tak lupa juga, Nek Limah ada sertakan sebiji telur rebus. Mengingati kembali zaman kanak-kanaknya, setiap kali Nek Limah memasak nasi lemak, dia dan Iffadhlah yang menjadi tukang kupas kulit telur, potong timun dan belah bilis. Ah! Kenapa dia mengingati nama lelaki yang bermulut seolah tak ada insurans itu? Potong terus seleranya!

"Damia..aku nak cakap sikit ni. Kau jangan bagi harapan palsu kat nenek dengan anak aku tu. Kau tak payah nak berlagak ibu-ibu. Aku tak suka."

Damia tersentak. Terkejut. Tanpa salam daripada lelaki itu, dia terus 'diserang.' Agaknya garis masa yang merubah Iffadh daripada seorang lelaki budiman kepada lelaki kasar bahasanya seperti sekarang.

"Apa abang cakap ni? Mia.."

"Hah..sejak bila aku ada adik perempuan? Mungkin aku lupa? Nanti aku call tanya mama."

Damia pandang Iffadh. Pandangan mereka berlaga. Damia tidak dapat membaca apa yang tersirat namun melalui lorekan senyumannya yang sinis itu, Damia faham sendiri. Adakah dia yang berlebihan sehingga dianggap terhegeh-hegeh?

"Ha..Fadh, duduklah minum sekali. Ni nenek ada buatkan kuih kegemaran kamu dan Mia masa kecil-kecil dulu. Kebetulan hari ni Mia cuti, banyak dia tolong nenek melayan Imani tu, seronok sangat gayanya Imani tu. Melekat aje dengan ibunya."

Nek Limah yang keluar daripada dapur menegur Iffadh dan Damia yang berada di atas pangkin kayu bawah pokok kundang itu. Tempat santai petang mereka sejak dahulu lagi.

"Tak apalah nek..Fadh berpeluh ni. Nak mandi dulu. Mia, makanlah dulu abang nak tengok Imani. Terima kasih sudi layankan anak abang."

Senyuman lelaki itu kelihatan ikhlas kali ini, tidak seperti seketika tadi. Damia yang masih terkejut semakin keliru. Apakah yang sebenarnya terjadi sekarang?

Damia mengeluh sendiri mengingati peristiwa lebih sebulan yang lepas. Sejak kejadian itu, dia akui akan cuba mengelak untuk bertemu Nek Limah dan Imani, kecuali ketika ketiadaan Iffadh. Yang dia nampak, Iffadh tidak sukakannya..Agaknya hanya dia sahaja yang masih menyimpan perasaannya pada Iffadh. Dia mengutuk diri sendiri ketika mengingati bahawa Iffadh tak mungkin menganggapnya lebih, masakan tidak Iffadh juga pernah memilih untuk bersama Marissa berbanding menunggu dia kembali. Hanya dia..yang masih berharap agaknya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience