5 tahun berlalu..
Nafas ditarik dalam dan dihembuskan perlahan. Indahnya perasaan kembali ke tanah air. Dia bersyukur kerana pengajiannya di negara orang sudah tamat. Kini hanya perlu menjalani latihan sebelum disahkan jawatan. Dia memilih untuk kembali ke rumah lama arwah ayah dan ibunya. Mengikut kata papa dan mamanya, rumah itu sudah dibaiki dan dijaga selama dia di sana. Lima tahun tidak menjejakkan kaki ke tanah air buat dia rindu bau Malaysia. Ya, lima tahun yang dia habiskan dengan menyibukkan diri mentelaah pelajaran. Namun, dia gembira kerana keluarga angkatnya selalu melawatnya dan tidak membuatkan dia rasa terasing.
Ketika kakinya melangkah ke balai ketibaan, dapat dilihat Danial, Danisha, mama dan papanya melambai-lambai ke arahnya. Senyumannya mekar melihat wajah-wajah kesayangannya.
"Rindunya kakak dengan adik tau."
Danisha yang memeluknya erat mencium pipinya kiri dan kanan. Kakak angkatnya itu tidak pernah berubah, kasih sayang yang dicurahkan padanya buat dia kadangkala lupa yang dia adalah anak yatim piatu yang menumpang kasih keluarga penyayang ini.
"Adik pun rindu kakak, rindu semua..
Damia berjeda mahu mengusik.
..dan bau nasi minyak!"
Selorohnya membeliakkan mata Danisha dan ketawa daripada ahli keluarga yang lain. Selalunya dia yang disakat, seronok pula melihat pipi Danisha yang merona merah itu.
Setelah bagasinya dimasukkan ke dalam bonet kereta, perjalanan dimulakan untuk pulang ke kediaman keluarga mereka. Celoteh Danisha tidak berhenti, sama seperti lima tahun lepas. Masih bercerita itu ini. Sepanjang dia di India, mereka hanya kerap berbual melalui panggilan video. Lain rasanya berbual berdepan begini. Sesekali terdengar tawa daripada papa dan mamanya.
"Tak tidur lah adik nampaknya malam ni, dengar laporan tahunan kakak kan, papa?"
Sindiran daripada Danial membuahkan cubitan di pinggangnya. Mujur sahaja ketika itu kereta sedang berhenti di lampu isyarat merah. Mengeliat juga tubuh Danial menahan perit. Bukan main berbisa lagi cubitan Danisha. Kelihatan mama dan papa hanya menggelengkan kepala.
"Masa adik takde, boleh naik darah mama tau. Kakak dengan abang ni boleh dikatakan hari-hari bercakar. Pening mama..Ni Doktor Damia dah balik lega lah."
Aduan mama buat Damia tertawa kecil. Dapat dia bayangkan Danial dan Danisha bertempur mulut..Masing-masing taknak kalah. Dah namanya peguamcara melawan peguambela. Begitulah. Berdebat memang pantang kalah. Hujah bertubi-tubi dah serupa peluru berpandu.
"Ye lah kan, abang. Baby girl mama dah balik..kakak tak dapatlah nak manja-manja lagi."
Danisha mencebik bibir tanda merajuk. Damia tahu akal mengusik Danisha. Dia hanya ketawa. Terhibur dengan telatah kakak kesayangannya.
"Alaa kak, kau tak payah nak bermanja sangatlah. Tak lama lagi nak bersuami dah."
Sekali lagi ketam batu Danisha hampir mengepit pinggang Danial namun sempat dihalang Damia. Mujur sahaja dia cepat bertindak. Kereta tengah bergerak, risau jugak kalau-kalau Danial hilang kawalan memandu.
"Abang dengan kakak nak bergusti sekejap lagi tunggu sampai rumah."
Papa yang selalu bercerita kisah teladan, sekali dilontarkan hujah keluar, terdiam kata cuma berbalas jelingan sahaja Danial dan Danisha. Mama pula yang tidak melepaskan tangannya sekadar tertawa kecil.
---
Majlis pekahwinan Danial bersama Azra dan Danisha bersama Hakim berjalan lancar dengan meriah sekali. Untung mama dan papa terima menantu serentak. Dia dapat melihat senyuman bahagia keluarganya.
"Ingat salah pengantin tadi."
Teguran satu suara daripada sisi kirinya membuatkan masa seakan berhenti berdetik.
"Itulah, aku pun ingat pasangan pengantin tengah minum santai-santai."
Hampir jatuh gelas yang dipegangnya..Siapa mereka ini? Jika dilihat pada warna pakaian mereka memang sedondon. Warna yang sangat sesuai dengan Damia dan lelaki ini. Dia, sememangnya mati kata-kata. Dia kelu tidak tahu bagaimana harus dia mulakan perbualan dengan lelaki yang dia selalu ingat ini..Ya, selalu..
"Papa!"
Seorang kanak-kanak perempuan yang berlari kearahnya didukung lelaki itu. Damia terus sahaja beku, walaupun lamunannya sudah terhenti dek panggilan anak kecil itu tadi, kini dia terpegun melihat kasih sayangg lelaki ini.
"Imani..jangan lari-lari..nanti jatuh, sayang."
Dilihat lelaki di sebelah kirinya ini melirik ke arahnya. Damia masih begitu. Kaku sahaja. Kakinya bagai digam lekat untuk melangkah.
"Doktor Damia..Long time no see."
Salah seorang lelaki yang bersama lelaki yang dia selalu ingati itu menegurnya. Dia keliru..siapakah mereka dengan Iffadh? Ya..Iffadh ada di sebelahnya bersama dua orang lelaki yang dirasakan hampir sebaya dengannya dan seorang kanak-kanak perempuan. Hampir hilang ingatankah dia kerana sudah lama meninggalkan tanah air? Namun wajah Iffadh yang melekat di mindanya tidak pernah dia lupakan dan Iffadh memang tak banyak berubah.
"Oh hai.."
Damia mengutuk diri sendiri. Getaran suaranya jelas. Dia gugup.
"Siapa aunty ni papa?"
Renungan lelaki di sebelahnya beralih kepada anak kecil yang bertanya.
"Ini kawan papa masa papa kecil. Aunty Damia. Doktor tau."
"Oh..I see. Imani suka doktor. Pak Ngah dengan Pak Su pun kenal doktor ya?"
Anak kecil yang bernama Imani itu berpaling kepada dua lelaki yang 'mengusiknya' tadi. Jadi sekarang dia sedar, dua lelaki ini ialah adik beradik Iffadh.
"Mestilah kenal, nenek dengan oyang mana pernah berhenti sebut nama doktor ni. M.I.A..Imani mesti tahu kan?"
Salah seorang adik Iffadh menerangkan kepada Imani sambil mengeja namanya. Imani dilihat mahu turun daripada dukungan Iffadh. Dan kemudiannya Imani terus memeluk Damia.
"Imani suka doktor Mia. Nenek dengan oyang selalu cakap doktor Mia budak baik macam Imani."
Damia melutut, mahu berinteraksi separas mata Imani.
"Hai, Imani. Tak perlu panggil doktor. Papa dengan aunty Mia kan kawan..So, we are friends too. Imani boleh panggil apa sahaja yang Imani nak. Okay?"
Begitulah Damia..cepat mesra dengan kanak-kanak. Sekelip mata gugupnya hilang ketika berpelukan tanda salam perkenalan dengan Imani.
"Imani nak panggil Ibu. Kat sekolah semua ada ibu, tapi Imani takde."
Sayu suara Imani. Damia sedikit tersentak. Wajah Iffadh juga berubah dan dua adik-adik Iffadh saling berpandangan. Benar, Damia tidak nampak Marissa bersama. Kolam matanya bergenang. Jika benar Imani kehilangan ibu, Imani senasib dengannya. Dugaan besar buat anak sekecil ini yang kehilangan ibu di usia yang muda. Terlalu awal untuk anak berusia 4 tahun.
Melihat Damia yang terkejut, Iffadh segera berdehem.
"Mia, kami minta diri dulu sebab nampaknya bakal tersepit dah ni. Tu.."
Iffadh kekok. Damia nampak itu. Adik beradik Iffadh juga seakan tersampuk bisu. Dia menoleh kepada arah yang ditunjukkan Iffadh dengan ekspresi wajah kening diangkat serentak dengan bibir dijuih. Dia nampak Nek Limah dan mama Iffadh menuju ke arahnya.
Dia tersenyum, terus tubuhnya terasa dipeluk. Dia rindukan pelukan ini. Pelukan kasih sayang.
"Mia.. semakin cantik cucu nenek ni."
Seperti yang lain yang menyayanginya, pipinya dicium kanan dan kiri. Dia memang mewah dengan kasih sayang. Datin Hasyimah juga begitu, memeluk dan menciumnya. Ada air mata kesyukuran di wajah-wajah di hadapannya.
"Nenek pun cantik."
Damia berseloroh apabila pelukan terurai. Nek Limah hanya ketawa terhibur. Dia sungguh merindui Damia. Dapat berjumpa semula hanya seketika kemudian terpisah lagi 5 tahun.
"Lepas ni Mia hilang lagi tak? Nenek nak bersedia menanggung rindu."
Nek Limah mencebik pura-pura merajuk.
"Lepas ni dia dah tak buat nenek rindukan dia, tapi dia buat mama pula rindukan dia."
Ah! sudah..mama. Damia rasa serba salah. Boleh pula mama ada di sini. Tiba-tiba semua tertumpu kepadanya di saat itu. Iffadh dan adik beradiknya yang kononnya nak beransur tadi masih menjadi penonton setia.
Kerana hint yang diberikan mamanya, Datin Hasyimah, Iffadh, Irsyad dan Iyyad masing-masing memandangnya dengan tanda tanya.
"Er..nek. Mia nanti balik tinggal kat rumah arwah ayah dan arwah ibu."
Cerah wajah Nek Limah..Dia sudah membayangkan sekurang-kurangnya dia ada teman lain selain daripada Imani apabila Iffadh berkerja.
"Alhamdulillah, ada kawan lah nenek nanti."
Gembira bukan kepalang lagi Nek Limah. Sudah lama dia rindukan Damia, dan akhirnya dia bakal hidup berjiran lagi dengan damia selepas lebih 10 tahun terpisah.
"Nanti Mak Limah tolonglah tengokkan anak dara saya ni. Bukan apa, dia nak berbakti pada orang kampung tempat asalnya, selagi tak melanggar hukum kita sokong sahaja."
Mama sangat positif, dia bersyukur punya mama yang selalu menyokongnya. Damia akhirnya memeluk Datin Seri Basyirah sambil menyeka air mata yang mengalir. Dia tidak mampu menyorokkan perasaannya lagi. Perasaan bakal kembali ke tempat asal usulnya.
"Thanks, ma. I love you."
Datin Seri Basyirah membalas pelukan Damia seraya menggosok belakang badan anak gadisnya menenangkan Damia yang sudah mula tersedu. Sensitif betul anak daranya yang seorang ini.
"Mama loves you too, baby girl. Syhh.."
Lembut Datin Seri Basyirah memujuk disaksikan mata-mata lain yang juga mula merasa sebak.
Setelah beberapa ketika, Damia malu sendiri.
"Adikkk...dah comot make up. Jom touch up kita ada photography session jap lagi."
Entah daripada mana muncul pengantin dengan dress yang meleret menarik tangannya keluar daripada kelompok pertemuan syahdu itu sambil mulut yang tak berhenti membebel. Damia yang mendengar terasa ibarat irama lagu nan indah. Danisha memang seorang kakak yang sangat mengutamakan dia..Syukur, entah berapa banyak kesyukuran yang dipanjatkan dengan takdir hidupnya si yatim piatu yang disayangi ramai orang.
Share this novel