Minggu yang meletihkan buat Damia akhirnya bakal berakhir dalam beberapa jam sahaja lagi. Dia berasa sangat lega kerana dia bakal bertemu dengan tilam dan bantal di rumahnya. Tekaknya juga sudah mula rasa sakit menandakan badannya tidak mendapatkan rehat yang mencukupi. Sungguh hari-hari yang dilaluinya amat memenatkan.
"Dr. Damia, are you okay?"
Pertanyaan daripada jururawat di kaunter ketika dia sedang meneliti fail pesakit, menarik perhatiannya.
"Okay kak, just sore throat je ni. Rest nanti okaylah. Syukur esok off day kan."
Damia tersenyum ramah. Dikelilingi orang-orang yang baik dan perihatin memang rezekinya. Walaupun dia anak yatim piatu sedari kecil, namun Allah Maha Adil hadirkan insan-insan yang tak pernah lokek dengan kasih-sayang padanya, kecuali Iffadh! Ya, lelaki itu semakin menjadi-jadi perangai buruknya. Entahlah..kalau dulu, dialah paling rapat dengan Damia, paling mengambil berat, namun kini dah berubah 360'. Ada sahaja yang menyakitkan hati Damia. Memanjang cari pasal.
"Dah habis round kan, doktor rehatlah."
Jururawat bertag nama Hana itu kembali bersuara terus memecahkan segala ingatannya pada Iffadh. Fuh! Sempat lagi dia ingat pada lelaki yang menjengkelkan itu. Dia hanya tersenyum membalas. Nak cakap lebih-lebih suara dah tak mampu nak keluar ni. Tak sabarnya nak balik, dapat mandi, baring..tidur. Oh! Indahnya nikmat dunia.
---
Ketika dia sampai di tempat letak kereta kakitangan itu, telefonnya bergetar tanda ada panggilan masuk. Melihat sebaris nama yang tertera sebagai pemanggil, hampir bercantum keningnya. Mimpi mandi bungakah lelaki ini tiba-tiba menghubunginya.
Tanpa sedar, getaran telefonya berhenti sendiri. Skrin yang gelap kembali bernyala tak sampai 10 saat. Tak cukup dengan panggilan yang terlepas, mesej pula dihantar. Tidak fahamkah lelaki ini, dah panggilan tidak dijawab, maknanya Damia tak sudilah.
'Kau tak balik lagi ke?'
Tanpa salam, tiba-tiba sibuk nak 'check' Damia. Lagilah buat Damia pelik dengan sikap seorang Iffadh ni. Malas mahu ambil pusing, Damia biarkan sahaja pertanyaan Iffadh yang dirasakan tidak penting itu, sepi. Matanya dah berat, badannya pun dah lenguh-lenguh. Lebih baik dia segera pulang daripada dia terpaksa bermalam di hospital ini.
Sampai sahaja di rumah, Damia segera membersihkan diri. Melalui rumah Nek Limah tadi, dia ternampak kelibat Iffadh di hadapan rumah. Dibiarkan sahaja, tidak menegur. Malaslah dia beramah mesra dengan seorang lelaki yang ikut mood dia je. Silap hari bulan, disemburnya Damia lagi.
Selesai sahaja membersihkan diri, Damia memeriksa telefonnya sebelum dia tidur. Ada mesej daripada Iffadh lagi.
'Hidup lagi kau. Eloklah perangai bagi bluetick je kat aku.'
Damia menjerit geram. Sebal hatinya. Iffadh memang menyakitkan hati. Kalau tidak mengenangkan Nek Limah dan Imani, memang tak ingin dah Damia bertandang ke rumah sebelah.
Selepas menghantar pesanan suara kepadanya mamanya memaklumkan dia sudah berada di rumah selepas shif kerjanya, dia terus merebahkan diri dan terus tertidur. Berat sungguh matanya seberat badannya yang terasa lenguh di segala sendi sekarang.
---
Ketika dia membuka matanya pagi itu, ketukan pintu seakan mahu roboh membingitkan telinganya. Panas matanya, tekaknya juga perit. Dia menggagahkan diri untuk bangun. Entah siapa agaknya yang menggangu tidurnya di hari cutinya ini.
Apabila pintu dikuak, terjengul wajah merah padam Iffadh. Dia ni lagi. Damia yang merasa lemah seluruh badannya tidak betah berdiri lama. Dia terus sahaja berlalu, duduk di sofa. Iffadh masih kekal di muka pintu. Damia juga tidak menjemputnya masuk. Lainlah kalau ada Nek Limah atau Imani.
"Ibu.."
Satu suara yang comel menyapa peluput telinganya. Terus sahaja gadis kecil itu meluru dan memeluknya.
"Ibu panas..Ibu demam ke?"
Berkerut risau wajah kecil itu ketika belakang tangannya menyentuh kulit dahi Damia.
"Ibu tak sihat sikit je, sayang. Ada apa Imani datang rumah ibu ni?"
Suara serak Damia menarik perhatian Iffadh.
"Jom abang hantar pergi klinik, nanti melarat demam Mia."
Damia senyum senget. Depan anak nak berabang pula..Tiba-tiba Damia terasa muak dengan sikap Iffadh yang dirasakan hipokrit.
"Saya okay, ubat ada..terima kasih. Imani nak ajak ibu teman main ya?"
Ikutkan hati Damia, dia tidak mahu menghiraukan keperihatinan yang ditunjukkan Iffadh. Namun, contoh yang tidak baik sebegitu tidak sepatutnya dilihat oleh anak kecil seperti Imani. Mahu tidak mahu, dia masih mahu berbahasa dengan lelaki yang dirasakan pelik ini.
Imani mengangguk teruja. Matanya bersinar galak.
"Okay, Imani tunggu ibu mandi dan makan ubat dulu, nanti ibu datang rumah onyang ye."
Damia mengusap kepala Imani. Sejujurnya dia sudah jatuh sayang pada anak ini. Walaupun masih mempunyai ibu kandung, Marissa langsung tidak menjenguknya apatah lagi mencurahkan kasih-sayang. Hati Damia terusik setiap kali mengenangkan kenyataan satu itu.
Damia kembali menutup pintu rumah selepas Imani dan Iffadh pulang ke rumah Nek Limah.
Dia mencapai telefonnya kemudian dia mengeluh kecil. Patutlah Iffadh sampai ke rumahnya hari ini, telefonnya kehabisan bateri rupanya. Mama..mengenang sebaris nama itu, terus sahaja Damia mengecas telefonnya dan segera ke bilik air mahu menyegarkan badan. Pasti mama risau dah hampir tengah hari dia belum telefon mama seperti kebiasaannya.
Usai mandi, dia segera mencapai sehelai kemeja-t berlengan pendek yang dipadankan dengan seluar denim berpotongan 'slim-fit'. Cukup ringkas dan santai sahaja. Rambutnya yang panjang dan masih lembab itu dibiarkan lepas. Terasa segar sedikit badannya.
Dia menjamah sekeping roti dan secawan air hot chocolate sebelum menelan dua biji paracetamol, semoga demamnya beransur kebah. Suhunya tidaklah tinggi mana, hanya demam ringan sahaja.
Setelah memastikan semuanya kemas di dapur, telefonnya dicapai. Ada banyak panggilan masuk yang dia terlepas. Daripada mama, Danisha dan Iffadh.
Pesanan mesej daripada aplikasi whatsapp pula dibuka..Danisha dengan bebelannya berpisah tiada.
'Adik, Fadh cakap adik demam. Fadh nak bawa adik pergi klinik, ikut je lah. Jangan degil, nanti melarat. Kalau mama tahu, rasanya terus sahaja mama datang sana petang ni. Adik taknak mama susah hati kan? Kakak pun susah hati ni dik.'
Ah! apa sahajalah Iffadh ni. Sejak bila pula dia jadi penyampai maklumat pada Danisha?
Mesej daripada mama kemudiannya dibuka.
'Adik demam teruk ke? Mama nak datang sana tapi Fadh cakap dia akan uruskan adik, nanti dia bagitahu mama updates. Adik jaga diri, mama jauh ni.. mama risau.'
Iffadh lagi. Sabar jelah. Dia demam biasa je kot dah kenapa Iffadh sibuk jadi 'telefon karat' pula ni.
Telefonnya bergetar. Sebaris nama Iffadh tertera di situ. Mahu sahaja dia baling telefonnya sekarang. Namun mengenangkan kerisauan mama dan bebelan Danisha, dia jawab juga.
"Nak ape?"
Damia juga sudah ikut tak beradap seperti Iffadh. Kalau dengan Iffadh eloklah begini. Iffadh pun bukan beradap dengannya, kecuali jika ada orang lain bersama.
"Amboi, baru demam dah hilang adab kau."
Berdesing telinga Damia, namun disabarkan sahaja hatinya. Tak guna dia mahu bergaduh dengan Iffadh, makin lama makin pendek jangka hayat kesabarannya.
"Assalamualaikum, ada apa Encik Iffadh call saya?"
Suara Damia mendatar sahaja. Malas mahu menjadi seperti budak-budak, bergaduh tak dapat apa melainkan sakit hati.
"Wa'alaikumussalam. Haa masih waras rupanya Dr. Damia. Dah, keluar cepat sebelum aku masuk dukung kau."
Damia terus mematikan taliannya. Dia segera keluar setelah mencapai sling bag jenama CoachXDisney special edition yang dihadiahkan Danisha padanya selepas dia tamat belajar. Rambutnya yang sudah kering diikat gaya bun. Disarungkan kasut sneaker pilihannya, melengkapkan gaya santainya hari itu.
Setelah meloloskan diri di tempat penumpang, tali pinggang keselamatan dipakai. Patutlah Iffadh beraku-kau. Imani tidak ikut serta rupanya. Dia hanya mahu cepat, tidak mahu bertanya lagi. Perjalanan mereka ke klinik di pekan tidak mengambil masa yang lama. Masing-masing diam tanpa sebarang suara. Damia lebih selesa begitu, daripada sakit hati dengan kata-kata Iffadh. Ketika Damia mahu keluar daripada kereta Iffadh, terasa ikatan rambutnya dileraikan. Damia agak tersentak namun tenaganya tidak cukup banyak untuk dibazirkan 'menentang' Iffadh hari ini.
"Aku tak suka kau ikat rambut macam tu."
Nada suara Iffadh mendatar. Dingin, sedingin suasana mereka berdua sekarang.
'Saya tak perlukan orang lain suka dengan penampilan saya.'
Namun, kata-kata itu hanya tersekat di kerongkong Damia sahaja.
Sepanjang Damia mendapatkan rawatan, Iffadh setia menemani. Sampaikan Damia masuk ke bilik rawatan pun dia ikut serta..Damia rimas, namun terpaksa relakan sahaja kerana dia pasti jika melawan, pasti hatinya juga yang akan sakit nanti.
"Yes, ma..Mia demam biasa je. Mama jangan risau. Fadh akan tengokkan dia."
Damia sempat mencuri dengar perbualan telefon Iffadh dengan 'mama' ketika dia keluar daripada tandas. Sabar je lah sampai ke pintu tandas Iffadh menemaninya. Dan dah kenapa sampai mamanya pon tahu fasal demam Damia hari ini.
"Mama kirim salam. Mama pesan, mc yang kau dapat tu jangan koyak. Malam nanti mama dengan papa sampai."
Iffadh bersuara setelah mereka masuk ke dalam kereta. Enjin dihidupkan dan kereta terus bergerak.
"Nenek dah masakkan bubur, sementara mama dengan papa sampai, kau tinggal kat rumah nenek je."
Damia makin keliru. Mama siapa yang nak datang? Tidak mahu meneruskan kekeliruan, akhirnya kebisuan Damia berakhir.
"Mama? Yang awak call tadi mama awak kan? Tapi kenapa mama nak datang?"
Soal Damia polos. Terdengar tawa Iffadh meletus. Damia semakin pelik, namun dalam diam dia terpesona dengan wajah Iffadh sekarang.
"Yang aku call tadi mama kau, bakal mertua aku. Kan senang awal-awal biasakan diri."
Suasana kembali dingin. Damia malas nak ambil pusing dengan perangai gila Iffadh. Kalau sebelum ni dia dah bagi amaran untuk Damia tidak meletakkan sebarang harapan, namun kini apa pula yang Iffadh cuba buktikan? Daripada melayan sakit kepala fikirkan Iffadh, Damia lebih memilih untuk tidur sahaja. Dan tidak menunggu lama, dia terus terlelap.
'Maafkan abang, Mia. Abang cuma tak mahu kita sama-sama terluka nanti. Abang tahu, Mia orang baik, hati Mia tulus. Mia selayaknya dapat bakal suami yang akan cintakan Mia tanpa ragu.'
Iffadh hanya bermonolog sendiri ketika melihat Damia yang terlelap di kerusi sebelah penumpang. Kadangkala dia mengutuk diri sendiri kerana tidak mampu mengawal perasaannya..Dia takut, takut kehilangan lagi dan kerana itu, dia memilih untuk menyakiti hati Damia supaya Damia menjauhinya daripada secara terang-terangan dia menolak harapan keluarga mereka.
Walaupun dia semahunya cuba mengikhlaskan hati memilih Damia, namun setiap kali itu bayangan dirinya dikhianati Marissa muncul. Lima tahun masih belum cukup mengubati hatinya. Walaupun dia sedar pandangan Damia padanya ketika kali pertama mereka bertemu setelah terpisah, namun dia tidak mahu mementingkan diri kerana cintanya pada wanita yang bergelar kekasih hati telah lama mati dibunuh kejam.
Share this novel