"Ibu, abah, mama, papa, nek.."
Wajah-wajah yang dihormatinya dipandang kasih..Dia tahu mereka terluka.
Iffadh menelan liurnya yang terasa kesat berpasir. Mengambil nafas, menggali semangat..Dia hampir rebah. Satu kenyataan yang amat menyakitkan. Dipandang anak kecilnya Imani yang baru berusia tiga bulan. Pulas tidurnya tanpa menyedari malapetaka yang melanda keluarga mereka.
Di satu sudut, Marissa kelihatan tenang tanpa riak bersalah. Itu lebih meremukkan hatinya. Hancur lumat diperlakukan tanpa belas. Walaupun dia sendiri sudah menjangkakan ini yang akan berlaku, kenyataan ini tetap menyakitkan.
Ibu, mama dan nenek tanpa henti mengesat air mata yang tumpah..Abah dan papa pula hanya diam tanpa bicara. Seolah tersampuk bisu dek terlalu terkejut. Hari ini menyaksikan maruahnya sebagai seorang suami dipijak-pijak. Kasih dan cintanya kepada Marissa seolah langsung tiada harganya..Dia..dibuang secara terang-terangan.
"Fadh minta ampun pada Ibu dan abah atas segala kekurangan Fadh sebagai menantu selama ini."
Tangan Encik Hasnol dan Puan Syamsiah dikucup memohon ampun. Terimbau kenangan ketika dua pasang tangan ini dikucup memohon restu tiga tahun yang lepas. Ya, mereka baru sahaja menyambut ulang tahun perkahwinan yang ketiga, yang Marissa sendiri tidak ingat dan awal pagi ini, Marissa ditangkap dalam keadaan yang sungguh mengaibkan bersama pasangan haramnya. Mujur sahaja ahli keluarganya tiada yang menghidap penyakit berbahaya, risau diserang sakit jantung dan sudah pasti akan lebih memburukkan keadaan.
"Ibu dan abah yang patut minta maaf dengan Fadh sebab kami gagal didik Icha untuk jadi isteri yang tahu menjaga maruahnya."
Mengongoi sedih Puan Syamsiah di dada suaminya..Dia hampir rebah tidak mampu berdiri menyaksikan kecurangan secara terang-terangan anak tunggalnya.
Setelah berbincang dengan pengawai penyiasat dan pihak pejabat agama yang membuat tangkapan khalwat terhadap Marissa dan pasangannya, mereka bersetuju untuk menyelesaikan semuanya pada siang hari nanti.
Iffadh terus sahaja menghidupkan enjin keretanya lalu terus bergerak pulang ke hotel tempat dia menginap diikuti keluarga mertuanya, ibu bapanya, neneknya dan juga Marissa.
"Icha jaga Imani malam ni. Fadh boleh rehat."
Marissa masih dengan riak bersahajanya tanpa rasa bersalah dan kesal dengan apa yang dia dah buat, membontoti Iffadh masuk ke bilik yang didiami Iffadh dan bayi mereka, Imani.
"Tak perlu tiba-tiba nak jadi mak Imani, kau boleh keluar sekarang..Esok aku akan uruskan semua termasuk permohonan pembubaran perkahwinan."
Tegang wajah Iffadh menahan marah. Marissa senyum senget lalu tanpa bantahan terus sahaja keluar daripada bilik itu dan Iffadh yang menahan pedih di hati melorot tubuhnya dibawa duduk memeluk lutut di lantai. Wajahnya disembamkan di lutut yang terlipat. Satu per satu air mata lelakinya tumpah membasahi wajah tampannya..Hatinya hancur berkecai seolah kaca yang terhempas. Cinta dan kepercayaannya dikhianati oleh seorang wanita yang dicintai sepenuh hati.
Share this novel