Hari ini hari pertama persekolahan dan dia yang berada di tingkatan empat mengikut sistem persekolahan Malaysia, berpindah ke sekolah di kampung dan tinggal bersama neneknya. Selesai urusan pendaftaran di pejabat sekolah, dia diarahkan untuk masuk ke kelas 4 Teguh dengan gambaran penunjuk arah oleh kerani di pejabat itu.
Seketika mencari arah ke kelas, dia kelihatan agak 'sesat'. Sekolah di kampung ni boleh tahan bercampur, tadi dah nampak kelas tingkatan 4, tiba-tiba sebelahnya kelas tingkatan 2 pula, tak sama macam sekolah lamanya.
"Dik, boleh tak tunjukkan kelas 4 Teguh?"
Akhirnya dia jumpa seorang pelajar perempuan yang sedang berjalan dengan tag 'tandas' tergantung.
"Err, haah boleh."
Gadis yang dia jumpai kelihatan agak terkejut dan kekok. Tanpa sempat dia bertanya nama, gadis itu terus berjalan di hadapan dan dia hanya membontoti tanpa bicara. Gadis ini juga kelihatan seperti tidak mesra.
"Okay, dah sampai kelas Abang Iffadh."
Gadis itu tersenyum mesra menayangkan sebaris gigi yang cantik tersusun. Dia seperti pernah melihat senyuman ini dan baru sahaja mahu bertanya, gadis itu terus berpaling meninggalkannya. Lagi sekali, tak sempat menyapa.
'Iffadh?..dia..tahu nama aku? Siapakah dia?'
Iffadh tertanya-tanya, berkerut-kerut keningnya.
"Yes, please come in."
Teka-tekinya terhenti apabila ada suara yang menyapa. Seorang guru lelaki menggamitnya untuk masuk ke dalam kelas. Ketika dia melangkah kaki ke dalam kelas, semua mata memandang ke arahnya.
"Okay, please introduce yourself."
Guru lelaki yang dia rasakan seorang guru bahasa inggeris memandangkan tulisan di papan putih, memintanya memperkenalkan diri. Dia tersenyum mengangguk dan kemudian dia memandang ke hadapan menghadap rakan sekelasnya.
"Hi, everyone. My name is Iffadh. Nice to meet all of you. I came from Canada."
Dia kemudiannya memandang kembali guru dalam kelasnya lalu melangkah untuk mengambil tempat dalam kelas itu. Hanya ada satu tempat kosong, akhirnya dia duduk di situ, di sebelah seorang pelajar perempuan yang memperkenalkan dirinya sebagai Marissa.
---
"Sekolah hari ini okay, Fadh?"
Nek Limah bertanya ketika makan tengah hari mereka. Nek Limah ialah ibu kepada mamanya, yang tinggal seorang diri. Dahulu, dia kerap pulang ke Kampung Teluk Indah ini, namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sejak berpindah ke Kanada mengikut papanya berkerja di sana, mereka jarang dapat pulang ke kampung.
Hari ini dia kembali tinggal di sini untuk meneruskan persekolahannya mengikut sistem pendidikan di Malaysia, kerana keluarganya juga bakal pulang untuk terus menetap di Malaysia dalam masa kurang dua tahun lagi.
"Okay, nek. Fadh rasa boleh catch up walaupun banyak Fadh kena belajar untuk SPM."
Iffadh menjawab sambil tersenyum. Keputusannya untuk kembali ke sini juga adalah kerana dia terlalu rindukan kampung halaman. Sudah lebih lima tahun mereka menetap di negara asing, mereka tetap rindukan tanah tempat tumpah darah.
Nek Limah kelihatan mengangguk dan kemudian bersuara.
"Baguslah, Fadh. Nanti nenek daftarkan Fadh kelas tuisyen, bolehlah Fadh ulangkaji lebih."
Iffadh mengangguk tersenyum.
"Thank you, nek."
"Assalamualaikum.."
Satu suara memberi salam daripada luar.
Iffadh memandang Nek Limah dan kemudian bersuara.
"Fadh pergi tengok lah nek siapa datang agaknya tu."
Melihat anggukan Nek Limah, dia bangun mencuci tangannya lalu menuju ke pintu.
Kelihatan seorang gadis menatang pinggan berisi pisang goreng.
"Awak?"
Dia yang perasan gadis di sekolah tadi, terus sahaja menegur. Gadis di depannya ini menayangkan senyuman manis sama seperti tadi dan dia masih berfikir senyuman yang sangat dia kenali ini, milik..
"Mia?"
Damia mengangguk.
"Abang Fadh kenal Mia lagi?"
Masih kekal begitu, tersenyum manis. Matanya bulat, mulutnya melopong. Lain benar Damia, budak yang dulunya montel pipi gebu bak pau yang baru dikukus.
"Siapa tu Fadh?"
Nek Limah melaung daripada dapur. Damia tersenyum lagi lalu melangkah masuk. Terus ke dapur.
"Nek.."
Dia menyapa Nek Limah lalu mengambil tempat di meja makan sebelah Nek Limah.
"Oh, Mia..awal goreng pisang hari ni."
"Mia balik sekolah tadi, ayah belum balik. Ada pisang dah masak, Mia gorenglah nek. Lepas tu banyak, Mia dah simpankan untuk ayah, ni untuk nenek dan Abang Fadh."
Damia masih seperti dulu, suka tersenyum dan menyenangkan semua orang.
"Mia ambil pinggan tu, makan sekali. Kamu tak payah susah-susah nak masak, makan aje kat rumah nenek ni ha."
Nek Limah memperlawa Damia, dia sudah biasa dengan gadis yatim itu. Kehilangan ibu sejak berusia 6 tahun. Berdikari sendiri ketika ayahnya berkerja dan menumpang kasih Nek Limah kerana kedua ibu dan ayahnya membesar di rumah anak yatim. Dia sendiri tidak punya keluarga lain.
"Ayah pesan Mia jangan selalu susahkan nenek."
Damia masih tersenyum sambil bergerak ke rak pinggan..Iffadh hanya memerhati, masih terpegun melihat perubahan Damia. Gadis kecil yang pernah menjadi teman rapatnya dahulu.
"Tak ada susahnya, Mia. Ayah kamu tu lah selalu tolong nenek kalau apa-apa hal. Dia dah macam anak nenek, kamu ni ha cucu nenek. Bukan orang lain dah kita, dah macam keluarga."
Menyedari Iffadh yang masih tercegat, Nek Limah menegur.
"Haa Fadh, kamu dah sudah makan ke? Tercegat situ kenapa?"
Iffadh tersentak dan terpinga-pinga. Agak kelam kabut dia mengambil tempat dan malu sendiri menyedari Damia tergelak kecil.
"Huh? Haa.. err.. okay nek."
Berterabur rasa susunan kata-katanya. Seakan tersampuk kaku melihat Damia yang dahulunya gadis montel berubah menjadi anak dara sunti yang manis.
Makan tengah hari mereka hanya diserikan dengan celoteh Damia dan Nek Limah sahaja. Iffadh hanya diam, makan dengan tertib. Dia masih kekok manakala Damia kelihatan seperti biasa. Tersenyum manis dengan celoteh ceria. Sumpah diia rindu Damia, dia sayang seperti adiknya sejak dahulu lagi.
---
"Mia ingat Abang Fadh?"
Petang itu, ketika membantu Nek Limah menyapu daun kering di laman, Iffadh memulakan bicara.
"Mestilah ingat. Mia tak pernah lupakan Abang Fadh tapi Mia mana reti nak tulis surat dulu-dulu. Lepas tu dah besar Mia seganlah nak tanya nenek."
Damia yang masih menyapu daun kering membalas bicara Iffadh. Kalau dulu, mereka memang sangat rapat seperti adik beradik, sekarang dah berubah. Masa dan jarak memisahkan membuatkan masing-masing kekok untuk bermesra seperi dulu.
Nek Limah keluar menatang dulang berisi seteko air kopi o panas dan sepiring bingka ubi kayu. Ceria muka Iffadh dan Damia. Makanan kegemaran mereka. Serentak dengan itu, terdengar bunyi enjin motorsikal kapcai milik ayah Damia, Harith.
"Assalamualikum, Mak Limah.."
Setelah enjin motorsikalnya dimatikan, Harith memberi salam lalu menyertai mereka. Damia segera meraih tangan ayahnya lalu mengucup penuh hormat, diikuti Iffadh.
"Kamu ingat lagi dengan Iffadh, Harith?"
Nek Limah bertanya apabila melihat wajah tanda tanya Harith ketika melihat Iffadh.
Harith mengangguk setelah tangan Iffadh dilepaskan.
"Ya Allah, dah besar panjang dah Iffadh ni."
Harith menepuk bahu Iffadh sekali.
"Mia pun dah anak dara, kita ni yang makin tua."
Ada tawa di hujung bicara Nek Limah yang sedang menuang kopi o yang masih berasap di cawan lalu hulurkan kepada Harith.
"Minumlah, Harith. Kalau kamu nak makan pun ada lauk lagi aku simpankan. Tak perlulah susah-susah lagi Mia nak masak. Makan aje kat rumah aku ni."
Ikhlas tutur bicara Nek Limah. Harith yang menyisip sedikit kopi o panas mengangguk.
"Terima kasih, Mak Limah..Banyak jasa Mak Limah pada kami."
Ada getar sayu dalam suara Harith. Dia yang memulakan hidup di kampung ini bersama arwah isterinya banyak menumpang kasih dan terhutang budi dengan Mak Limah yang tak pernah lokek menghulurkan bantuan.
"Kamu dan arwah Siti dah macam anak aku. Janganlah kamu segan lagi. Ni ha, makanlah bingka ni. Ubi kamu bagi semalam, elok-elok. Fadh ni suka sangatlah bingka ni, sama aje dengan Mia. Daripada kecil tak berubah budak berdua ni, tak pernah jemu makan kuih bingka aku. Kamu tengoklah tu bukan main lagi kusyuk makan berdua."
Iffadh dan Damia hanya tersengih menayangkan pipi penuh bingka. Bukan main lagi macam dah lama benar tak makan.
Harith pula hanya tertawa melihat telatah dua anak remaja itu.
Share this novel