"Fadh..esok kita gerak pagi ye, lepas sarapan.."
Marissa yang sedang mengemas bagasi mereka untuk bercuti di Johor Bahru bersuara menarik perhatian Iffadh yang sedang melihat isu semasa di telefon pintarnya. Dia meletakkan telefon di sebelah, mahu memberi perhatian kepada Marissa.
"Esok tengah hari kan mama ajak pergi rumah Aunty Basyirah..Kita gerak lepas tu lah."
Marissa yang masih melipat baju masuk ke dalam bagasi tidak memandang Iffadh. Dia meneruskan kerjanya namun tetap bersuara memberi sebab.
"Alaa..Icha nak sampai awal kat sana, nak singgah Melaka dulu cari makan. Nanti kalau lambat kedai tutup."
Iffadh senyum. Nak makan je alasannya.
"Icha, kita bukan pergi esok, lusa kita balik, lagi pun masa balik kita boleh singgah kan Melaka.."
Marissa angkat wajahnya membalas pandangan Iffadh. Wajahnya serius.
"Icha tak nak pergi kenduri tu."
Senyuman Iffadh mati apabila mendengar sebaris ayat tanpa nada dengan muka ketat Marissa. Apakah yang merasuk Marissa tiba-tiba sahaja berubah moody.
"Okay, Icha tak nak pergi mesti bersebab kan?"
Iffadh masih positif, dia masih mahu memujuk Marissa.
"Kenapa Fadh beriya sangat nak pergi? Nak jumpa cinta hati?"
Marissa senyum sinis memprovok Iffadh. Iffadh yang keliru dengan perubahan sikap Marissa dan tuduhan yang tak berasas mula rasa tak sedap hati.
"Apa Icha cakap ni?"
Kedengaran kekok tawa Iffadh yang tidak mahu keadaan antara mereka berterusan tegang. Dia bergerak memegang kedua belah tangan Marissa mahu memahami apa yang terbuku di hati isterinya.
"Icha tahu, Fadh cintakan Damia dah lama kan? Masa majlis kita hari tu, Icha nampak pandangan mata Fadh pada dia. Ye lah, dia pun dah jadi anak datuk sama macam Fadh. Icha ni je anak orang biasa."
Mata Marissa berkaca. Memang sejak daripada majlis mereka, apabila Damia kembali, dia dapat rasakan keluarga Iffadh sangat sayangkan Damia. Nama Damia sering sahaja meniti di bibir mama dan nenek ketika berbual. Begitu juga Iffadh akan tersenyum sahaja apabila nama Damia disebut dalam keluarganya.
"Ya Allah, Icha..Icha kan isteri Fadh. Mia tu memanglah nenek sayang dia, daripada kecil memang dia dengan nenek, yang temankan nenek sebelum Fadh balik tinggal dengan nenek. Icha jangan fikir bukan-bukan. Anak datuk ke anak raja ke, kita semua manusia biasa. Don't feel insecure. I'm your husband and I love you with all my heart."
Marissa yang sudah menangis dipeluk Iffadh. Digosok belakang isterinya memujuk. Dia kulum senyum. Bukan main cemburu isterinya dengan Damia yang sudah dianggap seperti adiknya itu. Memang benar dia pernah menyimpan perasaan pada Damia, namun dia hanya merasakan itu cumalah perasaan suka kerana sudah terbiasa bersama. Kini, cintanya hanya pada Marissa, isteri yang dinikahi setahun lalu. Walaupun kenduri sebelah keluarganya agak terlewat, dia bersyukur dapat juga Marissa diperkenalkan kepada rakan taulan keluarganya.
---
Matanya yang tak boleh dilelapkan membawa kakinya ke dapur mencari kudapan. Sebalang kerepek pisang sira manis dan segelas air sejuk di bawa ke depan, lalu televisyen di ruang keluarga rumah mamanya itu dipasang.
Saat matanya kusyuk menatap skrin televisyen, terasa bahunya ditepuk. Hampir tercekik dia dibuatnya.
"Nek.."
Dia kenal tangan yang banyak berjasa kepadanya. Senyum diukir hadiah kepada Nek Limah, nenek kesayangannya.
"Nenek dengar apa yang Icha cakap tadi, Fadh. Tak apalah, kamu jagalah hati isteri kamu. Mama kamu pasti faham."
Tutur Nek Limah lembut seraya tersenyum mahu meyakinkan Iffadh. Dia tahu, cucunya itu serba salah antara janji pada mamanya dan mahu menjaga hati isterinya.
"Terima kasih, nek..Fadh pun tak tahu kenapa Icha tiba-tiba macam tu. Dengan mama siang tadi dia okay je, cakap nak ikut sama. Sebab tu Fadh dah janji dengan mama nak ikut sekali esok."
Iffadh mengeluh kecil. Dia kesal namun dia harus bijak membuat keputusan. Dia tidak mahu ada masalah yang timbul antara mamanya dan Marissa.
"Eh, nek kenapa tak tidur lagi ni? Dah lewat sangat dah ni."
Iffadh yang menyedari sudah lewat malam menegur neneknya yang mengambil tempat disebelahnya.
"Nenek tidur bila Fadh masuk tidur."
Iffadh yang serba salah kemudiannya menutup balang kerepek lalu mengambil alat kawalan jauh menutup televisyen yang terpasang. Entah cerita apa dia juga tak pasti, sekadar ada suara menemani dan sempat juga dia fokus melayan sebentar tadi.
"Jomlah tidur, nek."
Iffadh bangun membawa balang kerepek dan gelas ke dapur lalu dicuci bersih sebelum dia memadamkan lampu dapur dan mendaki tangga untuk ke biliknya.
Saat pintu biliknya dikuak, dapat dilihat Marissa yang pulas tidurnya seperti bayi dan ada kesan air mata yang sudah kering di tubir mata isterinya. Perasaan bersalah mula menyelubunginya. Sungguh dia tidak sedar bahawa Marissa menyimpan rasa cemburu pada dia dan Damia. Dahi Marissa dikucup kasih lalu dia segera merebahkan badannya di sebelah isterinya dan tidak mengambil masa yang lama untuk dia terlelap. Hatinya kembali tenang selepas mendengar nasihat daripada Nek Limah.
---
Lenanya pagi itu dikejutkan dengan suara esakan yang kedengaran daripada bilik air. Menyedari tempat disebelahnya tidak berpenghuni, matanya terus segar. Dia segera menapak ke bilik air lalu melihat Marissa yang terduduk menghadap mangkuk tandas. Bau muntah menyapa deria baunya namun demi isteri tersayang, dia segera mendapatkan Marissa yang sudah merah dan basah wajahnya menangis kerana muntah barangkali.
"Icha..kenapa ni?"
Dia mencangkung di sebelah Marissa lalu kedua belah bahu isterinya dipegang. Saat tangannya menyentuh kulit Marissa, dapat dirasakan badan isterinya panas.
"Icha demam ni. Masuk angin ke muntah teruk ni? Kita pergi klinik okay?"
Iffadh yang membantu Marissa bangun segera membersihkan wajah isterinya dan dilap bersih menggunakan tisu dengan cermat sebelum dibawa duduk di birai katil. Marissa hanya mengangguk lemah.
"Icha rasa gastrik, perut Icha rasa berangin..kembung..Icha loya."
Air mata Marissa yang mengalir dikesat dengan hujung jarinya. Bahu isternya diusap lembut tanda memujuk. Suara Marissa tersekat-sekat. Perit tekaknya akibat muntah yang tiba-tiba awal pagi ini.
"Kita solat dulu ya Icha, dah masuk waktu. Lepas tu kita terus ke klinik. Ada yang open 24 hours kat jalan depan."
Iffadh yang sudah kembali tenang akhirnya memutuskan untuk mereka menunaikan hak Sang Pencipta dahulu. Marissa hanya menurut sahaja. Selesai sahaja mereka membersihkan diri dan bersolat, mereka segera bersiap untuk Marissa mendapatkan rawatan. Risau melarat jika masih tunggu hari siang.
---
Perjalanan pulang ke rumah pagi itu terasa panjang sahaja. Tidak sabar rasanya Iffadh mahu menyampaikan berita gembira ini kepada keluarganya. Tidak berhenti dia berceloteh merangka masa depan keluarga kecil mereka. Namun, disebalik kegembiraan Iffadh, hati Marissa memberontak kerana dia merasakan masih terlalu muda untuk bergelar ibu.
Senyuman yang tidak lekang daripada bibir Iffadh sejak tadi sedikit mengusik hati Marissa. Berdosakah dia kerana tidak merasa gembira dengan berita yang baru sahaja diterima mereka? Seketika, dia tersedar. Lalu kepalanya digeleng mengusir rasa tidak enak yang bertandang.
"Ehem..Fadh happy?"
Suara Marissa memotong celoteh Iffadh. Iffadh memandang Marissa sekilas lalu tersenyum. Marissa membalas senyuman Iffadh..Walaupun dirasakan hambar, dia mahu berusaha membahagiakan Iffadh.
Ketika tangannya diraih dan jari jemarinya disulamkan Iffadh, Marissa merasa sebak. Hampir pecah kolam matanya. Apakah dia mampu menyatakan perasaannya yang sebenar kepada Iffadh sedangkan sang suami sedang berbahagia menerima berita gembira bahawa ada malaikat kecil yang sedang membesar di dalam rahimnya.
Ketika dia tersedar daripada fikiran yang menerawang entah ke mana, Iffadh sudah mematikan enjin keretanya.
"Jom. Kita share happy news ni dengan semua. Mama dengan nenek mesti happy sangat tu kalau dah tahu."
Wajah teruja Iffadh menambahkan gusar di hatinya. Sungguh dia tidak bersedia. Mengikut pengiraan tarikh jangkaan bersalinnya, dia harus menangguhkan pengajian selama setahun. Itu paling singkat. Cukup memikirkan perkara itu, sudah membuatkan otaknya sesak. Belum lagi melaluinya.
Kakinya melangkah lemah di samping Iffadh. Tangannya yang langsung tidak dilepaskan Iffadh dirasakan berpeluh. Dia..tidak bersedia menerima berita ini. Bukan ini yang dia jangkakan dalam perkahwinan mereka yang masih muda.
Iffadh yang perasan dengan wajah Marissa yang keruh menegur isterinya.
"Icha okay tak ni?"
Dia memegang kedua belah bahu Marissa lalu memaut dagu isterinya..Wajah sugul Marissa yang sedikit pucat dipandang. Dia pasti, ada sesuatu yang disimpan isterinya.
"Fadh..Icha nak terus naik bilik, Icha penat nak rehat."
Iffadh cuba memahami isterinya. Dia tahu emosi Marissa tidak stabil berikutan perubahan hormon yang berlaku pada isterinya. Dia mengangguk, dia mahu Marissa tahu dia sentiasa ada bersama isterinya.
"Jom Fadh hantar Icha naik dulu, sekejap lagi Fadh bawa makanan okay. Kesian baby nanti mama lapar."
Iffadh tersenyum membayangkan ada malaikat kecil dalam rahim isterinya. Zuriat yang dia nantikan. Tangannya spontan dilabuhkan di perut landai isterinya.
Marissa yang terkejut dengan perlakuan Iffadh hanya mengangguk kecil. Dia tahu Iffadh gembira namun, kenapakah mereka tidak mempunyai matlamat yang sama? Itu yang dia keliru sekarang.
---
"Nek, kirim salam dengan semua ye. Panjang umur kita jumpa lagi."
Pelukan erat Damia pada Nek Limah dipandang sebak ahli keluarga yang hadir pada hari itu. Hati tua Nek Limah dapat merasakan perasaan terkilan kerana Iffadh dan Marissa tidak hadir di majlisnya hari ini. Air mata yang mengalir cepat-cepat diseka. Dia tidak mahu terbuai dengan perasaan kecewa kerana Abang Fadhnya kini sedang berbahagia kerana bakal bergelar bapa.
"Mia jaga diri nanti kat tempat orang. Jangan lupa nenek. Nenek selalu doa Mia berjaya dan bahagia selalu."
Damia mengangguk lalu tersenyum. Dia yakin dia bahagia apabila cita-cita arwah ibunya bakal tercapai dan dia juga pasti bahagia apabila Iffadh bahagia. Dia tidak mahu meminta lebih, cukuplah dia tahu orang-orang yang dia sayangi bahagia. Dia hanya mahu fokus membalas budi keluarga angkatnya kini.
"Nek jaga diri, jaga kesihatan tau. Mia sayang nenek. Terima kasih sebab nenek tak pernah lupakan Mia."
Tangan tua Nek Limah diraih dan dikucup kasih. Itulah saat perpisahan mereka. Beberapa jam lagi dia bakal terbang untuk merealisasikan impian arwah ibunya. Dia bersyukur dengan apa yang dia ada kini. Semuanya sudah cukup lengkap. Hidupnya bahagia apabila semua orang kesayangannya bahagia.
Doanya di dalam hati, semoga Iffadh dan Marissa kekal bahagia bersama anak mereka yang bakal lahir nanti. Walaupun pada awalnya dia terkilan Iffadh dan Marissa tidak ikut serta dalam majlis kesyukuran dan doa selamat untuknya, cepat-cepat perasaan itu diusir pergi kerana dia yakin, perancangan Allah itu yang terbaik untuk setiap hambaNya.
Share this novel