EL 4: Teman Pengganti Damia

Drama Completed 20201

"Fadh ni study hard sangat. Icha yakin Fadh akan dapat tempat kat maktab tu. Kita..akan dapat."

Iffadh mendongak apabila ayat terakhir Marissa kedengaran di peluput telinganya. Dia memandang Marissa, gadis cantik di hadapannya. Setahunya Marissa tidak berminat untuk menjadi guru. Marissa lebih cenderung untuk menjadi selebriti, itu katanya ketika mereka pernah berbicara soal masa depan.

"Apa maksud Icha..kita?"

Iffadh tidak mahu berteka-teki dan terus sahaja bertanya.

Marissa kelihatan tersipu-sipu malu. Iffadh tidak pasti kenapakah Marissa berkelakuan begitu.

"Well..Icha rasa, Icha tak boleh jauh dengan Fadh. So, Icha dah buat keputusan..Icha akan apply maktab dengan Fadh."

Iffadh agak terkejut. Bukan dia tak kenal Marissa, gadis 'hot' di sekolah. Dia duduk 'study group' dengan Marissa berdua macam ni pun dah dipulaukan rakan sebaya. Tapi Iffadh tak peduli, dia hanya mahu belajar..Dia layan orang sama rata sahaja. Cuma Marissa tak pernah jemu menempel, jadinya melekatlah selalu. Bukan dia tak mengelak, dah namanya Marissa yang jenisnya kalau dia kata A tu, bagilah pilihan jawapan lain, masih nak A juga.

"Jadi cikgu ni kena minat tau Icha. Nanti kalau tak minat jadi stress pula kerja. Icha kena fikir betul-betul. SPM kita minggu depan je."

Bersungguh Iffadh meyakinkan Marissa tentang pilihannya. Namun yang namanya Marissa hanya ambil ringan sahaja. Tidak serius.

"As long as you'll be by my side, everything should be okay, Fadh."

Iffadh hanya menggeleng. Kalau dilayan angau Marissa ni mahunya tak habis dia ulangkaji. Lalu dia meneruskan ulangkaji dan hanya menganggap Marissa sebagai halimunan. Datang sini katanyannak belajar tapi lagi banyak dia ajak berborak. Menyesal pun ada. Kalau dia tahu, lebih baik dia ulangkaji di atas pangkin bawah pokok kundang rumah nenek..namun, nanti dia ingatkan Damia pula..Damia..entah di mana gadis itu sekarang. Hampir dua tahun mereka terpisah tanpa sebarang khabar. Bukan dia tak cuba mencari, apalah sangat akses budak sekolah menengah sepertinya. Nak minta tolong mama dan papa pun, mereka jauh di negara orang. Nenek pun sama sepertinya, merindui Damia siang dan malam.

---

"Nek, Fadh pergi belajar ni nek tinggal dengan mama ye."

Iffadh yang sedang mengemas barang-barangnya untuk dibawa ke maktab perguruan di Kuala Lumpur masih memujuk Nek Limah untuk tinggal bersama mama dan papanya yang sudah sebulan bermastautin di Malaysia.

"Kalau Mia balik macam mana, Fadh?"

Riak sedih sudah terlukis di wajah tua neneknya. Dah mulalah tu.

"Dah dua tahun, nek. Bukan kita tak usaha cari Mia. Ni Fadh dah habis sekolah, mama pun tak balik kita boleh cari nek. Jomlah tinggal dengan mama. Fadh risaulah."

Iffadh memegang lengan neneknya, berharap Nek Limah lembut hati mahu menerima pujukannya.

"Ayam itik nenek tu.."

Ayam itik pulak dah alasannya. Lepas ni mesti pokok-pokoknya. Iffadh jatuhkan bahu. Dah tahu dah dia bakal kalah lagi dengan alasan kukuh Nek Limah.

"Alahai nek..kalau jual boleh?"

Iffadh menyeringai. Dia tahu, pasti neneknya akan menjelingnya tanda geram dengan dia yang ada sahaja mahu memangkas hujah neneknya. Dan..telahannya benar sekali, sebuah jelingan tajam hadiah Nek Limah istimewa untuknya malam ini. Terus sahaja tercetus tawanya.

"Okay lah, nenekku yang tersayang..Fadh tak paksa tapi nenek kena janji jaga diri jaga kesihatan. Apa-apa hal nek terus je beritahu pada Pak Andak atau nek call Fadh terus okay? Promise?"

Iffadh merangkul bahu neneknya, memohon persetujuan.

Nek Limah mengangguk lalu tersenyum.

"Ye, Fadh..nenek pasti jaga diri, nenek nak jumpa Mia lagi."

Wajah Nek Limah berseri dengan senyuman. Dalam sedihnya ada gembira. Dia bersyukur Iffadh sudah hampir mencapai cita-citanya. Dan dia juga yakin, Damia semakin dekat dengannya.

---

Masuk tahu ketiga belajar, dia selalu bersama Marissa. Bagaikan belangkas. Ni pulang bercuti pun melekat sahaja Marissa dengan Iffadh. Ke mana sahaja berdua sampai menggusarkan hati tua Nek Limah.

"Icha, kamu duduk rumah nenek lama-lama ni mak kamu tak marah ke? Nenek bukan apa, risau pulak kalau mak kamu mencari."

Nek Limah berhati-hati menuturka kata, risau pula terasa hati Marissa. Bukan apa, kalau dah makan, tidur, mandi di rumahnya yang ada pula teruna seperti Iffadh, memanglah tak elok Marissa yang bukan muhrim cucunya itu tinggal bersama.

Marissa tersenyum manis, seperti biasa pandai menyejukkan hati tuanya.

"Taklah nek..ibu dengan abah okay je, dah tahu sebab Icha cakap nak teman nenek."

Musim buah ni, dia dengan Marissa bersantai sambil makan buah kundang di atas pangkin..buahnya dicampak daripada atas oleh Iffadh yang memanjat. Memang sedap. Masam manis isinya, kulitnya rangup gitu.

"Eh, apa pula kamu kena teman nenek..Iffadh kan ada. Nenek bukan apa Icha, tak manis dipandang orang..kamu tu anak dara, Iffadh tu anak teruna."

Nek Limah berterus-terang..dia tidak betah lagi berbasa-basi.

"Kalau macam tu, nenek cakap dengan Iffadh cepatlah pinang Icha..Takdelah orang cakap-cakap lagi."

Bulat mata Nek Limah tidak percaya dengan keberanian Marissa yang seperti perigi mencari timba.

"Kamu dan Iffadh dah berbincang, kalau dah kita teruskan sahajalah."

Kata-kata Nek Limah membuatkan hati Marissa berbunga-bunga. Walaupun Iffadh tidak pernah menuturkan cinta kepadanya, dia dapat rasakan cinta lelaki itu melalui layanan dan perbuatan yang baik dalam menyantuninya. Dia yakin, cintanya pada Iffadh tidak bertepuk sebelah tangan.

---

"Nek, Fadh dengan Icha kan masih belajar, kami muda lagi. Baru 20 tahun."

Iffadh yang duduk di meja makan selepas sarapan pagi itu berborak hati ke hati dengan Nek Limah di hadapannya.

"Sebab kamu mudalah nenek risau. Kamu tengok Marissa tu, kamu ada perasaan pada dia kan?"

Nek Limah menerangkan kerisauanya tentang keakraban hubungan Iffadh dan Marissa.

Iffadh hanya diam mati kata. Sukakan Marissa? Mestilah dia suka. Marissa gadis cantik dan manja. Melayaninya dengan baik. Sentiasa bersamanya sejak tiga tahun lepas.

"Kamu kemana-mana berdua, kena ingat Fadh, yang ketiga itu syaitan. Memanglah kamu kata okay tapi nek tengok Marissa tu tak okay, dia perempuan..maruah dia mak ayah dia kita tak boleh ambil mudah. Masih belajar bukan alasan, kamu nikah aje nenek masih boleh tanggung makan minum kamu berdua. Yang penting halalkan hubungan. Kalau dah suka, dah cinta ni tak boleh tunggu lama-lama..kamu kat maktab tu jauh daripada nenek."

Panjang lebar hujah Nek Limah yang membuatkan Iffadh mati kata. Kalau dia berkahwin dengan Marissa, adakah mama dan papanya akan terima. Bagaimana dengan ibu dan abah Marissa pula. Percayakah mereka padanya. Dan yang utama, adakah Marissa sudi..dia tidak pernah berbincang soal hati ke hati dengan Marissa, semuanya semulajadi. Dia tidak pernah menyatakan rasa cinta di hatinya kepada seorang gadis yang bernama Marissa.

"Tapi nek..Icha nak ke dengan Fadh ni? Mama, papa..ibu dan abah Icha macam mana?"

Akhirnya keluar juga soalan daripada bibirnya.

Nek Limah senyum. Sekarang ni nenek tanya kamu je Fadh. Kalau kamu setuju, yang lain-lain tu biar nenek sahaja uruskan. Tak perlu kamu nak risau.

Iffadh hanya mengangguk.

"Terima kasih, nek."

Mungkin benar kata nenek, tak manis dia dan Marissa terlalu rapat tanpa ikatan yang sah. Ke hulu ke hilir dia berdua dengan Marissa. Dia kesal kerana menjadi penyebab hati tua neneknya risau. Semoga dengan keputusannya ini buat neneknya lega dan tak perlu risaukannya.

---

"Adik, dah siap ke tu? Mama dan papa tunggu kat bawah ye."

Datin Seri Basyirah yang berada di muka pintu bilik menegur Damia yang sedang bersiap. Hari ini majlis perkahwinan anak sulong sahabat suaminya ketika sama-sama menuntut di universiti dahulu.

"Okay, ma..sikit lagi ni."

Damia yang sedang mengoleskan pelembab bibir, tersenyum melihat mamanya di muka pintu biliknya.

"Adik panggil kakak juga tau. Apalah lama sangat anak-anak dara ni bersiap."

Datin Seri Basyirah membalas senyuman dan kemudiannya memcebik ketika memberi komen di ayat terakhir. Damia hanya membalas dengan ketawa lepas melihat cebikan di bibir mamanya.

Setelah yakin dengan penampilannya, dia akhirnya menyergah Danisha yang masih membetulkan selendangnya.

"Adik..mujur kakak tak cucuk kepala dengan jarum ni tau!"

Marah Danisha dek terperanjat dengan sergahan Damia. Dahlah bukan senang dia nak pakai tudung macam ni. Nak pergi kenduri, mamanya memang dah awal-awal pesan untuk bertudung.

Damia yang galak ketawa menekan-nekan perutnya.

"Sanalah! Kalau nak kacau kakak, adik tunggu bawah sana dengan mama papa."

Danisha merajuk..Dahlah dia terkial-kial, Damia pula langsung tak membantu. Lagi digelakkan adalah.

"Okaylah okaylah..Adik tolong kakak. Meh sini."

Damia memujuk lembut kakak kesayangannya. Danisha dan dia sangat rapat sejak dia tinggal di sini empat tahun lalu..Dia sayangkan Danisha dan keluarga barunya kerana Allah. Sungguh tak terbalas budi mereka membela nasib yatim piatu sepertinya.

"Kakak patut pakai tudung bawal macam adik ni je. Mudah. Mama takpelah dia pakai shawl, dia dah pro. Kita anak-anak lagi."

Damia yang sedang membantu Danisha mengemaskan lilitan selendang, memberi komen tentang pemilihan tudung Danisha.

"Mulut dengan tangan dia sama ligat."

Terkekek Damia ketawa ketika mendengar balasan kata Danisha yang sememangnya tak pernah kalah mahu berlawan hujah dengan dia. Mama dan papanya sudah biasa. Hilang sunyi kata mereka. Tu belum campur Danial, lagi gamat rumah mereka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience