EL 19: Pilihanmu

Drama Completed 20201

Sudah seminggu sejak dia bertemu Iffadh. Damia hanya berlagak biasa apabila berdepan dengan mamanya. Dia tidak mahu mamanya merasa bersalah kerana mengaturkan pertemuan itu.

Datin Seri Basyirah juga hanya berlagak biasa, tidak bertanya lebih kepada Damia kerana Datin Hasyimah telah memaklumkan tentang keadaan sebenar yang berlaku. Untung sahaja Damia tidak mengamuk, sekurangnya mereka sudah membuka jalan untuk Iffadh kembali mendekati Damia.

"Ma, berangan eh?"

Damia yang entah daripada mana muncul memeluk wanita yang mengenakan jubah kaftan berwarna kuning cair itu daripada belakang. Keanggunan mamanya memang diakui dan menjadi inspirasi mereka adik beradik. Mama yang sentiasa mementingkan kekemasan dan berhias seadanya walaupun berada di rumah, tidak kira masa.

"Eh, anak bertuah mama ni."

Datin Seri Basyirah menampar lembut lengan Damia kerana terkejut. Entah daripada mana munculnya, dia pun tidak perasan kerana ralit mengenangkan perbualannya di telefon bersama sahabat baiknya beberapa hari yang lepas.

"Kalau ada rezeki kita berbesan, adalah Syirah. Marah benar Damia dengan Iffadh."

Sedih memanglah sedih kerana dia tahu, Damia sudah lama mengharapkan Iffadh namun hati yang pernah ditinggalkan tanpa harapan yang pasti, mungkin sudah kering kontang. Kebahagiaan Damia, sentiasa berada dalam setiap bait doanya.

"Mama....."

Meleret sahaja suara Damia. Entah bila anak gadisnya sudah menarik dia duduk di sofa ruang keluarga mereka, sambil Damia melutut di hadapannya.

"Ye, sayang..Adik kenapa ni?"

Lembut pertanyaan pada anak gadis yang dibela sejak remaja itu..Sungguh kasih sayangnya langsung tiada beza daripada anak-anak kandungnya.

"Mama tu yang kenapa. Adik cakap dengan mama, mama tenung je adik."

Cebikan di bibir Damia mengundang tawa lucu Datin Seri Basyirah. Sudah lama dia kehilangan Damia yang ini. Damia yang manja, Damia yang banyak ketawa, Damia yang banyak berceloteh. Kini, dia bersyukur Damia yang itu sudah kembali..dan bersamanya hadir seorang lelaki yang bernama Hariz. Mungkin benar kata suaminya, apa yang mereka mahu, tidak semestinya yang terbaik, hanya Allah yang tahu.

"Anak mama cantik, mestilah mama tenung je. Adik cakap apa tadi?"

Damia senyum malu. Menguras merah pipinya. Dahlah tak hilang lagi rasa 'blushingnya' dengan Hariz tadi, kini terpaksa sampaikan hajat Hariz pada mama pula.

"Hariz ajak adik bertunang. Mama tak rasa macam tiba-tiba ke? Bila adik tanya dia, dia kata benda baik buat apa nak tangguh."

Melihat wajah Damia yang terpancar sinar bahagia, Datin Seri Basyirah tersenyum. Benarlah, Hariz insan yang berjaya mengembalikan senyuman Damia.

"Kalau Hariz dan adik dah setuju, mama okay je. Papa pun mesti okay. Asalkan adik bahagia. Apa pun, adik kena tanya hati adik. Yang nak membina hidup bersama Hariz, adik..kan?"

Terkebil-kebil Damia memandang mamanya. Dan tiba-tiba dia termenung. Mengenangkan Iffadh. Entah mengapa, melihat Iffadh muncul di saat dia sudah berhenti berharap, hatinya bagai dicarik-carik. Lalu, dia terus menerima Hariz di dalam hidupnya dan membawa mereka ke tahap yang lebih serius, hanya dalam masa seminggu.

Malam itu, ketika dia menangis bersungguh-sungguh selepas kejutan yang dia tidak pernah mimpikan, satu lagi kejutan yang dia harapkan muncul. Panggilan daripada Hariz meredakan lara di hatinya.

"Hello, Mia! Rindunya I bau Malaysia. Tapi kan, lagi rindu I dekat you!"

Ceria suara Hariz selepas dia menjawab panggilan lelaki itu.

"Hariz, where are you?"

Perlahan Damia menyoal. Di saat ini, dia mahu bertemu empat mata dengan Hariz.

"I baru touched down, Mia.."

Belum sempat Hariz menghabiskan ayatnya, Damia terus memotong.

"Wait there, Riz. I'll pick you up."

Talian dimatikan, terus sahaja dia memulai pemanduan menuju KLIA kerana di saat ini, dia mahu bercakap dengan Hariz. Dia mahu bertemu Hariz. Itu sahaja.

Hariz yang masih terasa seolah mimpi, mencubit lengannya sendiri. 'Auch! Sakit. Maknanya Damia memang ajak aku jumpa dulu.' Hariz hanya bermonolog sendiri. Hatinya berbunga. Agaknya perpisahan sementara mereka membuatkan Damia merinduinya. Dia senyum lagi. Kembang hatinya, perasaannya menggebu ibarat bunga yang mekar di taman.

---

Melihat Damia di hadapannya malam ini, Hariz dapat mengagak sesuatu yang tak baik berlaku pada Damia. Begitulah gadis dambaan hatinya, tak mampu menyorok rasa gundah yang melanda di hatinya.

"Mia, spill it..jangan pendam. I can see from your eyes."

Cukup dengan ayat begitu sahaja, buat air mata Damia kembali lebat. Berbalam wajah Hariz di sebelahnya. Hariz tahu, Damia pasti terluka dengan Iffadh. Dia tahu kisah Damia dan Iffadh kerana hubungan persahabatan antara keluarga mereka.

Hampir lima belas minit Damia menangis tanpa suara. Hanya air mata sahaja yang mengalir membasahi pipinya. Lagi diseka, lagi lebat. Hariz disebelahnya masih menanti dengan sabar. Sedikit pun tidak rasa lelah menemani Damia menangis di sebelahnya walaupun mengharungi perjalanan yang panjang dan masih jetlag. Walaupun sekadar duduk disebelah tanpa membuat apa-apa, Damia tetap rasa ada seseorang yang 'ada' untuknya.

"Mia, kita nikah jom?"

Perlahan suara Hariz, seakan berbisik namun jelas di telinga Damia. Damia berpaling memandang Hariz yang tunak memandangnya.

"You kasihankan I, ke Riz?"

Damia kembali memandang ke hadapan. Dia rasa malu dengan Hariz. Tiba-tiba terasa tindakannya mahu berjumpa Hariz dan hanya menangis di sebelah lelaki itu, dirasakan tindakan yang bodoh kerana mengganggu masa Hariz. Bukan dia tak tahu, Hariz penat dan dia juga rasa bersalah telah mengganggu masa rehat lelaki itu. Kalau dia tidak datang berjumpa Hariz tadi, sudah pasti lelaki ini sedang berehat dengan tenang di rumahnya. 'Ah! Kenapa kau menyusahkan orang, Mia?' Suara hatinya yang berbisik menambahkan rasa bersalahnya pada Hariz. Dia gigit bibir, menahan tangis yang semakin menjadi-jadi.

"Demi Allah, Mia..sikit pun tak. I cuma nak pujuk you, bila you sedih. I nak pull you up when you're down. I nak ada dengan you di masa sukar you dan yang paling utama, I nak bahagiakan you, Mia."

Sebuah senyuman yang manis dihadiahkan buat Damia, dia nampak keikhlasan Hariz. Dan tanpa ragu, sebuah anggukan dengan pandangan yang masih berbalam, mengundang ucapan kesyukuran daripada bibir Hariz.

---

"Adik, jauhnya menung..dah sampai mana tu?"

Ah! agaknya berapa lama dia termenung sampai berkerut kening mama.

"Ma, adik tak tahu. Hariz selalu ada dengan adik..dia faham adik..tak salah kan, kalau adik bagi peluang pada diri adik untuk mencuba?"

Entah mengapa ringan mulutnya meluahkan rasa yang bersarang dalam hatinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience