EL 2: Perpisahan

Drama Completed 20201

Sudah dua bulan sekolah bermula, segalanya berjalan dengan lancar. Setiap hari dia ke sekolah bersama Damia yang berada di tingkatan satu memandangkan mereka hanya berjiran. Setiap pagi selepas sarapan, mereka akan berjalan kaki ke sekolah bersama pelajar-pelajar lain di kampung itu. Sekolah juga tidaklah jauh, hanya berjarak kurang 1km dan melalui jalan kampung yang redup, tidak sempat merasa penat dan berpeluh, dah sampai.

"Mia, Abang Fadh ada kelas tambahan petang ni, Mia balik dulu nanti ya, tak perlu tunggu Abang Fadh."

Ketika mahu berpisah di pagar masuk sekolah, Iffadh memaklumkan kepada Damia. Damia hanya mengangguk sambil tersenyum dan melambai lalu terus berlalu masuk ke kawasan sekolah. Begitulah setiap hari, mereka hanya bertegur sapa di luar sekolah.

"Morning, Fadh!"

Seperti biasa Marissa ceria menegur Iffadh. Selain daripada Damia, Marissa merupakan kawan perempuan yang rapat dengannya juga sejak kembali ke kampung ini.

"Morning, Icha."

Dia tersenyum seraya mengeluarkan bekas pensel dan buku, bersedia untuk pelajaran masa pertama hari ini.

"Fadh, Damia tu rapat eh dengan Fadh?"

Soalan Marissa menarik perhatiannya.

"Mana Icha tahu? Mia dengan Fadh tak pernah bertegur sapa kat dalam kawasan sekolah."

Iffadh bertanya kembali.

"Fadh kan famous, so gossip biasalah..Icha bukan apa..Damia tu kan budak lagi..Fadh suka dia?"

Meleret-leret suara Marissa bertanya, yang hujung soalannya hampir tidak kedengaran.

Iffadh yang merasa lucu spontan tertawa.

"Mengarutlah Icha. Kita pun budak tau. Masih budak sekolah. Mia tu dah macam adik Fadh, kami rapat sejak kecil. Fadh kenal dia sejak dia tadika lagi."

Entah mengapa laju sahaja kata-kata yang meluncur daripada bibir menerangkan tentang hubungannya dengan Damia kepada Marissa.

Marissa simpan senyum, tidak sempat membalas, guru mata pelajaran Matematik sudah masuk dan meneruskan sesi pembelajaran. Pagi-pagi belajar kira-kira cerah biji mata.

---

"Nek, mama call semalam cakap nak balik sini, papa ada meeting kat sini. Lepas tu kan Fadh cuti sekolah, jadi mama cakap nak bawa jalan. Nenek okay?"

Wajah Iffadh ceria menyampaikan berita kepada neneknya di pagi subuh itu. Berseri-seri wajahnya.

"Nenek okay je, ke mana mama kamu nak bawa berjalannya?"

Nek Limah yang melipat telekung putihnya memberi respon. Mana boleh dia katakan tidak, dia tahu Iffadh tu rindukan mama dan papanya serta dua adik lelakinya.

"Nenek pilih nak pergi tempat sejuk ke pantai? Mama cakap dua minggu mama balik sini, seminggu berjalan, seminggu lagi berehat kat rumah nenek."

Dia bangun menyidai sejadah di tempat yang disediakan neneknya. Tinggal berdua dengan Nek Limah, dia dah terbiasa berdikari. Tak perlu diarahkan, dia sudah tahu apa yang perlu dilakukan.

"Nenek ikut kamu je, Fadh. Mana kamu bawa nenek, tak kisah asalkan ada dengan anak cucu. Ha jomlah turun karang Mia datanglah tu. Boleh nenek pesan kat dia tengokkan ayam itik nenek nanti."

Iffadh mengangguk. Damia..kasihan gadis kecil itu. Namun, dia bersyukur gadis itu yang menemani neneknya sepanjang mereka sekeluarga di Kanada selama lebih 5 tahun.

---

Hari cuti seperti ini, mereka biasanya akan mengulangkaji pelajaran bersama selepas sarapan pagi.

"Abang Fadh nanti besar nak jadi apa?"

Damia bertanya ketika mereka sama-sama membuat latihan yang dibekalkan guru masing-masing.

"Abang Fadh nak jadi cikgu. Mia?"

Damia mengangguk. Perwatakan Iffadh memang sesuai untuk menjadi seorang guru. Tengok sekarang pun dah nampak, dia selalu mengajar Damia yang sekarang berada di tingkatan satu.

"Apa angguk-angguk? Lepas tu tak jawab soalan Abang Fadh."

Iffadh berjenaka dan tertawa apabila melihat perubahan air muka Damia..Damia memang tak pandai menyorokkan rasa hatinya. Sebab tu Iffadh selesa bersama Damia, hati Damia tulus, perwatakan Damia menyenangkan.

"Sebenarnya arwah ibu selalu cakap Mia nanti besar jadi doktor, boleh tolong orang sakit, boleh ubatkan orang yang sakit macam arwah ibu. Tapi Mia tak tahulah, Mia tak pandai belajar."

Damia menunduk, ada riak sedih di wajahnya.

"Mia baru form one kan, banyak masa lagi Mia boleh belajar. Abang sokong Mia jadi doktor, tunaikan impian arwah ibu dan banggakan ayah Mia."

Iffadh memberi semangat..Dia tahu Damia akan mampu belajar untuk mengejar cita-cita arwah ibunya suatu hari nanti.

"Terima kasih, Abang Fadh sebab percaya dengan Mia."

Iffadh tersenyum.

"Mia kan baby girl Abang Fadh, mestilah kena percaya, kena support."

Damia ikut tersenyum. Iffadh sememangnya menganggap dia seperti adik sejak dahulu lagi, dan dia juga sama, menumpang kasih sayang seorang abang pada Iffadh. Walaupun Iffadh ada adik beradik lain, namun kata Iffadh, Damia tetap istimewa kerana semua adik beradiknya lelaki, hanya Damia sahaja baby girl yang dia ada.

---

Iffadh yang teruja ingin bertemu dengan keluarganya esok, sudah siap berkemas untuk percutian mereka selama seminggu di Pulau Pinang. Kata mamanya, mereka rindu nak jalan-jalan cari makan. Namun papanya tidak dapat ikut serta kerana jadual mesyuarat yang perlu dipatuhi. Hari ini, selepas sarapan, dia dan Nek Limah akan ke KLIA, menunggu ketibaan mama dan papanya serta dua orang adik beradiknya Irsyad dan Iyyad.

"Mia tolong tengokkan ayam itik nenek ya."

Entah kali ke berapa nenek berpesan kepada Damia sejak Iffadh memaklumkan tentang rancangan percutian mereka.

"Ye, nek. Mia dengan ayah akan tengokkan rumah nenek, bagi ayam itik makan, siram pokok nenek. You can count on me."

Ujar Damia seraya mengenyitkan sebelah matanya mengundang tawa Iffadh. Damia memang seorang gadis yang manis, menghiburkan dan menyenangkan.

Nek Limah juga ikut ketawa dengan keletah Damia. Setelah bersalaman dengan Damia, tubuh Damia dipeluk Nek Limah. Dia sudah sayangkan Damia seperti cucunya sendiri.

"Nek..seminggu je."

Meleret suara Iffadh membuatkan Damia ketawa lepas seraya meleraikan pelukan Nek Limah.

"Abang Fadh jealous la tu."

Damia sengaja memprovok Iffadh yang sedang meloloskan diri di tempat duduk hadapan teksi yang mereka tempah selepas menutup pintu tempat duduk belakang yang menempatkan Nek Limah. Ketika menutup pintu kereta sewa model proton itu, Iffadh bersuara perlahan, namun cukup untuk didengari Damia yang berdiri di tepi kereta sewa itu sambil melambai mengucapkan selamat jalan, terus mematikan sisa tawanya serta merta.

"Mia dah besar, tak dapat Abang nak peluk macam dulu, jealous lah jugak.."

---

Seminggu bercuti, hari ini mereka sekeluarga pulang ke rumah Nek Limah. Ketika melalui rumah Damia, sunyi sahaja. Pintu dan tingkap di tutup.

Memasuki perkarangan rumah nenek, kelihatan jiran belakang rumah mereka Pak Andak sedang menyapu laman rumah Nek Limah.

"Assalamualaikum.."

Nek Limah menyapa Pak Andak sebaik sahaja keluar daripada perut kereta sewa yang dipandu mamanya.

"Wa'alaikumussalam, Mak Limah..saya dah selesai bagi makan ayam itik kat belakang, ni ha dah siap ni saya beransur lah."

"Aku pesan pada Damia, dia tak datang ke..maaflah susahkan kamu. Rumah Harith pun nampak sunyi, ada kemana-mana agaknya cuti sekolah ni."

Melihat riak sugul Pak Andak, Iffadh dapat merasakan bukanlah berita yang baik akan mereka dengar.

"Sebenarnya, Mak Limah..Harith kemalangan sehari selepas Mak Limah pergi.."

Pak Andak jeda. Menggali nafas untuk menyampaikan berita. Iffadh telan liur, daripada riak wajah Pak Andak, dia tahu apa yang akan dia dengar..namun, di manakah Damia?

"Ya Allah..Mia kat mana? Hospital? Jomlah kita.."

Nek Limah kelam kabut..Dia mahu cepat sampai untuk menemani Damia.

"Harith dah meninggal dunia dan Damia sebab tiada waris, JKM dah ambil dia dan akan ditempatkan di rumah anak-anak yatim."

Nek Limah hampir terduduk, terkejut..untung sahaja mama sempat sambut dan dibawa ke pangkin bawah pokok kundang.

Iffadh pula diam mati kata.

"Ke rumah anak-anak yatim mana?"

Suara mama didengari samar-samar. Sungguh berat nafas yang mahu dilepaskan..Dia bergembira bercuti bersama keluarga, Damia bersedih kehilangan satu-satunya tempat berteduh.

"Aku pun tak tahu, Syimah. Menurut kata pegawai hari itu, dah penuh rumah anak-anak yatim di bandar ini dan Mia akan di bawa ke bandar lain. Urusan pertukaran sekolah juga mereka uruskan."

Suasana di sekeliling Iffadh kelam..Damia..sekali lagi mereka terpisah. Kelihatan nenek menangis dipujuk mama. Irsyad dan Iyyad pula hanya berdiri tercegat. Pak Andak meminta diri untuk pulang dan mama mengucapkan terima kasih. Nenek seperti dia, hanya diam masih memproses segala maklumat yang diberitakan Pak Andak.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience