CH 19

Romance Series 14451

DAUN pintu utama banglo mewah itu dikuak. Terpacul figura Zarul Hazreel di hadapan pintu itu.  Matanya sembam. Mak Ton yang berdiri membuka pintu itu dipandang dengan renungan yang sayu.

"Mak Ton... papa... katakan berita yang Zarul dengar tu adalah berita palsu!  Mak Ton... tolonglah Mak Ton." Zarul Hazreel tidak dapat menahan perasaan hibanya.  Dia juga masih tidak dapat menerima hakikat bahawa papanya,  Dato' Ahmad Zafreel sudah pergi menyahut panggilan Ilahi.

Mak Ton tidak mampu untuk menjawab pertanyaan Zarul Hazreel itu. Dia meraih tubuh Zarul Hazreel yang hampir jatuh ke lantai.

"Zarul..." Mak Ton memanggil nama anak arwah majikannya itu. 

"Tolong!  Kimi!  Aryan!  Tolong Mak Ton!" laung Mak Ton meminta pertolongan dari Hakimi dan Aryan Syah yang berada di tingkat atas.

Zarul Hazreel terduduk.  Kakinya seperti tiada tenaga untuk menampung berat badannya untuknya berdiri. Semangatnya seolah-olah dibawa pergi. "Papa... papa dah janji takkan pergi tinggalkan Zarul lagi...  kenapa papa pergi jugak?" Hanya itulah ungkapan yang berulang diucapkan oleh Zarul Hazreel.

Hakimi dan Aryan Syah yang bergegas turun dari tingkat atas segera mendapatkan Mak Ton.

"Mak Ton,  ada apa ni terjerit-jerit?" Hakimi bertanya.  Dia perasan abangnya,  Zarul Hazreel sudah pun terduduk di hadapan Mak Ton. "Ni dah kenapa Abang Zarul duduk dekat sini?"

"Kimi... papa mana,  Kimi?!" Zarul Hazreel cepat-cepat menarik lengan kekar adiknya sambil bertanya.

Hakimi tidak menjawab. Dalam masa yang sama juga dia masih marahkan Zarul Hazreel. "Papa dah takde..."

"Kimi... boleh ceritakan pada abang,  apa yang berlaku sebenarnya?  Kenapa papa boleh..."

"Untuk apa kau nak tahu? Kau bukannya ahli keluarga ini!" cantas Hakimi. Dia masih belum mengetahui siapa sebenarnya Zarul Hazreel.

Zarul Hazreel terpempan dengan kata-kata Hakimi.  Dia mengerling ke arah adik kembarnya itu yang sedang membuang pandang ke arah luar pintu. "Kim... Kimi, kenapa cakap abang macam tu, dik? Apa salah abang?  Kenapa Kimi bencikan abang?"

"Kau bukan abang aku lagi,  aku tak nak tengok muka kau lagi! Mulai hari ini, kau dan aku tak ada apa-apa hubungan lagi!"

Semua manusia yang berada di situ tergamam dengan apa yang dituturkan oleh Hakimi.

"Kimi,  kenapa kau cakap macam tu?  Zarul tak ada buat salah apa-apa pun, kan?" Aryan Syah mencelah.  Dia geram dengan tindakan Hakimi.

"Takpe Aryan,  aku sedar siapa diri aku,  aku memang tak layak jadi abang dia. Walaupun hakikatnya aku adalah saudara dia..." Zarul Hazreel berkata.  Dia bingkas bangun seraya mencapai beg bagasinya dan perlahan mengatur langkahnya menuju ke arah kereta Toyota Vios berwarna putih miliknya.

"Bukan! Kau bukan saudara aku!" Laju saja Hakimi membidas kata-kata Zarul Hazreel.

"Kimi... apa kau merepek ni?!" Aryan Syah bersedia untuk memulakan mukaddimahnya. "Kau tahu tak,  kenapa kau cuma dapat lima puluh peratus sahaja dari peninggalan arwah papa kau?"

"Apa?!" pintas Hakimi.  Dia juga ingin tahu apa punca arwah papanya menyerahkan hanya lima puluh peratus sahaja.

"Sebab kau ada saudara kembar,  Kimi!  Kau tu anak kembar arwah Dato' Ahmad Zafreel!"  Aryan Syah melepaskan apa yang pernah diluahkan oleh Dato' Ahmad Zafreel kepadanya dua minggu yang lalu.

Hakimi terpempan,  dia kaku,  lidahnya kelu untuk berkata-kata. Mak Ton yang berdiri di sebelah pintu sambil menangis itu direnungnya lama.

"Mak Ton..." Hakimi memanggil,  bergetar suaranya ketika itu.

"Ye Kimi... Kimi anak kembar arwah..." sahut Mak Ton. "Kimi dan saudara kembar Kimi berpisah selepas tiga jam dilahirkan. Saudara kembar Kimi tu..."

"Siapa dia,  Mak Ton?!" pintas Hakimi.  Dia terduduk mencangkung di hadapan Mak Ton. Air matanya juga sudah pun berjuraian di pipi.

Mak Ton tidak menjawab, sebaliknya matanya kini tertumpu ke arah kereta Toyota Vios yang baru sahaja dihidupkan enjinnya. Zarul Hazreel sudah pun bersedia untuk mengundurkan keretanya dari perkarangan banglo mewah itu.

Hakimi juga mengalih pandangannya ke arah kereta itu. "Ab... abang... adakah dia..." Hakimi mengalih pandangannya ke arah Mak Ton dan Aryan Syah silih berganti.

"Aku berjanji Kimi, aku akan lindungi kau macam adik aku sendiri, walaupun yang sebenarnya aku tak ada adik. Aku juga teringin nak ada seorang adik."

Tiba-tiba sahaja kata-kata yang pernah diucapkan oleh Zarul Hazreel tujuh tahun yang lalu kini menerjah mindanya semula. Tanpa membuang masa,  Hakimi bingkas bangun dan mengatur langkah untuk mengejar Zarul Hazreel. Belum sempat dia berlari sehingga ke pintu pagar utama banglo itu,  kereta  yang dipandu Zarul Hazreel sudah pun meluncur laju meninggalkan banglo keluarga sebenarnya.

"Abang!  Maafkan Kimi!"

PEDAL minyak ditekan sekuat hatinya. Kereta Toyota Vios berwarna putih itu meluncur laju membelah jalan.

 "Maafkan abang,  Kimi,  abang faham perasaan Kimi..." Zarul Hazreel bermonolog sambil memandu. "Papa... Zarul tak tahu apa yang harus Zarul buat sekarang ni pa... Zarul rindu papa! Kenapa papa pergi tinggalkan Zarul? Zarul teringin sangat merasa kasih sayang dari papa..."

Sedang Zarul Hazreel memandu sambil melayan perasaan,  tiba-tiba sahaja telefon bimbitnya berdering.  Tertera nombor yang tidak dikenali terpapar di skrin. Dia memberhentikan kereta di pinggir jalan seraya menjawab panggilan itu.

"Helo... Assalamualaikum," ucap Zarul Hazreel perlahan.

"Waalaikumsalam... err... ini Encik Wan Hazreel?" ucap pemanggil di hujung talian.

"Ye saya."

"Saya Doktor Harris,  boleh Encik Wan Hazreel datang ke hospital  sekarang?  Berkenaan dengan ayah encik."

"Kenapa dengan ayah?" soal Zarul Hazreel risau. Sekarang dia cuma ada ayah angkatnya sahaja.

"Err... Encik Wan,  maafkan saya... harap encik bersabar dan kuatkan semangat encik,  ayah encik... dia telah menghembuskan nafasnya yang terakhir sepuluh minit yang lepas."

"Allahuakbar!" Telefon bimbit terlepas dari pegangan.

"Ayah!! Kenapa semua orang yang aku sayang pergi tinggalkan aku?  Apa salah aku?!" laung Zarul Hazreel sambil tangannya menumbuk stereng kereta serta menghantuk-hantukkan kepalanya di stereng kereta itu.

"Apa salah aku? Kenapa semua orang tinggalkan aku? Ayah...  papa...  Kimi jugak dah bencikan aku..." Hatinya pedih,  remuk.  Sakit yang teramat bila mengenangkan nasib yang menimpa dirinya. Dia teringat perbualan terakhirnya dengan arwah papa kandungnya,  Dato' Ahmad Zafreel pada malam sebelum dia bertolak ke Frankfurt, German sehari sebelum orang tuanya itu menghembuskan nafasnya yang terakhir.

~~~~~~~

"Zarul... papa nak Zarul jaga adik Zarul tu..."

"Kenapa dengan Kimi,  papa?" soal Zarul Hazreel.

"Zarul tahu,  kan Hakimi tu banyak berubah akhir-akhir ni..." jawab Dato' Ahmad Zafreel perlahan. "Papa pun tak tahu,  bagaimana dia boleh berkawan dengan budak-budak yang... hmm... segan pulak papa nak cakap."

Papa dah tahu ke?  Zarul Hazreel mengerling ke arah papanya itu.  "Papa,  sebenarnya... Zarul dah lama tahu Kimi macam tu, pa..."

"Kenapa Zarul tak bagitahu papa? Kawan dia yang bernama Reyza tu pernah ganggu papa... dia hantar mesej pelik-pelik..." Dato' Ahmad Zafreel meluahkan apa yang terbuku dalam hatinya selama ini.

~~~~~

Sedang Zarul Hazreel melayan perasaannya di dalam perut keretanya itu.  Tiba-tiba sahaja  tingkap keretanya diketuk dari luar oleh seseorang. Perlahan Zarul Hazreel mengangkat mukanya seraya menoleh ke arah luar tingkap. Kini pandangan matanya tertumpu kepada susuk tubuh adik kembarnya,  Zafrul Hakimi yang berdiri di sebelah keretanya.

Hakimi menyandar di tubuh kereta Toyota Vios milik abangnya itu sambil berpeluk tubuh.  Matanya juga sudah sembam dan masih mengalirkan titisan air jernih.

Zarul Hazreel menolak pintu keretanya perlahan dan menapak keluar dari perut kereta. Nafas panjang dihela. "Kimi..."

Belum sempat Zarul Hazreel menghabiskan kata-katanya,  Hakimi segera mencapai tubuh Zarul Hazreel.  Tubuh saudara kembarnya itu dipeluknya erat. "Abang... maafkan  Kimi... Kimi tak patut layan abang macam tu. Kimi dah tahu semuanya,  abang!  Abang adalah saudara kembar Kimi! Abang jangan tinggalkan Kimi... sekarang Kimi dah tak ada sesiapa lagi di dunia ni."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience