TELEFON bimbitnya berdering banyak kali langsung tidak dipedulikan. Hatinya sakit, sedih pilu... semua ada.
"Papa tak pernah marahkan aku teruk sampai macam ni sebelum ni! Maafkan Kimi, papa. Kimi pun sebenarnya tak nak hidup Kimi diselubungi dosa. Tapi Kimi tak dapat nak elak! Mungkin ini suratan takdir untuk Kimi... Kimi tahu, ini semuanya salah! Berdosa! Tapi Kimi dah pilih hidup Kimi macam ni. Jadi, papa jangan nak halang Kimi!" monolognya sambil mengambil telefon bimbit itu seraya menekan punat power untuk dimatikan dan terus dilempar semula ke atas meja.
Duduknya dilabuhkan di atas sofa di ruang tamu. Fikirannya bercelaru. Dia asyik memikirkan kata-kata papanya, Dato' Ahmad Zafreel semasa di pejabat sebentar tadi.
"Hakimi! Apa semua ni? Tolong explain pada papa! Papa malu dengan kamu, Hakimi! Malu! Papa malu! Mana papa nak letak muka papa lepas ni?! Zafrul Hakimi, anak kepada Dato' Ahmad Zafreel, pemilik Nusa Teras Holdings adalah seorang lelaki songsang, gay! Dan yang lebih memalukan, video Hakimi sedang melakukan hubungan songsang tersebar di internet! Mana papa nak letak muka papa ni, Kimi!"
Kata-kata Dato' Ahmad Zafreel itu masih jelas kedengaran selepas hinggap di cuping telinga Hakimi.
Lengan baju kemeja berwarna biru muda disinsing seraya tiga butang teratas kemeja biru muda itu dibuka dan menyerlahkan bahagian dadanya yang sedikit basah dan berkilat akibat peluh itu. Dia memejamkan matanya sambil jarinya ligat megurut pelipis dahinya yang sedikit basah akibat peluh.
Tanpa Hakimi sedari, panggilan yang tidak dijawabnya sebentar tadi adalah panggilan dari pembantu pribadi papanya, Aryan Syah. Banyak kali Aryan Syah menghubungi Hakimi, tetapi semuanya tidak berjawab.
Tidak lama selepas itu, Mak Ton, pembantu rumah berlari dari arah dapur mendapatkan Hakimi sambil membawa telefon bimbitnya dan mengalirkan air matanya. "Hakimi!"
Hakimi membuka matanya perlahan sebaik sahaja mendengar Mak Ton memanggil namanya. "Apa pulak kali ni, Mak Ton? Kenapa terjerit-jerit macam orang gila ni?!"
"Kimi... Dato', dia..."
"Apa?!" pintas Hakimi dengan suara yang agak meninggi.
Mak Ton menangis teresak-esak di hadapan Hakimi. Dia menyerahkan telefon bimbitnya kepada Hakimi. Hakimi menjulingkan matanya ke atas. Dia bosan dengan drama yang berlaku sejak akhir-akhir ini. Hakimi merampas telefon bimbit itu dan segera menjawab panggilan itu.
"Helo?!" agak tinggi suara Hakimi ketika itu.
"Helo, Kimi, kau ke tu?" sahut si pemanggil dihujung talian.
"Ya... akulah ni, Zafrul Hakimi. Kau nak apa Aryan?"
"Kimi, Dato', dia..."
"Kenapa dengan papa aku?!" pintas Hakimi.
"Semasa kau keluar dari pejabat tadi, Dato' jatuh pengsan dan tak sedarkan diri. Sekarang kami di hospital, kau kenapa? Aku call banyak kali tak jawab?!"
"Aku malas nak jawab. Tak ada mood. Kenapa pulak orang tua tu boleh jatuh pengsan?!" Hakimi bertanya.
"Kimi kau dah lupa ke yang papa kau tu ada masalah jantung?! Dah kau buat perangai, orang tua mana yang tak terkejut?! Cepatlah datang sini, Dato' dah Nazak tu! Kalau kau masih anggap Dato' Ahmad Dato' Zafreel tu..."
Telefon bimbit itu terlepas dari genggaman tangan Hakimi. Dia segera berlari menuju ke arah pintu utama. Rasa bersalah kini menguasai diri.
"Mak Ton, Kimi nak pergi hospital, Mak Ton nak ikut?" Hakimi bertanya kepada Mak Ton yang berdiri sambil menangis di ruang tamu itu.
"Ya! Mak Ton ikut Kimi," balas Mak Ton seraya berjalan menghampiri Hakimi.
Semasa Hakimi berjalan kearah keretanya tiba-tiba bahunya disentuh oleh seseorang. Hakimi segera menoleh. "Zam?"
Nizam terus memeluk tubuh sasa Hakimi dengan erat tanpa mempedulikan Mak Ton yang sudah terlopong berdiri di sebelah Hakimi.
"Nizam, apa awak dah buat ni? Awak tahu tak? Video yang awak rakam malam tu sekarang dah tersebar? Disebabkan video tu jugak, papa saya malu mengaku saya ni anak dia, awak tahu tak?" ujar Hakimi perlahan sambil membalas pelukan Shahrul Nizam. Dia tahu Shahrul Nizam tidak akan buat perkara yang memalukan dirinya.
Hakimi sangat yakin Shahrul Nizam tetap tidak bersalah kerana pada keesokan harinya selepas dia merakam video ghairah mereka berdua pada malam itu, telefon bimbit Nizam tercicir dan tidak dijumpai sehingga kini.
"Awak... saya tahu pasal video tu. Maafkan saya, awak... kalau saya tak rakam video malam tu, pasti semua ini takkan berlaku, awak nak pergi mana?" ujar Shahrul Nizam seraya bertanya.
"Papa pengsan dan dikejarkan ke hospital. Saya dan Mak Ton nak pergi Hospital," balas Hakimi seraya memberikan kucupan lembut di pipi Nizam.
"Okey... Maaflah ganggu awak, saya nak balik dulu," balas Shahrul Nizam sebelum meloloskan diri masuk kedalam perut keretanya itu.
"KAMI minta maaf. Dato' Ahmad Zafreel tak dapat kami selamatkan, Allah lebih sayangkan dia."
Hakimi terpempan dan jatuh terduduk di atas lantai sebaik kata-kata itu menampar telinganya. Air matanya mengalir tanpa segan silu. Mata dipejam. Terbayang kenangan-kenangan bersama papanya selama ini.
"Papa... Kimi minta maaf, pa... ini semua salah Kimi... papa janganlah pergi tinggalkan Kimi, papa." Hakimi perlahan bangun seraya mendekatkan dirinya dan terus memeluk erat tubuh jenazah papanya yang sudah kaku tidak sedarkan diri itu.
"Papa sejuk." Hakimi berkata sambil memegang erat pergelangan tangan dan juga pipi serta dahi jenazah arwah papanya disentuh dengan lembut.
Setelah dua minggu Dato' Ahmad Zafreel meninggal dunia, Hakimi hanya menghabiskan masanya berkurung di dalam bilik. Dia sangat merindui arwah papa dan mamanya. Matanya sembam akibat tidak dapat menahan sebak. Sedang dia duduk termenung di balkoni biliknya itu, tiba-tiba pintu biliknya diketuk oleh seseorang. Dia menoleh ke arah pintu bilik. "Masuklah pintu tak berkunci."
Sebaik sahaja daun pintu dikuak, figura lelaki yang cukup Hakimi kenali. Aryan Syah, pembantu peribadi arwah papanya datang menghampirinya. Dia pantas memegang bahu kiri Hakimi. "Kimi, kau buat apa berdiri aje dekat sini? Jomlah turun, peguam papa kau dah sampai tu."
Hakimi menoleh ke arah Aryan Syah seraya mengerutkan dahinya. "Peguam?"
"Yelah, peguam... kau lupa ke? Hari ni Peguam Arwah Dato' Ahmad Zafreel, Encik Rufaizal datang untuk membacakan wasiat papa kau..." jawab Aryan Syah sambil memeberikan senyuman buat anak majikan dan juga merupakan bakal bos barunya itu.
"Tapi aku kan pewaris tunggal papa aku, kenapa perlu wasiat jugak?" Hakimi bertanya.
Aryan Syah mengangkat kedua bahunya. Seraya mengatur langkah keluar dari bilik itu dan diikuti oleh Hakimi di belakangnya. "Entahlah aku pun tak tahu. Apa-apa pun, jom kita turun! Eh, Zarul dah tahu ke pasal ni? lama betul dia dekat Eropah?"
"Entah... Lantak dialah, nak buat apa bertanya pasal dia pulak? dia bukannya ada kena-mengena dengan keluarga aku, dia tu cuma anak angkat aje..." jawab Hakimi selamba.
Aryan Syah menggeleng kepalanya mendengar jawapan dari Hakimi itu.
"PAPA memang sengaja nak kenakan aku, kan?! Dah orang macam aku ni, mana boleh kahwin?! Aku tak ada nafsu dengan perempuanlah!" ujar Hakimi dengan perasaan bengang dan berjalan ke arah biliknya seraya pintu biliknya dihempas kuat.
Pap!
Aryan Syah yang berjalan di belakangnya hampir-hampir terhantuk kepalanya dengan daun pintu yang dihempas dengan kuat itu. "Allah! Nasib baik aku cepat mengelak kalau tidak... benjollah dahi aku, rosak pakej aku!" ujar Aryan Syah sambil mengurut dadanya itu.
Aryan Syah mengurut dada sasanya perlahan. Tombol pintu itu dipulas. Dia menggaru-garu kepalanya yang tak gatal. "Adoi... dia ni... dikunci pulak dah? Kimi! Bukalah pintu ni. Aku tahu kau ada sesuatu yang nak dibagitahu pada aku, kan? Bukalah pintu ni. Kalau kau tak buka pintu ni macam mana aku nak masuk? Macam mana aku nak dengar apa kau nak cakap!"
Beberapa saat selepas itu, daun pintu bilik itu dikuak dari dalam. Aryan Syah segera menapak masuk membuntuti Hakimi yang berjalan menuju ke arah balkoni.
"Hey, kenapa menangis ni?" soal Aryan Syah sebaik sahaja melihat air mata Hakimi berjuraian dipipinya.
"Kau dengar, kan? Encik Rufaizal baca wasiat arwah papa tadi?"
"Ya... aku dengar, jadi... apa masalahnya?"
"Kau tahu kan aku ni gay, homosexual?! Aku tak bolehlah nak kahwin dengan perempuan! Lebih-lebih lagi perempuan itulah yang mengecewakan aku satu masa dahulu. Dia tolak cinta aku! Dia tipu aku! Aku suka dia dari tingkatan satu, semasa tahun kedua di Universiti aku memberanikan diri aku untuk meluahkan perasaan cinta aku pada dia, tapi apa yang aku dapat? Dia ejek aku, dia maki aku dia gelakkan aku! Dia malukan aku di khalayak ramai. Aku malu. Maruah aku dicincang lumat masa tu. Aku tahulah dulu aku ni gemuk, boroi, tak ada seorang pun yang nak... selalu kena buli! Disebabkan itu jugak aku bertekad ubah diri aku! Dari saat itu aku jadi seorang yang benci pada perempuan! Sumpah! Sampai mati pun aku takkan terima makhluk bernama perempuan dalam hidup aku! Dan lagi satu... Apa maksud wasiat papa macam tu? Dah terang-terang aku ni pewaris tunggal dia, kenapa aku cuma dapat lima puluh peratus aje?! Habis tu lagi lima puluh peratus tu, siapa yang punya?!"
?
Share this novel