CH 2

Romance Series 14451

PINTU dewan kuliah dua, Fakulti Seni Bina itu ditolak. Hakimi terus meloloskan dirinya berjalan masuk seraya menoleh ke kiri dan ke kanan mencari figura gadis idaman hatinya, Ereen Natasya. Kini sudah tahun kedua Hakimi melanjutkan pelajarannya di Institut Pengajian Tinggi tempatan di Selangor.

"Amboi... aku tak sangka boleh terserempak dengan si gemuk debab ni. Kesiannya dia keseorangan... Tak ada teman ke?"

Sedang Hakimi menyibukkan dirinya mencari Ereen Natasya, dia disergah oleh seseorang yang juga merupakan manusia yang paling dia benci, Wan Hazreel yang juga turut melanjutkan pelajarannya sama satu kampus dengan Hakimi. Wan Hazreel ditemani oleh dua orang rakannya Zaiful dan Ziyad.

"Wan... tolonglah jangan ganggu dan malukan aku, please... Aku tak nak gaduh dengan kau, aku nak belajar, bukan nak bergaduh." Hakimi merayu seraya menoleh ke arah pintu dewan. Dia malas nak melayan jejaka yang perasan hot yang berdiri di hadapan matanya itu.

Pintu dewan itu dikuak dari luar. Figura gadis manis langsing dan berkulit cerah, Ereen Natasya menapak masuk diikuti oleh sahabat baiknya Alia Marlina yang sentiasa mengenakan tudung di kepalanya tersenyum. Alia adalah seorang gadis comel yang murah dengan senyuman tetapi sebaliknya pula bila dia berhadapan dengan Hakimi.

"Siapa kata aku nak gaduh dengan kau? Ni aku nak kau tolong aku siapkan assignment yang Prof. Raizil suruh siapkan tu, aku tahu assignment kau dah siap, kan?" Wan Hazreel berkata ambil menghulurkan fail assignment yang perlu disiapkan itu.

Hakimi mengecilkan matanya mengerling tajam ke arah Wan Hazreel. "Kau buatlah sendiri, kenapa harus aku yang kena buatkan untuk kau?!"

"Aku tak peduli, kau kena siapkan jugak untuk aku! Kalau tak..."

"Yelah! Ini yang last! Lepas ni jangan harap aku nak tolong kau!"

"Terima kasih Kimi!" Wan Hazreel memeluk Hakimi sambil memicit bahunya yang berlemak itu. Hakimi segera menolak Wan Hazreel.

Ziyad dan Zaiful sudah mengekek ketawa melihat Wan Hazreel memeluk Hakimi. Mereka berdua tidak sangka, Wan Hazreel, jejaka hot yang digilai ramai awek itu sanggup memeluk Hakimi yang gemuk dan sering diejek oleh kebanyakkan penuntut di kampus itu.

"Hoi! Lepaslah... geli aku, gila kau!" marah Hakimi seraya berlari menjauhkan dirinya dari Wan Hazreel.

"Aku ucap terima kasih pun tak boleh ke?!" soal Wan Hazreel sambil meninggikan suaranya. Hakimi tidak membalas sebaliknya melabuhkan duduk di tempat duduk yang disediakan.

"Kau ingat aku ni gay ke? Senang-senang aje nak peluk... Huh!" balas Hakimi yang baru sahaja melabuhkan duduknya itu.

Wan Hazreel mengatur langkah menghampiri Hakimi. Dia melabuhkan duduknya di sebelah Hakimi. Si debab ni, walaupun agak dungu, gemuk tapi dia ni pintar! Kimi... maafkan aku, aku suka buli kau dari zaman sekolah lagi, aku tak tahu kenapa aku suka buli kau! Tapi... kalau aku rapatkan diri aku dengan kau, mana tahu masa depan aku cerah, senang nak dapatkan kerja lepas habis belajar nanti hehehe.

"Kimi..." Wan Hazreel memanggil, lembut suaranya masa itu.

Hakimi tidak menyahut panggilan Wan Hazreel. Dia leka mengerling ke arah dua orang gadis yang sedang berjalan di hadapannya, Ereen Natasya dan Alia Marlina.

"Kimi, dengar tak aku panggil ni?"

Hakimi menoleh ke arah Wan Hazreel yang sedang duduk di sebelahnya merenung dirinya. "Apa lagi yang kau nak, Wan?" soalnya perlahan. Dia malas nak bertekak dengan Wan Hazreel.

"Kita berdamai?"

Hakimi terlopong sebaik sahaja apa yang diperkatakan oleh Wan Hazreel menampar telinganya.

"Aku... aku nak minta maaf sebab selalu buli kau sebelum ni. Aku sebenarnya cemburu, aku cemburu kau selalu dapat markah terbaik," ujar Wan Hazreel sambil menundukkan kepalanya.

"Apa kau mengarut ni Wan? Yang sepatutnya, aku yang sebenarnya cemburu dengan kau, walaupun pelajaran kau tak sehebat aku, tapi kau jaguh dalam sukan. Olahraga, bola sepak, semua kau kebas... aku ni? Apa yang aku dapat? Berlari sepuluh meter aje dah nak pengsan," sahut Hakimi sambil mengerutkan dahinya. "Tapi aku tak berapa setuju kalau kau kata aku ni pintar, sebenarnya ada sorang lagi yang lagi pintar dari aku..."

"Siapa?" soal Wan Hazreel ringkas.

"Wan, kau dah lupa ke dengan Aryan Syah?"

"Oh! Aryan... mestilah aku ingat. Sekarang aku dengar dia study di Murdoch University, Perth Western Australia," balas Wan Hazreel perlahan.

"Ha... tahu pun kau! Aku dengar dia ambil jurusan business administration. Aku betul-betul kagum dengan dia!" kata Hakimi bangga.

"Tapi aku lebih kagum dengan kau, Kimi..."

"Kenapa pulak? Aku ni bukannya ada apa-apa kelebihan pun..." balas Hakimi hairan.

"Yelah aku kagum dengan kau... Cuba kau fikir, dari sekolah menengah kau bersendirian macam ni... diejek, dibuli sampai ke universiti pun kau menerima nasib yang sama, tapi kau tetap cool! Prestasi kau tetap maintain..." kata Wan Hazreel sambil menepuk bahu Hakimi.

"Tapi... cuma satu ajelah yang kau tak akan dapat. Goda perempuan! Hahaha"

"Wan... kau..." Belum sempat Hakimi menghamburkan amarah untuk Wan Hazreel, satu suara lembut menyapa mereka berdua.

"Ehemm! Amboi, bila masa pulak korang berdua ni rapat?"

"Ereen!" Hakimi terkejut.

Ereen Natasya langsung tidak menoleh ke arah Hakimi, sebaliknya dia memberikan senyuman manis buat Wan Hazreel yang duduk di sebelah Hakimi.

"Tak boleh ke saya nak duduk dekat dengan Kimi?" soal Wan Hazreel.

"Boleh... tapi awak tak takut ke nanti awak jadi gemuk gedebak macam dia ni jugak?!" balas Ereen Natasya sambil tersenyum sinis.

Hakimi terkejut mendengar kata-kata Ereen Natasya. Ereen... sampai hati awak!

"Gemuk... boleh tolong kita orang tak? Sebenarnya... assignment kita orang ni tak siap lagi. Minggu depan nak kena hantar pulak... Boleh tolong siapkan untuk kita orang tak? Si Alia pun masih tak siap jugak katanya." Ereen berkata sambil menghulurkan fail assignment kepada Hakimi.

Hakimi bingkas bangun seraya berlari keluar dari dewan kuliah itu. Hatinya sakit mengenang nasib yang menimpa dirinya. Semasa dia berlari, dia hampir-hampir terlanggar Prof. Raizil yang baru sahaja menapak masuk ke dalam dewan kuliah itu.

"Eh? Hakimi, kenapa berlari ni?!" soal Prof. Raizil.

"Maafkan saya prof! Saya nak balik!"

Beberapa saat selepas itu, Wan Hazreel pula tiba-tiba bingkas bangun dan berlari keluar mengejar Hakimi.

"Wan Hazreel! Kamu nak pergi mana?!" laung Prof. Raizil.

"Maaf Prof, saya... saya nak pergi ke toilet sekejap!" bohong Wan Hazreel. Dia sebenarnya hendak mengejar Hakimi. Sebaik sahaja kakinya melangkah keluar dari dewan kuliah dua itu, matanya melilau mencari kelibat Hakimi.

Hakimi berusaha berlari menjauhkan diri dari dewan kuliah dua, dia betul-betul berkecil hati dengan Ereen Natasya. Gadis yang paling dia cintai. Dia berhenti di bawah sebatang pohon rendang yang juga merupakan tempat untuk dia menghabiskan masa petangnya setiap hari. Duduknya dilabuhkan di kerusi simen yang disediakan di bawah pokok itu.

"Kalau ye pun nak minta tolong aku, agak-agaklah nak panggil aku! Aku Hakimi... Zafrul Hakimi! Bukannya si gemuk, debab! Ingat orang macam aku ni tak ada hati dan perasaan ke!" Hakimi melepaskan kekecewaan sambil meraup mukanya. Air matanya yang mengalir keluar dibiarkan gugur berjuraian. Telefon bimbit yang disimpan di dalam beg sandangnya yang berwarna biru muda itu dikeluarkan. Nombor telefon papanya Dato' Ahmad Zafreel didail.

Hakimi tidak perasan Wan Hazreel mengekorinya dari tadi. Dia hanya berdiri bersandar di batang pokok itu membelakangi Hakimi.

Seusai berbual dan meluahkan perasaan kecewanya pada papanya, Hakimi bangun dari kerusi. Baru sahaja kakinya melangkah, tiba-tiba langkahnya terhenti sebaik sahaja mendapati Wan Hazreel sedang berdiri bersandar di batang pokok itu sambil memeluk tubuh mengerling ke arah Hakimi.

Hakimi segera mengesat air matanya yang masih mengalir keluar dengan lengan bajunya. Dia tak nak nampak lemah di hadapan Wan Hazreel.

"Wan, kau buat apa dekat sini?" Hakimi bertanya. Suaranya agak bergetar ketika ini.

"Kimi, aku... aku..."

"Kalau kau kejar aku sampai ke sini semata-mata untuk mentertawakan aku, maaf aku tak berminat. Aku nak balik hostel. Aku tak dapat hadir kelas hari ni. Aku nak siapkan assignment kau," pintas Hakimi seraya meneruskan langkah kakinya.

"Kimi, aku pindah satu bilik dengan kau! Aku dah minta izin dengan Prof. Aizan tadi, dia setuju. Lagipun kau dan aku kedua-duanya duduk bilik berseorangan, kan?" balas Wan Hazril sambil berjalan mengiringi Hakimi.

"Kenapa? Kau tak malu ke? Nanti apa kata kawan-kawan kau? Wan Hazreel, jejaka hot di kampus ni berkongsi satu bilik dengan Zafrul Hakimi, si debab... si gemuk! Kau tak malu ke?" soal Hakimi serius.

"Aku dah fikir masak-masak dah Kimi, aku tak peduli apa yang mereka akan cakap, lagipun kalau aku satu bilik dengan kau, bolehlah kau tolong ajarkan aku apa yang aku kurang faham dan..." jawab Wan Hazreel seraya merampas semula fail assignment miliknya dari tangan Hakimi. "Bolehlah kau tolong aku siapkan assignment aku ni... Kita buat bersama-sama!"

Langkah Hakimi terhenti, Wan Hazreel direnungnya lama. Kalau Wan ni satu bilik dengan aku... sekejap! Bagus jugak, dia kan rapat dengan Ereen, bolehlah aku try korek rahsia Wan dan Ereen... Adakah Wan ni benar-benar cintakan Ereen?

Hakimi menganggukkan kepalanya dan senyum. "Okey, aku setuju."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience