"NO! Please don't call me abang! Kau tak ada hak untuk panggil aku dengan gelaran tu!" Hakimi bingkas bangun dari birai katil seraya mengatur langkah menuju ke arah pintu bilik.
Ereen Natasya yang baru sahaja melabuhkan punggungnya di sisi katil terpempan dengan reaksi suaminya itu. Salah ke aku panggil dia abang? Ada genang di tubir matanya ketika ini. Takpelah Ereen... sabar dan aku harus kuat untuk bawak suami aku balik ke pangkal jalan! Aku yakin dia akan berubah dan kembali ke jalan yang benar, aku yakin!
Tombol pintu dipulas seraya menapak keluar. Daun pintu ditarik kuat. Langkah kaki diatur menuruni anak tangga. Hakimi terus meluru ke luar tanpa mempedulikan Encik Abdul Wahab yang sedang duduk di ruang tamu rumahnya. Maaf uncle...
"Hakimi... nak pergi ke mana tu?" Encik Abdul Wahab bertanya namun tidak diendahkan oleh menantunya itu. Hai menantu aku ni... perangai kebudak-budakan dia sampai sekarang tak pernah nak berubah.
Telefon bimbit dikeluarkan dari poket seluar. Cepat-cepat jarinya mencari nama Zarul Hazreel di skrin.
"Nombor yang anda dail tidak dapat dihubungi buat masa ini, sila cuba sebentar lagi."
"Mana Abang Zarul ni?" Hakimi merengus geram. Sekali lagi nombor Zarul Hazreel dihubungi, namun tetap tidak berjaya disambungkan.
PEDAL minyak ditekan kuat. Hatinya kini berbelah bahagi untuk menerima kenyataan bahawa adik kembarnya sudah bergelar suami orang. "Kimi... tahniah, dik."
Telefon bimbit yang dimatikan dari petang tadi yang diletakkan di atas tempat duduk penumpang hadapan dikerling sekilas. Mesti Kimi ada call aku... tunggu sampai rumah sekejap lagilah aku on balik!
Sebaik sahaja tiba di perkarangan rumah peninggalan arwah papanya, Zarul Hazreel terkejut sebaik sahaja pandangan matanya tertumpu ke arah kereta milik Hakimi turut diparkir di hadapan rumahnya. Cepat-cepat dia menapak keluar dari perut keretanya. "Kimi? Kimi buat apa dekat sini?"
Hakimi segera merapatkan dirinya ke arah Zarul Hazreel. Sepantas kilat dia memeluk tubuh kekar Zarul Hazreel. "Abang... Kimi tak boleh, abang! Kimi tak boleh! Kimi tak sanggup kecewakan Ereen!"
"Kimi... apa yang Kimi merepek ni?" Zarul Hazreel membalas pelukan adik kembarnya itu.
"Kimi tak boleh, abang!"
"Tak boleh apa?" Zarul Hazreel bertanya seraya mengusap belakang kepala Hakimi. Tangan kirinya diselukkan ke dalam poket seluar untuk mengambil alat kawalan jauh untuk membuka pintu pagar automatik. "Cuba cerita. Jom masuk rumah dulu."
Hakimi angguk kepala. "Emm..."
Sebaik sahaja menapak masuk ke ruang tamu, Mak Ton yang kebetulan masih bersembang dengan Pak Syam di ruang tamu itu terkejut sebaik sahaja mendapati Hakimi yang juga merupakan pengantin baru yang sepatutnya bersama dengan isteri ketika ini tiba-tiba sahaja muncul di hadapan mata mereka. Zarul Hazreel juga turut ada bersama.
"Kimi? Kimi buat apa dat...?" Belum sempat Mak Ton menghabiskan pertanyaannya, Hakimi segera mengatur langkah berlari menuju ke arah tangga dan terus naik ke tingkat atas.
"Kenapa dengan Kimi tu, Zarul?" Pak Syam bertanya.
Zarul Hazreel garu kepala yang tak gatal. "Err... entahlah Pak Syam, Mak Ton. Zarul sampai aje, tengok-tengok dia dah ada kat depan rumah."
"Lah... macam tu ke?" Mak Ton melarikan pandangannya ke arah tangga. Kemudian dia mengerling pula ke arah Zarul Hazreel. "Zarul, cepatlah tanya ada yang tak kena ke dengan Kimi tu... Risau pulak Mak Ton. Hai... kalaulah arwah Dato' masih ada..."
"Baiklah Mak Ton," pintas Zarul Hazreel seraya mengatur langkah mengejar Hakimi.
"Apa kena dengan Kimi tu?" soal Pak Syam.
"Manalah Ton tahu." Mak Ton geleng kepala.
"Entah-entah Kimi ulang perangai lama dia kot..."
"Hishh! Abang Syam ni! Ke situ pulak dia! Kita ni sebagai orang tua yang dah dipertanggungjawabkan oleh arwah Dato' Zafreel untuk tengok-tengokkan anak-anak dia, kena la bersikap positif. Ton ni dah anggap budak-budak tu macam anak Ton sendiri!"
Terdengar keluhan kecil Pak Syam. Bukan dia tak tahu tabiat dan kelakuan Hakimi akhir-akhir ni. Malah dia juga pernah terserempak dengan anak arwah majikannya itu sedang berpelukan dengan Shahrul Nizam. "Ya Allah, kau kuatkanlah semangat dan jauhilah Hakimi dari perkara-perkara yang tak sepatutnya."
"Amin..." Mak Ton yang berdiri di sebelah sempat mengaminkan apa yang diungkapkan oleh Pak Syam itu.
"KIMI... boleh abang masuk?" Tombol pintu dipulas seraya daun pintu dikuak perlahan. Zarul Hazreel sempat mengintai dari sebalik daun pintu. Berkerut dahi Zarul Hazreel memerhati kelakuan Hakimi yang duduk di birai katil. Dia segera mengatur langkah menapak masuk. Duduknya dilabuhkan di sebelah adik kembarnya itu. "Kimi, apa masalah sebenarnya ni?"
Hakimi tidak membalas pertanyaan abang kembarnya itu, sebaliknya pandangan matanya ditumpukan ke arah genggaman tangannya. Terdengar sedikit esakan dari jejaka sado itu.
Zarul Hazreel hanya memerhati. "Kalau Kimi tak nak ceritakan pada abang... macam mana abang nak tahu masalah Kimi?"
Hakimi masih mendiamkan diri. Perlahan titisan mutiara jernih mengalir di pipi. Matanya dipejam rapat seraya membuka mulutnya. Sepantas kilat genggaman tangannya hinggap di bibir.
Zarul Hazreel perasan akan sesuatu yang berada di dalam genggaman Hakimi. Sepantas kilat lengan kekarnya mencapai pergelangan tangan adik kembarnya itu. Buntang matanya sebaik sahaja mendapati pil tablet bercucuran gugur dari genggaman Hakimi. "Kimi! Apa yang Kimi nak buat ni? Kimi dah tak nak hidup lagi ke?!"
Sepantas kilat tubuh kekar adiknya iti dipeluk erat. "Kimi pun nak pergi tinggalkan abang ke?? Kimi dah tak sayang abang lagi? Kimi dah tak sayang Ereen?! Tolonglah jangan buat benda bodoh, Kimi! Abang sayangkan Kimi. Abang tak nak kehilangan orang yang abang sayang lagi!"
"Kimi tak boleh, abang... tak boleh!" perlahan Hakimi bersuara bersama esakannya.
"Apa yang Kimi tak boleh tu? Cuba cerita."
"Kimi... Kimi tak boleh bersama dengan Ereen. Kimi tak boleh!"
"Kenapa pulak tak boleh? Ereen tu isteri Kimi. Dia halal untuk Kimi. Kimi suami dia yang sah... tempat Kimi adalah di sebelah Ereen... bukannya di..."
"Tapi Kimi tak boleh, abang... Kimi tak boleh! Kimi tak ada nafsu dengan dia..." Sekali lagi esakan Hakimi berkumandang.
"Astaghfirullahalazim... Kimi..." Zarul Hazreel buntu. Dia juga faham apa yang sedang dilalui oleh adik kembarnya itu. Hakimi ketika ini sedang berperang dengan nalurinya. Dia hilang kata-kata. Apa yang mampu dilakukan ketika ini hanyalah menenangkan Hakimi, itu sahaja yang berlegar di mindanya.
"Assalammualaikum ab... abang..."
Sedang dua beradik kembar itu melayan perasaan, Ereen Natasya yang baru sahaja tiba menyaksikan apa yang berlaku di hadapannya.
Ereen... Ini hukum karma untuk aku. Kalau aku tak ego dan terima luahan hati Hakimi dulu, pasti dia tak jadi macam ni. Ereen Natasya bermonolog dalam hati. Ada genang di tubir matanya ketika ini.
"Waalaikumsalam..." Zarul Hazreel segera melepaskan pelukannya. Dia segera mengerling ke arah datangnya suara lembut yang memberi salam itu. "Oh, Ereen, baguslah Ereen dah sampai."
"Kau buat apa datang ke sini?!" Tiba-tiba sahaja Hakimi bersuara dengan kasar.
"Ma... maaf," sahut Ereen Natasya perlahan.
Share this novel