CH 4

Romance Series 14451

DAUN pintu bilik itu dihempas kuat. Kemudian tubuhnya disandarkan pada daun pintu itu. Air matanya yang membasahi pipnya sebentar tadi kini sudah mulai kering. Kata-kata yang diungkapkan oleh Ereen Natasya di khalayak ramai tadi masih menjerit-jerit dengan jelas dicuping telinganya.

"Cinta? Hahaha! Maaf, aku tak boleh terima cinta kau, sebenarnya... aku rapat dengan kau ni pun, sebab aku sengaja nak kenakan kau... Wan Hazreel pun sama. Aku hanya cintakan Wan Hazreel. Kau lupakanlah aku dan pergi jauh-jauh dari aku! Kita tak layak untuk bersama!"

"Wan, kenapa kau sanggup tipu aku? Ye! Aku bodoh! Betul kata perempuan tu, aku memang bodoh! Gemuk! Aku bodoh sebab percayakan kau, Wan." Hakimi bermonolog sambil menggenggam kuat tangannya.

Beberapa saat selepas itu pintu bilik itu diketuk oleh seseorang. Cepat-cepat Hakimi mengesat air matanya dengan belakang tapak tangannya.

"Kimi, buka pintu, please dengar apa yang aku nak cakapkan."

Hakimi pantas berpaling dan tombol pintu dipulas serta daun pintu itu di tarik.

Bukk!!

Sebaik sahaja pintu terbuka Hakimi segera melepaskan satu tumbukan padu tepat ke arah muka Wan Hazreel sehingga menyebabkan hidung jejaka itu berdarah dan luka di bibirnya.

"Kimi, apa kau  buat ni?! Apa salah aku, Kimi?" soal Wan Hazreel yang sudah jatuh terduduk sambil menekup mulut dan hidungnya yang cedera itu.

"Manusia macam kau ni memang patut dibagi penumbuk! Aku tahu aku ni gemuk, bodoh, hodoh, dan lurus bendul. Senang dibuli! Aku sangkakan kau dah berubah, tapi sangkaan aku meleset sama sekali! Kau tahu tak, aku ni dah anggap kau macam saudara aku! Tapi... tergamak kau tipu aku, sekarang baru aku sedar, kau berbaik dengan aku selama ni hanya untuk ambil kesempatan ke atas aku! Aku bodoh, Wan... aku bodoh percayakan kau! Mulai dari saat ni, kau bukan lagi kawan aku, bukan lagi saudara aku!" ujar Hakimi panjang lebar seraya melabuhkan duduknya di sisi katilnya.

"Kimi, please la jangan buat aku macam ni... aku sebenarnya dah tak ada apa-apa hubungan dengan Ereen. Kami dah putus," balas Wan Hazreel sambil melabuhkan duduk di sebelah Hakimi.

Hakimi tergamam sebaik sahaja mendengar kata-kata Wan Hazreel. Dia menoleh. Wajah Wan Hazreel direnungnya lama. Dia terkejut. "Putus?"

Wan Hazreel menganggukkan kepalanya. "Ye, aku putuskan hubungan aku dengan Ereen." 

"Kenapa?"

"Kimi, mesti kau perasan dan tertanya-tanya kenapa  aku akhir-akhir ni mengelak setiap kali kau bertanya pada aku tentang Ereen, kan? Dan aku tak bersama dia?" Wan Hazreel bertanya.

Hakimi menganggukkan kepalanya.

"Ye, aku perasan yang itu. Aku pun tertanya-tanya tapi aku tak nak bertanya pada kau," kata Hakimi sambil menarik nafas panjang.

"Kimi, sebenarnya aku selama ni tak cintakan dia pun... Aku hanya anggap dia sebagai kawan aje. Tak lebih dari itu. Ereen dah banyak berubah, kalau dulu masa di tingkatan lima memang aku sukakan dia. Tapi semenjak dia berjaya melanjutkan pelajarannya di sini, dia jadi seorang yang ego, angkuh, aku tak nafikan yang dia tu memang cantik, lawa, cuma aku tak tahan dengan perangai dia. Dan yang paling aku tak suka, dia seperti kacang lupakan kulit. Aku tahu Kimi, kalau bukan disebabkan papa kau, Ereen pasti tak dapat meneruskan niatnya untuk melanjutkan pelajarannya," cerita Wan Hazreel panjang lebar.

Hakimi mengangguk tanda setuju. "Ye! Aku tahu, kalau papa tak setuju bantu bayar yuran untuk dia, dan jugak tak bantu keluarga dia yang susah, dia takkan dapat menjejakkan kakinya ke universiti ni. Nasib baiklah papa aku dan ayah dia tu kenal antara satu sama lain."

"Yang aku tak puas hati sangat dengan dia, kenapa dia hina kau seteruk tu Kimi? Aku betul-betul tak sangka gadis cantik manis yang asalnya dianggap bidadari syurga, boleh bertukar menjadi syaitan bertopengkan manusia! Dia tak patut layan kau macam tu Kimi." Wan Hazreel pula berkata.

"Kimi, kita tetap kawan ye? Kalau kau tak nak anggap aku sebagai kawan kau pun tak apalah... aku..."

"Wan, kau tahu tak, aku sebenarnya dah anggap kau ni lebih dari seorang kawan. Sebab sebelum ni aku langsung tak ada kawan, kau kawan pertama aku, dan aku dah anggap kau ni macam saudara aku. Aku ni anak tunggal. Tak ada abang, tak ada kakak, tak ada adik," pintas Hakimi.

Wan Hazreel terlopong mendengar luahan hati Hakimi. "Kimi..."

"Wan, sudi tak kau jadi abang angkat aku? Lagipun tarikh lahir kita berdua sama, sudi tak? Aku teringin nak merasa bagaimana rasanya kalau ada seorang abang atau seorang adik." Hakimi berkata dengan nada sebak.

Wan Hazreel terdiam.

"Kalau kau tak nak, tak apalah. Aku tak kecil hati pun kalau kau tak sanggup. Dengan rupa aku yang macam ni, tak ada siapa pun yang nak rapat dengan aku. Seperti yang diperkatakan oleh Ereen tadi. Aku ni gorilla, mana ada orang yang sanggup rapat dengan gorilla, kan?  Aku faham Wan..." ujar Hakimi perlahan seraya menghempaskan tubuhnya di atas katil itu.

Bantal peluk diraih dan dipeluknya erat. Wan Hazreel yang duduk di sisi katil Hakimi mengerling sahabatnya itu dengan pandangan yang sayu. Kimi, aku faham apa yang kau rasa, sebab aku jugak sedang melaluinya. Wan Hazreel teringat akan peristiwa dimana dia terdengar perbualan ibu dan ayahnya semasa usianya lima belas tahun.

"Abang... Ekin risaukan Hazreel. Bagaimana kalau dia dapat tahu tentang perkara yang sebenar? Ekin risau, Ekin takut dia tak dapat terima kenyataan yang dia tu bukan anak kandung kita dan nama sebenar dia adalah Zarul Hazreel..."

"Tak... abang takkan biarkan. Walau apa pun yang berlaku, dia tetap anak kita, walaupun darah tak sama tapi dia tetap anak kita!"

Wan Hazreel meraup mukanya berkali-kali. Hakimi direnungnya sekali lagi. Kimi, kau beruntung dapat mengenali dan membesar bersama papa kandung kau sendiri. Sedangkan aku... aku ni hanya anak angkat. Aku tak pernah pun bersua dengan ibu dan ayah kandung aku. Aku cemburu dengan kau, Kimi. Hari tu aku cakap aku cemburu dengan kau sebab kau pintar, kau cekal dan penyabar. Tapi ada satu lagi sebab yang kau tak tahu Kimi. Aku cemburu kau bahagia dan gembira bersama papa kau. Itulah punca utama aku selalu buli kau semenjak kita menuntut di tingkatan tiga. Maafkan aku Kimi, disebabkan kemarahanku pada kedua orang tua kandungku yang sanggup menyerahkan aku kepada orang lain. Aku lepaskan kemarahanku pada kau, Kimi. Dan jugak disebabkan nama sebenar aku hampir sama dengan nama kau. Maafkan aku.

Tangannya mencapai dan menggenggam pergelangan tangan Hakimi yang sedang baring memeluk bantal dan melayan perasaannya itu. Hakimi mengalih pandangannya ke arah Wan Hazreel. Kini pandangan mereka berdua bertentangan.

"Kimi, aku sanggup. Aku sanggup jadi saudara angkat kau," kata Wan Hazreel. Suaranya bergetar pada masa ini.  Matanya sudahpun berkaca ketika ini. "Aku berjanji Kimi, aku akan lindungi kau macam adik aku sendiri, walaupun yang sebenarnya aku tak ada adik. Aku jugak teringin nak ada seorang adik."

Hakimi bangun duduk dan segera memeluk Wan Hazreel dengan erat. "Terima kasih Wan... terima kasih kerana sudi terima Kimi jadi adik kau, Wan... Kimi janji akan jadi adik yang baik dan dengar cakap!"

Sebaik sahaja Wan Hazreel memeluk tubuh Hakimi, hatinya berasa tenang terasa seolah-olah sudah lama dia inginkan sentuhan ini.

"Kimi, mulai dari saat ni, Kimi panggil aku abang. Sebab tadi Kimi cakap...  Kimi teringin nak ada seorang abang, kan? Aku pulak teringin nak ada adik, hehehe..." usik Wan Hazreel sambil tersenyum.

Hakimi melepaskan pelukannya seraya mengangkat tangan kanannya seperti hendak membaca ikrar dan tersenyum. "Baiklah Abang Wan!"

"Comel jugak Kimi ni bila senyum ye?" usik Wan Hazreel lagi. Tetapi sememangnya Hakimi memiliki pakej raut wajah yang comel.

"Eh! Mana ada! Kimi ni hodoh... tak macam Abang Wan... Handsome, body sado. Memang wajarlah Abang Wan dapat gelaran 'jejaka hot' dalam kampus ni..." Hakimi pula mengusik Wan Hazreel.

"Kimi...  Kimi nak tak buat body macam abang?" Wan Hazreel bertanya.

"Nak!"

"Amboi... lajunya dia menjawab," balas Wan Hazreel sambil ketawa kecil.

"Mestilah... Kimi sebenarnya memang lama dah teringin nak memiliki body ketul-ketul macam abang... cuma Kimi segan..."

Keadaan jeda buat seketika.

"Okey, kalau Kimi nak, abang boleh bawa Kimi work out dekat gym, tapi dengan satu syarat," kata Wan Hazreel

"Okey! Apa syaratnya?" soal Hakimi teruja.

"Kimi tolong ceritakan pada abang, kenapa Prof. Raizil nak jumpa Kimi dan Ereen selepas habis kuliah tadi?" soal Wan Hazreel sambil menaikkan keningnya.

Hakimi mendengus perlahan.

"Kenapa Kimi?"

"Kalau boleh, Kimi tak nak sebut dan tak nak ingat apa-apa lagi yang berkaitan dengan perempuan tu lagilah! Tapi, kalau abang nak tahu apa yang berlaku, jom kita pergi ke rumah Prof. Raizil. Kimi nak abang dengar jugak dari mulut Prof. Raizil sendiri... sebab Kimi tak nak sebut dah nama perempuan tu lagi dah! Kimi nekad Kimi tak akan buka pintu hati Kimi ni untuk terima cinta dan untuk bercinta lagi!"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience