Bab 23

Romance Completed 15840

BAB 23

BUNYIAN yang dikeluarkan dari pembesar suara televisyen menyambut kepulangannya. Melia berjalan menuju pintu setelah keretanya dikunci. Perlahan pintu yang tidak berkunci itu dibuka. Tanpa bicara, dia terus melangkah ke biliknya. Rakan serumahnya yang sedang tekun menonton hanya memerhatikan gerak-geri Melia sekilas, juga tanpa bicara. Bukannya mereka tidak sebulu, tetapi tiada apa yang perlu disuarakan. Melia mencapai tuala dari penyidai yang diletakkan di sudut bilik. Melangkah malas menuju ke bilik mandi yang terletak di biliknya.

Terasa sedikit segar setelah badannya disirami air pancuran. Bertambah segar apabila haruman lavender merangsang deria bau. Melia merebahkan badannya yang sudah dibaluti pakaian. Tilam empuk menyambut badan Melia dengan lembut. Matanya dipejamkan, bayu tiruan yang terhasil dari kipas siling membelai lembut seluruh tubuhnya. Suasana sebegitu membuatkan Melia sedikit tenteram.

Melia berbaring dalam keadaan itu beberapa ketika sebelum dia bangkit lalu mendapatkan laptop yang berada di atas meja. Kabel UTP yang tersedia menghubungkan laptop dengan ADSL modem dikemaskan. Ikon berlambangkan musang memeluk bumi diketik dua kali. Paparan browser Mozila Firefox mendominasi ruangan skrin. Dengan lancar jemarinya menaip alamat ‘’. Laman forum itu seringkali menjadi penghibur Melia.

Kadangkala Melia bertindak tak ubah seperti seorang kaunselor memberi pandangan dan nasihat kepada kemusykilan yang dihantar pengunjung, lebih-lebih lagi di bahagian Anjung Cinta. Kerana itulah dia digelarkan Dr Love oleh moderator. Melia tersenyum sendiri apabila selesai menghantar pandangannya. Sendiri bercinta pun separuh jalan lagi mahu nasihat orang, takpe yang penting kita berkongsi pengalaman, tak gitu.

“Kak Melia, ade parcel untuk akak.” Sayup suara itu tetapi jelas didengari. Mungkin kerana pintu tertutup membuatkan gelombang bunyi tersebut terpaksa melalui medium penghantaran yang jauh.

“A minute.” Melia bangkit mempersiapkan diri sebelum keluar dari bilik. Selendang biru gelap dicapai dan digunakan untuk melitup kepalanya. “Kenapa tak ambilkan aje?”

“Orang tu kata penerima sahaja.”

Melia mengangkat bahu. Kenapalah menyusahkan aku. Tak boleh ke wakilkan. Matanya merenung ke arah pemuda yang membelakangkan pintu masuk. Mungkin malu untuk menjengah setelah mengetahui semua penghuni rumah adalah bukan muhrim. “Ya encik.”

Pemuda yang mengenakan uniform serba hitam itu berpaling lalu menghadiahkan senyuman kepada Melia. “Puan Arissya Melia binti Abdul Aziz?”

“Bukan. Maaf.” Muka Melia serius, tetapi hatinya tergelak kecil. Mentang-mentang aku dah tua, pandai-pandai je panggil aku puan.

Serba salah dibuatnya. Salah alamat ke. “Saya berada di alamat yang betul kan?” Pemuda itu menunjukkan butiran penerima kepada Melia.

Melia mengangguk. “Alamatnya betul.”

“Takde orang yang bernama Arissya Melia ke kat sini?”

“Ada. Tapi Cik Arissya Melia bukan Puan Arissya Melia. Sebab tu saya kata bukan tadi.”

“Oh. Iye ke? Maaf.”

Pintu kayu itu dirapatkan setelah pemuda tersebut berlalu pergi. Melia membelek bungkusan kecil yang baru diperoleh, sedang kakinya melangkah ke arah bilik. Sape yang bagi ni? Farisy kot? Eh, taklah, ni dari KL. Melia berteka-teki sendirian, alamat pengirim yang tertera membuatkan dia tertanya-tanya. Setahunya tiada kenalan dari bandaraya itu.

Bungkusan yang diterima itu diletakkan di sudut meja. Tidak terlintas untuk membukanya. Melia menumpukan perhatian kembali pada laptop. Laman forum masih lagi terpapar di skrin, topik-topik yang tertera disemak satu persatu, mencari topik yang memerlukan bantuannya. Melia bersandar seketika, matanya terpandang bungkusan misteri di sudut meja, lantas mencapainya.

Tanpa niat untuk membuka, Melia membelek bungkusan itu. Digoncangkan sedikit, tiada bunyi kedengaran. Ah, buka aje la, tak buka tak tau. Melia membuka bungkusan itu dengan berhati-hati, tiada kesan koyak langsung, itulah prinsipnya jika membuka hadiah. Balutan kertas coklat terbuka sudah, kotak kecil berwarna putih menanti tangan Melia untuk dibuka.

Perlahan penutup kotak itu dibuka. Sebiji pasu kecil yang diikat dengan riben merah pada lehernya berada di dalam kotak tersebut bersama sekeping nota. ‘Maaf…’ hanya itu saja yang tertulis pada nota kecil itu. Bertambah berserabut fikiran Melia dengan nota sebegitu. Siapa yang harus dimaafkan? Diakah? Tak mungkin, dia kini bahagia bersama tunangnya.

Melia mengeluarkan pasu kecil itu lalu berbaring di atas tilam. Cantik, cam tau-tau je aku suka pasu. Biarlah sapepun, thanks yer, kalau ade bagi la lagi, ehehe. Melia tersengih sendiri, membiarkan pasu kecil itu menemani tidurnya. Mana tau dapat jumpa dengan pengirimnya dalam mimpi, moga-moga hensem. Ish, gatalnya anak dara ni. Sekali lagi Melia tersengih.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience