Bab 21

Romance Completed 15840

BAB 21

HAMPARAN rumput menghijau terbentang di hadapannya merawat mata yang keletihan akibat seharian merenung monitor komputer. Hembusan angin sederhana kuat menampar badannya, sekaligus membuatkan tudungnya terlipat. Arissya Melia mengemaskan tudung bewarna cream tersebut. Dia berseorangan tatkala itu, baginya cukup mendamaikan, tanpa keriuhan suara teman serumah yang kadangkala bercakaran hanya kerana saluran TV.

Melia tersenyum sendiri. Setelah bekerja baru terasa betapa indahnya zaman pengajian di kampus. Rasa rindu mula menyapa hati, bukan untuk sesiapa tetapi untuk semua kenangan yang dilalui. Setelah berlalunya peperiksaan akhir, tamatlah tugasnya sebagai pelajar di kampus yang baginya terlalu istimewa dan paling disayangi.

Ingatannya terputar kembali, wajah Farisy tiba-tiba muncul di maya fikiran. Kenapa aku boleh terkenang pada dia. Mungkin aku patut memberi dia peluang, tapi dia terlalu muda. Perang minda bermula, dirinya kini bagaikan terbahagi dua, seperti perdebatan, ada yang menyokong dan ada yang membangkang. Sekali lagi senyuman menghiasi bibirnya, seakan terhibur dengan perdebatan tersebut.

Melia bangkit dari duduknya lalu berjalan perlahan menyusuri laluan simen yang disediakan. Dia bersyukur masih ada lagi kehijauan walaupun berada di bandar yang penuh dengan kawasan industri. Baginya kehijauan adalah simbol ketenangan, dia juga percaya ramai yang gemarkan kehijauan bagi mencari ketenangan.

Udara sekeliling dihirup sedalamnya, seketika kemudian udara yang terkumpul dalam paru-paru dihembus perlahan. Masih segar, pohon-pohon hijau menganugerahkan oksigen yang banyak untuk manusia di sini meneruskan hidup. Suara teriakan kanak-kanak menandakan Melia kini hampir dengan kawasan permainan. Melia memberhentikan langkah, menonton gelagat anak-anak kecil bermain gelongsor, buaian dan permainan lain di padang yang berlantaikan pasir putih. Bibirnya mengukir senyuman, hatinya terhibur dengan suasana sebegitu.

Langkahnya diteruskan, kini Melia berjalan menyusuri tebing tasik. Sesekali matanya merenung ke arah tasik yang beriak kecil akibat tiupan angin, damai, tidak boleh dibeli dengan Ringgit Malaysia ataupun dengan Dolar Singapura. Bibirnya tidak putus dengan senyuman, menyerikan lagi bibir merah tanpa bahan pewarna tambahan. Melia berhenti melangkah, berdiri memeluk tubuh memerhatikan permukaan tasik yang bagaikan sedang berentak mengikut irama semulajadi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience