Bab 30

Romance Completed 15840

BAB 30

FARISY merenung wajah wanita di hadapannya. Lembut wajahnya, sedap mata memandang. Tidak sarat dengan solekan, memang sesuai jadi calon isteri. Dalam rumah sendiri pun bertudung, betul-betul jaga aurat. Pandangannya dialihkan melepasi tingkap, hiasan simenfero berbentuk tumbuhan menghiasi air terjun buatan, mendamaikan.

Bibir wanita itu tidak putus dengan senyuman. Sunyi mendominasi suasana, lantaran wanita itu agak pemalu untuk memulakan bicara. Farisy juga tidak tergerak hati untuk bertanya menjadikan suasana sepi, sehinggakan bunyi kicauan burung sayup kedengaran. Usahkan berbicara, untuk berlawan senyum pun Farisy berasa kekok.

“Sorry, tetiba plak kena layan call client.” Fadhil kembali duduk di sebelah Farisy setelah memasukkan telefon bimbit ke dalam saku seluar. “Kenapa senyap je? Tak nak kenal-kenal dengan bakal ipar ke?”

Farisy tersenyum, wanita itu juga. Entah apa mimpi Fadhil membawa Farisy menemani ke rumah tunangnya, sudah hampir dua bulan ikatan itu terbina. “Tak tau nak mula la Bang Ngah. Malu pun ada.”

“Kena biasakan, nanti pun kau kena bersemuka dengan Kak Alia juga.” Fadhil sendiri tidak terlalu kerap berlawan mata dengan Alia Maisarah. Mungkin menghormati keperibadian wanita itu, atau mungkin untuk mengelakkan jemu. Bukan kerana membenci suratan yang sudah tertulis.

“Takpelah, nanti-nanti biasala.” Alia bersuara supaya bakal iparnya tidak begitu janggal berada di situ.

Fadhil melihat jam tangan sekilas. “Nampaknya abang kena beredar dulu. Tak manis kalau lama-lama kat sini. Ni pun saja singgah sebab Farisy belum pernah jumpa Alia lagi. Sampaikan salam pada ayah ibu.”

Farisy bangun menuruti Fadhil yang menuju ke kereta. Entah kenapa, dia kerap pulang ke kampung pada semester kali ini, sedangkan dirasakan lebih seronok jika berada di kampus. Seronok kerana seringkali menemani Melia berkunjung ke taman rekreasi berhampiran untuk merehatkan minda, bertukar cerita dan bergurau senda.

Hubungan yang terjalin kian akrab membuatkan Farisy berasa bahagia. Mungkin Melia sedang belajar untuk menerima seseorang yang lebih muda untuk dijadikan pasangan hidup. Farisy tersenyum sendiri, tak menyangka sehingga tahap itu jangkauan akalnya. Sehinggakan tidak menyedari kereta yang dinaiki sedang bergerak menjauhi rumah papan yang penuh dengan suasana kampung.

“Ai, senyum sendiri nampak.” Suara Fadhil jelas ke pendengaran membuatkan Farisy menoleh ke arahnya. Fadhil tersenyum tanpa beralih pandangan. “Boleh share?”

“Takde apa. Cuma teringat kenangan manis je.”

“Manis macam mane? Macam gula tebu ke macam madu.”

Farisy tersengih, terkeluar sedikit tawanya. “Susah nak bayangkan. Hari tu orang tengok wayang dengan dia, cerita Tentang Bulan. Duduk couple seat.”

“Isk. Bahaya tu. Ada buat apa-apa ke?”

“Takde la. Orang turunkanla hand rest tu kan takut dia rasa tak selesa, tapi tak lama lepas tu dia naikkan balik dia kata lebih selesa kalau takde hand rest tu.”

Fadhil tertawa seketika, mindanya terfikir sesuatu yang mungkin tak terjadi, tetapi boleh terjadi. “Dia dah syok kat kau kot. Sebab tu dia lebih suka duduk dekat tanpa halangan.”

“Takkan la, dulu dia beria tolak.” Farisy tersenyum lagi, kali ini mindanya terfikir sesuatu yang tapi mungkin sukar untuk menjadi realiti. “Tapi, kalau betul la macam Bang Ngah kata, bestnya.” Tawa kecil menjadi penamat kata.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience