Bab 17

Romance Completed 15840

BAB 17

PINTU kayu dibuka setelah memulas tombol. Esakan masih lagi belum reda. Air mata masih lagi bersisa. Melia membuka pintu bilik lalu meletakkan beg dan membiarkannya tersandar di dinding. Langkahnya menuju bilik mandi. Memandang wajah sayu di cermin sejurus selepas membasuh raut itu. Tiada lagi linangan air mata. Tiada lagi sedu sedan. Dia harus memastikan semua itu kerana sebentar lagi ahli-ahli rumah itu akan pulang dari kampus. Pasti dia perlu menjawab semua soalan yang diajukan tanpa rela.

Tiada tugasan yang perlu disiapkan. Tiada laporan makmal yang perlu dibereskan. Melia menuju ruang tamu bersama baldi kecil berisi air dan sehelai kain lap. Dia perlu menyibukkan diri dengan apa jua tugas, supaya tidak terfikir untuk menangis. Dan pastinya Melia akan membersihkan setiap pasu-pasu kecil yang menghiasi rumahnya ketika dia sedang bersedih hati.

Satu persatu dari puluhan pasu kecil diambil lalu dibersihkan dengan berhati-hati. Dengan membuat tugas sebegitu dia akan tenang, fikirannya juga tidak tertumpu pada kisah sedih pada petang tadi.

Jejaka yang difikirkan boleh menyayangi sehingga hujung nyawa terpaksa dilupakan lantaran jejaka itu terlalu lemah untuk menentang pilihan keluarga.

Pintu rumah terbuka perlahan, dua susuk tubuh melangkah masuk terperanjat dengan tingkah laku Melia yang sedang khusyuk membersihkan pasu-pasu kecil. Hampir setiap ceruk rumah yang menjadi milik Melia setelah kakaknya menurut suami yang bertugas di Melbourne,Australia dihiasi dengan pasu-pasu kecil yang memenuhi rak. Susuk tubuh yang baru masuk itu berpandangan sesame sendiri, mereka pasti rakan serumah mereka itu sedang kecewa.

Rakan serumahnya hanya berjaya meneka perasaan Melia ketika itu. Apa sebab jauh sekali untuk diketahui kerana Melia tidak pernah langsung bercerita mengenai masalahnya pada mereka. Sudahnya mereka hanya memerhati setiap kali Melia membuang habuk pada pasu, juga kadang-kadang seluruh rumah dibersihkan. Melia senang sebegitu, akhirnya dia akan terlena keletihan setelah melakukan semua kerja tersebut.

Matanya tertumpu pada gambar yang berbingkaikan kayu berada di atas meja kecil bersama pasu kesayangannya. Gambar sepasang kekasih yang bertenggek di atas batu besar sedang kaki mereka terendam di dalam aliran sungai. Jelas terpancar keceriaan pada wajah mereka yang dihiasi dengan senyuman. Memori bersama di Hutan Lipur Gunung Belumut memang tidak boleh dilupakan. Pada masa itulah Melia menerima lamaran untuk menjadi kekasih.

Harapan kasih yang disemai akan kekal selamanya, tidak kesampaian, segala kisah cinta antara mereka berakhir tadi. Bingkai gambar itu ditelangkupkan. Dia tidak mahu lagi memandang gambar itu sebagaimana dia tidak mahu melihat wajah lelaki itu lagi. Hatinya terlampau lemah untuk menidakkan rasa cintanya terhadap lelaki itu. Melia meneruskan kerja, sudah hampir separuh pasu-pasu kecil itu dibersihkan.

Tubuhnya yang keletihan setelah membersihkan rumah pada petang itu direbahkan ke atas katil queen size. Terasa bagaikan tilam empuk yang menyambut tubuhnya sedang melakukan beberapa urutan. Segar seketika rasanya. Melia memandang kipas yang baru saja dibersihkan, kelihatan berkilat. Kipas siling yang berputar perlahan itu membuatkan dirinya berasa khayal lalu matanya terlelap dalam keletihan. Dia sendiri tidak tahu apa yang perlu dilakukan pada hari esok bagi melepakan ingatan terhadap lelaki idaman hati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience