Bab 20

Romance Completed 15840

BAB 20

SUARA M Nasir mengusik jiwanya. Terasa dia yang seharusnya menyanyikan lagu tersebut buat Melia. Farisy tersenyum sendiri, nak menyanyi ke? Mana la reti nyanyi lagu keroncong. Usahkan keroncong, kalau nyanyi lagu lain tak ubah katak panggil hujan. Mungkin benar tiada ruang untuk aku di hatinya. Berlambak perempuan yang cun melecun kenapa la perempuan yang layak dipanggil kakak ni juga aku kejar.

Kata orang hati dah suka tak boleh nak dielak, hati dah sayang usia bukan penghalang. Itu kata orang, tapi dia, Farisy merasakan Melia bukanlah di kalangan orang yang berpendirian sedemikian. Begitu sukar untuk melenturkan hati perempuan itu. Mungkin dia masih perlukan masa untuk melupakan semua yang telah berlaku. Gelojoh sangat aku ni, sabar la kalau iye pun. Hish, perempuan macam tu mana boleh sabar untuk menyambar. Mesti kena jadi pendahulu sebelum ada yang crossline.

Terkebil-kebil mata Farisy di dalam gelita. Sememang sudah tabiatnya, tidak boleh tidur dalam keadaan terang benderang, sedangkan dalam gelap pun mata tak mau lelap. Tiada lain yang berputar di minda selain dari agenda untuk merapatkan diri dengan gadis pujaan, Arissya Melia. Farisy bangun menuruni anak tangga untuk menuju dapur setelah bosan lama termanggu menanti lena yang belum lagi mahu bersua sehingga mengundang rasa dahaga.

Pintu peti sejuk sebesar almari pakaian itu dibuka, agak lama juga dia terpaku sebelum menutup kembali. Tak elok malam-malam minum air sejuk, cukuplah minum air masak je, orang kata boleh awet muda. Hish, asyik-asyik dengar kata orang aje, untuk kebaikan apa salahnya. Farisy tersenyum setelah air diteguk menuruni tekak sehingga menghilangkan dahaga. Dia bagaikan sedang menonton perbahasan, padahal perang bahas itu hanya berlaku di dalam hatinya.

“Ewah, senyum sampai tak sedar orang datang.” Farisy tersentak mendengar suara yang tidak asing baginya. Wajah Fadhil Imran, anak kedua dalam keluarganya itu dipandang sekilas. Senyuman kini adalah hadiah buat Fadhil, ikhlas.

“Datang macam tikus takut kucing terjaga macamana orang nak sedar.” Botol berisi air masak disuakan ke arah Fadhil yang sedang mengambil mug.

Fadhil menahan botol tersebut sebagai tanda dia menolak. “Mana main air takde rasa.” Fadhil tertawa kecil lalu mengangkat tangan kiri yang sedang memegang beg plastik berisi botol. “Jom mabuk.” Tawa yang terhenti bersambung kembali.

Kata-kata Fadhil membuatkan Farisy terperanjat. Mabuk? Biar betul abang aku ni. Diamati label botol yang masih berada di dalam plastik dengan teliti. “Cheh, ingatkan Carlsberg ke Tiger ke, rupanya Root Beer je.”

“Mana boleh telan sume tu. Haram.” Fadhil masih lagi dengan tawanya. “Tapi ni bukan sembarangan Root Beer tau. Ni Root Beer Float.”

“Apa kaba awek yang Bang Ngah cite dulu tu?” Farisy saja menukar topik. Lama tak bertemu dengan Fadhil membuatkan dia tertinggal segala kisah abang yang dirasakan sporting itu.

Raut wajah Fadhil berubah. Senyuman diwajahnya memudar. Fadhil cuba menyerikan wajahnya kembali dengan senyuman hambar. “Kitorang dah putus.”

Jawapannya ringkas, tapi cukup memeranjatkan Farisy. Selama ini dia hanya mengetahui yang positif sahaja, tak pernah mendengar kekurangan teman wanita Fadhil. Walaupun tidak pernah berjumpa, Farisy yakin perempuan itu cukup pakej untuk bergelar isteri. “Kenapa putus?” Farisy tidak menyedari mengapa mulutnya gatal bertanyakan hal tersebut.

“Bang Ngah dah bertunang. Tok Chik yang beria nak Bang Ngah bertunang dengan calon pilihannya.” Fadhil meneguk air yang sudah berada di dalam mug. “Dah bukan jodoh kitorang kot.” Suasana sepi seketika, Farisy tidak tahu bagaimana untuk menyerikan kembali keadaan. Fadhil mengangkat muka, bertentang mata dengan Farisy. “Hah, kau plak macamana? Dah dapat ke budak bisu yang kau ceritakan dulu.”

Tak terduga Fadhil bertanyakan perihal tersebut. Mungkin untuk mengubah hala perbincangan bagi membolehkan suasana ceria kembali. Farisy terdiam, rasa malu mula muncul. Macamana kalau Bang Ngah tau Melia tak pekak dan bisu. Macamana kalau Bang Ngah tau yang aku dah termalu di depan Melia. Hu hu.

“Orang tanya dia, senyap je. Nape ni? Berita sedih gak ke?”

Farisy tersengih. “Dia tak bisu.”

“Abis tu? Pekak?”

“Pun tak. Dia sempurna sifatnya.”

“Ha… dah tu?”

“Cuma masa tu orang ada luahkan pada dia. Iyelah, mana la orang tau yang dia tak pekak, tak bisu, orang pun terjah je la. Berani je sebab ingatkan dia tak dengar. Sekali dia marah daaa… dia kata dia dah tua tak layak untuk orang muda.”

Fadhil kembali ketawa. “Padan muka. Kau pun satu, yang sebaya dengan bakal akak ipar tak jadi kau tu gak yang kau nak.”

Farisy hanya mampu tersengih. Kata-kata Fadhil mengembalikan ingatannya pada Melia yang betul-betul sebaya dengan bekas teman wanita Fadhil. “Alah… cinta tak mengenal usia.”

“Cinta tak mengenal usia konon. Kau tu baru je lepas final exam untuk semester satu. Lambat lagi la ooi nak fikir pasal kawen-kawen ni.”

“Eleh, orang bukan nak kawen dengan dia sekarang. Cuma nak ikat biar takde orang yang cop.” Farisy termanggu lagi. “Entah apa yang dia buat sekarang ni. Dah kerja kot.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience