Bab 27

Romance Completed 15840

BAB 27

BAGASI yang tidak begitu besar dimuatkan pada tempat duduk belakang. Farisy bersalaman dengan Puan Khairiah lalu mengucup tangan, pipi serta dahi wanita itu. Tangannga beralih pula pada Encik Fauzi yang berada di sisi uminya. Farisy tak melepaskan peluang untuk mengucup tangan ayahnya.

“Jaga diri baik-baik. Jangan lupa solat.” Tak putus nasihat itu diberikan pada setiap kali anak-anaknya mahu bergerak ke destinasi masing-masing. Tidak kira siapapun mereka pasti nasihat itu juga diterima.

“Ni untuk belanja. Jimat sikit.” Encik Fauzi menghulurkan sekeping not lima puluh ringgit. “Ayah tau tak cukup untuk sebulan. Elaun bulan ni ayah dah transfer, tapi inter-bank kena tunggu dua hari.”

“Terima kasih ayah. Umi doakan orang selamat sampai.” Farisy tersenyum merenung umi yang sudah lali dengan perpisahan sebegitu.

“Jaga kereta akak kamu tu elok-elok. Jangan bagi calar.” Jarang benar Encik Fauzi memberi ingatan, kecuali apabila difikirkan penting. Farisy yang sudah berada di dalam kereta hanya mengangguk.

“Kalau bagi orang moto kan senang. Tak yah pinjam-pinjam kereta orang lain.” Farisy merungut walaupun dia tahu dia takkan dapat apa yang dimahukan itu.

“Umi kamu yang tak nak kamu naik moto. Dia takut kamu merempit nanti.” Puan Khairiah menjeling ke arah Encik Fauzi.

“Yelah… yelah… orang jalan dulu.” Farisy melambaikan tangan, menukar gear lalu menekan pedal minyak. “Assalammualaikum.”

Kebosanan mula menjengah jendela hatinya. Farisy tidak betah memandu seorang diri tanpa teman yang menghibur. Stereo kereta yang dihidupkan tidak cukup untuk menghalau kebosanan. Farisy mengeluh kecil. Matanya terpandang kawasan rehat yang terdapat medan selera di dalamnya. Tanpa membuang masa, Farisy membelok masuk ke perkarangan kawasan rehat tersebut. Bukan kerana lapar, hanya untuk menghilangkan rasa bosan.

Farisy memberhentikan kereta berhampiran dengan kerusi dan meja medan selera. Badannya disandarkan, masih lagi tidak bergerak keluar dari kereta. Gambaran wajah Melia menerpa layar minda. Terasa rindu dengan gadis itu. Biarpun seringkali bertemu pada hujung minggu, kesempatan itu masih tidak dapat mengurangkan rasa rindu tersebut. Hubungan mereka bertambah baik membuatkan Farisy bersemangat untuk meneruskan pengajian.

Stereo kereta dimatikan. Farisy membuka pintu kereta lalu keluar mendapatkan bangku yang paling hampir. Malas untuk berjalan jauh. Setelah memesan minuman, mindanya terkenangkan Arissya Melia. Dia tak tahu bagaimana cara untuk mendapatkan gadis itu menjadi miliknya. Bagi Farisy, Melia umpama merpati, berani menghampiri tetapi terbang apabila mahu ditangkap.

Farisy masih tak pasti sama ada dia berjaya memiliki Melia. Walaupun mereka agak rapat pada ketika ini, itu bukan jaminan yang Farisy akan berjaya menawan hati Melia. Dia tahu faktor usia menjadi penghalang hubungan perasaan. Sukar untuk Melia menerima jejaka yang lebih muda untuk menjadi pasangan hidup. Sekali lagi keluhan dilepaskan, setiapkali diajak berbicara soal hati pasti Melia akan mengelak. Farisy tak tahu bagaimana cara untuk memujuk Melia. Pintu hati Melia terlalu utuh untuk dirempuh masuk.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience