BAB 17

Romance Completed 1054

“Ini semua salah ayah…” Keluh Encik Bakri penuh dengan rasa
bersalah.

“Ayah, ini ketentuan takdir… bukan salah sesiapa pun.”
Pujuk Baizura. Sebagai seorang anak, dia perlu positif. Tidak akan
pernah sekalipun dia akan menyalahkan ayahnya. Takdir telah pun
diputuskan. Sebagai hamba, jalan yang terbaik adalah redha dengan segala
ketentuanNya.

“Sebab ayah seorang pembunuh, kamu dengan Shahrul tak dapat
bersama.. Kalaulah ayah dapat putarkan masa…”

“Ayah, perkataan kalau itu akan menyongsangkan iman… Zura
tak pernah salahkan ayah. Walau apapun yang terjadi, Zura akan tetap
sayangkan ayah..” Senyuman yang paling manis dihadiahkan buat Ayahnya
yang tersayang.

“Perangai kamu sebijik dengan mak kamu.. Seorang yang penuh
dengan kasih sayang. Tapi ayah yang silap kerana gagal melawan rasa
cemburu yang membuta tuli.”

“Sudahlah ayah. Perkara dah lalu tu biarkanlah berlalu. Yang
penting adalah masa depan. Apa yang penting sekarang, saya nak ayah jaga
kesihatan ayah baik semasa perninggalan saya nanti.”

“Perlu ke kamu pergi sejauh tu sayang..” Tangannya melekat
di rambut lurus milik Baizura. Persis rambut ibunya dulu.

“Perlu ayah. Ayah jangan risau. Saya janji akan balik selalu
dan melawat ayah. Saya pun akan selalu hantar surat. Ayah jangan bimbang
ya. Inikan anak ayah..” Baizura menyakinkan ayahnya tentang keputusannya
untuk meninggalkan Malaysia.

Encik Bakri hanya mengangguk perlahan. Dia cukup bahagia
kerana anaknya sanggup menerimanya walaupun setelah apa yang dilakukan
kepada ibunya dahulu.

‘Ya Allah, kau ringankanlah penderitaan anakku ini kerana
sedari kecil lagi dia telah diuji dengan segala macam ujian yang
adakalanya melebihi dari tanggungannya. Namun aku tahu, Kau Maha
mengetahui segala yang tersirat, Kau selamatkanlah anak aku walau dimana
dia berpijak di bumi pinjamanMu ini.’ Itulah doa ikhlas dari ayah buat
anaknya yang tersayang.

Pulangnya Baizura dari melawat ayahnya, dia terkejut melihat
suasa rumahnya yang lebih meriah lebih dari kebiasaan.

Di suatu sudut, dia terpandangkan kak Safiya bersama dengan
anak-anaknya. Meriah rumah mereka dengan suara mereka bermain.

“Baru balik Zura.” Tanya Safiya ramah.

“Aah. Tak tahu pulak akak nak balik hari ni.” Seketika,
mereka hilang dalam pelukan.

“Mak dah cerita semuanya. Sebab tu kita orang balik. Mak nak
kita makan sekali.” Jelas Safiya.

“Oh, Zura pergi tengok mak dulu ya.” Baizura memohon diri.
Dia tidak boleh memandang lirik mata Safiya. Pandangannya yang penuh
dengan simpati. ‘Tolonglah faham! Aku tak perlukan secebis pun simpati
dari korang semua.’

“Aina pun ada sekali.” Tegur Baizura apabile melihat Aina
yang sedang membantu emak di dapur. Dia memang seorang perempuan yang
ringan tulang. ‘Itu memang aku kalah sangat.’

“Mak cik jemput tadi. Baru balik.” Sadis sungguh dia
mendengar cerita dari bakal ibu mertuanya itu tentang kisah kasih yang
menimpa Baizura.

“Aah. Ada apa-apa yang boleh ditolong.” Majlis ini,
majlisnya jadi perlulah dia menyising lengan baju sekali. Tak kan nak
basuh tangan senduk nasi terus kan.

“Tak payahlah Zura. Pergi rehat nuh. Kan baru balik.”
Baizura tersenyum pahit. Dia bukannya tuan puteri yang sanggup bersenang
lenang dengan jerih payah orang lain. Kalau tuan puteri tu jenis yang
baik hati, pasti dia pun akan turut membantu.

“Alah mak, bukanya penat pun. Mak nak suruh Zura buat apa
ni.” Dia bukanlah jenis orang yang memandai buat itu ini. Kang lain
ingin dibuat, lain pula jadinya. Daripada nak buat mee kari, terus jadi
mee sup pulak. Hahaha

“Kan mak suruh pergi rehat. Pergilah naik. Kimi ada nak
tolong mak dengan Aina.” Entah dari mana suara itu muncul.

“Eh, sejak bila pulak Kimi rajin masuk dapur ni?” Namun
sakatan Baizura langsung tidak mendapat respon dari Hakimi.

Belum pernah dia merasa sekekok ini dengan Hakimi. Aina
dengan sudah mula memandang diantara satu sama lain. Bagai ada aura
tidak senang yang sedang menyelubungi mereka.

“Hmm, Zura tolong kupaskan kerang ni eh.” Baru sahaja dia
ingin mengangkat periuk yang penuh berisi kerang itu namun tiba-tiba dia
menjerit kerana kepanasan langsung membuatkan periuk itu terpelanting
jatuh ke bawah.

“Kan orang dah suruh pergi rehat, degil sangat.” Tidak
dipeduli langsung akan Baizura yang sedang mengerang kesakitan itu. Kali
ini, Hakimi benar-benar marah.

Hakimi merengus sambil mengutip kerang yang bertaburan.
Mujurlah periuk itu sudah dibuang airnya. Kalau tidak, pasti tangan
Baizura akan melecur teruk.

“Kalau ya pun, tak payahlah tengking-tengking. Cakap jelah
elok-elok.” Entah kenapa, Baizura sendiri tidak dapat mengawal
perasaannya. Hakimi sudah mula menguakkan rambutnya.

“Zura, tolong ambilkan daun kari kat belakang.” Mujurlah ada
Puan Latifah yang meleraikan kekusutan yang membelit.

Baizura hilang disebalik pintu. Aina pula memandang Hakimi
dengan seribu perasaan. Dia tahu, Hakimi terlalu menyanyangi Baizura.
Terlalu…

“Mak, kenapa ni?” Entah kenapa, tiba-tiba wajah Puan Latifah
dibanjiri oleh air mata.

“Kimi tak pernah marah Zura macam tu sekali. Apalah nak jadi
sebenarnya?” Soalan itu bukan ditujukan buat Aina. Malah dia tahu, tiada
seorang pun yang boleh menjawab soalan itu.

Aina mengosok-gosokkan bahu Puan Latifah. Dia mula tidak
sedap hati. ‘Adakah Hakimi akan meninggalkannya dan berpaling kepada
Baizura. Bukankah inilah yang ditunggu-tunggu selama ini oleh Hakimi?
Habis tu, dimana Hakimi ingin mencampakkannya? Adakah Hakimi akan
memperlakukannya seperti mana Azli membuangnya dahulu?’ Kusut sungguh.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience