BAB 4

Romance Completed 1054

Hujung minggu itu, Safiya sekeluarga pulang. Baizuralah yang
paling bahagia kerana dapat melayan anak-anak saudarannya yang comel itu.

“Mimi dengan fikri nak aiskrim tak?” Tanya Baizura yang
sedang mengendong anak kecil itu.

“Nak.” Jawab mereka serentak. Tidak perlu ditanya pun, dia
sudah dapat mengagak jawapannya.

Dari kejauhan, Hakimi tidak lepas dari memandang gadis yang
dicintainya itu. Dia melepaskan keluhan kecil. Tidak sedar yang Safiya
sudah berada di belakangnya.

“Apa yang dikeluhkan tu?” Soal Safiya.

“Tak ada apa-apalah Long.” Hakimi tersengih. Safiya
tersenyum tawar. Faham apa yang bermumkin di dalam hati adiknya itu.

“Kalau dari dulu lagi Kimi dengar cadangan akak, mesti
sekarang dia dah jadi milik Kimi pun.” Sedikit sebanyak, dia menyalahkan
Hakimi kerana tidak berterus terang dari dulu lagi tentang perasaannya.

Safiya pernah mencadangkan pada Hakimi supaya meluahkan
perasaannya pada Baizura sebelum dia pergi melanjutkan pelajaran. Namun
ditolak keras oleh Hakimi.

“Susah Long. Cuba Along bayangkan, kalau saya ikat dia lepas
tu dia jumpa dengan orang yang dia suka, masa tu mesti lagi teruk.
Lagipun, saya tak nak dia terima saya sebab terhutang budi dengan
keluarga kita.” Kata-kata Hakimi, ada kebenarannya.

“Kalau Kimi dah cakap suka kat dia, tak kanlah dia nak cari
yang lain.” Safiya tidak mahu kalah.

“Long, memang susah bila kita bercakap soal perasaan ni.
Saya tak nak ikat perasaan dia. Saya tak nak dia rasa serba salah.”
Memang sukar untuk membuatkan orang faham tentang situasinya sekarang.

“Yalah. Along faham perasaan Kimi. Tapi kalau betullah dia
jadi menantu keluarga ni, mesti mak dan abahlah orang yang paling
gembira kan.” Hakimi tersenyum hambar mendengar angan-angan alongnya.

Hakimi terus melemparkan pandangan pada Baizura yang masih
tidak penat melayan karenah anak-anak Alongnya. ‘Ya Allah, kau
tunjukkanlah sifat tercela Zura supaya aku dapat mengaburkan pandangan
mata hatiku dari terus menyintainya. Supaya ada sesuatu yang dapat
menghilangkan rasa cintaku padanya.’

Baizura menghidangkan minuman petang di taman mini rumah
mereka memandangkan semuanya sedang berkumpul di situ.

“Baik budaknya. Lembut je. Cantik pun cantik. Mak memang
berkenan sangat kalau nak dibuat menantu.” Kata-kata emaknya menarik
perhatiannya. Siapakah gerangan yang diperkatakan sekarang.

“Kalau baik untuk mak, kami ni tak ada masalah pun. Cuma
kena tanya tuan punya badanlah.” Giliran Safiya pula menambah. Baizura
jadi pelik sendiri.

“Rancaknya berborak. Cerita pasal apa ni?” Perasaannya yang
membuak-buak ingin tahu membuatkan dia segera menyampuk.

“Tetang bakal kakak ipar Zura.” Tutur kata Encik Hamdan
mengejutkan Baizura.

Safiya memandang sekilas ke arah Baizura. Cuba mencari jika
ada riak cemburu di wajah itu. Namun hampa. Yang ada cumalah tanda terkejut.

“Untuk Hakimi?” Tanyanya. Memohon kepastian.

“Yalah. Tak kan untuk abang pulak.” Sampuk Suhaimi merangkap
suami Safiya sambil diringi oleh gelak tawa yang lain-lain.

“Bila Hakimi bawa dia datang sini?” Soal Baizura masih tidak
faham.

“Hakimi tak kenal pun. Mak yang nak padankan dia orang.”
Terang Puan Latifah mesra. Hatinya sudah mula melakar angan-angan indah.

“Kimi setuju?” Tanyanya lagi.

“Sebab Kimi setujulah, kami nak bincang ni.” Ceria sahaja
nada suara Encik Hamdan menjawab.

Segera Baizura melarikan langkah. Dia inginkan penjelasan
dari Hakimi. Masakan lelaki itu bersetuju sedangkan lelaki itu mencintai
orang lain.

“Kimi!” Jerit Baizura apabila dia berada di tingkat atas.

“Kenapa jerit-jerit ni.” Tegur Kimi yang sedang berada di
balkoni rumah.

“Betul ke apa yang Zura dengar? Kimi nak kahwin.” Serkap
Baizura tanpa selindung.

“Bukan nak kahwin lagi. Cuba baru nak berkenalanlah.” Terang
Hakimi sambil tersenyum sedikit.

“Berkenalan? Bukan ke Kimi dah ada orang yang Kimi sayang?”
Dia bertanya lagi.

“Orang tu akan kekal sebagai orang yang Kimi sayang Zura.
Semuanya ini tak akan mengubah apa-apa.”

“Habis tu, kenapa nak berkenalan dengan orang lain. Tak ke
Kimi macam mainkan perasaan orang.” Putusnya sendiri.

“Zura, perasaan sayang Kimi pada dia akan Kimi simpan sampai
bila-bila. Kimi bahagia melakukannya. Tapi perasaan bahagia tu tak
semestinya dapat dirasa oleh mak dan abah. Mereka nak Kimi bahagia
dengan pilihan mereka. Kadang-kadang, orang tua ni tahu jalan
kebahagiaan anak dia. Jadi, Kimi cuma cuba lakukan yang terbaik untuk
semua.” Jelas Kimi satu persatu. Baizura senyap. Mungkin sedang berfikir.

“Sayang, kita kena tahu yang cinta tu tak semestinya akan
bersatu. Adakalanya ia perlu berjauhan atau berpisah kerana takdir tak
selalunya akan menyebelahi kita. Pengalaman diri membawa kepada
kerendahan hati bukan kepada kesombongan mendongak ke atas tanpa melihat
langsung ke bawah. Lahirkan rasa syukur bila Allah beri nikmat hidup.
Kita kena sentiasa mengecapi nikmat kehidupan yang diberikan dengan
kerendahan hati.

Hilang cinta tak semestinya hilang segala-galanya. Hidup ini
ada banyak benda lagi yang perlu diperjuangkan. Malulah Kimi kalau Kimi
telah dikalahkan oleh cinta. Seharusnya Kimi perlu lebih kuat untuk
mencari cinta yang baru. Yang lebih baik untuk Kimi.” Tenang. Itulah
satu perkataan yang boleh digambarkan sekarang.

Baizura tersenyum. Senyuman yang dia sendiri tidak dapat
mentafsirkan maknannya. Dia cemburu melihat kesabaran Hakimi yang
menggunung. Cinta wanita manakah yang telah membuatkan Hakimi kelihatan
sangat kuat itu?

“Kenapa Zura senyum?” Soal Hakimi. Dia juga ikut turut
tersenyum.

“Kalau Zura, Zura tak pasti boleh sekuat Kimi atau tidak.”
Ucapnya ikhlas. Ya, dia pasti tidak akan setenang Hakimi jika menghadapi
perpisahan dengan orang yang disayangi.

“Zura, bila kita dah menghadapi saat begini, sama ada
bersedia atau tidak, kita pasti akan boleh menghadapinya. Percayalah.”
Memang itulah hakikatnya. Dahulu, dia tidak pasti sama ada dia akan kuat
atau tidak. Tapi kini, dia sudah punya jawapannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience