BAB 10

Romance Completed 1054

Lampu yang tadi diterangi cahaya tiba-tiba disapa kegelapan.
Baizura meraba-raba katilnya. Mencari telefon bimbit untuk meminjam
sedikit cahaya.

Dia membuka pintu bilik. Mencari sesiapa namun tiada satu
kelibat pun yang kelihatan. Dia mula melangkah turun ke tangga.

Mujurlah ada cahaya telefon bimbit yang dapat membantu dia
terus melangkah meredah kegelapan. Namun langkah kakinya terhenti
apabila ada sesuatu yang menariknya sehingga dia terjerit kecil.

“Jangan bergerak.” Ujar satu suara yang Baizura tidak kenali
malah ada pisau kecil yang dihunus ke lehernya.

“Kau siapa? Kau nak apa hah?” Tanya Baizura berani. Tika
ini, dia tidak boleh kelam kabut. Sedaya upaya dia cuba menenangkan diri
sendiri.

“Aku nak kau.” Kata-kata yang terbit dari mulut lelaki itu
begitu menakutkannya. Dia perlu lakukan sesuatu.

Serta merta dipijak kaki lelaki itu dengan sekuat hati
kemudian digigit lelaki itu dengan sepenuh tenaganya .Terdengar lelaki
itu mengerang kesakitan.

“Kenapa Zura?” Tiba-tiba Hakimi muncul entah dari arah mana,
Baizura juga tidak menyedarinya.

“Kau siapa?” Dalam kesamaran cahaya, Hakimi menyedari, ada
makhluk lain yang turut ada di rumahnya ini.

Tiba-tiba sahaja lelaki yang memakai topeng itu menghunuskan
pisaunya ke perut Hakimi sehingga memuntahkan darah pekat.

“Kimi!” Jerit Baizura lantang lantas mendekat ke arah Hakimi
yang sudah terbaring kelesuan.

“Tolong!” Dalam keadaan kelam kabut itu, Baizura tidak boleh
memikirkan apa-apa lagi apatah lagi apabila melihat sekujur tubuh Hakimi
yang tidak bergerak lagi.

Kegelapan yang menghimpit tadi tiba-tiba diterangi cahaya
terang. Lelaki bertopeng itu melangkah mendekat ke arah Baizura.
Baizura menelan air liurnya beberapa kali.

Pisau yang dihunus itu telah berada di lehernya sekali lagi.
Baizura redha jika ajalnya sampai tika ini.

“Selamat hari jadi Zura.” Dengan pantas, Azlan menanggalkan
topeng yang sedari tadi menyembunyikan wajahnya. Baizura beristifar
panjang apatah lagi apabila melihat Hakimi yang terbaring lesu itu
tiba-tiba tergelak sakan.

Malah bukan setakat itu sahaja, malah ahli keluarga yang
lain juga ikut turut keluar dari tempat persembunyian mereka malah terus
menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi kepada Baizura.

Baizura mengetap bibirnya. Entahlah, seram sejuk ada, geram
dah confirm dah, takut, nak gelak, teruja, seronok semuanya bagai
digaulkan bersama.

“Selamat hari lahir Zura.” Ucap Encik Hamdan dan Puan
Latifah. Baizura bersalaman dengan keduanya dengan penuh sopan.

“Mak dengan abah sepakat sekali eh?” Tanya Baizura manja.

“Alah, kita orang bukan sengaja. Kita orang kena paksa
dengan si Kimi ni.” Spontan sahaja jawapan itu keluar dari mulut Encik
Hamdan.

“Eh, Kimi pulak yang disalahkan.” Hanya gelak tawa yang
mampu disertakan sekali. Tidak ada orang yang ingin menyokongnya kali ini.

“Nah, ini hadiah dari ayah.” Encik Hamdan menghulurkan
sekeping sampul surat.

“Alah abah ni, wat susah-susah je. Zura kan dah besar.
Hadiah ni untuk budak kecik je.” Jawab Baizura segan kerana diperlakukan
lebih dari anak-anak Encik Hamdan yang lain.

“Eh, apa pulak besarnya. Badan Zura tu pun macam budak lagi.
Ambillah hadiah abah tu.” Kali ini, Puan Latifah pula yang bersuara. Dia
tahu, anaknya itu segan.

Baizura mengambil dan membuka sampul surat itu dengan
teragak-agak. Entah apa lagi kejutan yang bakal mencabut urat jantungnya.

“Betul ke ni abah?” Soal Baizura tidak percaya. Surat itu
adalah surat perlantikan jawatan sebagai pengurus kewangan di syarikat
milik abahnya.

“Betul. Zura akan mula start kerja minggu depan.” Baizura
sendiri tidak pasti sama ada ini adalah berita baik atau pun buruk
kepadanya. Dia bukan tidak mahu bekerja di syarikat milik Encik Hamdan
tetapi kalau boleh dia mahu berdikari sendiri. Dia tidak mahu
kalau-kalau anak-anak Encik Hamdan yang lain berfikiran yang bukan-bukan
tentangnya.

“Alah abah, apa kata kalau Zura kerja dengan abah tiga bulan
nanti sebab syarikat Zura tu kena bayar papasan kalau berhenti mengejut
macam ni.” Dalih Baizura.

“Jangan risau, itu abah akan tanggung. Yang penting, Zura
kena kerja dengan abah. Lagipun, abah tak beranilah nak bagi jawatan ni
kat orang luar sedangkan abah tahu yang anak abah ni lebih layak untuk
memegang jawatan ni.”

Akhirnya Baizura hanya mengangguk. Apa salahnya jika dia
menuruti kehendak abahnya yang satu ini kerana sudah banyak kehendak
hatinya yang sudah Encik Hamdan tunaikan. Inilah waktu yang sesuai untuk
membalasnya.

“Apa lagi, jomlah kita makan.” Akhirnya mereka beramai-ramai
makan pizza yang telah ditempah khas oleh Hakimi.

Hari ini genaplah dua puluh lima tahun umurnya. Bermakna
sudah lima belas tahun dia menumpang kasih di rumah Encik Hamdan dan
Puan Latifah. Sudah banyak jasa yang telah ditabur kepadanya.

“Menung apa lagi tu?” Tegur Hakimi dengan senyuman yang
tidak lekang dari bibirnya.

“Tengah berfikir.” Jawab Baizura serius.

“Fikir apa?” Hakimi tertanya-tanya sendiri.

“Apalah yang Zura nak kenakan Kimi masa birthday Kimi nanti
eh?” Seraya itu, Hakimi tergelak besar sedangkan muka Baizura masam mencuka.

“Bunyi macam orang marah je.” Dia tahu Baizura marah-marah
sayang kepadanya.

“Mahu tak marah. Nak tercabut jantung Zura tau. Kalau
tercabut betul-betul cam mana? Zura belum kahwin lagi tau.” Sekali lagi,
Hakimi tergelak besar.

“Amboi, gatal betul Zura ni…” Belum lagi dia sempat
menghabiskan ayatnya, satu cubitan hinggap di lengannya.

“Okay-okay…. Sorylah sayang…. Lain kali tak buat lagi eh.”
Serta merta diangkat tangannya tanda berjanji.

“Ingat senang-senang ke Zura nak maafkan.” Baizura
tersenyum. Ada ruang untuknya bermain tarik tali dengan Hakimi.

“Oh okay… Zura nak apa? Zura cakap je.”

“Hadiah birthday Zura mana?” Dia menadahkan tangannya.

“Alamak, Kimi lupalah nak beli. Hutang dululah hadiah tu
eh.” Ujarnya sambil tersengih sumbing.

“Ada pulak main hutang-hutang. Zura nak sekarang jugak.”
Sengaja dia mengesa.

Hakimi mencapai gitar yang diletakkan berdekatan dengan
mereka dan memainkan sebuah lagu puisi kepada Baizura.

Baizura tersenyum melihat hadiah yang telah awal-awal lagi
Hakimi letakkan di dalam biliknya. Tangannya mengelus lembut sepasang
tudung yang bermotifkan bunga-bunga.

Segera dia mencapai telefon bimbitnya dan menghantar ucapan
terima kasih di atas pemberian Hakimi itu. Satu hari nanti, pasti dia
akan memakainya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience