PART 5

Drama Series 9413

Sesampai sahaja di rumah Dato' Sri Adnan. Aina memulangkan balik selendang yang diberi Farhan.

“tak apa kau simpan je selendang tu,sesuai pulak kau pakai.."ucap Farhan.

Aina menaip.tak apalah,awak ambil lah saya tak perlu pun selendang ni.

Farhan menggeleng sambil tersenyum kecil. “Aku cakap simpan, simpan je lah. Anggap je sebagai hadiah daripada aku,” ucapnya dengan nada lembut.

Aina menaip: Saya tak biasa terima hadiah, lebih-lebih lagi dari awak.

Farhan membaca mesej itu dan tertawa kecil. “Kau ni peliklah. Orang bagi hadiah, terima je lah. Lagi pun, aku rasa selendang tu memang nampak cantik bila kau pakai.”

Aina tersentak seketika, pipinya mulai terasa hangat. Dia cepat-cepat menaip: Jangan nak puji sangat, nanti saya percaya.

Farhan ketawa kecil lagi. “Percaya pun tak apa. Kau memang cantik, Aina.”

Aina segera mengalihkan pandangannya ke arah lain, cuba mengelak dari bertentang mata dengan Farhan. Dia mengetik mesej terakhir: Kalau awak dah tak ada apa-apa lagi nak cakap, saya masuk dulu.

“Pergilah. Tapi ingat, aku serius suruh kau simpan selendang tu,” ucap Farhan sebelum memandu pergi.

Aina berdiri di depan pintu rumah sambil memegang selendang itu. Hatinya sedikit terusik dengan kata-kata Farhan. Walaupun lelaki itu selalu kelihatan sinis dan bersahaja, ada kalanya dia tahu bagaimana membuatkan hati Aina berdebar tanpa sebab.

“Macam mana keluar dengan Farhan? Seronok? Dah pilih baju pengantin?” tanya Datin Sri Aishah dengan senyuman.

Aina mengangguk perlahan, kemudian menggunakan bahasa isyarat untuk menjawab, “Dah. Mama, kenapa mama setuju cadangan atuk untuk satukan Aina dengan Farhan? Kami tak pernah kenal pun, kenapa mama nak jodohkan Aina dengan dia?”

Datin Sri Aishah memandang Aina dengan senyuman lembut. “Siapa kata Aina tak kenal Farhan? Aina kenal Farhan sejak kecil lagi. Mama faham, Aina tak ingat memori waktu umur tujuh tahun, tapi sebenarnya Aina dan Farhan dah banyak kali berjumpa sejak dulu. Atuk tahu semua ni, sebab tu dia cadangkan supaya kalian disatukan.”

Aina terdiam seketika, terkejut dengan pendedahan itu. Dia kemudian menggerakkan tangannya dengan lembut untuk bertanya, “Jadi, Aina memang kenal Farhan sebelum Aina hilang ingatan? Kenapa Aina tak ingat apa-apa tentang dia?”

Datin Sri Aishah menghela nafas panjang. “Mama tahu, ini memang membingungkan untuk Aina. Tetapi semuanya akan terjawab sedikit demi sedikit. Aina tak perlu tergesa-gesa. Satu hari nanti, Aina akan faham sendiri.”

Aina memandang wajah ibunya, merenungnya dalam-dalam, sebelum mengangguk perlahan. Ada rasa ingin tahu yang mendalam di hati Aina, tetapi dia memilih untuk tidak bertanya lebih banyak.

“Ok lah mama, Aina naik atas dulu, nak mandi lepas tu nak rehat,” ucap Aina menggunakan bahasa isyarat, sambil tersenyum nipis.

Datin Sri Aishah mengangguk perlahan sambil memandang anaknya dengan penuh kasih sayang. “Pergilah rehat, Aina. Kalau ada apa-apa, panggil mama, ya,” balas Datin Sri Aishah, cuba memahami pergerakan tangan Aina dengan baik.

Aina hanya mengangguk kecil, lalu berjalan menaiki tangga dengan langkah perlahan. Dalam hatinya, pelbagai persoalan mengenai Farhan dan masa lalunya terus bermain, tetapi dia memilih untuk mengetepikan dahulu semua itu buat sementara. Dia hanya mahu menikmati waktu tenang di biliknya.

Di rumah keluarga Farhan, suasana agak tegang di ruang tamu besar yang dihias mewah. Datin Farah duduk di atas sofa sambil membelek katalog rekaan pelamin, wajahnya kelihatan serius.

“An, sini kejap. Mama nak kamu pilih konsep apa yang kamu nak untuk pelamin kamu...” ucap Datin Farah dengan nada tegas, matanya memandang Farhan yang baru masuk ke dalam rumah.

Farhan yang baru pulang, kelihatan penat. Dia merebahkan diri ke sofa sambil menutup mata seketika. “Esok-esok je lah, mama. An penat lah,” jawabnya malas.

Datin Farah meletakkan katalog itu ke meja dengan kuat, jelas tanda tidak puas hati. “Farhan,” panggil Datin Farah lagi, nadanya lebih mendesak.

Farhan membuka mata, memandang ibunya dengan riak tidak senang. “Ish, mama ni. Cukup-cukuplah paksa An. Kahwin dengan perempuan bisu pun An dah ikut cakap mama. Kan An dah cakap, An serahkan semua keputusan tu kat mama,” balas Farhan dengan nada sedikit keras, suaranya penuh keluhan.

Datin Farah memandang anaknya tajam. “An, mama buat semua ni untuk masa depan kamu. Aina tu baik orangnya. Jangan nak mengeluh lagi.”

Farhan mendengus kecil sambil menyandarkan kepalanya ke sofa, pandangannya kosong ke siling. Dia masih belum dapat menerima hakikat tentang perkahwinannya yang bakal berlangsung. Dalam hatinya, ada rasa kecewa dan terkilan, tetapi dia tidak mahu terus membantah kehendak ibunya.

“Farhan, Aina tu budak baik, An layanlah dia elok-elok,” ucap Datin Farah dengan suara yang lebih lembut namun tegas. “Sebenarnya mama nak dia keluar dari rumah tu. An tahu kan perangai Tan Sri Ayub tu macam mana. Dia tak nak sesiapa pun dekat cucu dia, sebab tu perkahwinan ni hanya keluarga terdekat saja yang datang.”

Farhan mengangkat kening, wajahnya berkerut tanda tidak puas hati. “Habis tu, kenapa pulak nak buat besar-besaran kalau keluarga je yang datang?” balasnya, nada sinis jelas kedengaran.

Datin Farah menarik nafas panjang, cuba menahan sabar. “Besar atau kecil tu bukan masalahnya, An. Ini soal maruah keluarga. Kalau buat kecil sangat, apa orang nak kata? Kita ni keluarga besar, takkan nak buat macam kenduri biasa-biasa. Lagipun, mama nak majlis tu tetap nampak sempurna walaupun tertutup.”

Farhan tersenyum hambar sambil menggeleng kepala. “Mama ni memang pandai susun alasan.” Dia bangun dari sofa dan berjalan menuju ke arah tangga. “Tapi satu je An nak pesan, jangan harap An layan perempuan tu lebih daripada sepatutnya.”

“Farhan!” panggil Datin Farah dengan nada amaran, namun Farhan sudah pun hilang dari pandangan, naik ke biliknya.

Datin Farah hanya mampu menggelengkan kepala, hatinya risau memikirkan sikap anak lelakinya itu. Dia tahu Farhan masih belum boleh menerima Aina, tetapi dia berharap waktu akan mengubah segalanya.

Aina pergi ke rumah Datin Farah.
“Ya Allah, Aina, bila sampai? Datang dengan siapa?” ucap Datin Farah sambil tersenyum ramah melihat Aina di hadapan pintu.

Aina menaip di telefon bimbitnya. Datang dengan bodyguard papa.

“Ouuh, jom masuk. Auntie nak bincang pasal perkahwinan kamu ni...” ucap Datin Farah sambil mempersilakan Aina masuk ke dalam rumah.

Aina mengangguk perlahan lalu mengikuti Datin Farah menuju ke ruang tamu yang mewah dan kemas. Aroma bunga segar memenuhi ruangan itu. Datin Farah duduk di sofa sambil memandang Aina yang turut mengambil tempat di hadapannya.

“Aina, kita dah tak banyak masa untuk persiapan ni. Auntie nak tahu, ada apa-apa yang kamu nak atau tak suka untuk majlis nanti?” soal Datin Farah lembut, cuba memastikan semuanya berjalan lancar.

Aina menaip di telefon. Saya ikut je, auntie. Apa-apa yang auntie dan Farhan pilih, saya tak kisah.

Datin Farah memandang Aina dengan pandangan penuh simpati, seakan memahami situasi gadis itu. “Aina, kamu jangan risau. Auntie akan pastikan semua ni sempurna. Farhan pun walaupun nampak keras kepala, dia sebenarnya baik hati.”

Aina tersenyum kecil sambil menaip lagi. Terima kasih, auntie. Saya tak mahu susahkan sesiapa.

Datin Farah menghela nafas panjang. “Aina, ini bukan soal menyusahkan sesiapa. Auntie nak yang terbaik untuk kamu dan Farhan. Kamu dua ni ada sejarah, walaupun kamu mungkin tak ingat.”

Aina mengangkat kening tanda terkejut. Sejarah apa, auntie? taip Aina cepat-cepat.

Datin Farah tersenyum hambar. “Nanti kamu akan tahu, sayang. Sekarang ni, kita fokus pada majlis dulu, ya? Jangan fikir yang bukan-bukan.”

Aina hanya mengangguk perlahan, walaupun hatinya dipenuhi tanda tanya.

Di ruang tamu Datin Farah, suasana terasa tenang dengan hiasan mewah yang menambah keanggunan rumah itu.

“Sayang, ni ok kan? Auntie suka lah konsep ni, nampak modern sangat,” ucap Datin Farah sambil memandang katalog pelamin yang dipegangnya.

Aina, yang duduk di sofa bertentangan, segera mengambil telefon bimbitnya dan menaip. Apa yang auntie suka, Aina setuju je.

Datin Farah tersenyum melihat respons Aina. “Tapi, bolehkan kita ambik konsep ni untuk sanding? Kalau untuk nikah, auntie serahkan kat Aina. Kamu pilih apa yang kamu rasa selesa.”

Aina memandang Datin Farah seketika, kemudian mencapai katalog lain yang terletak di meja. Dia membelek helaian demi helaian sebelum matanya tertumpu pada satu reka bentuk yang menarik perhatiannya. Dengan senyuman kecil, Aina membuka helaian yang menunjukkan baju kurung moden yang ringkas tetapi elegan. Dia menolak katalog itu ke arah Datin Farah dan menuding jari pada gambar pakaian itu.

Datin Farah memandang reka bentuk yang dipilih Aina. “Hmm, baju kurung moden? Wah, cantik ni, Aina. Ringkas tapi nampak eksklusif. Auntie suka pilihan kamu.”

Aina mengukir senyuman kecil sambil mengangguk. Dia menaip lagi di telefonnya. Aina lebih selesa pakai macam ni, auntie. Tak terlalu sarat.

“Betul tu, sayang. Kesederhanaan tu kan lebih baik. Lagipun, kamu memang dah cantik, tak perlu nak berlebihan,” ucap Datin Farah sambil memandang Aina dengan pandangan penuh kasih.

Aina hanya mampu tersenyum kecil, hatinya sedikit lega apabila pilihannya diterima. Namun, jauh di sudut hati, dia masih tertanya-tanya bagaimana masa depannya bersama Farhan akan berjalan.

“hmm Aina auntie pergi atas kejap nak ambik katelok lain tunggu tau sini"ucap datin Farah.

Aina angguk kepala.setelah datin Farah naik keatas aina bangun dan berjalan di sekeliling rumah datin Farah.

Aina mendekati sangkar kucing yang terletak di sudut ruang tamu. Matanya memandang seekor kucing berbulu lebat berwarna putih kelabu yang sedang tidur dengan lena. Perlahan-lahan, dia berlutut di hadapan sangkar itu, senyum kecil terukir di bibirnya.

Tangan Aina perlahan menyentuh jeriji sangkar, menarik perhatian si bulu gebu. Kucing itu membuka matanya dengan malas, kemudian bangkit dan mendekatkan hidungnya ke arah jari Aina.

Aina tersenyum lagi, seolah-olah berkomunikasi tanpa suara dengan kucing tersebut. Tangannya bergerak ke belakang untuk mengambil telefon bimbit dari poket dressnya. Hai comel, nama awak apa? dia taip di skrin sambil menunjukkan mesej itu ke arah sangkar, seakan-akan kucing itu mampu membaca.

Tanpa disedari, langkah Farhan menghampiri dari belakang. Dia berdiri sambil bersandar di dinding dengan tangan bersilang di dada, memerhatikan gelagat Aina yang sedang ‘berbual’ dengan kucing itu.

“Kucing tu tak reti baca, tau,” suara Farhan memecah keheningan, nadanya sedikit sinis.

Aina terkejut kecil, segera berpaling dan berdiri sambil memegang telefon. Dia menjeling Farhan tajam sebelum menaip sesuatu dengan pantas. Kemudian, dia memusingkan skrin telefonnya ke arah Farhan. Saya suka kucing, tak perlu awak sibuk.

Farhan tersenyum sinis, “Tak payah tunjuk garang sangat. Tu kucing kesayangan mama, nama dia Snowy.”

Aina melirik kembali ke arah kucing di dalam sangkar dan menaip. Snowy? Nama dia sesuai. Comel macam dia.

Farhan memandang wajah Aina yang sedang asyik memandang Snowy, pandangannya sedikit lembut kali ini. Dia mendengus kecil. “Huh, perempuan bisu pun pandai cakap kucing comel. Tapi kau tu…”

Aina mengangkat kening, memberi isyarat tidak puas hati sebelum menaip pantas di telefon. Awak ni suka sangat cari gaduh, kan?

Farhan hanya ketawa kecil sambil berlalu pergi. “Sudahlah, jom duduk balik. Mama kejap lagi turun.”

Aina menghela nafas perlahan, memandang Snowy sebelum tersenyum tipis dan kembali ke tempat duduknya. Di dalam hati, dia berasa lebih tenang dengan kehadiran makhluk kecil itu yang seolah-olah memahami perasaannya.

Aina yang ingin duduk terus teringatkan telefonnya. Dia cepat-cepat mencuit lengan Farhan, membuatkan lelaki itu berpaling dengan wajah keliru.

“Apa?” soal Farhan dengan nada malas.

Aina segera menggunakan bahasa isyarat, “Awak ada nampak tak telefon saya?”

Farhan berkerut dahi, tidak faham. “Aku tak faham, kau nak cakap apa ni…” ucapnya dengan nada bosan.

Aina mengeluh kecil sambil bangun menuju ke sangkar kucing Snowy. Matanya tertancap pada telefon yang terjatuh di bawah sangkar itu. Dengan berhati-hati, Aina tunduk dan mengambil telefonnya.

Namun, sewaktu dia berpaling ingin kembali ke ruang tamu, kakinya tersandung di sudut permaidani. Tubuh Aina hilang imbangan dan hampir jatuh ke lantai, tetapi Farhan sempat menyambutnya.

“Eh, kau ni! Kalau jatuh pun, janganlah jatuh depan aku!” ucap Farhan dengan nada geram, tetapi matanya tidak lepas memandang wajah Aina yang jelas terkejut.

Aina hanya terkebil-kebil memandang Farhan sebelum cepat-cepat berdiri dan membetulkan rambutnya yang sedikit kusut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience