Bab 2

Drama Series 6054

Pulang saja malam itu, Ria Azween terdampar lelah di sofa sebaik masuk ke dalam rumah apabila disambut Kak Suri yang merupakan pembantu rumah mertuanya bersama segelas air putih.

“ Nampak letih sangat la Win ni. Nah, minum air kosong dulu. Bagi semua aura negatif tu keluar." ujar Kak Suri sambil menyerahkan gelas kaca berisi air putih itu dengan senyuman.

“ Terima kasih Kak Suri. Tau-tau aje Win dahaga. Panas betul hari ni kak." sambut Azwin dengan tangan kanan manakala tangan kiri mengipas bahagian depan tudungnya ke wajah. Dia tersengih sejurus gelas kaca di bawa ke mulut dan mula meneguk air tersebut sehingga kering.

“ Sama-sama." Tergeleng Kak Suri dengan gelagat Azwin. Sudah menjadi tugas Kak Suri untuk menyambut serta melayan penghuni mahupun tetamu Villa Sentosa.

Azwin baru saja mahu bangun dari sofa namun ada suara riang yang tiba-tiba memanggilnya lantas membantutkan pergerakannya. Tak jadi bangun dia duduk semula. Menoleh ke kanan, kelihatan Nia Shaqila tersenyum ceria memeluknya dengan tangannya membawa sekeping kertas lukisan.

“ Assalammualaikum mama."

“ Walaikumusalam." jawab Azwin lalu membalas pelukan dan ciuman anak perempuannya.

“ Seronok je mama tengok. Ada apa-apa ke?" soal Azwin hairan dengan gelagat anaknya. Wajah Qiqi ceria dan gembira. Tidak pula seperti pagi tadi. Masam mencuka saja.

“ Mama tengok ni cantik tak?" ujar Nia Shaqila teruja sambil menunjukkan hasil kreativitinya di atas kertas putih itu.

Azwin mengambil kertas lukisan dari tangan Qiqi. Terus iris matanya mencerap lukisan yang sudah di warnakan itu.

Di atas kertas itu terdapat lukisan beberapa bentuk awan larat yang bergulung-gulung seperti megi. Di celahan awan terdapat pula matahari yang sedang tersenyum kerana mempunyai mata dan mulut. Berjarak dua inci di bawah matahari dan awan terdapat beberapa bentuk ‘M' kecil yang Azwin kira itu adalah burung. Matanya terus memerhati lakaran yang lain. Azwin beranggapan lukisan yang ada di situ semuanya cantik walaupun cara mewarnanya agak comot sehingga terkeluar dari garisan asal. Namun bagi kanak-kanak yang baru belajar menggunakan saraf motor kasarnya seperti Qiqi, lakaran dan paduan warna pada objek di atas kertas itu sangat sesuai dan sepadan. Azwin tersenyum kagum.

Matanya meliar ke bawah lagi. Terlakar di sudut bawah adalah susuk empat orang manusia di mana ada dua orang dewasa dan dua orang kanak-kanak di kiri kanan manusia dewasa itu. Di atasnya tertulis nama Qiqi, Papa, Mama dan Iqie. Di tengah-tengah lakaran bentuk manusia dewasa terletak juga bentuk hati yang besar dan di warnai dengan warna biru.

“ Cantik Qiqi lukis. Bijak sayang mama ni. Tapi kenapa bentuk hati tu warna biru?" puji Azwin dan sempat juga bertanya. Dia sedikit musykil. Sepatutnya bentuk hati itu haruslah di warnakan dengan warna merah.

Tersengih Qiqi dengan senyuman sebaik mendengar pujian si ibu.

“ Oh ini sebab pernsel warna Qiqi yang merah dan merah hati tu dah patah. Sebab tu Qiqi warnakan biru. Lagipun mama cakap, papa suka warna biru kan!" terang Qiqi manja.

“ Ooo.." hanya itu yang di balas Azwin. Dia sudah tidak boleh menyambung bicara kerana berasa sebak dengan tiba-tiba saat mendengar Qiqi menjelaskan tentang isu warna pada bentuk hati itu. Tak sangka anaknya masih mengingati tentang warna kegemaran papanya itu semasa Azwin menceritakan lama dulu.
Berkaca mata Azwin membuatkan Qiqi sempat memandang wajahnya dan bertanya.

“ Kenapa mama nangis. Tak cantik ye lukisan Qiqi?" soal Nia Shaqila sambil menyentuh hujung mata Azwin yang berbutir manik kaca.

“ Mama jangan nangis. Qiqi sayang mama. Mama jangan tinggal Qiqi. Nanti tak ada orang nak sayang Qiqi. Dah lah Qiqi tak ada papa." serak suara anak kecil itu. Kedua tangannya naik melingkar ke leher Azwin. Perlahan Qiqi tunduk dan cium kedua belah mata Azwin.

Bertambah pilu hati Azwin saat itu. Pelukan di tubuh Qiqi segera dieratkan. Berkali wajah anak itu dicium sayang. Dia benar-benar tersentuh dengan bicara si anak yang masih mentah umurnya.Yang belum faham erti kehilangan. Yang belum kenal erti bahagia tetapi sudah dipaksa berjalan di laluan takdir seperti itu.

Nasib dia dan anaknya sama tetapi hidupnya sedikit beruntung kerana saat dia kehilangan kedua ibu bapa, dia sudah kenal apa itu keluarga. Dia sudah faham apa itu erti kasih sayang. Dia sudah kenal apa itu dunia.

Allah mengambil kedua ibu bapanya dan dua adiknya di saat dia sedang bahagia mahu menyambut majlis anugerah kecemerlangan PT3. Ketika itu, kedua ibu bapanya dalam perjalanan mahu ke sekolahnya di MRSM Kuala Kubu Bharu, Selangor kerana Azwin sedang menuntut di situ.

Malang tidak berbau, apabila kedua ibu bapa dan dua adik lelakinya terkorban dalam kemalangan yang melibatkan lori treler setelah melanggar lari kereta yang dinaiki keluarganya. Sejak itu Azwin menjadi yatim piatu dan di besarkan di rumah anak yatim Yayasan Al-Jaleel.

Tetapi anak-anaknya? Kedua anaknya masih kecil ketika mereka kehilangan bapa. Masih belum sempat merasa kasih sayang yang sebenar dari seorang papa. Itu yang membuatkan Azwin berasa sangat kecewa. Dan semenjak itu, dia nekad untuk menjadi kuat dan berkorban apa saja demi zuriatnya.

“ Mama.." panggil Qiqi setelah melihat Azwin lama terdiam.

“ Ya sayang." air mata diseka Azwin perlahan dengan belakang tangan.

“ Mama janji ye jangan tinggal Qiqi dan Iqie." pinta Qiqi dengan wajah mengharap.

“ Ya, sayang. Mama sayang Qiqi dan Iqie dunia akhirat tau." balas Azwin sambil mengucup kedua belah pipi anak itu dengan mempamerkan senyuman.

Qiqi Angguk dan membalas senyuman mamanya.

“ Apa nama lukisan Qiqi ni?"

“ Ini namanya.." Nia Shaqila meletakkan telunjuk kanannya di pelipis kiri berdekatan kepala sambil tangan kiri mengepit buku lukisan di celah ketiak dengan gaya berfikir sebelum menyambung semula “ ..family potret!" bijak anak itu memberi tajuk.

“ Wah, bijaknya dia.." kepala Qiqi Azwin gosok lembut..“ Excellent anak mama." puji Rea Azwin lagi.

“ Mama, nanti Qiqi besar, Qiqi nak ada papa jugak macam Zifa, Feesa dan Affan. Friends Qiqi tu semua ada papa. Kembar tiga Affan dengan adik-adik dia ada papa hensem tau mama. Qiqi selalu tengok papa diorang hantar diorang school. Qiqi pun teringin ada papa hantarkan school." rambang saja Nia Shaqila membuat permintaan. Sempat juga dia bercerita tentang kawan-kawannya kepada Rea Azwin membuatkan tubuh yang penat itu bertambah penat walaupun baru saja hilang lelahnya melihat wajah Qiqi yang ceria saja malam itu.

Merudum terus hormon oxcytycin Rea Azwin dengan luahan si anak.

Ya Allah. Ini anak belum habis lagi dramanya tentang si papa membuatkan Rea Azwin hilang kosa kata hendak berbicara.

Sudahnya dia menyuruh Nia Shaqila menambahkan warna pada lukisan tadi yang berkisarkan keluarga itu.

“ Yelah. Qiqi warna tau bagi cantik potret tu. Nanti boleh tampal dekat board Qiqi yang tokpa belikan hari tu." ujar Rea Azwin memberi pesanan. Malas mahu menyambung tajuk berkaitan 'papa' yang di bicarakan anaknya.

Tidak menanggapi ujaran Azwin, Nia Shaqila mengangguk bersetuju dan terus kembali ke tempat belajarnya semula.

“ Bye mama!"

“ Bye Qiqi. Belajar rajin-rajin tau!" sempat Azwin berpesan sambil membalas lambaian tangan anaknya.

Rea Azwin lepas keluh. Menggeleng dia dengan permintaan si anak.

Abang, kalau abang ada mesti Qiqi happy kan! Monolog Rea Azwin bersama senyuman hambar dengan emosi yang tersulut rasa.

Dentingan jam dinding sebanyak tujuh kali yang menunjukkan tepat pukul tujuh petang itu, buatkan Azwin tersedar. Malas mahu berlama melayan emosi Azwin bangun dan mahu melangkah ke bilik. Sedar tak sedar hampir setengah jam dia di situ melayan kerenah Nia Shaqila tadi sehingga emosinya dan emosi si anak hampir kucar kacir hanya disebabkan susuk seorang lelaki bergelar papa.

“ Win baru balik?" soal Dato' Husyn berjalan turun dari tingkat atas mahu ke ruang solat. Bapa mertuanya itu barangkali mahu membuat persiapan menunaikan solat maghrib yang bakal masuk sekejap lagi.

Rea Azwin tersenyum nipis mengiakan. “ Ya pa."

“ Lambatnya balik. Banyak kerja sangat ke?" soal Izzah si ibu mertuanya pula yang turut muncul di sisi Dato' Husyn. Kedua orang tua itu melangkah menghampiri Rea Azwin.

“ Biasalah ma, awal-awal tahun ni banyak meeting dengan boards. Ada tender nak kena reschedule lah, jumpa orang ini orang itu, lepastu belum kira lagi dengan kes-kes yang berbangkit.." sengih Azwin menjelaskan.

Menggeleng Izzah mendengar. “ Yelah banyak sangat sampai mama tengok Win pun dah tak serupa orang." jeling Izzah ke arah Husyn.

“ Apa yang tak serupa orangnya Zah?" kerut dahi Husyn bertanya kerana tidak dapat menangkap maksud Izzah.

“ Keluar subuh pagi, balik dah senja. Kadang tu sampai malam baru nampak muka. Mana serupa orangnya." bebel Izzah.

“ Kerja-kerja jugak Win. Kesihatan jangan di abaikan. Win tu muda lagi. Anak-anak masih kecil. Jangan biasakan diri bekerja sampai kesihatan terganggu." Izzah meleteri Azwin dan juga Husyn.

Azwin tersenyum sumbing. Acap kali mendengar nasihat serta pesanan dan bebelan sebegitu daripada Izzah, membuatkan dia kadang kala risau juga dengan keadaan dirinya.

Ada benarnya kata ibu mertuanya itu, kadang-kadang kesihatan sendiri dia abaikan demi kepuasan bekerja. Hakikatnya, dia sengaja menyibukkan diri untuk tidak terlalu memikirkan rasa yang bergantang di jiwa dek kerana terlalu merindui arwah Iman Hazim yang sudah lama pergi. Kalau tidak, masakan bulan lepas dia terpaksa dikejarkan ke hospital gara-gara gastriknya menyerang. Sampai pengsan di buatnya. Bila di soal Izzah dan Husyn jawapannya kerana dia lambat mengambil sarapan dan makan tengah hari.

Anak-anak juga kadangkala dia abaikan kehadiran mereka. Pada Kak Suri dan seorang lagi pembantu rumah bernama Aimi yang sememangnya di gajikan Husyn untuk menjaga cucu kesayangannya di harapkan sepenuhnya.

Bila dia terlalu banyak kerja dan tidak sempat di siapkan di pejabat, makanya dia bawa balik ke rumah dan menyelesaikannya. Sebab itulah masanya tidak cukup untuk di luangkan pada Nia Shaqila dan Noah Shauqi.

Bahkan, masanya juga di sibukkan dengan bekerja sehingga tidak sempat untuk mencari kawan. Dirinya ibarat bagai kiambang putus akar. Tidak punya kawan mahupun teman. Yang ada cuma Aishah di pejabat. Itulah rakan. Itulah teman.

Merapati Izzah, dia peluk bahu wanita separuh abad itu sambil melentokkan kepalanya dengan manja. “ Terima kasih mama, sebab selalu ingatkan Win dengan nasihat dan pesanan mama tu. Win hargai sangat-sangat. Insha Allah Win akan cuba adakan masa untuk anak-anak nanti." ujar Azwin.

Tubuh Azwin dipeluk sayang Izzah. Dia senyum mendengar janji Azwin.

“ Bukan untuk anak-anak je Win. Adakan juga masa untuk Win. Sampai bila Win nak kerja keras macam ni. Win tu muda lagi, carilah pengganti arwah. Mama tak nak tengok masa muda Win sia-sia macam ni. Anak-anak dan Win sendiri perlukan pelengkap dan keluarga."

Terus saja tegak tubuh Azwin mendengar ujaran Izzah. Satu- satunya topik yang cuba dia elakkan tetapi Izzah sepertinya tidak faham.

“ Mama dan papa dah lengkap sebagai keluarga Win dan anak-anak. Masa Win dah habis mama. Sekarang masa untuk anak-anak saja. Dan Win akan sedaya upaya akan buat yang terbaik untuk mereka. Mama jangan risau ye." beritahu Azwin lembut. Dia sebolehnya mahu mengelak daripada Izzah terus membangkitkan bab hati dan perasaan itu.

Husyn yang sedari tadi diam mula mencelah apabila mendengar topik yang di utarakan Izzah dan yang sememangnya tidak di gemari Azwin.

“ Tak apalah Win, papa harap Win pandailah bahagikan masa untuk diri Win dan juga anak-anak." pesan Husyn.

“ Terima kasih papa sebab faham Win."

“ Abang pun, lepas ni jangan bebankan sangat Win dengan kerja pejabat yang tak pernah habis tu. Kesian Win dengan cucu-cucu kita tu. Nak keluar berlibur pun tak sempat. Asyik fikir kerja je." Izzah menambah pesanan lagi kepada Husyn.

“ Abang pulak yang salah!"

“ Yelah, abang la yang salah."

“ Kenapa?" soal Husyn tidak puas hati.

“ Sebab abang ketua kat syarikat tu. Abang yang suruh pekerja buat kerja banyak. Jadi abang la yang salah. Takkan la si Ian dekat London tu yang salah!" balas Izzah geram.

Husyn geleng kepala mendengar tuduhan tak relevan Izzah. Tak patut sungguh!

“ Tak ada siapa yang salah. Mama papa dua-dua pemenang. Pemenang di hati Win." pujuk Azwin cuba menceriakan suasana yang mulai tegang.

Kedua tubuh Husyn dan Izzah diraih rapat ke tubuhnya sambil kepala dilentokkan ke bahu Izzah. Bahu Izzah dan Husyn diusap kasih. Menunjukkan dia begitu sayang kepada mereka.

“ Hah, sebut pasal London papa ada berita baik!" ujar Husyn sambil mengangkat keningnya berulang kali ke arah Azwin dan Izzah. Sengaja mahu membuatkan kesayangannya itu berasa teruja.

“ Wow, London eh pa?" tersengih Azwin suka.

“ Vacation mood on!"

“ Ya Allah, lamanya tak pergi sana!" sorak Izzah dengan senyum gembira.

Husyn menjatuhkan kepalanya berulang kali dengan senyuman mekar. Sudah dia agak, yang kedua kesayangannya itu akan teruja apabila mendengar tanah jajahan Ratu England itu.

Terima kasih pada yang masih sudi membaca karya saya. Diharapkan anda semua masih sudi support karya ini. Yang komen di ruangan karya-karya ini juga sebelumnya sangat saya hargai. Tanpa anda siapalah saya. Salam Sayang - WL -

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience