BANGUN saja tidur, tubuh Azwin terasa lesu. Kepalanya masih berasa pening dan tekaknya meloya. Azwin tahu ini semua kerana penyakit migrain yang datang menyerang malam tadi kerana terlampau banyak berfikir tentang lamaran Tengku Jefri. Malah, sakit itu bertimpa dengan gastrik yang menyerang sewaktu dia hendak pulang semalam.
Azwin malas hendak melayan rasa yang kurang enak itu apabila mengingati tugas yang masih banyak belum selesai di pejabat. Gagahkan diri Azwin bangun untuk bersiap dan bersolat sebelum ke tempat kerja.
Bilik air dituju. Selesai mandi, Azwin bersolat. Setelah siap menunaikan solat fardhu, walk in closet pula di tuju. Berdiri di hadapan gantungan baju kerja, Azwin buntu mahu memilih. Mungkin kerana kepala yang berat membuatkan moodnya turut hilang.
Tujuh minit berlalu dan akhirnya Azwin membuat keputusan untuk memilih baju kurung moden dari fabrik sutera yang bercorak abstrak. Tanahnya berwarna biru di raja dan coraknya kelabu bercampur biru gelap. Sesuai dengan kulit Azwin yang tidak putih dan tidak gelap itu.
Tambahan hari itu hari Jumaat, membuatkan Azwin rasa tiada salahnya jika dia memakai baju kurung itu sebagai menghormati hari yang mulia. Lagipula sudah lama dia tidak mengenakan pakaian yang sopan seperti itu.
Hari-hari biasa, Azwin lebih gemar memakai sut kasual kerana urusan kerjanya adakalanya memerlukan dia keluar untuk bertemu pelanggan.
Setelah berpuas hati dengan pilihannya lantas Azwin menarik keluar dari almari lalu letakkannya ke atas katil.
Tudung bawal bersulam warna kelabu pula dipilih untuk di sesuaikan dengan kurungnya itu.
Hampir setengah jam, Azwin selesai berpakaian dan bersiap hendak turun. Sebelum turun sempat dia jengah ke bilik Qiqi dan memberi kucupan pada anaknya sebelum disiapkan oleh Kak Suri ke sekolah.
Sewaktu melintasi ruangan bilik, dia berselisih dengan Ian Hamza yang baru keluar dari bilik lelaki itu.
“ Morning Kak Win?" sapa Ian Hamza. Dia tersenyum kacak dengan sut biru gelap serta tali leher bercorak kelabu putih yang sudah terbalut kemas di tubuh.
Azwin membalas sapaan Ian Hamza dengan senyuman. Beg tangan yang sedang dijinjit di galas ke bahu kiri. “ Morning."
“ Cantik lain macam hari ni? Ada apa-apa ke?" pandangan Ian Hamza tertancap pada tubuh Azwin yang sedang berbaju kurung.
“ Selalu Kak Win tak cantik ke?" sengaja Azwin bertanya. Setahunya Ian Hamza susah nak memuji sesiapa.
“ You look more stunning and attractive!" ujar Ian Hamza.
“ Thanks for your compliment..Awak pun nampak kacak hari ni. Meroyan pulak anak-anak dara dekat ofis tu!" usik Azwin setelah mengucapkan terima kasih.
“Biarlah diorang nak meroyan pun. I tak boleh halang. Yang penting hati I sayangkan Kak Win!"
“ Sweet talker!"
“ Thanks for your compliment!"
Azwin gelak besar. Malas melayan gurauan Ian Hamza. Sudahlah sakit kepala, lagi bertambah peningnya dengan kerenah lelaki itu pagi-pagi begini.
“ Are you ready?" soal Ian Hamza ketika mereka sudah berada di hujung anak tangga untuk turun ke bawah.
“ Ready?" Azwin bertanya hairan. Tak faham dengan maksud Ian Hamza. Anak tangga di turuninya. Ian Hamza mengikut dari belakang.
“ Semalam Kak Win cakap nak ke Subang Perdana jumpa client!"
“ Ya Allah, lupa pulak Kak Win pasal client tu. Nasib baby ingatkan!" Azwin tepuk dahi. Dia betul-betul lupa dengan perjumpaan itu.
“ Dah siap kan! Jomlah..I dah suruh Abang Khairul ambil kereta Kak Win dan bawa balik. Pagi ni I hantar Kak Win ke sana." beritahu Ian Hamza.
“ Kalau baby hantar Kak Win, nanti dah selesai Kak Win nak balik naik apa? Tak payahlah suruh Abang Khairul bawa balik kereta.. biar je dekat sana nanti dari ofis Kak Win pergi sendiri je.." ujar Azwin.
“ Iya jugak. Kalau macam tu nanti I inform Abang Khairul semula. Tapi Kak Win nampak macam tak sihat je lagi tu...boleh ke drive sendiri?" tanya Ian Hamza apabila melihat raut wajah Azwin yang sedikit kelesuan.
“ Sihat dah. Jangan risau lah. Semalam kan dah ke klinik ambil ubat." ujar Azwin mengingatkan Ian Hamza tentang ubatan yang dibekalkan doktor ketika dia hampir pitam sewaktu balik kerja. Ian Hamza membawanya bertemu doktor. Kata doktor semalam, dia hampir pitam berpunca dari gastrik yang melampau. Hari ini migrain pula datang menyerang. Itulah sebabnya dia kelihatan tidak bermaya. Pun begitu, Azwin rasa penyakitnya itu masih boleh di kawal.
“ Betul ni?" Ian Hamza cuba memastikan.
“ Betul..."
“ Kalau apa-apa update I."
“ Baik Tuan CEO!" balas Azwin dengan wajah yang sengaja di buat serius namun hujungnya berakhir dengan ketawa.
Ian Hamza menggeleng kepala dengan telatah Azwin. Azwin itu adakalanya nampak lebih keanak-anakan daripada anak-anaknya sendiri.
Turun ke lantai bawah, Azwin dan Ian Hamza ditegur Izzah dan Dato' Husyn yang sudah berada di meja makan. Izzah mempelawa anak dan menantunya agar menyertai mereka di situ.
“ Turun dah Yan..Win. Marilah duduk sarapan sekali." pelawa Izzah.
Keduanya menganguk dan menuju ke arah meja makan.
Pinggan berisi nasi goreng kampung serta kopi hitam dihulur kepada Azwin dan Ian Hamza sebaik mereka duduk. Mereka berdua menikmati sarapan dalam suasana tenang. Izzah dan Dato' Husyn sekadar memerhati tingkah kedua mereka yang nampak mesra pagi itu.
“ Win dah fikir tentang lamaran Tengku Jefri ke?" soal Dato' Husyn setelah mereka selesai menikmati sarapan.
Azwin yang baru saja menghabiskan kopi hitam buatan Mak Ton dari cawannya hampir tersedak apabila di soal Husyn.
Tarik nafas perlahan, Azwin cuba redakan tekak sebelum bersuara membalas pertanyaan bapa mertuanya.
“ InshaAllah Win dah fikir semuanya. Harap keputusan Win baik untuk semua terutamanya anak-anak."
Izzah angkat wajah. Berdebar-debar dadanya menanti keputusan Azwin. Sejak semalam lagi dia keresahan dan sugul kerana tidak suka dengan lamaran yang datang dari pihak Tengku Jefri. Namun apa dayanya, Azwin bukan anaknya yang membolehkan dia membuat keputusan sesuka hati bagi pihak wanita itu.
Husyn mengangguk. “ Baguslah kalau macam tu. Papa rasa, cepat Win beri keputusan cepat kita selesaikan hal ini. Lagipula tak baik buat orang menunggu lama-lama."
“ Ya pa. Terima kasih sebab selalu sokong Win dalam setiap hal. Win hargai sangat-sangat. Jadi, kali ini Win masih lagi perlukan pertolongan papa untuk selesaikan hal lamaran Tengku Jefri."
“ Win kan anak perempuan papa, mestilah papa akan selalu bantu Win. InshaAllah selagi termampu papa akan selalu ada dan sokong Win. Win nak papa tolong apa?" soal Husyn penuh perhatian.
“ Win nak papa dan mama sampaikan salam Win pada orang tua Jefri. Sampaikan juga maaf Win pada mereka. Katakan pada mereka Win tak mampu terima lamaran Jefri atas sebab-sebab yang tertentu.."
“ Win dah fikir masak-masak ke? Atau Win cuba kenal dulu dengan Tengku Jefri. Kalau tak sesuai baru buat keputusan untuk tolak lamaran ni.." cadang Husyn. Dia risau kalau Azwin terus menolak dengan cara begini bimbang Tengku Jefri akan berbuat sesuatu yang tidak elok di kemudian hari. Maklumlah, Tengku Jefri itu sudah lama mengidamkan Azwin untuk di jadikan suri hatinya. Apabila di tolak mentah-mentah lamarannya, pasti lelaki itu menyimpan rasa sakit hati. Kalau tidak banyak, sikit pasti ada.
Azwin angguk. “ Keputusan Win muktamad pa. Win tak berminat untuk berkenalan dengan dia. Win cuma anggap dia rakan bisnes syarikat. Tak lebih dari tu."
Husyn tarik nafas dalam sebelum menyambung bicara. “ Baiklah, kalau dah itu jawapan Win, papa dan mama turutkan. Asalkan Win bahagia."
“ Alhamdulillah." ucap Izzah kelegaan. Hilang sudah mendung pada riak wajahnya tadi. Hatinya yang walang sebelumnya terasa tenang kini.
Semua yang ada termasuk Husyn pandang Izzah dengan kehairanan. “ Kenapa ma?" soal Ian Hamza pelik.
“ Alhamdulillah sebab Win tolak lamaran Jefri. Mama bukan apa, mama tak berkenan dengan perangai dia. Lagipun kan mama cakap yang mama cuma nak Win je jadi menantu mama. Jadi mana boleh benarkan Win kahwini dia." beritahu Izzah tanpa selindung. Dia benar-benar kelegaan.
“ Jangan risau ma..Win pun nak jadi menantu mama seorang je." ujar Azwin tersenyum senang. Bahu Izzah dirangkul seraya melentokkan kepalanya di situ. Izzah usap dan belai kepala Azwin dengan hati yang bahagia.
Izzah rasa begitu bersyukur kerana Allah telah memakbulkan doanya. Ternyata dengan berdoa, permintaannya tembus dan naik ke langit. Itulah senjata orang mukmin yang paling ampuh.
Husyn geleng kepala melihat telatah Izzah. Dia ikut tersenyum apabila Izzah sudah tidak monyok lagi. Jika Azwin tidak memberi keputusan pasti hari ini Villa Izzah akan sentiasa dilanda ribut taufan.
Ian Hamza pula tersenyum sehingga ke telinga melihat kerenah dua orang kesayangannya itu. Hatinya yang kerisauan sebelum ini, terasa lega juga. Nampaknya dia tidak perlu bersaing dengan sesiapa untuk merebut hati Azwin lagi. Dia yakin hati Azwin pasti akan berhasil dia menangi nanti. Kuncinya adalah kesabaran. Sedikit usaha, doa dan tawakal juga mudah-mudahan Allah berikan dia kemenangan.
.
.
TENGKU JEFRI tidak senang duduk apabila Datin Tengku Mariza menghubunginya tadi. Wanita itu menyuruhnya agar segera pulang kerana kedatangan Dato' Husyn dan Datin Izzah ke singgahsana ibundanya.
Perjalanan dari pejabat ke rumah Datin Tengku Mariza yang terletak hanya setengah jam pemanduan terasa lambat. Debaran di dada masih tak surut saat mendapat panggilan tadi. Berbagai jawapan yang muncul di benak fikiran membuatkan hati Tengku Jefri jadi tidak tenang.
Dalam tak sedar, akhirnya Tengku Jefri tiba juga ke rumah Datin Tengku Mariza.
Selesai parkir kereta, Tengku Jefri melangkah keluar dan menuju ke pintu rumah.
Saat mahu masuk terdengar bualan orang-orang tua di situ buatkan Tengku Jefri pasungkan kaki. Cuba menguping perbualan mereka, namun suara yang terlalu perlahan buatkan butiran yang sampai menjadi tidak jelas.
Akhirnya, Tengku Jefri masuk juga ke rumah setelah tidak memperoleh maklumat dari perbualan itu.
Salam di beri sebaik masuk. Tengku Jefri bersalaman dengan ibu dan neneknya sebelum berjalan ke arah Dato' Husyn dan Datin Izzah untuk bersalaman juga.
“ Balik dah pun budak bertuah ni!" ujar Datin Tengku Mariza.
Tengku Jefri tidak menanggapi. Tahu ibunya memang suka berbicara seperti itu.
“ Alang-alang Jefri dah sampai uncle rasa lebih baik uncle percepatkan jawapan tentang lamaran daripada pihak kamu tempohari." ujar Husyn tidak mahu bertangguh sebaik Tengku Jefri labuhkan duduk. Lagipula amanat orang harus dia segerakan.
“ Tak ada masalah. Boleh je uncle. Saya pun tak sabar juga nak tahu jawapan pihak sebelah. Kalau tak, berdebar tak sudah." balas Tengku Jefri cuba berseloroh. Mukanya manis namun hati sudah lubang libu.
“ Ya, uncle faham. Darah muda memang macam tu." timpal Dato' Husyn.
Dato' Husyn pandang isterinya Izzah, lalu memberi isyarat agar mengeluarkan bekas cincin tanda sewaktu datang melamar tempohari. Izzah menurut.
Membetulkan duduk, Izzah cuba bermanis muka memandang ke arah Datin Tengku Mariza dan ibunya Che Puan Khalila yang duduk bersebelahan.
Kotak cincin berwarna biru di raja dipulangkan Izzah ke arah Datin Tengku Mariza.
“ Maaf Datin Tengku, menantu kami Azwin minta sampaikan salam pada Datin Tengku serta ibunda Datin Tengku. Dia juga kirim kata maaf atas sikapnya yang kurang beradab seperti ini. Kami sudah sampaikan risikan pihak Datin Tengku kepadanya, tetapi hari ini Azwin sudah berikan kata putusnya pada kami. Jadi, tujuan kami datang ke sini adalah untuk menyampaikan amanatnya. Dia betul-betul memohon maaf atas penolakan ini. Katanya juga, dia tidak dapat menerima lamaran Tengku Jefri atas sebab-sebab yang dia seorang saja ketahui." jelas Datin Raudatul Izzah dengan panjang lebar. Begitu berhati-hati dan tersusun indah bicaranya membawa amanat Rea Azwin agar tidak melukakan hati sesiapa.
Tak berkelip mata Datin Tengku Mariza saat menerima huluran itu. Nyaris juga dia terlepas kotak baldu tersebut selepas mendengar kata-kata Izzah tadi.
“ Jefri apa semua ni?" soal Datin Tengku Mariza.
Pandangannya pantas di bawa ke arah Tengku Jefri dengan persoalan memenuhi benak.
Tengku Jefri turut tersentak. Hati yang berdebar-debar tadi kini sudah retak terbelah mendengar jawapan dari pihak Azwin. Riak wajahnya semerta bertukar merah padam.
“ Maaf uncle auntie..saya rasa uncle dan auntie mungkin tersalah beri keputusan. Saya hantar risikan untuk Azwin terima pinangan saya. Bukannya suruh menolak. Saya tak boleh terima keputusan begini." ujar Tengku Jefri dengan suara yang sedikit ternaik. Hatinya sakit.
Dato' Husyn tarik nafas dalam sebelum hembus perlahan. Wajah berang Tengku Jefri di pandang.
“ Ya, uncle faham perasaan Jefri. Tapi sebagai keluarga mertua kami tak ada hak untuk terima lamaran ni bagi pihak dia. Keputusan ini, semuanya dari dirinya sendiri. Kami tidak mencampuri urusan peribadinya. Kedatangan kami sekadar membawa amanat. Kalau Jefri tidak boleh menerima jawapan sebegini, cubalah Jefri berbincang dengan Azwin sendiri. Uncle dan auntie cuma pengantara saja."
“ Husyn, kamu tak patut buat cucu saya begini. Kami datang dengan besar hati tempohari untuk sunting menantu kamu. Bukannya untuk menerima malu dan hinaan seperti ini" sampuk Che Puan Khalila dengan wajah mencuka.
“ Maafkan kami Che Puan Khalila!!"
Happy reading..
Share this novel