LANGIT kota London masih pekat biarpun pagi sudah menghampiri. Azwin termenung jauh melihat hamparan dada langit yang masih gelap. Usai menunaikan solat tadi, dia duduk di balkoni bilik. Anak-anaknya masih lena pulas di atas katil. Dia sendiri tidak bisa tidur semula selepas solat walaupun mata masih kelat dan jetlag. Tubuhnya penat tetapi fikirannya tidak.
Teringat pergaduhan Qiqi dan Iqie semalam. Terkilan dia rasa sampai hari ni kerana anak-anaknya sudah pandai berkelahi. Budak-budak bergaduh memang normal semasa fasa pertumbuhan mereka. Apatah lagi jika masih kecil. Akal mereka tidak dapat menaakul mana yang baik mana yang buruk. Justeru, sebagai orang dewasa yang punya akal yang matang; yang perlu membentuk dan mendidik anak-anak agar mereka dapat membezakan perkara tersebut di samping menyampaikan nasihat dan pesanan berguna.
Dalam fasa perkahwinan, ibu bapa yang harus memainkan peranan. Tetapi, semalam saat Iqie dan Qiqi bertelingkah, Ian Hamza yang bukan bapa pula memujuk anak-anaknya.
Dan itu membuatkan Azwin makin runsing memikirkan hari depan yang pastinya mencabar dalam mendidik dan membesarkan anak-anak itu. Entah dia kuat atau tidak mengharungi semua itu sebagai ibu sekaligus menjadi bapa.
Hal itu tiba-tiba membuatkan fikiran Azwin berkelana jauh merentasi sempadan masa yang dulu..
“ Sayang, jom makan." ajak Azwin dengan senyum meleret.
Iman Hazim yang sibuk meneliti tender di tangan panggung wajah. Azwin sedang berjalan ke arahnya. Dia tersenyum nipis. Bingkai cermin mata ditanggalkan lalu ibu jari serta telunjuk naik mengurut batang hidung. Iris coklat Iman Hazim sempat menjeling jam dinding di depan. Hampir 2.30 petang. Waktu makan tengah hari sudah lama berlalu. Patutlah Rea Azwin datang mengajaknya!
“ Arghhh..." keluhnya sambil meregangkan badan. Letih dan lesu semuanya berselirat di tubuh.
Dari pagi dia sibuk meneliti hampir lima daripada sepuluh tender yang di terima dari bahagian pengurusan hartanah membuatkan tubuh badannya benar-benar lemau. Sepanjang masa itu juga, matanya naik berpinar menilik satu persatu angka di paparan skrin MacBook.
“ I malas nak keluar la Azwin. Kita tapau je boleh?" usul Iman Hazim.
Azwin sudah tarik muka masam. Terus dia mendekati meja kerja Iman Hazim lalu duduk bertenggek di birai meja suaminya. Kedua tangan dilipat ke dada tanda protes.
“ Awal tadi, I dah ajak sayang kan. Tengok sekarang dah pukul dua lebih malas pula nak keluar. Hello Mr. Iman.. your wife is pregnant! Tak kesian ke baby nak makan ni. Lagipun baby you teringin nak makan chinese food sangat." rengek Azwin. Tali leher Iman Hazim ditarik kemudian dipintal-pintalnya. Sengaja mahu bermanja dengan lelaki itu. Untung nasibnya, Iman Hazim tergoda langsung setuju untuk keluar makan nanti.
“ You nak makan Korean, Arabian, Portuguese, Japanese pun makan jela. As long as kita order online. I malas sangat nak keluar ni. Letih. Lagipun, I urgent nak kena siapkan report tender ni. Papa said, he want all the report on his desk ASAP. " tutur Iman Hazim. Tali leher yang dimain Azwin dibetulkan lalu menarik tubuh isterinya ke riba.
“ I janji, untuk hari ni je kita order online. Esok-esok kita pergi kedai yang you nak tu okay!" hidung seludang Azwin ditarik manja. Tapak tangan isterinya dicium kasih.
Azwin terpaksa mengalah. Tetapi hormon ibu mengandungnya tidak dapat berkompromi dengan bicara Iman Hazim. Dia akhirnya mengangguk lalu bangun dari riba si suami. Mukanya kelat serta ketat kerana merajuk. Terus di bawa diri keluar dari bilik Iman Hazim walaupun telinganya sempat menangkap ayat terakhir Iman Hazim yang membuatkan senyumannya merekah hingga ke telinga.
“ Malam nanti kita dinner sama-sama. Pinky promise!" laung Iman Hazim.
Malam yang di nantikan Azwin untuk keluar makan malam bersama Iman Hazim datang menjelma. Namun hingga ke angka sepuluh setengah malam kelibat serta batang hidung Iman Hazim tak kunjung tiba. Tangkai hatinya sudah digayut api keresahan.
Malah, si anak kecilnya Nia Shaqila asyik menangis tak henti sejak maghrib tadi. Hendak di kata demam badannya tidak pula panas. Hendak di kata selesema, hidungnya elok juga. Azwin naik buntu mahu memujuk Qiqi.
Papa dan mama juga sejak tadi cuba memujuk Qiqi tetapi Qiqi tetap juga menangis dan tidak mahu di dukung mereka. Mereka semua buntu untuk memujuk termasuk Aimi yang sememangnya menjadi pengasuh Qiqi sejak lahir.
Sedang ralit memujuk Qiqi, telefon bimbit Azwin berbunyi. Laju Azwin mencapai dan menjawab apabila melihat nama yang tertera adalah dari suaminya.
“ Hello, you kat mana? Tahu tak anak asyik menangis je dari maghrib tadi!" laju saja Azwin terjah.
Namun saat pendengaran Azwin menangkap lenggok suara yang membalas membuatnya berkerut kening. Menjauhkan telefon dari telinga, skrin paparan yang bernyala dia kerling. Masih nama ‘Darling Papa’ di situ membuatkan dia melekapkan semula alat telekomunikasi tersebut ke telinganya.
“ Puan Rea Azwin.. saya Inspektor Zen Huzaini dari Balai Brickfields..."
Terus saja detak jantung Azwin bertukar ritma. Tempo yang tadinya sekata mulai bertukar rentak saat panggilan itu berjawab dari seorang anggota polis.
“ Y-ya..ada apa tuan? Macam mana telefon suami saya ada pada tuan?" soal Azwin terketar-ketar.
“ Maaf puan..di minta puan atau ahli keluarga mangsa lman Hazim datang ke hospital sekarang..." balas Inspektor Zen Huzaini di talian.
Kata-kata akhir yang meniti di bibir inspektor tersebut mengembang di deria dengar Azwin membuatkan alat komunikasi di tangan terus terlepas. Pandangan mata Azwin mulai kabur dan gelap. Tahu-tahu saja dia dikejutkan oleh Izzah di ruang tamu rumah yang sudah dipenuhi ahli keluarga. Suara bacaan yasin yang bergema menerjah gegendang telinga. Lantas iris mata terarah ke sudut ruang tamu.
Jasad tak bernyawa seseorang yang di tutupi kain batik lepas terlayar di pandangan. Semerta, otaknya ligat menggali kata-kata akhir Inspektor Zen Huzaini di telefon sejurus dia terjaga dari pengsan ini.
“ Suami puan terlibat dengan kemalangan jalan raya. Keretanya dilanggar pemandu mabuk dan terbabas jatuh dari jambatan!"
Azwin bangun dengan laju. Tidak dipeduli bayi di dalam perut yang sedang dikandungnya. Kain batik lepas direntap kuat sehingga menampakkan sekujur tubuh kaku Iman Hazim.
Emosi Azwin tak terkendali. Berjujuran air mata serta raungannya saat menatap wajah Iman Hazim yang sudah tak bernyawa.
Ketukan di pintu mematikan ingatan Azwin yang sedang berkelana mengingati insan yang sudah pergi. Biarpun hampir dua tahun berlalu, emosinya masih belum pulih. Saat mengingat yang dia tidak sempat meminta maaf kepada arwah Iman Hazim jiwanya di gayut rasa bersalah yang bukan kepalang. Menyesal sudah tentu. Namun, untuk di undurkan masa agar mendapat permohonan maaf serta menghilangkan rasa terkilan kerana merajuk tidak tentu pasal; tidak mungkin terjadi. Justeru, saat ini yang termampu hanyalah mengirimkan doa kudus serta sedekah jariah buat Iman Hazim binti Izzah.
Belum sempat Azwin menarik kenop, daun pintu di tolak dari luar. Muncul susuk Kak Suri dengan sengihan.
“ Awin..Puan Izzah suruh turun makan. Kejap lagi kita nak keluar jalan-jalan."
Azwin mengeluh. Ingatkan hal kecemasan apa lah tadi. Kak Suri ni pun, ketuk pintu macam nak roboh.
“ Ingatkan hal mustahak apa la sangat. Apa lah, Kak Suri ni..Win nak pakai tudung pun tak sempat!" Azwin mencebir geram.
“ Alah, bukan ada siapa pun. Kita berdua je. Nak pakai tudung buat apa?" balas Suri.
“ Eh, Kak Suri lupa ya kita kat mana? Ingat kita di London sekarang ni!" Azwin eja satu persatu konsonan huruf tersebut. “ Lagipun Tuan Ian pun tidur sini kan. Kalau dia nampak macam mana?" bebel Azwin.
Suri terkekeh di bebeli Azwin. Dia tersenyum tetapi masih sempat mengenakan wanita itu.
“ Kalau Tuan Ian nampak, untunglah dia. Bertuah dia dapat Awin ni. Dah la cantik, ayu pulak tu. Siap pakej lagi."
“ Ish! merepek aje Kak Suri ni. Pakej apa nya?" bulat mata Azwin sambil tepuk lengan Suri. Kononnya marah dan tersinggung dengan kata-kata Suri.
“ Pakej dapat isteri sekali anak-anaknya lah. Apa kata orang putih tu..by one free two!" Tak serik di bebel, kemain Suri menggiat Azwin.
“ Kak Surii..." ternaik oktaf suara Azwin meningkah kata-kata pembantu rumah dari utara itu. Geram benar dia dengan sifat suka mengusik Kak Suri.
“ Jangan jerit-jerit, nanti hilang keayuan Kak Win. Tak ada siapa pula nak ambil buat isteri walaupun siap dengan pakej 'buy one free two'!" sambil berlalu, Ian Hamza menyakat. Siap dengan kenyit mata lagi.
Terkejut Azwin langsung spontan menutup pintu dengan kuat. Bersandar di belakang pintu, Azwin urut dada yang berdebar. Semerta merah pipinya akibat malu. Malu dikuping perbualan oleh Ian Hamza juga malu dilihat apabila kepalanya berbogel tidak bertudung.
Ini semua Kak Suri punya pasal!
“ Mama kenapa tutup pintu kuat-kuat?" Qiqi bertanya dengan tubuh separuh berbungkus comforter.
Belum habis malu, suara Qiqi pula menerjah pendengaran dengan aksi seperti hantu bungkus membuatkan jiwa Azwin yang baru hendak pulih, kembali terbang melayang akibat terkejut.
“ Eh, Qiqi..sejak bila bangun?"
“ Sejak dengar acik suri cakap pakej buy one free two!"
Terkebil-kebil Azwin mendengar jawapan si anak. Tidak tahu mahu bereaksi bagaimana. Yang pasti, dia diserang ombak malu yang besar.
“ Beli satu percuma dua tu apa mama? Qiqi tak faham?" tanya Qiqi yang masih berbungkus comforter itu. Suci mulus saja wajah anaknya bertanya membuatkan Azwin bertambah kelu.
“ Mama.. anything wrong?" soal Qiqi masih tak jemu melihat Azwin hanya diam tak membalas.
“ Erm..nanti mama cari jawapan. Sebab sekarang mama pun tak faham acik Suri cakap apa. Dah, pergi mandi. Lepas tu kita turun makan. Lepas makan kita nak keluar jalan-jalan." suruh Azwin.
“ Yeay keluar jalan-jalan! Baik mama, Qiqi nak gerak adik jugak. Mesti adik pun seronok nak keluar jalan-jalan." sorak Qiqi sambil menuju ke arah katil.
Wajah Qiqi kelihatan tak sabar. Habis comforter di tubuhnya dicampak semberono saat menaiki katil mahu mengejutkan Iqie pula.
.
.
Tubuh Izzah yang sedang sibuk menggoreng macaroni dipaut sayang.
“ Morning ma!" ucap Ian Hamza seraya mengucup pipi Izzah.
Toleh ke samping, Izzah tersenyum kecil. Gelagat manja anak teruna bongsunya itu, buat dia terhibur.
“ Waalaikumussalam." balas Izzah.
Terasa disindir, Ian Hamza tersenyum kelat.
“ My bad!"
Izzah geleng kepala. “ Itulah, lama sangat duduk negeri mat saleh ni, salam pun dah lupa nak ucap! Itu kalau kahwin dengan si mata biru entah-entah mama pun Yan lupa terus." serkap Izzah.
“ Mama masak apa tu?" Ian Hamza cuba ubah topik lalu buat-buat jenguk ke dalam kuali. Kalau tak, mahu berbakul sindiran Izzah nanti.
“ Jangan nak ubah topik Yan." letak sudip, Izzah tutup api dapur. Capai kain lap tangan lalu mengelap langsung Izzah toleh pandang wajah Ian Hamza.
“ Mana ada mama ni. Saja la Yan tanya mama masak apa. Lapar dah perut Yan ni. Lagipun lama dah tak rasa masakan mama." balas Ian Hamza sambil gosok perutnya. Mimik wajah Ian Hamza buat seperti orang tak makan dua hari.
“ Yelah tu..ingat mama tak tahu taktik Yan. Kalau mama bebel buat-buat lapar la mengantuk la busy la." Izzah senduk macaroni ke dalam kaserol kaca lalu diletakkan ke atas meja.
Ian Hamza garu kepala. Habis lah dia, mama dah membebel walaupun dia cuba tukar tajuknya.
“ Betul ma, Yan lapar sangat ni. Mama masak sedap sangat. Sampai berkeroncong perut Yan bau masakan mama. Itu yang sampai Yan turun sini." Ian Hamza masih mempertahankan kata-katanya. Macaroni goreng yang berasap nipis menjadi tatapan matanya. Benar-benar menggugat seleranya kala itu.
“ Hmmm yelah. Kalau dah rindu sangat masakan mama, apa kata Yan balik KL. Duduk sini lama-lama buat apa. Bukan ada isteri pun!"
“ Memang la tak ada isteri tapi Yan ada kerja kat sini. Lagipun exam Yan untuk final year dah dekat."
“ Kalau macam tu, habis je final exam balik KL then start kerja dengan papa. Boleh tolong papa. Sekurang-kurangnya ada jugak lelaki lain yang boleh tengokkan syarikat dan rumah." cadang Izzah.
“ Kak Win kan ada ma untuk tolong papa."
“ Memang la Azwin ada, dia pun sibuk juga dengan anak-anak. Kadang masa dia nak beriadah pun tak sempat apatah lagi nak cari suami. Asyik kerja je."
“ Mama suka Kak Win kahwin lain?" tiba-tiba ayat itu terpacul dari bibir Ian Hamza.
“ Kalau ikutkan memang la mama tak suka. Tapi Azwin tu muda lagi. Takkan nak sekat kebahagiaan dia."
“ Nanti kalau Kak Win kahwin Iqie dan Qiqi macam mana? Mesti suami dia bawak diorang pindah sekali! Mama kan tak boleh berpisah dengan cucu sayang mama tu.." tanya Ian Hamza.
Izzah mengeluh. Itu yang dia runsingkan semenjak dua menjak ini. Tapi apa nak buat? Azwin tu punya perasaan walaupun Azwin pernah cakap yang dia tak mahu berkahwin lagi, tapi masa depan dan rahsia Allah siapa tahu?
.
.
Selamat membaca! Salam Sayang untuk semua.
Share this novel