TETAMU yang berkunjung bertali arus. Walau penat, Biru tetap tersenyum melayan. Dia masih macam tak percaya dengan apa yang berlaku. Dalam masa tiga hari saja setelah keluar wad, dia rasmi bergelar isteri Dr Hurdan. Rakan-rakan sekerjanya pun terkejut. Masing-masing menyangka dia hanya bergurau, tapi apabila Biru betul-betul menghantar kad jemputan perkahwinan digital yang direka khas oleh keluarga Dr Hurdan itu, semua terus terkesima. Sudahlah kacak, orang yang berkerjaya pula. Datang pun dari keluarga yang baik-baik. Sampai tak terkata setiap rakan yang datang.
Sekarang, hanya kalimah syukur yang mampu diucap. Bulan betul-betul jatuh ke riba. Entah larat atau tidak dia yang menanggung. Baginya, jurang darjat antara dia dan Dr Hurdan sekeluarga cukup besar. Macam kisah Cinderella...
"Ehem...." Lamunan Biru mati tatkala terasa ada rangkulan hangat dari belakang. Dr Hurdan?! Jujur, dia masih segan. Hilang separuh tingkah nakalnya dek malu yang menyelubung. Tak sangka Dr Hurdan lebih berani dari dia rupa-rupanya. Kuat menyakat juga pulak tu.
"Abang tengok... asyik kuih itu aje yang masuk mulut?" tegur Hurdan perlahan di sisi telinga.
Biru terus berkalih pandang ke arah kuih manis dan pedas yang ada di tangan. Tak berani nak melawan pandang wajah suaminya yang hanya satu jengkal dari muka itu. Jantung rasa nak gugur.
"Tau tak kuih ni tak bagus untuk gastrik sayang? Dah elok macam ni, janganlah ulang balik episod warded tu. Bukan senang abang nak tidur masa tu tau?" Sambung Hurdan, gaya doktor tegasnya muncul semula. Tapi tetap berlapik. Suara garau lembutnya menampar rasa bersalah dalam hati Biru.
"Sayang makan sikit aje..."
"Sikit pun..... kalau dah pedas macam ni, tetap tak bagus sayang. Lagi terhakis dinding salur alimentari tu. Gastrik sayang tu kronik, tak boleh main belasah aje nak makan yang bukan-bukan. Ni bukan abang bising saja-saja tau, ni sebab abang sayang......"
Biru buat muka. Kuih popiah basah pedas tu memang kegemaran dia. Rasa nak meraung aje bila tangan kekar itu sengaja menyambar kuih sedap itu lalu disuakan ke mulutnya sendiri. Spontan dia menegah.
"Kuih sayangla tu... Janganlah ambil! Bak sini semula... Abang ambil yang lainlaaaa...." Jari runcingnya cuba merampas objek garing dan rangup tersebut. Tapi Hurdan pandai mengelak.
"Tanaaakk...." Tubuh rendah yang cuba menangkap kuih sedap itu makin galak diusik. Sekaranglah masanya nak balas dendam kan? Dalam wad dulu bukan main gadis itu sedap mengusik. Hehe.
"Abaaang...." Biru merengek lagi. Entah kenapa kali ni dia sungguh-sungguh mahukan kuih itu. Rasa jauh hati sangat kalau lelaki itu tetap tak bagi.
"Tak nak bagi jugak. Kuih ni dah kat mulut abang dah," usik Hurdan lagi.
Tapi belum sempat Biru menjawab, satu suara lain mencelah kuat dari belakang. Pak Long Hurdan a.k.a Datuk Dr Abdul Rahman yang merupakan Pengarah Hospital Taqwa sedang tercegat dan tersenyum di situ.
"Biarlah Biru makan. Kalau sakit lagi, masuk wad lagi. Bolehlah Angah jaga dia siang malam lagi."
Lelaki separuh usia itu tersengih menyakat sambil menyuap kuih ke mulut sendiri.
Dr Hurdan mencebik. "Pak Long ni boleh doakan keburukan pulak untuk isteri Angah. Ada pulak macam tu..." Hurdan tarik wajah cemberut.
Semua ketawa kecil, termasuk Dr Zainab yang kini mendekat.
"Abang Long ni pun.... saja je tau. Nanti gigil Angah ni dengar. Dia tu trauma lagi dengan mimpi yang Biru...pergi tu....."
Biru terus terdiam. Mimpi dia pergi? Seram juga bunyinya. Dan...tangan suaminya terasa makin kemas merangkul pinggangnya. Apa sebenarnya yang terjadi? Makin membuak pula rasa ingin tahu.
Datuk Dr Abdul Rahman hanya tersenyum. Keningnya sengaja diangkat gaya orang nakal mengusik. "Kalau Biru masuk wad, sah-sah Angah tak jadi berhenti kerja kat Taqwa ni. Dapat kita ikat dia lama-lama..."
Hurdan jeling. Faham maksud Pak Longnya itu.
"Bukan Angah sorang aje doktor kat situ Pak Long. Ramai....."
"Tapi Pak Long sayang nak lepas," potong Datuk Dr Abdul Rahman kemudiannya. "Tu.....banyak staf yang sedih. Payah nak cari doktor yang betul-betul buat kerja sekarang," luah lelaki itu lagi
"Dia nak pindah pun sebab tak nak ada kaitan dengan Kaira tu, Abang Long. Kalau Usu pun tak tahan. Itulah sebab utamanya. Usu pun tak paksa...," terang Dr Zainab pula lembut bagi pihak Hurdan. Dia tahu sangat hati satu-satu anak terunanya. Tak sampai hati nak tolak bila abangnya itu merayu. Tapi sebagai ibu dia kasihan juga dengan Hurdan. Tambah pula jejaka itu pun dah berkahwin sekarang. Nak jaga hati isteri lagi. Perempuan busuk hati itu pun entah-entah masih diterima bekerja di situ.
Datuk Dr Abdul Rahaman mengangguk seraya melepas keluhan dari rengkung. "Kaira tu dah digantung tugas Usu. Sekarang tunggu keputusan penuh pembatalan lesen aje. Kalau ada rezeki dia pun, bukan dekat Taqwa lah tempatnya. Abang Long dengan ahli panel lain dah sebulat suara hari tu. Laporan tu semua dah lengkap."
Biru yang baru dengar kenyataan itu buat pertama kali rasa tergamam. Terkejut. Jadi benar apa yang dia dengar dulu? Perempuan itu betul-betul digantung tugas. Pembatalan lesen itu dah macam satu kes berat juga. Apa yang Dr Kairq dah buat?...
"Jom," ajak Hurdan perlahan ke telinga Biru. Tangan isterinya terus ditarik memaksa gadis itu menurut. Dia tak mahu mood yang baik ini terganggu oleh cerita busuk perempuan yang telah melakar sejarah hitam dalam hidup itu. "Kita pergi kejap kat tepi taman belakang tu. Abang nak hirup udara segar sikit. Kat situ, mama ada tanam banyak pokok bunga..."
Tanpa bantahan, Biru menurut. Mereka berjalan menjauh sedikit dari khemah utama. Suasana redup dengan angin senja yang menyapa membuatkan masing-masing terbuai. Warna jingga mula melukis langit. Indah. Sempurna. Damai.
Dr Hurdan duduk di bangku batu. Tangannnya menepuk perlahan tempat di sisinya ke arah Biru dan gadis itu perlahan-lahan terus melabuh duduk. Sekali lagi tubuhnya didakap hangat. Anak mata mereka kini bertaut.
"Abang....."
"Hmm?"
"Tadi tu.....mama cakap apa?" Biru merengek kecil.
Hurdan senyum. "Yang mana?" Pura-pura tak faham.
"Yang trauma mimpi tu..... Dr Kaira pun..." Sekerat-kerat Biru menyebut.
Hurdan mengeluh panjang. Wajah isterinya kemudian kembali ditatap.
"Abang tak suka mimpi tu....jadi abang tak nak share. Pasal perempuan tu pun abang benci....malas nak ingat..."
Biru diam. Dia kenal riak Dr Hurdan. Kalau dah serius begitu, bererti lelaki tu memang tak suka. Tegasnya itu takkan hilang walau dia dah jadi orang istimewa dalam hidup. Jadi, baik jangan paksa.
"Habis tu....macam mana abang tahu sayang... sebatang kara? Tak ada keluarga...kan sayang tak pernah cerita kat sesiapa pun..." Tanya Biru lagi naif. Kali ini suaminya nampak tersenyum perlahan. Pertanyaan itu mungkin bukan tergolong dalam kategori perkara yang tidak disukai oleh Dr Hurdan.
"Abang ni doktor, sayang. Skop kerja memang perhatikan pesakit yang dirawat. Tapi dalam banyak-banyak benda tu, mata abang paling conscious kalau tengok seseorang tu... sunyi. Masa sayang pengsan....sayang senyum.....tangan tu tak genggam siapa-siapa kan? Terketar-ketar aje sorang-sorang. Tak ada pelawat, duduk aje kat wad layan sakit tu. Sayang hadap sakit tu macam... tak ada siapa akan tolong. Jadi abang tahu...sayang dah lama sendiri. Berdikari dalam segala hal. Buat-buat ceria dan kuat untuk lawan rasa sakit kan?..."
Biru terkedu. Air matanya bergenang. Kata-kata itu terlalu menyentuh. Ya Allah, doktor yang disangka beku ini sedalam itukah dapat menyelami rasa hati? Renungan jejaka itu selama ini rupa-rupanya sampai sejauh itu. Sedih, terharu dan segala macam rasa bercampur dalam hati.
"Sayang tak....tahu nak balas apa. Terima.......kasih.....sudi.... terima.....sayang..." Nada Biru mula terputus-putus menahan sebak.
"Sayang tak perlu balas apa-apa. Cuma duduk sini, dan temankan abang. Isikan rasa sunyi abang ni. Dan abang janji.....selagi hayat dikandung badan, abang akan ada untuk sayang"
Biru angguk. Pipinga terus rasa panas. Mutiara jernih yang bergenang kini bergulir jatuh. Dia adalah perempuan yang cukup bertuah kerana dipilih oleh Dr Hurdan. Kepalanya direbah ke bahu suaminya itu kemuduan. Dalam diam, dia genggam tangan suaminya erat-erat.
"Tapi kenapa abang sanggup pilih sayang?" Tanya Biru lagi. Sayup-sayup aje suaranya sampai ke gegendang telinga Hurdan.
"Abang suka sikap bersahaja tu. Tak hipokrit. Dan....bangkitkan rasa cinta yang dah lama padam dalam hidup abang ni...."
Biru kembali angkat muka. Jadi lelaki itu suka reaksi yang dilabel 'annoying' itu selama ini? Rare....
"Abang kan tak suka sikap sayang yang....."
"Abang suka," Hurdan terus memotong. Hidung Biru terus dicuit sambil kenyit mata. "You are cute in the way you are. Tak makan saman bila kena maki. Hehe. Comel...."
Anak mata Biru terus membulat. Kena puji comel? Rasa nak menjerit aje sekuat hati. Yes!!! Inilah definisi cinta yang bersambut. Tidak hanya bertepuk di sebelah tangan.
Ya, sekarang dia yakin! Cinta itu kadangkala datang dari duka yang tak disangka. Tapi apabila Tuhan hadiahkan seseorang untuk menampung retak dalam hati, jangan pernah lepaskannya. Benarlah akan ada pelangi selepas hujan.
Biru mengeluh perlahan. Matanya merenung ke langit senja yang makin beranjak gelap. Awan mula memudar, dan warna jingga disimbah biru tua. Malam akan datang, seperti biasa. Tapi malam ini...tak sama dengan malam sebelumnya. Dia takkan lagi sepi. Ada jejaka dambaan hati yang sentiasa di sisi.
“Abang…”
“Hmm?”
“Kalau esok sayang sakit lagi, abang masih akan jaga kan..?”
Hurdan berkerut dalam senyum. Dah mula dah nakalnya.
"Jangan mengada-ngada nak makan benda-benda pedas dan masam lagi. Hmm? Makan biar teratur ikut masa..."
Biru tersengih.
"Tapi kalau sakit...abang akan caring lebih kan?" Mata bulatnya sengaja dikenyit meraih perhatian.
Terus pipi mulus itu jadi sasaran Hurdan. Biru pula sengaja menjerit manja.
“Janganlah sakit lagi sayang. Tak kesian ke tengok abang dulu? Ke hulu ke hilir kat dalam wad.....risau. Pleasee..... jaga diri untuk abang. Bolehkan?" Suara Hurdan kembali melankolik. Tapak tangan Biru sengaja dibawa ke pipi. Dan gadis itu terus cair. Manis betul momen ini hingga menyentuh nubari di lubuk yang paling dalam. Tak mampu lagi dia menzahirkan lisan.
Cup! Tapak tangan Biru kemudian dikucup lembut oleh Hurdan. Anak mata redupnya kembali menatap.
"Kalau sayang hilang senyum pun, abang akan cari sampai dapat. Kalau sayang lupa siapa abang, abang akan kenalkan diri setiap hari tau.....”
Air mata Biru mengalir tanpa sedar. Bukan kerana pilu tapi kerana terlalu bersyukur dengan suratan yang tertulis. Jadi, nikmat mana lagi yang mampu dia dustakan?
Cukuplah… rasa cinta ini terus dihayati dan dikurniakan sakinah mawaddah warahmah yang berkekalan hingga ke syurga. Langit kemudian memekat. Tapi dalam hati kedua-duanya, ada cahaya biru yang takkan pernah padam lagi. Selagi masing-masing rela menjaga.....
ROAD TO EPILOG...
P/S : dah....dah....kat bangku je korang boleh tengok tau. Haaaa....jangan mintak lebih-lebih... Dr Zainab tak bagi! Hahaha... ????
Share this novel