MALAM ITU, wad kembali tenang.
Nur Biru dah siap-siap dengan buku nota kecilnya di tangan, cuba layan bosan. Dia perasan wad 12 ni tak ramai sangat pesakit malam ini. Sepi semacam. Tak macam wad lain yang dia pernah tengok waktu jalan ke bilik X-ray dulu — bising, padat, dan kadang-kadang sampai kena kongsi bilik dua tiga orang.
Tapi wad ini… lain sikit auranya. Sunyi. Tak ada siapa nak diajak berborak. Yang ada cuma bunyi mesin monitor dari bilik sebelah, itu pun sayup-sayup aje.
Dia terfikir akan benda pelik juga. Kenapa wad ini macam eksklusif? Pesakit tak ramai, jururawat pun macam lebih tenang. Ada sesuatu yang dia tak tahu ke?
“Ni wad orang-orang special ya?” dia mencebik sendiri. “Atau aku aje yang selalu diberi perhatian lebih…” mula dia berangan.
Baru nak sambung contengan bunga tujuh kelopak di buku nota kecilnya tadi, tiba-tiba matanya tertancap pada susuk tubuh tinggi lampai berkot putih yang baru masuk ke bilik.
Dr. Hurdan.
Kali ni tanpa Dr Insyirah. Yes!
Dia datang sambil berdiri di hujung katil. Wajahnya serius sambil tangan memegang satu plastik kecil berisi ubat-ubatan dan sekeping surat.
Dia tak terus bercakap. Hanya berdiri seketika, memerhati Nur Biru yang masih bersandar lemah dengan buku nota kecil dalam tangan. Mata mereka bertaut sekejap, tapi tiada siapa yang bersuara dulu.
Biru senyum. Masih teringat kata-kata jururawat tadi. Teringin juga nak tengok doktor muda itu tergelak seperti yang dikatakan. Namun, riak serius aje yang dipamerkan pada wajah lelaki itu ketika ini. Macam mana nak cari bukti ya?
Takkan nak rekod dia senyap-senyap? Atau buat lawak hambar, tengok dia tergelak ke tidak?
Hesyy… ni bukan TikTok challenge, Biru! Tapi… kalau berjaya buat Dr. Hurdan senyum malam ni pun dah kira pencapaian besar dunia akhirat. Nak tahu juga… sejauh mana betulnya dakwaan jururawat wad 12 yang suka bergosip tu.
Dia jeling lelaki itu perlahan-lahan. Muka doktor itu memang tekal serius, susah nak ceria. Dengan dagu tajam serta kening berkerut tu, dia sudah persis model penjagaan kulit edisi "jangan cakap dengan aku hari ni." Hehe
Entah kenapa… makin lama makin suka pula pandang muka orang garang ni.
“Kenapa sunyi sangat malam ni?” tegur Biru akhirnya, cuba pecah senyap. “Pesakit lain semua dah tidur ke?”
Hurdan tarik kerusi perlahan, duduk dengan gaya tegap. Plastik ubat dan surat tadi terus diletak ke atas meja kecil di sisi.
“Wad ni memang tak ramai pesakit, Cik Biru,” dia bersuara perlahan. “Memang untuk kes-kes tertentu je. Kes yang doktor perlu pantau lebih sikit...”
Biru kerut dahi. “Maksud doktor... kes yang macam mana?”
Hurdan senyap sekejap, pandangannya turun naik dari nota kecil di tangan Biru ke wajah bingung itu.
“Macam awak,” balasnya perlahan. “Kes yang nampak biasa… tapi kalau tak dipantau betul-betul, boleh jadi luar biasa.”
Biru telan liur.
Dia tahu dari awal ada yang tak kena dengan badannya. Tapi tak sangka sampai tahap tu. Dia ingatkan cuma penyakit biasa — mungkin sebab stress, atau gastrik.
“Saya... sakit teruk ke?” soalnya hampir berbisik.
Dr. Hurdan diam beberapa saat, tapi dia geleng dengan senyuman nipis.
“Awak tak tenat. Tapi awak istimewa. Dan pesakit istimewa kena duduk tempat yang istimewa juga.”
“Wow…” Biru senyum senget. “Doktor pandai pilih ayat manis ya sekarang.”
“Saya belajar dari pesakit yang suka lukis bunga buruk,” balas Hurdan selamba.
Bulat mata Nur Biru mendengarkannya. Tak sangka doktor muda itu sempat menyindir. Nampak pula bunga contengannya di nota kecil itu. Betullah kata jururawat tadi, Dr Hurdan memang jenis yang tengok semua. Lukisan tak jadinya itu pun sempat ditilik.
“Esok awak dah boleh balik.” sambung Dr Hurdan lagi.
Biru terlopong. “Cepatnya? Semalam kata dua hari lagi.”
“Awak stabil. Enzim hati turun. Doktor Insyirah dah check semua tadi. So, saya sahkan discharge awak.”
Biru tunduk sekejap. Ada rasa sayu pelik dalam dada. Bukan sebab sakit. Tapi sebab… eh, kejap sangat la!
“Saya tak sempat pun nak bagi bunga, doktor…”
Hurdan terhenti sekejap. Bunga?
“Bunga buruk tu?” dia angkat kening sedikit, sinis.
Biru ketap bibir. Kurang asam! Cantik je lah lakaran bunga dia ni. Tapi, kalau nak yang lebih cantik, dia boleh lukis yang lainlah! Lebih bersungguh-sungguh.
"Saya boleh lukis yang lagi eloklah," Biru jeling sambil tangan bersungguh-sungguh membuka helaian baru pada nota kecilnya.
Dr Hurdan senyum senget.
"Nah, pakai notepad saya. Tengok jadi ke tak," katanya lagi separuh mencabar.
Biru terus picing mata. Pantang dia kalau kena cabar. Huluran Dr Hurdan terus disambut. Sehabis daya dia melukis dengan baik dan diserahkan semula kepada doktor muda tersebut.
Lelaki itu tergelak kecil, sambil tenung lama helaian kecil tersebut.
"Bunga tujuh kelopaknya senget, batang macam tali putus. Ni bukan bunga. Macam mangkuk tingkat jatuh dari tingkat lima. Buruk.”
Biru ketawa sambil tarik bantal, nak hempuk. Geram betul dengan kritikan tak membina doktor itu.
“Doktor! Saya lukis tu ikhlas tau!”
Dr Hurdan cebik bibir lagi. Macam tak ada perasaan.
"Kalau macam tu, serahkan je lah balik. Tak suka tak payahlah buruk-burukkan," Biru dah mula jauh hati. Tangannya terkapai-kapai meminta semula helaian kecil tadi.
Tapi Hurdan selamba selit lukisan tu masuk ke dalam poket kot putihnya. “Eh, inikan notepad saya. Awak yang lukis kat atas kertas saya. Jadi hasil karya ni... Kenapa nak bagi kat awak?”
Biru mencebik. “Alasan!”
Hurdan hanya sengih, namun matanya tak lepas dari Biru. Dan gadis itu hanya menjeling. Walaupun kena kutuk, dia tetap rasa suka. Bukan senang nak tengok doktor tu sengih macam ni. Satu lagi, lelaki tu macam dah pandai layan rentak dia.
“Kalau doktor simpan… maksudnya doktor sayang la tu.” pancing Nur Biru kemudiannya. Macam seronok tengok bibir tu tersengih lagi.
Hurdan angkat kening, gaya acah blur. “Saya simpan... untuk dijadikan bahan bukti. Bukti bahawa Nur Biru pernah lukis bunga yang buruk macam ni dekat wad 12,”
“Eh!” Biru mengekek tawa. Sakit hati tapi comel.
Hurdan bangun sambil ambil semula plastik ubat dan surat discharge di atas meja.
“Simpan bantal tu baik-baik. Esok awak discharge.”
Giliran Nur Biru pula yang blur. Kenapa kena simpan bantal?
“Awak ni berbakat besar tau,” sekali lagi lelaki itu tersengih macam tadi.
Biru terdiam. Wajahnya perlahan-lahan berubah jadi merah, tapi dia cepat-cepat tunduk. Ada rasa lain yang terbit. Bukan sedih, tapi gembira.
“Sebenarnya... saya memang rancang nak hantar awak balik cepat," mata Hurdan kemudian tunak memandang Biru.
Biru angkat kening. “Habis tu?” rasa seronok tadi tercalar seketika. Tak sangka, Dr Hurdan memang rancang untuk dia balik cepat.
"Tapi bukan sebab saya tak suka awak ada dekat sini.” sambung doktor muda itu lagi.
Biru diam menunggu jawapan.
“Sebab saya nak awak tahu... bukan semua benda kena tunggu lama untuk rasa rindu.”
Biru terkedu.
Hurdan terus menghulur satu kad kecil — 'kad follow up appointment'.
“Datang minggu depan. Tapi... bukan sebab ubat je. Datang sebab saya nak pastikan awak tak lupa rasa ni.”
“Rasa apa?” Tanya Biru serentak
Hurdan senyum kecil. “Rasa... nak kenal seseorang yang annoying, tapi buat hari saya tak pernah sunyi.”
Biru tergelak perlahan.
“Kalau macam tu... saya akan datang, doktor. Dan saya janji, saya akan buat doktor pening kepala lagi, setiap kali kita jumpa.”
Hurdan angguk sambil senyum senget.
“See you.”
Dua kata penamat itu cukup-cukup buatkan hati Biru teruja. Yeah! Ini bukan yang terakhir kan? Hehe
BERSAMBUNG...
hehehe... ada can jumpa doc kacak la lagi kan Biru? hihi
Share this novel
sambung lagii .tk puas baca....