Langkah Hurdan laju dan senyap sahaja menyusuri koridor ke Wad Dua Belas. Tak sangka sewaktu dia menapak masuk, sudah ada doktor yang bertugas. Dia melirik seketika ke arah jam di tangan. Jarum jam baru menunjukkan angka tujuh. Awalnya pemeriksaan pagi hari ini. Doktor mana agak-agaknya yang rajin mendahulukan tugasnya? Dia berjalan sambil menegur beberapa orang jururawat di situ untuk memastikan keadaan.
“Puan Noridah dah stabil Dr Hurdan. Tekanan darah pun dalam julat normal. Doktor yang periksa pagi tadi dah buat review penuh,” kata salah seorang jururawat sambil menunjukkan fail pesakit.
Hurdan mengerutkan dahi. “Doktor mana?”
“Dr. Kaira, doktor. Dia datang lebih awal. Katanya nak semak semua vital signs dan mula buat ward round sendiri.”
Hurdan mengangguk perlahan. Jantungnya mula berdegup sedikit laju. Dia kenal sangat gaya kerja Kaira, seorang yang teliti dan teratur... dan suka mendahului sesiapa sahaja yang dianggap ‘saingan’. Dalam hati, Hurdan tertanya-tanya, adakah Kaira datang awal ini atas dasar profesional, atau ada sesuatu yang lebih peribadi di sebaliknya?
Dia mula menyelak satu demi satu fail pesakit yang terletak di troli. Sudah ada nota pemeriksaan pagi, siap dengan saranan rawatan lanjutnya lagi.
‘Macam nak tunjuk dia lebih cekap dari aku,’ desis hati kecilnya.
Langkahnya kemudian diatur lagi. Harap-harap gadis itu belum sampai ke katil Nur Biru. Namun, derap kakinya terhenti sejenak sebaik sahaja sampai ke tirai langsir kelabu yang memisahkan ruang Nur Biru daripada pesakit lain. Suara yang menyapa telinganya sekarang buatkan dia spontan menegakkan tubuh untuk fokus bagi menangkap setiap patah yang sedang dilafazkan dari arah dalam.
"Dia dukung saya keluar dari bilik OT......"
"Dia tak boleh tengok orang yang dia sakit dan cinta sakit......"
"Saya masih ingat ayat tu sampai sekarang.."
Satu-satu ayat yang bergaung macam peluru. Kalau ikutkan hati, mahu aje dia menyerbu ke dalam. Tapi bila fikirkan etika dan status yang dipegang sebagai perawat rasmi di sini, dia tak patut kalah dengan emosi sekarang.
"Cantikkan gelang ni?"....
"Untung dapat partner gentleman macam ni kan?"... Suara sinis dan manja yang sengaja dibuat-buat itu bergema lagi.
Hurdan ketap bibir. Ini dah melampau. Merah padam wajahnya menahan geram. Spontan idea lain yang terlintas. Batang tubuh doktor wanita itu perlu dihalau keluar dengan cara yang halus juga. Dengan bunyi loceng mungkin? Atau apa-apa sahaja amaran dari dalam ruangan itu yang boleh buatkan doktor itu tak betah lagi berada di situ. Dan selepas itu, biar dia sendiri aje berjumpa secara empat mata dengan gadis itu di luar ruangan katil Nur Biru untuk berbincang soal ini. Bukan terus-terusan mendera emosi pesakitnya itu lagi.
Tak sampai seminit kemudian, suara jururawat dari interkom kedengaran jelas ke seluruh wad.
"Perhatian, diminta Dr Kaira ke Nurse Station satu, segera. Ada pesakit baru masuk untuk pre-op screening."
Terus derapan kasut putih dari ruangan Nur Biru itu keluar. Hurdan sudah tercegat di situ dengan renungan tajam.
Langkah Kaira terhenti sejenak. Suasana hingar hospital itu dirasakan bening tatkala melihat riak Hurdan yang serius. Hela nafas lelaki itu pun kedengaran kasar.
"Okey, I.. I kena pergi sekarang," ujar Kaira perlahan, cuba menyimpan rasa canggung di balik wajah tenangnya. Jujur, dia cuak juga. Tak sangka Hurdan seawal ini sudah sampai. Biasanya jam 8 baru doktor lain muncul. Bukan ada kes kecemasan pun hari ni. Mudah-mudahan jejaka itu tak sempat dengar semua perbualannya dengan Nur Biru tadi.
Langkah Kaira mula berundur, tapi belum sempat dia menapak jauh…
"Terima kasih ya… sebab ambil alih tugas ward round I pagi ni," ujar Hurdan tenang, dengan nada yang cukup sinis untuk difahami. “Awal sungguh. I pun tak sempat panaskan kerusi pejabat lagi.”
Kaira tak jadi meneruskan jejak. Senyumannya kelat. Pedih sindiran jejaka itu. Terasa tercabar pula.
Hurdan yang bersandar ke dinding wad sambil tangan disilang ke dada itu hanya menunggu reaksi gadis itu. Matanya masih tajam merenung.
“Biasanya kalau ada shift baru, kita bincang dulu siapa yang kena cover kan? Tapi... I kagum lah. You boleh baca jadual tanpa tengok whiteboard langsung.”
“Hurdan, apa maksud you? I bukan nak...” Kaira terus mencelah, namun cepat-cepat Hurdan angkat tangan memintas. Malas nak dengar alasan.
“Tak apa. I faham. You memang rajin. Cuma lain kali, jangan sampai rajin tu buat pesakit terpaksa dengar benda yang mereka tak sepatutnya dengar. Especially dari sejarah silam orang lain.”
Terus rahang Kaira terangkat. Dia dengar semuanya? Aduh, kacaulah! Nampak bodoh pula idea spontannya tadi. Hesyyy!! Jelas terlihat kebudak-budakan. Jatuh reputasi sendiri.
“Setahu I dalam etika perubatan, doktor yang baik bukan sekadar cek vital signs aje. Tapi tahu mana sempadan yang tak patut dilangkah.....walaupun dalam wad yang tak bertirai tebal macam ni,”
Kaira terus mendengus. Memalukan betul! Tak sangka, setajam itu ayat-ayat yang Hurdan berani lontarkan kepadanya.
Tapi....sempadan? Dia mula mencebik.
"Ya. And....you akur sangat dengan sempadan tu kan?" Balasnya dengan sinis akhirnya. Kali ini kedua-dua pasang mata itu bertatapan. Masing-masing menahan gelora dalam dada.
Hurdan senyum senget kemudiannya. Tangannya masih berpeluk tubuh.
"Of course Kaira. I masih tahu batas."
Dia melangkah perlahan ke sisi troli pesakit, memerhati sekilas catatan pada fail Nur Biru, kononnya mahu memastikan rawatan yang diberikan masih mengikut garis panduan. Namun sebenarnya, dia sedang menyusun ayat yang seterusnya.
“Sebab tu sampai hari ni, I masih berdiri dekat luar tirai ni. Bukan kat dalam, bercerita pasal kisah cinta lama pada pesakit yang tengah terlantar.”
Kaira tergamam. Mulutnya terbuka sedikit, tapi tiada kata yang keluar. Jujur, mukanya membahang sekarang. Malu!
Hurdan menatap sejenak sebelum bersuara lagi. Kali ini wajahnya terlihat lebih tenang namun kata-katanya makin tajam tak ubah seperti pisau bedah.
“Tak semua memori indah yang you ulang-ulang tu, sesuai untuk dikongsi di sebelah pesakit yang sedang bertarung untuk sembuh.”
Kaira tersentak. Dia hanya mampu pejam mata sekarang. Serasa mahu cepat-cepat aje berlalu dari situ. Tapi tubuh tinggi lampai itu masih menghadang. Hurdan belum habis.
“I tahu you suka jadi yang pertama dalam banyak benda. Tapi tolonglah… jangan jadi yang pertama menyinggung hati orang yang tak bersalah.”
Kali ini Kaira terus tunduk. Jiwanya digigit rasa bersalah. Geram, marah bercampur-baur.
“Dia tak minta dengar semua tu pun. Dan I… tak akan benarkan dia rasa kecil hati dengan sejarah silam yang dah lama I padam dari kamus hidup.”
Kaira sebak. Cepatnya kenangan manis itu padam dari hati Hurdan. Gelang pemberian lelaki itu yang sengaja dipakai sekarang langsung tak memberi kesan di hati.
“Dan satu lagi...." Suara Hurdan lebih perlahan dari tadi.
“I tak tahu siapa yang you cari dalam hidup you sekarang. Tapi kalau you fikir I masih berdiri di tempat yang sama macam dulu… you silap Kaira.”
Terus takung mata Kaira bergenang. Hurdan benar-benar dah berubah. Dari riak dan nada serius itu, dia tahu lelaki itu tak main-main. Ruang untuknya mungkin betul-betul dah padam. Dan...mungkin gadis pucat yang berada di dalam ruangan katil pesakit itulah yang telah mengisi kekosongan tersebut.
"I masuk dulu," pamit Hurdan seraya menyelak langsir kelabu tersebut tanpa menunggu kata-kata dari Kaira lagi. Dan gadis itu hanya mampu pejam mata sambil menyeka juring mata yang terasa panas dengan mutiara jernih yang terbit tiba-tiba itu. Wajahnya yang selalu yakin itu nampak goyah tika ini. Walau sedih, ekor matanya tetap tajam menjeling sebelum benar-benar berlalu dari situ. Dia betul-betul tercabar kali ini.
BERSAMBUNG....
bisa...huhu, tapi emosi kaira makin membengkak tu. cepat2la biru discharged kan? ke koramg rasa sebaiknya apa? hehe
Share this novel
bagi pengsan dulu Biru 2 hari biar Dr Kaira dipersalahkan hehehe..
bagi lg yg pedas2 utk Dr Kaira baru puas hati..hehehe jahatnya aku...
nk happy ending ngan cik biru..pedulikan dr kaira tu.. padan muka hidung x mancung pipi tersorong2. geram kita .. hu hu hu