BUTANG lif ke tingkat 7 terus ditekan. Hurdan nekad kali ini dengan keputusan sebelum ini. Tawaran kerja di hospital yang terletak di ibu kota itu mahu diterima sahaja. Hanya tunggu Nur Biru betul-betul pulih baru dia akan suarakan keadaan sebenar nanti. Lagipun tempat ini meninggalkan parut luka yang cukup membuatkan dia terkesan. Bukan bermakna dia payah untuk lupakan semua memori yang tercipta dulu, tapi dia hanya mahukan suasana yang lain untuk buka buku baru.
Kemunculan gadis naif yang comel itu menghidupkan semula hatinya yang telah lama beku. Mungkin masa yang ditunggu-tunggu itu telah pun tiba. Bagai hadiah dari Tuhan yang jatuh dari langit, dia betul-betul bersyukur. Jujur, sejak dulu hatinya memang payah untuk jatuh cinta walau berbagai-bagai cara wanita-wanita di sekeliling cuba untuk mendekat. Tapi tidak untuk gadis genit yang seorang ini. Effortlesss! Dengan teguran dan sapaan selambanya pun dah buatkan hatinya tercuit. Kali pertama pandang pun dia dah jatuh suka. Biru bukan terlalu jelita untuk dibandingkan dengan perempuan-perempuan yang ada di luar sana, tapi wajahnya sejuk, naif dan jujur bila berkata-kata. Itu yang buatkan dia tertawan.
Ting!
Tiba-tiba pintu lif terbuka sendiri. Ada pengguna lain yang masuk.
Kaira?!
Hurdan pejam mata tatkala wanita itu hanya tunduk memasuki ruang. Lagaknya sudah tidak mendabik seperti selalu. Dari sisi, dia nampak gadis itu kerap mengesat tubir mata yang basah.
Hening seketika ruangan kecil itu sementara menunggu pintu lif itu terbuka ke tingkat 7. Masing-masing hanya melayan fikiran yang sedang menerawang jauh ke arah hala tuju hidup yang bakal ditempuh selepas ini. Sehinggalah pintu lif itu terbuka sekali lagi. Dan kedua-duanya sama-sama melangkah keluar.
"Hurdan..." Panggil Kaira perlahan.
Hurdan hanya pejam mata. Jujur, dia malas untuk berinteraksi lagi dengan gadis yang satu ini. Sapaan itu betul-betul mengganggu jiwa.
"Please..." Tubuh tinggi lampai Kaira sengaja didorong ke depan memohon langkah laju lelaki itu untuk berhenti. "I cuma nak pinjam....sekejap aje waktu dengan you...." Suara Kaira bergetar menahan tangis.
Hurdan akhirnya mengalah. Dia berhenti sejenak memberi ruang. Tak mahu juga berlaga di laluan koridor seperti ini.
"I tahu you benci I..." Kaira menangis. "You pun....dah meluat tengok I kan?" Suaranya tertahan-tahan sambil menyapu juraian air mata yang bergulir.
Hurdan hanya melepas keluhan panjang. Bibirnya diam mengunci lisan sambil mata dihala ke arah lain. Cuba mengawal emosi.
"I...I cuma nak minta maaf dengan you. Untuk segala-galanya....dari dulu sampailah hari ni. I mengaku.....I memang salah. I yang terlalu ikutkan hati hingga..sanggup bu..buat Biru....Biru..." Sebak Kaira makin mencengkam. Suaranya terputus-putus melahirkan penyesalan.
Hurdan pejam mata sambil mendongak ke atas. Sejujurnya dia pun kecewa. Sedih dengan apa yang terjadi. Sampai hati Kaira sanggup gadaikan prinsip demi kepentingan diri. Padahal gadis itu adalah antara doktor yang tegas dan penuh berwibawa sejak dulu.
"Tapi....I....I betul-betul cintakan you Hurdan. I...cuma tak dapat terima you berpaling dari cinta kita ni..." Kaira menangis lagi.
Hurdan terus berpaling. Terkejut juga dengan pengakuan Kaira. Gadis itu takkan mengaku kalau sesuatu itu betul-betul bukan dari hatinya. Tapi kali ini, pasti dia sudah rela menundukkan egonya sehabis yang mungkin. Cuma untuk apa? Kisah kasih antara mereka berdua dulu sudah lama berakhir dan wanita itu sendiri yang menamatkannya.
"I tahu... You mesti gelakkan I kan? I bodoh... I yang tamatkan semuanya, then I yang mengemis semula. Tapi untuk pengetahuan you, I sebenarnya....cuma nak you berubah untuk lebih komited dalam hubungan. I nakkan perhatian...."
"Enough Kaira... Cukup. I rasa...kita dah tak patut ulang benda-benda yang dah lepas. I faham maksud you. And...I bukan type lelaki yang you nak sebenarnya..." Hurdan terus memotong. Penat untuk dengar hal-hal yang sudah.
"No..!!" Kaira pantas menggeleng.
"You memang type lelaki yang I impikan selama ni Hurdan. Tapi you abaikan I bila kita dah mula serius. I tak ada lelaki lain pun Hurdan sejak kita putus. Sebab....sebab...I masih berharap pada you..." Luah Kaira lagi dengan air mata. Kalaulah Hurdan tahu nilai kesetiaan dia selama ini, pasti lelaki itu takkan tegar berpaling dari cinta ini.
Hurdan angkat muka perlahan-lahan. Untuk kali pertama dia tenung wajah yang sedang merah digenangi air mata itu.
"I cuma nakkan perhatian you Hurdan..."Air mata Kaira makin lebat. "I nak rasa juga dimanja oleh tunang sendiri walaupun I tahu kita sama-sama sibuk. Tapi, you tak faham. Sibuk sangat dengan jadual sampaikan susah untuk luangkan masa yang sedikit tu untuk I..." Kaira merintih lagi.
Hurdan mengeluh lagi. Sampai sekarang gadis itu masih salahkan dia.
"I dah bagi semuanya Kaira...dulu. Tapi you yang tak cukup. I ingat you faham dengan kerjaya kita...tapi you jadikan benda tu sebagai alasan. I tak perfect Kaira. You selar I kayu, beku dan tak romantik macam orang lain. And yes... I memang lelaki yang macam tu Kaira. I tak romantik seperti yang you harapkan. I terima semua kutukan tu. I cuba fahamkan diri I yang...I lelaki yang tak sempurna untuk you......" Akhirnya meletus juga emosi Hurdan. Geram juga bila diri dia disalahkan. Perempuan ini memang suka cari salah orang lain sahaja.
"No..." Sekali lagi Kaira menggeleng.
"I tengok you boleh aje dengan Biru. You bagi bunga dan siap nyanyikan lagu lagi untuk dia. You memang sengaja nak buat I cemburu kan? Kenapa dengan I dulu...."
"Stop it Kaira..." Laju Hurdan memotong walau dengan nada perlahan. Siapa dia nak banding-bandingkan perlakuan spontan itu semua? Penghargaan dan segala bentuk ucapan itu sesuai dengan keadaan dan cara interaksi kita dengan seseorang. Jelas sekali nampak gadis itu cemburu dengan Biru.
"Tolong jangan libatkan Biru kat sini. Dia tak ada kaitan pun dengan kita dulu..."
"Tapi sebab dia lah hati you berpalingkan?" Nada Kaira masih mengharap.
Hurdan geleng kepala. Hal ini perlu diluruskan segera sebelum jadi meleret-leret.
"Listen..." Hurdan menatap tepat ke wajah Kaira. "Cerita kita dah berakhir 3 tahun lepas Kaira. Ya, waktu you buat keputusan untuk serahkan balik cincin tunang tu...I cukup sedih. I meratap... I merayu untuk you pertimbangkan balik keputusan tu. I cuba sedaya-upaya jadi lelaki seperti yang you nak. Hero impian you. Walaupun sebenarnya, I terpaksa jadi diri orang lain. Asalkan you happy Kaira. Tapi you still insist it sebab I tak cukup sempurna pada mata you waktu tu. You kutuk I macam-macam kat depan kawan-kawan I. You ingat lagi kan semua tu? You tak fikir langsung malu dan maruah I pada masa tu. Yes, I macam orang gila lepas tu Kaira. Sebab terlalu cintakan orang yang salah..."
Kaira geleng kepala menahan sendu. Sebak dan terharu dengan pengakuan Hurdan. Dia menyesal sangat. Jujur, tubuh tegap itu mahu aje dipeluk sekarang untuk membasuh luka lama tersebut. Namun, Hurdan cepat-cepat menjarakkan diri. Seolah-olah mampu membaca gerak hatinya sekarang.
"Tapi masa dah ubah segalanya. I cuba pujuk hati sendiri untuk lupakan you. I bina balik segala kekuatan yang ada...."sambung Hurdan sambil meraup muka.
"Alhamdulillah.... berkat doa mama dan papa I, you masih boleh tengok I berdiri kat sini untuk teruskan hidup. And start from that day, I tanam semua kisah kita. I janji dengan mama I untuk jadi manusia yang tak terhegeh-hegeh dan mengemis cinta dari orang lain yang dah tak sudi. And...I tak pernah harapkan kisah kita tu berulang lagi. I lebih selesa hidup sendiri. Sehinggalah I jumpa Nur Biru, the Buscopan Girl..."
Wajah Hurdan turut berkaca.
"Yes, I mengaku yang... I dah mula rasa suka dan sayang pada dia. I boleh jadi diri I yang sebenar bila dengan dia. I tak perlu create watak lain dalam diri I ketika dengan dia Kaira. I rasa dihargai dengan sikap naif dan bersahaja dia. Apa yang you tengok, itu bukan lakonan atau bukan apa-apa bentuk provokasi yang sengaja I buat untuk sesiapa pun. I ikhlas dengan dia..."
Kaira tunduk. Hatinya benar-benar terluka dengan pengakuan tersebut.
"Sakit tau, bila orang yang kita cintai... cintakan orang lain sepenuh hati. I rasa you dan dia sengaja nak provoke I. Sengaja buat I rasa gagal. Itu yang buatkan I betul-betul sedih Hurdan...."tangisan kecilnya mula memenuhi ruang.
Hurdan menggeleng perlahan.
"No, Kaira. You rasa macam tu sebab you kalah dengan orang yang tak pernah cuba untuk bersaing...."
"I tak pernah berniat nak provoke you apatah lagi nak buat you rasa kalah. Dan Biru.... tak pernah pun nak rebut hati I. I yang jatuh cinta dengan dia tanpa sedar.."
Kaira menekup muka. Sakit mendengar pengakuan cinta Hurdan. Derita yang tak ada ubat yang klinikal untuk dirawat. Dia tewas hanya dengan seorang gadis biasa seperti Nur Biru.
"You tipu I kan Hurdan? You saja nak duga hati I kan? Dulu...you cakap you hanya akan cari soulmate yang sekufu dengan you. Kerjaya, ilmu dan semua..." Kaira angkat muka berani bertentang mata. Dia betul-betul mengharap. Kali ni, dia sanggup ketepikan segala ego demi cinta Hurdan. Cukuplah kerjaya dia saja yang terkorban asalkan cinta lelaki itu berjaya direbut.
Hurdan ketawa sinis. Rendahnya pandangan gadis itu terhadap Biru. Angkuh kedengarannya. Padahal Biru jauh lebih sekufu dari segi adab santunnya jika dibandingkan dengan Kaira. Bukankah sombong dan merasa diri lebih baik itu hanya menjadi punca keretakan setiap hubungan? Dia tak mahu terjerat lagi.
Bagi Hurdan, walau Biru hanya gadis biasa yang tidak punya sijil yang tinggi dalam akademik, tapi dia punya adab yang tinggi. Kemahiran interpersonalnya lebih bagus jika dibandingkan dengan Kaira. Cuma rezeki hidup masing-masing berbeza. Latar-belakang keluarga Biru mungkin salah satu kekangan yang besar buat gadis itu untuk mengejar cita-cita dalam bidang akademik. Kalau baik dan berakhlak tinggi, bukankah itu lebih membahagiakan? Perempuan yang sesuai untuk dijadikan seorang calon isteri.
"Itu hanya pandangan you Kaira. But not for me. Sekufu yang i maksudkan luas. Mencakupi segala-galanya. Termasuk adab dan tingkah laku. Yang boleh terima kekurangan dan kelebihan yang ada pada I. Cukuplah dia yang boleh setia dan faham keadaan I. Dan...I pun boleh terima dia seadanya," tegas Hurdan.
Kaira menggeleng dalam tangisan. Hurdan betul-betul dah singkirkan dia dari hidup. Tiada riak sedih pun yang terpancar di mukanya. Lelaki itu nampak yakin dan tegas dengan pendirian.
"Jadi kita....." Kaira masih mengharap.
Hurdan mengeluh lagi. Hatinya tawar dan penat untuk melayan. Mungkin harapan gadis itu perlu dinoktahkan hari ini.
"I minta maaf Kaira. Hati I dah tertutup untuk ulang apa yang sudah. Thanks for everything and....I am so sorry..."
Sekali lagi esak tangis Kaira memanjang. Dia betul-betul gagal kali ni. Hurdan dah mati rasa untuk dia. Susahnya untuk dia terima semua ni.
"You bergurau kan? You hanya cinta I seorang selama ni. I sanggup berubah Hurdan. I sanggup tunggu sampai......"
"No...Kaira....Please stop...." Hurdan ulang perlahan. Dia cuba menahan emosi. Ikutkan hati mahu aje dia lari dan tinggalkan perempuan itu sekarang, tapi rasa kemanusiaan dan adab yang disemat dalam diri menghalang. Perlu juga dia akhirkan semua ini dengan baik.
"Kita dah cukup dewasa sekarang. I yakin you faham maksud I kan? I pun tak nak ada salah faham lagi antara kita. I nak minta maaf sekali lagi dengan you Kaira. I doakan semoga you jumpa insan yang terbaik suatu hari nanti. Sorry for everything once again...."
Kaira angguk perlahan. Dia cuba mengawal diri dari terus meratapi kegagalan. Sekarang baru dia faham. Inilah istilah mati rasa yang sering ditutur oleh wanita-wanita yang cuba mendekati Hurdan dulu. Waktu itu dia rasa betul-betul megah hinggakan sanggup mengenepikan cinta tulus dari lelaki itu.
"I minta diri dulu Kaira...." Ucap Hurdan sambil memajukan langkah ke depan. Sikit pun lelaki itu tidak lagi menoleh ke belakang.
Kaira terduduk. Cinta lelaki itu padanya betul-betul dah mati. Air mata penyesalannya tumpah lagi. Andai dia hargainya dari awal, pasti pengakhirannya bukan begini. Tapi apakan daya, dia sudah tersalah langkah. Cita-cita, masa depan dan kisah cintanya telah punah. Yang harus dia lakukan sekarang adalah..... belajar menerima.
Sementara di kejauhan, Hurdan melangkah dengan tenang. Langit senja bersatu dengan harapan baru. Bukan lagi membawa dendam dan luka yang berparut di hati. Tapi satu langkah ke hadapan untuk mencintai semula diri dan insan-insan yang pandai menghargai.
BERSAMBUNG....
P/S : Sedih pulak jadi Kaira ni kan? Total lost......huhuhu... Hurdan pulak pilih Biru. Kenapa tak pilih I? Hehe
Share this novel