{BAB 3/1 : DCB} MONOLOG DUA HATI

Drama Series 9401

SELEPAS SEMINGGU.
Di Asrama Kilang Setia Indah....

“Biru, jangan over okey! Please... behave. Kau bukan nak pergi dating pun. Kau cuma nak pergi check-up aje. Fokus. Jangan nak senyum lebih-lebih dan jangan nak tanya benda yang pelik-pelik lagi. Doktor tu entah-entah dah lupa...”

Nur Biru merenung cermin. Pandangannya mendarat tepat pada anak mata sendiri yang seolah-olah bersinar luar biasa hari ini. Sinar harapan atau sinar cinta? Ah, khayal! Tapi, jujur hatinya dah tak keruan sampaikan tanpa sedar beberapa helai baju sengaja dimasukkan ke dalam bagasi kecilnya. Mana tahu kalau tiba-tiba kena tahan wad lagi kan? Tak normal betul jiwa dia sekarang. Seolah-olah wad hospital tu dah jadi destinasi cinta hati terakhirnya. Hehe.

Tangannya kembali membetulkan anak tudung. Menutup segala anak-anak rambut yang terjuntai. Tudung satin warna biru lembut itu kini tersarung kemas di kepala. Rasa yakin bila mengenakan warna kegemarannya ini. Sesuai dengan aura nama yang digalas,  Nur Biru! Harap-harap mata redup itu sudi lagi untuk bertaut buat kali kedua dengannya nanti. Ah, terujanya hati. Belum pernah lagi hatinya berbunga mekar seperti ini. Kelakar, tapi inilah kenyataan. Kedua-dua belah tangannya sudah basah dengan keringat dek menahan debar.

“Kenapa aku nervous sangat ni? Bukannya first time pergi hospital... Relax....” omelnya perlahan sekadar menenangkan perasaan.

Cepat-cepat dia mencapai lip tint. Warna merah jambu itu kini teroles cantik di bibir. Nipis aje sapuannya, namun cukup berseri untuk bibir mungil sepertinya. Agak-agak doktor tu perasan tak warna bibirnya nanti? Hehe. Ah, lelaki tu mana nak pandang kan? Kalau tak sibuk sangat dengan fail, pasti dengan stetoskopnya, kalau tak pun dengan hati pesakit lain,  yang pasti bukan dialah orangnya. Tapi tak mengapa, yang penting mekap tipis itu buatkan dia lebih yakin untuk berhadapan dengan doktor muda itu nanti. Manalah tahu, reaksi orang di sana tiba-tiba jadi positifkan? Seirama gitu. Tak ada benda yang mustahil pun kat dalam dunia ni kan? Hehe. Perasan...

Dia senyum-senyum sendiri lagi. Gila bayang! Namun, sedar tak sedar sudah 7 kali semburan 'mist spray' dikenakan pada tubuh. Harumannya tidak terlalu wangi sampai mencucuk hidung, namun tak juga busuk — just nice! Bau yang diharapkan apabila doktor itu mendekat, boleh buatkan dia terus teringat. This is Nur Biru. Pesakit paling annoying, paling cerewet, paling.....dirindui mungkin...Hehe.

“Dua malam kat Wad Dua Belas tu... rasa macam mimpi aje.” Nur Biru berkhayal lagi sambik duduk sekejap di birai katil.

Kepalanya ditundukkan sambil tangan diletak ke atas riba. Ingatannya kembali terlayar ketika menanggung rasa sakit yang tak tertahan sehingga tak mampu untuk bangun apatah lagi berjalan. Doktor itulah yang datang. Dengan suara garangnya, dengan cara panggilannya...

“Cik Nur Biru... Rehat.. Jangan paksa diri...”

Tegas...tapi renungannya waktu itu lembut. Betul-betul rasa dijaga. Ah, dia tak pernah rasa dihargai sebegitu rupa. Hebat betul layanan hospital kali ini. Asbab doktor kacak itu juga...

“Dia garang, tapi dia tak pernah biarkan aku sendiri. Dia suka guna nada tinggi dan buat muka tegang, namun bila aku tekan loceng dia jugalah yang paling cepat datang. Lebih cepat dari jururawat-jururawat yang lain,” ulang gadis itu lagi sambil pejam mata.

Dan dalam kegelapan itu juga, dia nampak bayang-bayang wajah doktor muda itu datang. Senyap, tenang, tapi ada sesuatu yang tak terucap. Seperti kata akhir 'rasa' yang diungkapkan oleh doktor itu sendiri. Apakah lelaki itu hanya bergurau atau betul-betul ingin menyatakan sesuatu.

“Ah, mungkin aku aje yang rasa. Tak mustahil, Doktor Hurdan melayan semua pesakit macam tu. Tapi... kenapa pandangan doktor itu luar biasa pada hari terakhir dulu? Senyum dia pun.."

Biru peluk bantal kecilnya kejap-kejap kemudian sambil tarik nafas perlahan.

“Ya Allah... jangan bagi aku jatuh hati kalau hati ini tak selamat untuk dijaga. Tapi kalau dia... memang Kau cipta untuk melindung, bukan untuk melukakan... aku reda untuk tergelincir dan jatuh sekalipun...”

Tik Tik Tik

Jam pada dinding berdenting bising kemudiannya. Satu jam saja lagi, appointment hospital itu. Dia tak boleh lambat. Manalah tahu asbab kelewatan tersebut, Dr Hurdan digantikan dengan doktor yang lain. Ah, rugi! Cepat-cepat Biru mencapai beg tangan serta bagasi kecilnya. Kad temu janji tadi ditenung sekali lagi sambil bermonolog sendiri.

“Chaiyok Biru. Hari ini, hari penentu. Kalau dia kau temui lagi, bererti jodoh kau dengan dia mungkin masih panjang. Kalau tak, telan ajelah nasib keturunan. Sebatang kara sepanjang hidup. Ah, benci!"

Dia terus geleng kepala. Kenapa perlu meratibi takdirkan? Yang kedepan tak semestinya berakhir dengan kesedihan. Mana tahu kali ni nasib hidupnya berubah?

"Yang penting kau perlu bersedia Biru. Kemungkinannya hanya ada dua ketika masuk ke bilik rawatan itu nanti. Mungkin kecewa atau.... mungkin juga bahagia. Tapi jangan putus semangat sebelum kalah. Kau cantik! Istimewaaa...Mmuahh.." Dia ketawa sendiri. Entah kenapa lawak bodoh tu pun cukup buat dia rasa kuat sedikit.

“Kalau hari ni dia pandang aku macam aku satu-satunya pesakit yand dia ada... aku janji tak akan buat drama. Tapi kalau dia langsung tak ingat...” Bahu kirinya dijatuhkan lagi. Terus hilang semangat. Jujur, hal itu yang paling dia tak nak. Kemungkinan besar Doktor Hurdan tak pandang pun hal remeh seperti ini kan? Pasti beratus-ratus kad janji temu yang perlu lelaki itu hadap hari ini.

“… ya, aku akan balik, dan peluk bantal ni kuat-kuat lagi dan mungkin... Kena mohon ubat tidur dari farmasi. Hehe. Badan ni pun bukan elok sangat sejak dua menjak ni," ikrarnya pada cermin seraya mengoyak senyum nipis.

Yakin atau cuak, dia harus terus melangkah. Tak pasti sama ada dia ke hospital untuk merawat luka lama... atau mencari luka baru.....

SEMENTARA DI TINGKAT 3 HOSPITAL TAQWA...

“Kalau dia datang hari ni... aku kena tenang. Aku kena layan dia macam pesakit-pesakit lain juga. Jangan senyum. Jangan gelabah dan jangan... nampak lemah.”

Dr. Hurdan Azka berdiri di depan cermin bilik doktor lelaki. Jubah putih yang tergantung kemas belum diusik. Jujur, dia sangat teliti memilih warna pakaian hari ini. Biru? Bibirnya tersengih tanpa sedar. Baju kemeja biru lembut yang sudah lama tidak disarung ke tubuh itu terasa teruja untuk digayakan hari ini. Pilihan rawaknya pagi ini seolah-olah membayangkan satu bentuk pengakuan emosi yang dilakukan secara tak sengaja. Semburan minyak wangi kesukaannya pun tujuh kali disembur ke badan. Kelakar, tapi itu yang dia mahukan sebenarnya hari ini. Mahu tampak kemas dan lebih berkarisma dari biasa.

“Biru... awak betul-betul datang dalam hidup saya sebagai pesakit ke... atau sebagai ujian?” hatinya bermonolog lagi.

Dia tarik nafas dalam-dalam. Cuba melupakan suara gadis itu. Tapi entah kenapa, ia tetap aje melekat dalam kepala walaupun telah beberapa kali cuba ditolak. Suara itu bukan saja mampu buat dia marah... tapi juga pandai buat dia tertunggu-tunggu. Secara tak rasmi, dia sudah melanggar garis antara profesional dan personal yang dia telah cipta sendiri. Antara seorang perawat dengan seorang pesakit. Antara... dia dan Nur Biru.

Dan paling dia tak jangka, dia sanggup menolak tawaran yang sekian lama ditunggu-tunggu untuk bertugas di sebuah hospital pakar terkenal di ibu kota tiga hari lepas. Demi temujanji ini!

Ah, lucu kan? Dia pun tak faham dengan perasaan sendiri sekarang. Rindukah ini? Atau...hanya harapan seorang doktor kepada seorang pesakit? Bimbang pesakit seperti gadis itu menyelar dirinya yang tak akur pada janji untuk meneruskan rawatan. Ah.....

“Engkau doktor Hurdan. Bukan pelakon drama. Aku tak patut layan perasaan sendiri bila berhadapan dengan pesakit. Entah-entah gadis itu hanya bermain kata. Memang wujudkan perempuan yang pandai menyakat dan mengayat ni?”

Hurdan geleng kepala sambil membuang khayal. Cuba menenangkan hati yang galau sambil menolak daun tingkap. Awan-gemawan biru kini tersergam di mata. Ah, wajah comel pucat itu bergentayangan sekali lagi.

Cepat-cepat tangannya mencapai jubah putih yang tersangkut di dinding sambil mengenakan tag nama pada fabrik tersebut. Stetoskop yang sentiasa setia di bahu itu menjadi pelengkap. Seketika kemudian, bunga 7 kelopak yang senget pada helaian nota kecil di dalam poket jubahnya ditenung. Tiada kata yang terucap. Hanya bibirnya spontan tersengih lebar. Hati turut berirama.

“Aku bukan takut sukakan dia... Tapi aku takut biarkan diri untuk dilukai lagi macam dulu.”

Kenangan lama tiba-tiba muncul. Wajah seseorang yang dulu dia percaya bermain di minda. Sakit bila cinta mula tumbuh, tapi akhirnya tidak dihargai begitu.

Perit! Pedih! Serta Payah untuk sembuh. Dan sekarang... Jaringan fibrin baru mahu terbentuk mengumpul histamin semula. Sanggupkah dia melihat luka itu berdarah semula demi satu nama itu? Warna biru awan-gemawan di hadapannya itu dipandang lagi. Siapalah dia untuk melawan fitrah. Rasa suka itu tumbuh atas izin-Nya juga.

Ah, sekali lagi dia pejam mata sambil meraup juntaian rambut ikalnya.

“Kalau dia masih pilih untuk datang hari ni... mungkin jodoh aku dan dia masih panjang. Walaupun dia tahu, aku bukan lelaki yang senang untuk didekati, pasti Tuhan akan bekalkan dia kesabaran. Dan aku...perlu beranikan diri untuk percaya sekali lagi.”

“Biru... "

Nama itu akhirnya terpacul juga di bibir. Nama yang mampu retakkan sedikit demi sedikit tembok tinggi yang sekian lama dibina. Unik fiilnya. Tapi cukup buatkan dirinya rasa tertarik. Gadis itu bersahaja dan yang penting jujur dalam melontarkan emosi.

Tombol pintu kemudian dipulas. Sekali lagi Hurdan menarik nafas panjang. Dadanya berombak serta degup jantungnya beritma luar biasa. Namun...

Kreek...

Pintu biliknya kini terkuak luas untuk melangkah ke ruang bilik rawatan. Debar tadi spontan berjaya disembunyikan. Wajahnya kembali nampak tenang.  Tegas, profesional, dan penuh kawalan seperti selalu. Semoga bila mata bundar itu bertaut nanti, hatinya tekal dalam emosi ini.

BERSAMBUNG...

P/S : cee...gittwe... Pandai Dr Dan sembunyi2 ya... Kakak kita tu da berkeringat tau.. jangan jual mahal tau...xdak duit biru nak beli...kikikkk

Share this novel

User22861
2025-04-24 10:33:23 

sambung lagii?


NovelPlus Premium

The best ads free experience