SUASANA Bilik Mesyuarat di tingkat 5 Hospital Taqwa tengah hari itu tegang. Angin sejuk yang berpuput lembut dari pendingin hawa yang berkuasa tinggi itu langsung tak mampu menyejukkan lahar yang membura di dada.
Di hadapan meja utama, tersusun rapi fail kes dan paparan pada skrin besar yang kini menunjukkan nama pesakit:
~Nur Biru binti Muhammad Fahrul~
Di bawahnya, satu catatan sistem tersemat:
~Last Access to Critical Lab Data:
Dr. Kaira Hairani binti Kamaruzzaman– 05:15 PM, 20 Mei 2025.~
Saat pintu dibuka, Kaira perlahan-lahan melangkah masuk. Namun bunyi kasut bertumitnya bergema kuat memecah kesunyian, menyimbah gementar ke jantungnya sendiri. Keyakinan yang digenggam sejak pagi tadi, luruh satu per satu. Gugur di lantai bilik yang beku itu. Debarnya makin membukit apabila lima pasang mata panel tertinggi hospital tersebut sedang tunak memerhati.
Pengarah Hospital, Datuk Dr. Abdul Rahman bin Hanafi.
Ketua Jabatan Perubatan, Dr. Hadif Lutfi bin Zamani.
Pegawai Tadbir Kanan (Unit Etika dan Tatatertib), Puan Rosmawati binti Masrom.
Pegawai Undang-Undang Hospital, En. Nadzri binti Buliami.
Wakil Majlis Perubatan Wilayah, Dr. Sheila Arifah binti Hazman.
Dan di satu sudut pula, wajah kaku Dr Hurdan Azka sedang duduk dengan sorotan yang tajam. Wajahnya serius tanpa senyuman. Jelas menyimpan bara dan amarah yang menyala.
Kaira telan liur. Pahit! Dia tahu kekecohan yang berlaku pagi tadi. Jujur, dia pun terkejut. Bagaimana Hurdan boleh tahu secepat itu? Siapa yang bocorkan?
"Ehem..." Datuk Dr Abdul Rahman terus memberi isyarat untuk mula sebaik sahaja Kaira melabuh duduk. Salam diberi dengan raut tegas dan serius. Tiada senyuman langsung yang terukir di bibirnya seperti selalu. Wajah yang sentiasa tenang itu pun nampak keruh hari ini.
"Dr. Kaira. Terima kasih kerana hadir tepat waktu walaupun semuanya berlaku secara tergempar. Kami teruskan prosiding ini sebagai kes berisiko tinggi melibatkan integriti doktor dan nyawa pesakit....."
Kaira terus tunduk. Cuak seluruh tubuhnya. Menyesal! Itu yang terlintas di hati. Namun, nasib dah jadi bubur. Tak sangka, Hurdan tegar mengheret hal ini ke meja mesyuarat tertinggi hospital. Bibirnya diketap berkali-kali cuba melawan rasa.
"Awak dah maklum kan kenapa awak ada di sini? Awak...ada apa-apa penjelasan?" Lidah garau itu kemudian bertanya. Bicaranya walau pendek, tapi cukup menikam seluruh jasad Kaira.
Gadis itu tiada pilihan kecuali mengangguk perlahan. Suaranya terputus-putus kemudian menjawab. "Tapi Datuk....saya... saya tak sangka benda tu... akan..."
"Bukan ‘benda’ Dr Kaira! Ini nyawa tau"
Dr. Hadif pula meletus memintas tajam.
"Bacaan hemoglobin pesakit Nur Biru ditukar dari 6.8 kepada 9.7 semalam. Itu bukan typo. Itu sabotaj rawatan namanya!"
Suara yang bergaung itu sekali lagi membuatkan aliran darah Kaira seakan terhenti. Menggigil rasa tubuhnya sekarang. Tak berani lagi dia untuk menjawab.
Pegawai Tadbir Kanan dari Unit Etika dan Integriti Hospital pula bangkit mengaju fail di tangan.
"Log sistem menunjukkan hanya ID awak yang login petang tu. Tak ada doktor lain yang masuk. Awak tahu apa kesan daripada data yang dimanipulasikan itu?" Suara Puan Rosmawati turut menekan.
"Rawatan lanjut ditangguhkan 7 jam, Dr Kaira. Dan dalam dunia kami, tujuh jam boleh jadi garis antara hidup dan mati!"
Kaira angkat muka merayu. Air liur terasa keras untuk ditelan. Dia berharap wanita yang selalu nampak lembut dan bersifat keibuan itu dapat memahami.
"Saya tak ada niat nak cederakan sesiapa puan... saya waktu tu... cuma......"
"Cuma apa, Dr Kaira?" En Nadzri pula yang menembak dengan tenungan tajam.
Sekali lagi Kaira terdiam. Dia kelu dan payah untuk cipta alasan.
"Sebab bekas tunang awak yang rawat pesakit tu kan? Awak nak main emosi, tapi awak bawa juga emosi ke dalam rekod perubatan. Ini bukan kes biasa tau. Tapi ini JENAYAH PROFESIONAL!"
Kaira terpempan. Jantungnya terasa dihentak dengan kuat. Kalimat jenayah yang ditutur oleh pegawai undang-undang hospital itu buat dia gerun. Jemarinya menggigil. Lebih menyakitkan, bukti demi bukti dikemukakan termasuklah gambar, video, dan laporan saksi daripada staf-staf wad 12. Segalanya dibentang dengan telus. Jelas dan tanpa ruang untuk berhelah.
Dia tertunduk malu. Terluka. Dan rasa bersalah itu makin menghimpit dada.
"Awak manipulate data klinikal. Awak ubah nilai hemoglobin pesakit dari 6.8 ke 9.7, yang memberi gambaran palsu bahawa dia tidak perlukan transfusi segera. Dalam bahasa undang-undang, itu adalah falsifikasi dokumen perubatan, satu kesalahan di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan 1998 dan boleh didakwa di mahkamah sivil dan jenayah."
Kaira kelihatan seperti mahu pitam. Nafasnya mula pendek-pendek.
"Awak tahu apa yang paling tragik dalam kes ni, Dr. Kaira?"
Nada suara En. Nadzri menurun sedikit. Tapi bukan lembut, malah dingin.
"Bukan sebab pesakit tu hampir mati. Tapi sebab awak tegar bermain-main dengan garis kematian pesakit… dan awak sengaja dan rela untuk teruskannya."
Dia membuka satu lagi dokumen, lalu menunjuk pada skrin yang kini menayangkan kronologi aktiviti login sistem hospital pada hari kejadian.
"17.02 petang ~ ID login: Dr. Kaira Hairani binti Kamaruzzaman.
17.05 ~ Data dikemaskini.
17.08 ~ Sistem auto-log memaparkan perubahan dilakukan dari peranti pejabat.
17.10 — Log keluar."
"Dalam tempoh lapan minit, nyawa seorang manusia jadi taruhan. Dan pasti itu bukan tindakan refleks yang di luar kawalan melainkan keputusan yang datang dari kepala yang sedar. Dan sengaja...."
Dia berhenti seketika. Semua yang ada di dalam bilik kekal diam, kecuali bunyi nafas Kaira yang mula jadi tak sekata.
"Kalau pesakit itu meninggal malam tadi, awak bukan hanya akan digantung tugas. Tapi akan ditangkap dan dibicarakan atas tuduhan cuai hingga menyebabkan kematian. Dan saya berani nyatakan, mahkamah akan hukum awak!"
Tangan Kaira menekup mulut. Matanya merah. Air mata laju tapi tiada siapa yang peduli. En. Nadzri menutup failnya perlahan, lalu menyambung dengan nada lebih berat.
"Ingat, doktor bukan Tuhan. Tapi setiap doktor diberi amanah yang hampir menyerupai kuasa-Nya. Dia yang tentukan rawatan, dia kendali nyawa, dan kadangkala doktor juga yang buat keputusan sama ada seorang pesakit itu layak untuk terus berjuang... atau hanya mampu dibiarkan untuk pulang ke negeri abadi. Tapi hakikatnya, Allahlah yang berkuasa ke atas segala sesuatu."
Lelaki itu kemudian menuding ke dada sendiri.
"Sebab itu lafaz ikrar profesyen dulu penting untuk dilaungkan. Bukan untuk dijadikan sebagai satu kebanggaan, tapi menjadi satu peringatan bahawa satu kesilapan kecil pun boleh membawa padah."
Dan akhirnya, dia bersandar. Pandangannya masih tetap pada Kaira.
"Awak bukan doktor muda, Dr Kaira. Awak lebih tahu tentang semua ni. Tapi sayang, awak biarkan dendam dan cemburu mengawal tangan yang sepatutnya menjadi pelindung orang-orang yang lemah. Sebab itu, tangan itu dah tak layak untuk rawat sesiapa lagi."
Tangisan Kaira kemudian memanjang. Ayat-ayat En. Nadzri tadi umpama hukuman mati kepada kredibiliti yang dia telah bina bertahun-tahun dulu.
"She could’ve died, Kaira." Suara perlahan itu pula mencelah. Walau rendah nadanya, tapi seperti petir yang menyambar dari dalam dada buat Kaira.
Semua mata kini memandang ke arah Dr. Hurdan yang akhirnya angkat muka. Tak ada lagi riak tenang yang terukir. Hanya renungan tajam dan dendam yang dikawal dengan etika yang terlukis di wajah.
"Apa yang you buat bukan saja menjatuhkan maruah seorang doktor... tapi you sanggup tarik nyawa pesakit ke tepi jurang. You tahu kan dia pengsan sebab tu? You left her blood crashing silently in her veins. Tanpa siapa sedar....." Luah Hurdan penuh emosi. Masih terbayang mimpi ngeri itu pagi tadi. Kalau itulah yang terjadi, dia sanggup usahakan supaya bekas tunangnya itu dipenjarakan saja. Sungguh keterlaluan!
Kaira tertunduk. Tak terkata. Air matanya jatuh namun tiada siapa yang menunjukkan simpati. Masing-masing hanya berwajah sinis termasuk si dia. Insan yang cukup mencintai dirinya suatu ketika dahulu. Dia langsung tiada tempat untuk bersandar bagi melepaskan resah. Hatinya jadi rapuh. Sampai hati!
Pap!
Bunyi fail kemudian ditutup kemas oleh Pengarah Hospital. Datuk Dr Abdul Rahman kemudian berdiri sambil menarik nafas. Wajah seriusnya tegas mengumumkan keputusan.
“Dengan ini, Lembaga Etika Hospital Taqwa mengambil keputusan sebulat suara…menggantung tugas Dr Kaira Hairani binti Kamaruzzaman serta-merta."
"Fail laporan akan dihantar ke Majlis Perubatan Malaysia untuk siasatan lanjut untuk potensi pembatalan kekal.”
Terus suasana jadi sunyi.
Tiada langsung ucapan simpati yang terbit dari mana-mana bibir. Juga tiada teriakan yang keluar menangisi keputusan. Yang ada cuma wajah puas dan keadaan sepi yang menghukum.
"Dismissed..." Sekali lagi suara garau Datuk Dr Abdul Rahman memecah sunyi. Masing-masing hanya menurut.
Hurdan terus bangun, menyusun langkah keluar tanpa menoleh. Bagi dia ini bukan soal cinta, tapi soal amanah. Perihal hidup dan mati. Soal maruah profesyen yang tak boleh dicemari. Ini pun satu bentuk pengajaran buat wanita itu supaya belajar untuk lebih menghargai hati dan perasaan orang lain.
Dan Kaira?
Hanya terbiar dalam ruang itu.
Dengan sisa air mata yang tidak dipedulikan dengan dosa yang akhirnya menjatuhkan diri sendiri dari langit ke jurang yang paling gelap. Segala maruah, cinta dan masa depan akhirnya musnah satu-persatu.
BERSAMBUNG...
P/S : Ah, sedihkan? Ingat senangkan nak buat medic ni... Pengalaman bertahun-tahun.... Ruginya ko Kaira. Tapi tu lah, cinta yang membunuh. Sedih....
Share this novel
itulah Dr Kaira..jgn terlalu ikut perasaan.kan dah kena..kasihan tiada siapa yg kasihan.....