{BAB 10/1 : DCB}{KALI NI TAKKAN GAGAL!}

Drama Series 9401

"HURDAN!! HURDAN!!

Suara dan goncangan yang kuat pada bahunya membuatkan dia terjaga semula dari sujud yang lama. Nafas pun  tercungap-cungap. Dahi dan pipinya masih basah dengan peluh dan air mata. Jam digital pada dinding dikerling sejenak.

5:00 pagi?!

Sejadah yang masih membentang di sisi katil rehat bilik OT itu turut direnung. Waktu pagi? Rakan sejawatnya, Harith yang dilihat kehairanan itu ditatap lama.

"Hurdan, kau okey?" Rakannya itu bertanya lagi.

Hurdan pejam mata. Ruang bilik rehat itu diperhatikan sekali lagi. Sepi saja. Tiada staf-staf lain yang berada di sekeliling. Tingkap lutsinar hospital itu pun direnung lama. Masih kelam suasananya. Tadi hanya mimpikan? Tapi rasa yang menyelubung seolah-olah betul-betul nyata terjadi hinggakan kelopak matanya masih basah dengan tangisan.

"Kau kenapa sebenarnya? Kuat sangat kau menjerit tadi. Dapat mimpi ngeri?" Tanya Harith lagi apabila melihat Hurdan masih bingung.

Astaghfirullah.... Hurdan terus meraup muka. Sah, tadi memang benar-benar mimpi! Mungkin dia terlalu memikirkan tentang Biru. Selepas bertemu dengan gadis itu petang tadi, satu lagi fail kes disorong kepadanya oleh Kaira. Waktu itu, hatinya meronta untuk menolak, tapi Harith yang datang memujuk. Dia akhirnya akur dengan perintah walau masih sangsi dengan sikap Kaira ketika bertembung di wad 12 petang tadi. Gadis itu tiba-tiba campur tangan untuk mengurus urusan discaj Nur Biru.

"Aku....mimpi tak baik Rith. Ngeri. Mungkin sebab....."

"Trauma tengok darah patient tadi kan? Tapi, alhamdulillah Dan. Kita berjaya. Ibu dan anak tu dah selamat. Anaknya dah dikejarkan ke NICU. Ibu pulak dah selamat menjalani proses tranfusi darah.  Alhamdulillah, stabil kedua-duanya...." Potong Harith cepat.

Hurdan terus bersandar pada dinding. Allahuakbar. Dia baru teringat akan saat kritikal sekitar jam 9 malam tadi. Syukur kes obstetrik itu berjaya ditangani dengan baik. Yang penting nyawa ibu dan anak dapat diselamatkan. Alhamdulillah....

"Aku...sebenarnya....risaukan patient di wad 12 tu Rith. Muka dia masih pucat petang tadi. Tapi....Kaira dah sahkan urusan discaj dia pagi esok. Aku....tak sedap hati. Tambah, aku tak sempat nak jenguk dia malam tadi...."

Wajah Harith kembali direnung. Mimpi tadi mungkin bayangan hatinya yang sedang cemas memikirkan keadaan Biru.  Tak sanggup rasanya untuk diluah akan sedihnya visual mimpinya pada orang lain hingga ngilu dan pilu itu masih terasa sampai sekarang.

Harith terdiam. Dia tahu. Pasti gadis yang diberi jolokan Buscopan Girl itu yang dimaksudkan. Dalam seminggu ini, kerap kali nama itu jadi topik perbincangan staf-staf yang kenal dengan Hurdan.

"Kenapa Kaira yang luluskan? Bukan ke wad tu selalunya kau...."

"Itu yang buatkan aku curiga Rith. Time interval untuk buat repeat test patient tu pun dibuat dalam masa yang terlalu singkat. Macam tergesa-gesa tau. Siap tuduh aku bias dengan patient tu lagi. Tak ikut proper chain of command. Sindir-sindir aku yang sengaja tak nak lepaskan patient tu dengan sengaja..." Potong Hurdan dengan keluhan yang panjang.

Harith ketap bibir. Anak matanya dikecilkan. Petang semalam pun, Kaira memang nampak beria-ria cadangkan nama Hurdan untuk bersama-sama menguruskan kes obstetrik ibu hamil tadi walaupun dia ada mencadangkan beberapa nama doktor lain yang mungkin boleh membantu.

"Kau percaya deria ke enamkan? Dalam dunia rawatan ni, bukan hanya ilmu jasmani dan kimia aje yang kita apply ketika merawat tapi hal kerohanian dan gerak hati pun kadang-kadang kita kena alert jugak. Tak salah untuk kau double check. Lagipun aku takut benda ni ada bercampur dengan emosi. Baik beringat-ingat sebelum terlambat...." tutur Harith serius kemudian.

Hurdan angguk. Rakannya yang bangun menyalin pakaian itu direnung sejenak. Benar. Rasa sesak dalam dada dari mimpi tadi masih berbekas. Sejuk peluh yang membasahi tengkuk dan pelipis itu pun masih perlu dikesat. Rasa tadi.. terlalu nyata. Sedih hingga habis luluh jiwa lelakinya. Seolah-olah itu ilham dari Tuhan yang diberi melalui mimpi agar dia berjaga-jaga. Detak hatinya kuat menyatakan ada hal yang tak beres sedang berlaku. Wajah pucat Biru serta air mata tadi terlalu hidup untuk hanya jadi sekadar mimpi.

Dia bingkas bangun dan cuba bertenang. Jubah putih pada gantungan diambil. Poket yang berisi kain baldu pemberian Nur Biru petang tadi direnung kembali. Beralaskan kain itulah dia meratap dalam mimpi tadi. Ah, terlalu sedih untuk diingat kembali. Jujur, itu adalah mimpi paling ngeri yang pernah dia alami dalam hidup.

“Kaira…” Nama itu terpacul di lisan.

Dia tak ada bukti yang konkrit. Tapi mimpi tadi serta gerak hati yang membuak sekarang seolah-olah satu isyarat dan peringatan untuknya.

"Semuanya perlu disiasat dengan cepat..." Bisik hati kecilnya seraya mencapai kad akses dan keluar dari ruang solat. Bak kata rakannya tadi biar beringat-ingat jangan sampai terlambat.

Langkahnya kemudian panjang, berlari menuju ke wad 12. Sepanjang koridor yang sunyi itu, setiap derapan kakinya bagaikan dihumban tenaga dari mimpi ngeri tadi.

Saat pintu wad dibuka wajah Jururawat Farah terjengul di kaunter stesen kerja. Berderau darah Hurdan melihat wanita lingkungan 30-an itu. Sama seperti mimpi tadi. Cuma yang nyata, jururawat tersebut tidak terkejar-kejar seperti visual yang berlaku dalam alam bawah sedar tadi.

"Farah, tolong buka result darah terakhir Nur Biru, sekarang! Saya nak bandingkan dengan report jam 5 petang  semalam."

Jururawat muda itu mengangguk. Terus akur dengan perintah. Tangannya kemudian laju menekan tetikus pada skrin komputer stesen kerja tersebut.

"Doktor, ni... ada discrepancy. Nilai HB drop mendadak tapi dalam nota tak ada tindakan. Malah catatan lab pun ada dua versi. Peliklah,"

Dada Hurdan berombak. Sama lagi dengan visual ngeri tadi. Hingga butiran tulisan yang terpapar pada skrin sekarang saling tak tumpah seperti mimpi tadi. Sah, mimpi itu benar-benar isyarat dari Tuhan. Menggigil rasa tubuhnya bila mengingatkan semua. Satu kebesaran Allah ditunjuk nyata di depannya sekarang. Habis meremang bulu roma. Benar kata hadis nabi riwayat Al-Bukhari daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW pernah bersabda : Apabila telah menghampiri zaman, mimpi seseorang yang beriman itu hampir tidak dusta, dan mimpi orang yang beriman itu satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian

Allahuakbar....Subhanallah.... Mata Hurdan terus berkaca. Betapa murkanya Allah dengan kezaliman hinggakan ditunjuk dengan nyata sebegini rupa.

Hurdan meraup muka. Wajahnya terus berubah merah padam. Jururawat Farah turut tergamam. Dia pun mula jadi sangsi. Jururawat Aida yang kebetulan baru memasuki ruang stesen kerja itu turut terkejut. Dia ada bersama Doktor Kaira semalam. Memang tingkah doktor perempuan itu aneh sedikit dari biasa. Arahannya agak pelik waktu itu.

"Siapa akses report ni semalam?!" Tanya Hurdan serius meminta kepastian.

Kedua-dua jururawat itu mula kecut perut. Semua staf di situ tahu bagaimana ketegasan Doktor Hurdan Azka sepanjang bertugas di sini.

"Last access... Dr. Kaira, doktor." Jawab Jururawat Aida.

Darah Hurdan menyirap. Jantungnya bagai mahu terburai. Rahang pula menegang menahas nafas yang naik turun. Matanya menikam tajam ke arah skrin komputer seolah-olah mahu menelan fakta itu hidup-hidup. Kan betul sangkaannya?

Jururawat Aida dan jururawat Farah saling berpandangan. Masing-masing rasa bersalah. Sungguh, mereka pun tak sangka perkara begitu boleh terjadi. Tak pernah berlaku lagi sepanjang perkhidmatan mereka.

"Dr Kaira yang......" Jururawat Aida cuba memberi penjelasan. Namun....

“Siapa yang benarkan akses fail ini tanpa pengetahuan saya?”... Terus Hurdan memotong.

“Kenapa maklumat penting pesakit boleh disentuh sesuka hati macam ni?”.... Nada Hurdan makin tinggi.

“Ini soal nyawa, bukan sekadar nombor atas kertas tau!!!”

“Kalau berlaku kecuaian dan terjadi sesuatu pada patient ni, siapa yang akan bertanggungjawab?!!!!”

Terus ruang stesen kerja itu jadi sunyi sepi sebaik sahaja suara Hurdan meledak memecah keheningan. Segala yang bergerak seakan membeku. Jururawat lain yang sedang menulis nota terkaku dengan pen yang seolah-olah terhenti di udara. Doktor pelatih yang baru melangkah keluar dari pantri turut terpaku dengan cawan kopinya yang hampir jatuh. Pesakit di katil paling hujung yang tadi merintih terus terdiam tak bersuara.

Wajah-wajah masing-masing pucat. Semua tahu, nama siapa yang sedang berlegar dalam fikiran Hurdan.

“Saya takkan berdiam diri tentang hal ni. Ini bukan kecuaian biasa tau. Ini... satu pengkhianatan profesional...”
Suara Hurdan kembali perlahan, tapi nada tegasnya lebih mencengkam dari jeritan tadi. Sejuk. Tapi menggigit tulang.

"Kami tak tahu pun ada dua laporan yang berbeza macam ni doktor. Saya.. saya pun terkejut masa semak tadi. Saya....saya...minta maaf doktor atas kecuaian ni," jururawat Farah yang masih menggigil pucat itu cepat-cepat meminta maaf. Takut juga kalau dia dan jururawat lain yang bertugas turut dikenakan tindakan atas kecuaian yang langsung tidak diduga itu.

"Betul doktor. Tapi semalam Dr Kaira memang ada komen tentang result darah patient ni, tapi dia......."

“Aida......” Hurdan memintas tegas. Matanya masih terpaku pada skrin, tetapi tangannya sudah laju mengarahkan tetikus kepada nama fail. Rahangnya diketap kuat.

“Saya nak awak dan Farah call makmal sekarang. Cakap dengan Head of Lab sendiri. Saya nak confirmation rasmi betul ke ada dua report yang dikeluarkan untuk darah yang sama, dan siapa yang hantar permintaan repeat test tu.”

“Baik, doktor!” Aida dan Farah terus bergegas, tak tunggu walau sesaat.

Hurdan menunduk sejenak. Jemarinya menekan pelipis. Dia tahu, ini bukan lagi soal syak wasangka. Ini soal pengkhianatan terhadap sumpah profesyen. Manipulasi data darah bukan perkara kecil. Ia boleh membawa kepada salah diagnosis. Salah ubat. Salah rawatan. Dan yang paling teruk, ia boleh meragut nyawa.

"Kalau betul ini permainan orang dalam, aku akan pastikan dia tanggung akibat," getus hatinya geram. Nekad

Telefon di kaunter terus berdering.

Farah mengangkat pantas. “Lab? Ya, saya Farah dari Wad 12. Kami nak confirm bacaan HB untuk pesakit Nur Biru binti Muhammad Fahrul, ID 1170... ya. Satu report jam 5 petang semalam, satu lagi versi baru yang muncul pagi ni.”

Farah kemudian mencatat sesuatu di helaian kecil. “Lab kata rekod sistem hanya ada satu laporan rasmi. Yang satu lagi tu, mereka tak pasti. Bukan dari batch yang sama. Tak ada rekod permintaan baru dalam sistem, doktor,” lapor Farah dengan wajah keliru bercampur panik.

Hurdan telan liur. “Maksudnya..?" Keningnya diangkat sambil kecilkan anak mata. "Ada orang key in data palsu guna akses dalam?”

Sekali lagi Farah dan Aida berpandangan. Wajah kedua-duanya makin pucat. Takut dan hampir-hampir tak percaya dengan apa yang terjadi. Tapi mereka juga tak tahu-menahu dan pastinya tak mahu dipersalahkan juga. “Tapi doktor, kami tak buat. Hanya doktor bertugas sahaja yang boleh submit result manual dalam sistem selepas waktu tutup lab,” jelas Aida lagi takut-takut.

Hurdan senyum sinis. Faham ketakutan kedua-dua jururawat tersebut. Hatinya makin membara mengingatkan lagak Kaira petang semalam.

“Farah, Aida... dan semua staf yang ada. Saya tahu ini bukan salah kalian semua. Tapi saya nak awak bantu buat laporan bertulis tentang semua yang terjadi. Biar detail kesemuanya. Jam berapa awak nampak Dr. Kaira akses sistem dan apa sahaja perkataan yang keluar dari mulut dia dan tingkah laku dia ketika itu. Dan..kalau ada mana-mana staf yang lain yang boleh beri maklumat, masukkan saja.”

Semuanya mengangguk akur. Masing-masing tahu ini bukan masalah kecil. Jika dibiar, nyawa pesakit menjadi taruhan.

“Bagus.” Hurdan mengangguk.

“Saya akan buat laporan rasmi.”
“Terus ke Unit Integriti Hospital. Ke Lembaga Etika Perubatan kalau perlu.”

Matanya sekali lagi menyapu wajah-wajah yang sedang tertunduk itu.

“Ini bukan lagi soal siapa betul siapa salah. Ini soal etika. Soal amanah.”

“Saya akan pastikan pihak atasan tahu tentang perkara ni. Tak ada siapa boleh lindungi sesiapa. Biar semuanya dibersihkan mulai sekarang!!!” sekali lagi nada tegas Hurdan menyapa gegendang.

Masing-masing mula bercakap sesama sendiri. Suasana di stesen kerja Wad 12 bertukar tegang. Dalam masa tak sampai lima minit, satu grup WhatsApp ‘emergency’ tercipta secara spontan oleh staf syif petang semalam. Semua yang terlibat segera dimasukkan. Mesej-mesej mula masuk bertalu-talu, masing-masing kongsikan apa yang mereka tahu. Ada yang sertakan screenshot. Ada pula yang taip panjang-panjang. Segalanya untuk satu tujuan untuk mencari kebenaran."

Namun, Hurdan tak buang masa. Matanya terus meliar ke arah katil 2B sambil berteriak kuat.

"Cepat! Pasang semula line untuk Nur Biru! Drip D5NS dengan tambahan IV Nexium. Siapkan juga transfusi PRBC satu unit standby. Kita treat dia macam upper GI bleeding. Turunnya HB secara mendadak tanpa trauma luar menunjukkan possible internal bleeding. Confirmkan dengan CT atau at least urgent endoscopy pagi ni juga."

"Baik, doktor!" Masing-masing menyahut.

"Dan satu lagi, monitor vital setiap 15 minit. Kalau tekanan darah drop atau Biru kelihatan lethargic, kita akan proceed urgent blood transfusion."

Hurdan menarik nafas dalam-dalam. Kali ni... dia takkan gagal.

BERSAMBUNG....

P/S : selamat hari raya aidil adha guys....hehe. alhamdulillah, makbul doa kalian. Mimpi orang2 soleh....

Share this novel

kamariah mdrasip
2025-06-08 09:07:09 

hadoi..plot twist..terima kasih..hihihi

User22861
2025-06-08 06:28:20 

yeah ...semangat....

Aryanie
2025-06-08 00:20:52 

wahhh!!!! semangat terus Dr.Hurdan.. dgn kita2 yg baca naik semangat skali.. tahniah calyta. karya awak memang terbaik.


NovelPlus Premium

The best ads free experience