BUNYI troli beroda tiga itu berdentum melanggar dinding putih wad kecemasan. Seorang jururawat menjerit kecil, manakala seorang lagi pantas menunduk menyelamatkan clipboard yang hampir tercampak dari tangan.
Dr. Hurdan Azka berdiri di tengah-tengah kekalutan itu, menyelak lengan coat putihnya perlahan. Tenang. Tak ada riak terkejut di wajahnya. Dia dah lali dengan drama macam ni.
“Tolong jangan bawa pesakit macam bawak sayur, please,” tegurnya dengan nada separuh malas, separuh geram, kepada petugas baru yang menolak troli.
Petugas itu hanya tersengih. “Sorry, Doktor. Baru first week.”
Hurdan Azka mengeluh pendek. Sabar, Hurdan. Baru pagi Isnin.
Dia melangkah ke arah pesakit yang terbaring di atas katil troli. Seorang perempuan muda, bertudung senget, wajahnya merah padam. Tangannya memegang perut, menggigil kecil.
"Assalamualaikum," sapa Dr. Hurdan, suara tenang dan tegas.
"Saya Dr. Hurdan. Awak boleh dengar saya?"
Gadis itu mengangguk perlahan. Suaranya perlahan macam bisikan, “Waalaikumussalam... saya—saya... perut saya cramp sangat...”
“Skala satu ke sepuluh, sakit kat mana?” Dia mula menyentuh perut gadis itu dengan sarung tangan getah, profesional dan teliti.
“Erm... sembilan,” jawab gadis itu, matanya terpejam.
“Tapi kalau doktor terus tenung macam tu, sepuluh setengah.”
Hurdan terhenti sejenak.
Dia angkat kening. Main-main nampak.
“Apa?”
Gadis itu senyum tipis, separuh tahan sakit, separuh mengusik. “Lawak tu doktor... senyum mahal sangat ke?”
Hurdan diam. Dia pandang gadis itu. Wajah nampak ayu walaupun jelas sedang tahan sakit. Tapi mulut...boleh tahan. Ada potensi sakitkan kepala.
“Nama?” soalnya malas. Usikan tak kena masa!
“Nur Biru,” jawabnya, masih dengan senyuman.
“Nama betul. Bukan nama Instagram.” sambung gadis itu lagi.
Hurdan hampir tergelak, tapi dia tahan.
“Biru? Serius?”
“Mak saya suka warna biru. Ayah suka laut. Jadi saya dapat nama macam ni,” katanya sambil cuba duduk. Tapi kesakitannya jelas belum surut.
“Awak duduk elok-elok. Jangan banyak cakap dan banyak drama.... nanti susah saya nak diagnose,” kata Hurdan sambil panggil jururawat.
Nur Biru senyum sambil pandang jururawat yang sedang bergegas datang dengan satu dulang berisi ubat dan picagari.
“Doktor, nak inject Buscopan ke?” tanya jururawat, bersedia.
“Ya, ambil darah sekali. Nak hantar FBC dan LFT. Tekanan darah?”
“115/75.”
“Okey, stabil. Awak ada gastrik, atau makan benda pelik-pelik semalam?” tanya Hurdan sambil tunak memandang ke arah wajah Nur Biru yang makin pucat tapi tetap tersengih macam kerang busuk.
“Err… saya makan pulut durian tiga pinggan.”
Dr. Hurdan ketap bibir.
“Wow. Laju betul awak gali kubur sendiri kan?"
Nur Biru ketawa lagi.
“Kalau doktor datang bawa bunga dan bukan syringe, mungkin saya sempat elak kubur tu,” balasnya selamba
Jururawat kat sebelah tak dapat tahan senyum lagi. Dr. Hurdan pula berpaling ke tepi, pura-pura cari pen. Kah, kah! Kurang asam. Sempat lagi buat pickup line.
“Awak nak kena tahan wad untuk pemerhatian. Mungkin keracunan makanan atau acute gastritis. Kena drip juga,” dia kembali serius kemudian.
“Aik… nak kena tahan ke?" Nur Biru saja buat muka. Pura-pura tak suka.
"Hospital ni tak ada bilik VIP ke doktor? Atau pun.... bilik yang langsir dia warna biru ke, sesuailah dengan aura dan nama saya?” Usik Nur Biru lagi apabila doktor muda itu masih senyap. Payah betul nak senyum, rungutnya dalam hati. Bukan main dia bertanya ramah walaupun dah separuh tertunduk dek sakit.
Dr. Hurdan masih tekal bisu. Dia pura-pura tak dengar dan khusyuk isi borang.
“Tapi kalau doktor sendiri datang visit tiap-tiap dua jam, saya rela baring lima hari lima malam,” pancing Nur Biru lagi.
Kali ini Hurdan tarik nafas panjang sambil ketap bibir kemudiannya.
“Awak ni datang nak terima rawatan ke nak flirt?”
Nur Biru tergelak kecil. Rupa garang doktor di depannya sekarang langsung tak bantutkan daya menjawabnya.
“Saya datang sebab sakit, tapi kalau dapat dua-dua lagi bagus. Rezeki jangan ditolak kan doktor?”
Hurdan berhenti menulis. Dia pandang Nur Biru tepat-tepat.
“Awak tahu tak awak ni annoying?”
Nur Biru senyum puas hati. Akhirnya, berjaya juga dia curi perhatian doktor itu.
“Tahu. Tapi doktor masih tak suruh saya diam kan? Itu petanda doktor pun entertain kan?”
Sekali lagi Hurdan geleng kepala dan bingkas berdiri.
“Pindahkan dia ke wad dua belas. Dan... pastikan langsir dia warna kelabu. Bukan biru.”
Jururawat tadi hanya menganggu. Dan.... Nur Biru hanya senyum melirik dari jauh. Yes! Sekurang-kurangnya dapat juga wad yang lebih ada privasi berbanding sekarang kan?
BERSAMBUNG....
P/S : Dah kena 'annoying'.. kikiki... mulut tu jaga ciked...
Share this novel