BILIK doktor perempuan pada waktu subuh itu masih sunyi. Hanya dentingan jam sahaja di dinding yang kedengaran tidak berhenti. Kaira berdiri di depan cermin kecil yang tersedia sambil membetulkan baju dan tudung yang dipakai. Dadanya masih berombak sejak petang semalam. Bukan kerana penat dengan tugas, tapi rasa tak sedap hati yang menyelubung.
Gadis yang diberi jolokan Buscopan Girl itu kena tahan lagi di wad 12. Hurdan pula bertugas sepenuhnya di sana. Dari jadual kerja dan rekod kedatangan, jejaka itu dilihat sengaja mahu melanjutkan masa tugasannya. Hatinya mula sangsi. Terasa kedudukannya di sisi Hurdan sudah tergugat. Jadi, dia buat keputusan untuk sama-sama tak pulang ke rumah setelah jam bekerjanya tamat. Jujur, dia mula cemburu dan geram terhadap layanan Hurdan pada gadis itu sekarang. Emosi pun jadi karau. Kerap kali juga dia yang bertugas di wad sebelah menjenguk apa yang berlaku di sana.
Ah, sakit hati bila dikenang semula! Lebih-lebih lagi apabila mengingatkan hal petang semalam itu. Ayat sinis Hurdan masih bergaung dalam kepalanya sekarang. Walau tak berdarah, hatinya terluka apabila tak diendahkan begitu. Kenapa Hurdan terlalu defensif kepada gadis itu?
Nur Biru.....
Nama itu mula merayap ke urat saraf setiap kali nadinya berdenyut. Bayangan semalam serta kenangan lama pun terus menghantui diri menyebabkan dendam rindunya makin menebal kepada jejaka itu. Jujurnya, dari dulu nama Hurdan tak pernah padam dalam hidupnya.
Dia tak sangka gadis lemah seperti Nur Biru itu boleh ada tempat istimewa di sisi Hurdan. Buktinya jelas dari reaksi spontan jejaka itu petang semalam. Dia terlihat terlalu defensif terhadap gadis genit itu. Baik dari segi patah perkataan yang dikeluarkan mahupun tingkah laku yang ditunjukkan. Laju betul Hurdan menyambar tubuh lemah Nur Biru waktu itu, renungan dia pun... Hati Kaira bergetar. Emosi yang dilontarkan ketika merawat gadis itu pun lain dari biasa. Bukan sekadar seorang doktor dengan pesakit menurut Kaira.
Ah, sungguh dia cemburu! Tak pernah lagi dia nampak sisi lelaki itu begitu sebelum ini. Itu bukan simpati, tapi reaksi seseorang yang peduli. Yang rasa terancam apabila seseorang yang istimewa dan penting dalam hidup jatuh, walaupun sekejap. Apa yang menarik sangat pada gadis itu?
Arghhh....
Kaira jatuhkan diri ke kerusi. Tangannya kuat menggenggam skirt labuh warna merah yang dipakainya itu.
“Hurdan...”
Nama itu spontan keluar tanpa sedar. Nadanya lirih dan mengharap. Jujur, jauh di lubuk hati yang paling dalam dia masih berharap lelaki itu mahu kembali seperti dulu. Ruang itu masih kosong setelah pertunangan mereka berdua putus. Bukan kerana orang ketiga, tetapi hanya kerana banyak isu yang membangkitkan perselisihan faham. Dia yakin, kalau masing-masing cuba bertolak ansur, titik keserasian antara mereka pasti akan tercapai.
“I tahu you belum lupa, Hurdan. Tapi I tak sangka... semudah itu you nak isikan dengan orang lain...." Monolognya jadi makin sayu.
Pandangan Kaira naik semula ke cermin.
Objek lutsinar licin itu masih setia memantulkan imej songsang sisinya yang sedang cuba untuk kelihatan tenang. Namun dia tetap tak mampu menipu diri bahawa ribut yang melanda jiwanya sekarang sukar untuk reda. Malah ia makin kuat menggoncang jiwa.
Mana tidaknya. Sebelum ini, hatta ketika Hurdan masih tunangnya sekalipun dia tak pernah melihat jejaka kacak itu menjadi selembut dan serapuh itu. Riak lelaki itu benar-benar bimbang dan peduli pada Nur Biru. Itulah yang buatkan dirinya rasa....kalah!
“Aku yang kenal dia bertahun-tahun... tapi tak pernah jadi kelemahan dia.”
Hessyyy.... benci! Tangannya kemudian sengaja menggenggam perlahan pada bucu sinki. Ingatan malam semalam ketika di kafeteria hospital menerpa macam wayang yang dia sendiri tak sanggup ulang.
Dia masih ingat ketika detik dia melintas di depan meja makan Hurdan yang duduk dengan beberapa staf hospital yang lain di situ. Lelaki itu nampak tersengih bersandar di kerusi sambil tangan memegang sekeping kertas kecil. Jelas nampak lelaki itu hanyut dan bahagia dengan lakaran yang tercatat.
Dek rasa sangsi yang teramat, dia gagahkan diri juga untuk mendekat. Sakitnya hati apabila mendengar beberapa orang jururawat lelaki mengusik. Ternyata nota kecil itu adalah lukisan dari Nur Biru. Ah....benci! Senyuman yang menjadi tindak balas dari Hurdan itu buatkan dadanya rasa makin ketat.
Ditambah lagi apabila staf-staf hospital itu mula bergurau.
“Dr Hurdan, bila nak jemput kami makan nasi minyak dengan Buscopan Girl ni?” pecah ketawa masing-masing. Anehnya, lelaki itu hanya tersengih. Tidak sedikit pun dia membantah.
“Doktor, Wad 12 ni dah macam port dating dah. Romantik nau!” sekali lagi ketawa pecah.
Hurdan pun dilihat ketawa besar. Sungguh-sungguh lelaki itu gelak hinggakan kepalanya ditunduk malu-malu sambil tangan menepuk bahu staf-staf lelaki di situ. Menggeleng dengan wajah penuh bahagia. Tapi tidak sedikit pun dia membangkang. Siap menyambung lagi gurauan tersebut.
"Kau orang dah boleh siap-siap tempah persalinan biru lah semua ya. Tema wajib, hehe."
Buntang mata Kaira mendengarkannya. Liur yang ditelan tiba-tiba rasa pahit. Mual.
“Dia betul-betul berubah... di depan mata aku. Tapi bukan sebab aku....”
Ah.... Dulu, Hurdan yang dia kenal selalu dingin. Payah nak senyum, apatah lagi mahu berborak-borak kosong macam ni dengan staf-staf yang lain. Ibarat macam robot, dia selalu serius, fokus dan langsung tak ada ruang untuk ketawa.
Tapi sekarang? Lelaki itu macam dah jumpa kehidupan dia. Dan alasan itu... bukanlah dengan dia.
Argh...... Kaira mengeluh lagi. Hatinya tak senang. Dia cemburu. Iri hati dengan keupayaan gadis genit yang tiba-tiba muncul entah dari mana itu.
Pantas dia bangun semula dari kerusi menarik gantungan jubah putih untuk disauk ke badan. Kepalanya masih berdenyut mengulang soalan yang sama.
Sejak bila Hurdan mula pandai bergaul macam tu? Dan sejak bila… lelaki itu tak kisah bila dia ada depan mata? Terasa diabaikan betul waktu itu. Eeeiiii....jari-jemarinya dikepal lagi sambil menahan emosi.
Kaira kemudian mundar-mandir ke tingkap. Langsir ditarik sedikit. Cuaca di luar masih redup dek cahaya fajar baru mahu terbit di dada langit.
“Kalau aku biar, aku akan hilang dia lagi. Hilang yang mungkin benar-benar takkan jumpa jejaknya lagi,” monolog Kaira kali ini seolah-olah mencabar diri.
Dia tahu dia salah kerana pernah lepaskan Hurdan dulu. Ego waktu muda. Kemudian tersilap langkah. Tapi sekarang… bila melihat senyuman dan layanan mesra Hurdan pada Buscopan Girl itu, hatinya jadi bergelora semula. Dia tak sanggup melihat Hurdan direbut dan jatuh ke tangan perempuan lain. Itu cukup buat hatinya rasa macam ditikam lumat.
“Aku kena buat sesuatu…” ucapnya spontan sambil pejam mata.
“Aku takkan rampas secara kasar. Tapi aku akan buatkan dia ingat semula—segala memori indah yang pernah tercipta dulu,"
Dan... satu idea bernas tiba-tiba muncul.
Nur Biru.....
Spontan Kaira tersenyum tipis, sambil mata mengacum tajam.
Dia tahu gadis muda itu naif sebenarnya. Tapi perempuan, tetaplah perempuan. Apabila mendengar cerita cinta tentang seseorang lelaki yang dia suka, pasti hati gadis itu akan terusik.
“Aku takkan burukkan diri sendiri. Aku cuma akan kongsi... sejarah.” bibirnya kemudian meleret senyum sambil berjalan ke meja kecil untuk mencapai nota kecil dan pen. Rancangan yang terlintas tadi sengaja ditulis di situ. Kepalanya juga sibuk menyusun skrip. .
“Pagi nanti, aku akan masuk ke bilik Nur Biru selaku doktor yang rutinnya buat morning check macam biasa. Tanya khabar. Tengok mana-mana bahagian yang sakit di tubuhnya. Pofesional.”
“Tapi dalam celah tu… aku akan selitkan sesuatu. Sesuatu yang boleh buatkan gadis itu fikir dua kali untuk simpan perasaan pada Hurdan.”
“Kalau dia mula-mula was-was, pasti dia akan bina jarak.”
Dan bila Nur Biru mula rasa tergugat, di situlah dia boleh merebut tempat itu semula.
Bukan dengan paksaan. Tapi dengan nostalgia. Dengan kenangan-kenangan yang Biru tak pernah ada.
Laci kemudian dibuka. Seutas gelang kecil pemberian Hurdan dulu diambil.
"Kau bukan saingan aku Nur Biru. Buktinya, simbolik kecil ni masih ada hingga sekarang."
Dia senyum perlahan sambil menyarungkan semula gelang itu ke pergelangan tangan.
“Kita tengok, Nur Biru. Siapa sebenarnya yang Hurdan tak boleh lupa.”
Dan langkah Kaira ke Wad 12 pagi tu — bukan langkah seorang doktor semata-mata. Tetapi langkah seorang perempuan yang sedang berpatah balik... untuk menuntut semula hati yang dia sendiri pernah lepaskan dulu...
BERSAMBUNG...
Boleh tuntut2 semula ya. Ingat wang yang tak dituntut ke ni? Korang rasa, apa jadi pasni? Betulke Biru akan bina jarak? Hehe
Share this novel
jangan terpedaya dgn rancangan dr Kaira tu.Nur Biru?