NUR BIRU kini berdiri tegak di hadapan kaunter pertanyaan Hospital Taqwa setelah hampir sejam menggunakan kenderaan awam ke situ.
Sambil menyeka peluh di dahi, tangannya laju menyeluk beg tangan. Mencari kad janji temu yang jelas tertera nama penuhnya di situ
>NUR BIRU BINTI MOHD FAHRUL. >Tarikh: hari ini.
>Masa: jam 9.00 pagi.
>Lokasi: Bilik Rawatan 3 Hospital Taqwa. >Nota: Temujanji rawatan susulan Buscopan drip - Dr Hurdan Azka.
Nafas panjangnya dihela sekali lagi. Debar di dadanya terasa makin membukit. Macam tunggu pengumuman anak bulan Syawal pula. Ternanti-nanti kelibat doktor muda itu melangkah ke bilik rawatan tiga yang kebetulan tidak jauh berada dari kaunter tersebut.
'Dr Hurdan sudah berada di dalamkah? Atau....lelaki itu masih belum sampai? Paling sedih, kalau tiba-tiba doktor itu cuti kan? Kemudian, diganti dengan doktor lain. Perempuan pula tu. Ah, janganlaaaah... Boleh patah hati tau!'
"Cik/Puan.. Boleh dapatkan kad temujanji?" soal jururawat di kaunter kemudiannya.
Cepat-cepat Nur Biru membuang khayalan dan tersenyum nipis. Kad rawatan susulannya dihulur dan jururawat tersebut pantas menyambut.
Tangannya ligat mencatat pelbagai nota tulisan pada buku catatan besar pesakit. Cekap betul nampaknya! Kagum pula Biru melihatnya. Kalaulah dia setangkas itu lakunya, pasti di sinilah jua tempat dia mencari rezeki sekarang. Tapi takdir hidupnya berbeza, sudahlah agak lambat dalam pergerakan, IQ pula juga seiring. Hehe, diterima jadi minah kilang pun dah cukup baik!
"Baik, Cik/Puan boleh ambil tempat duduk dulu ya. Nanti kami panggil," arah jururawat itu kemudiannya.
Biru angguk dan terus duduk. Tapi matanya tak duduk diam, meliar macam pengimbas barcode, skodeng keadaan sekeliling. Tujuannya masih sama seperti tadi, mencari susuk tinggi lampai yang selalu mengenakan jubah putih makmal bersama stetoskop tersebut.
Ah, gila bayang betul dia sekarang. Padahal baru seminggu tak jumpa, tapi rindunya macam dah sebulan. Entahlah kenapa. Jujurnya dia macam ketagih nak tengok doktor muda itu jeling dengan suara bariton marah-marah manjanya itu dan rindu juga untuk diperiksa tekanan darah seperti selalu. Bebelan panjang doktor itu dah jadi melodi gemersik untuk didengar. Hehe. Mana dia?
Tap! tap!
Tiba-tiba suasana jadi hening. Bunyi kasut kulit bergema. Reaksi jururawat-jururawat di kaunter yang mula berbisik sesama sendiri itu buatkan Nur Biru gementar sedikit.
Yes.... He walked in. Bergaya dan penuh karisma sekali lelaki itu mengatur langkah. Rambut beralunnya hari ini nampak lebih kemas apabila sengaja disisir ke belakang. Kemeja pula warna biru! Spontan Biru tersengih lebar. Rasa dihargai kerana itu adalah warna kegemarannya walaupun doktor itu mungkin hanya membuat pemilihan rawak sahaja pagi ini tentang pakaiannya.
Hurdan Azka - tag nama itu dibaca lagi dari jauh. Biru hampir mahu menjerit dan berlari mengikut jejaka tersebut namun rasa terujanya itu masih mampu disimpan dalam hati. Kalau dia tak kawal diri, silap haribulan kena hantar klinik psikiatri pula nanti.
"Nur Biru, boleh masuk. Doktor dah sampai," panggil jururawat di kaunter itu kembali. Telunjuknya terus dihala ke arah bilik rawatan tiga yang dimaksudkan tadi.
Gadis itu terus bangun. Cermin pada bedak kompak yang dibawanya itu sempat dijeling seketika. Masih cun! Mekap masih juga on point! Yes... Namun, baru aje dia mahu melangkah ke depan, tiba-tiba pintu bilik rawatan di sebelah bilik rawatan tiga itu terbuka.
Seorang doktor wanita lain yang keluar. Cantik! Bergaya juga orangnya. Nampak elegan dengan skirt labuh hitam berserta blaus putih dan kasut tumit tinggi yang dikenakan. Tangannya membawa sebuah fail sambil matanya memandang Dr Hurdan.
"Hurdan," sapa doktor wanita itu kemudiannya.
Nur Biru terhenti separuh jalan. Siapa doktor wanita ini? Tak pernah nampak pun dulu. Mungkin tidak bertugas pada wad yang sama ketika dia ditahan di wad 12 dulu. Panggilannya hanya nama saja. Bukan Doktor Hurdan? Ehemmmm.... Pasti wanita ini rakan sejawat bukan doktor junior seperti Dr Insyirah dulu. Hatinya tiba-tiba bercelaru.
"Dr. Kaira," balas Hurdan pendek. Lelaki itu nampak terkejut sedikit, namun wajahnya masih nampak tenang seperti biasa.
"Oh, you masih kerja kat sini ya? I ingat you dah pindah ke Kuala Lumpur," suara Kaira kemudian berlapis manja.
"Tak jadi pindah," jawab Hurdan laju. Matanya sempat mencuri pandang Nur Biru yang sedang tercegat berdiri di belakang.
"Aaah, I see... Bukan ke dulu you mohon ke sana kan? Rugi tau. Bukan senang nak dapar tawaran tu," Kaira masih sengaja berbasa-basi.
Hurdan hanya senyum sipi. Tiada kata pun yang terpacul keluar. Hanya tangannya saja yang memberi isyarat kepada Nur Biru untuk masuk.
"Ehem... You..... ada someone yang buatkan you stay ke?" soal Kaira lagi. Nadanya mendatar namun riaknya macam cemburu.
Hurdan pejam mata sambil membuang pandangan ke arah lain sebelum menjawab.
"I ada appointment sekarang, Dr. Kaira. Excuse me," balas Hurdan dan terus melangkah ke dalam bilik. Nur Biru yang masih teragak-agak itu hanya tunduk.
"Cik/puan Nur Biru, sila..." Jururawat tadi sekali lagi menegur lembut. "Doktor dah tunggu tu,"
Biru hanya tersenyum pahit dan perlahan-lahan masuk. Tiba-tiba rasa tak enak. Doktor perempuan tadi macam ada sesuatu aje dengan Dr Hurdan. Cantik pula tu. Jauh sangat kalau nak dibandingkan dengan dia. Macam langit bumi. Hessyyy... tak bestlah!
"Duduk..." Suara Dr Hurdan kemudian menyapa. Biru hanya akur. Perlahan-lahan matanya mencuri pandang laku doktor muda yang sedang tekun membelek fail di hadapannya itu. Langsung tak pandang dia.
Ah, sedih! Memang lelaki itu tak ada apa-apa perasaan pun. Aduhai, nampaknya balik nanti kena peluk bantal busuk tu lagi lah kuat-kuat. Nasib keturunan ni memang tak boleh ubah mungkin. Sendiri ajelah akhirnya kan?
"Macam mana hari ni? Perut meragam tak? Ada pening-pening?" Soal doktor itu lagi.
Kali ini Biru angkat kepala. Nasib baik doktor itu bertanya. Kalau tak dia dah mati idea untuk bercakap. Jauh sangat dah rasa hati ni pergi. Itulah, tinggi sangat berangan sampai ke bulan. Padahal, hampeh!
"Err... doktor... saya sihat. Dah boleh makan. Buang air pun okey. Takde gastrik dah," perlahan saja Biru menjawab. "Cuma....." Sifat nakalnya terus datang apabila melihat wajah serius doktor itu mengangguk-angguk. Tekun betul kelihatannya. Pendengar yang setia kan? Hehe.
"Cuma apa?" Kening Hurdan terjongket sedikit.
"Cuma tadi tu...... tadi kat pintu, saya ada heartburn sikit."
Hurdan jeling. Dia macam dah dapat agak maksud di balik kata gadis nakal tersebut. Macam tak biasakan? Jadi layankan aje lah. Kalau tak, mesti lagi jauh gadis itu akan melalut.
"Okey, heartburn sebab saya ke... atau sebab orang yang tanya tadi tu?" soal Hurdan pula.
Terbeliak mata Nur Biru. Wah, hebat! Tak sangka, doktor muda ni melayan juga. Hehe. Dia jadi lagi seronok pula.
"Dua-dua lah doktor. Combo," jawab Biru laju.
Hurdan terus letak pen. Wajahnya sengaja diangkat merenung tepat ke wajah Biru. Serius.
"Dia... senior saya masa housemanship. Kami pernah bertunang. Tapi tak jadi kahwin."
Duh! Biru terus telan liur. Pahit, tapi tetap wow! Tak sangka Dr Hurdan boleh berterus-terang begitu dengan dia. Patutlah gadis tu ada aura lain macam tadi. Banyak kali dia tampar pipi untuk sedarkan keadaan, sampaikan lelaki itu tergelak juga melihat reaksi dia.
"Kenapa tak jadi?" Biru terus galak bertanya. Dr Hurdan yang sibuk dengan alat-alat rawatan di hadapannya itu langsung tidak dihiraukan. Cadangan dan nasihat dari doktor itu tentang keadaan kesihatannya itu langsung tak masuk kat dalam kepala. Paling tidak lepas ni kena ambil ubatkan?
Hurdan geleng kepala. Geram juga dengan pesakit yang seorang ni. Sibuk dengan hal peribadi dia berbanding kesihatan sendiri.
"Awak take note kan nasihat saya tadi?" Ulang Hurdan sekali lagi.
Biru hanya angguk. Soalan sama diacu lagi.
"Kenapa doktor dengan dia tak jadi? Cantik tu.."
"Kalau awak nak tahu, kecantikan tu bukan point utama dalam hidup saya. Saya lebih utamakan kebahagiaan dan keserasian. Dia pentingkan karier dan saya pentingkan ketenangan. Dia nakkan perhatian, saya pula suka diam. Jadi kami tak seirama." Akhirnya panjang lebar juga penjelasan dari Hurdan.
Biru angguk perlahan. Betul juga. Dari gaya doktor itu pun dia tahu. Lelaki itu mahukan kehidupan yang realistik. Tak nak drama-drama seperti dalam tv. Tak romantiklah kan? Diam yang macam mana tu? Tapi kenapa gaya dia macam mempesonakan ya? Tegas tapi comel kadang-kadang. Walaupun marah, tapi masih nampak penyayang dan prihatin.
Biru sengaja kecilkan anak matanya kemudian mencuri pandang wajah doktor itu dari ekor mata. Rasanya dia tak hanya tertarik pada muka kacak lelaki ini, tapi mungkin...cara dia mendengar luahan pesakit dan gaya dia memberi nasihat tu yang mahal. Jelingan dia pun....
"Awak jealous ke tadi?" soal Hurdan lagi tiba-tiba.
Hampir melompat Biru mendengarkannya. Bibirnya spontan tersengih lebar sebelum menjawab.
"Eh, taklah... Saya cuma curious. Sebab... chemistry doktor dengan dia....ehem, kuat".
Hurdan jeling lagi. Bibirnya diketap geram bila disindir begitu.
"Saya lagi banyak chemistry dengan drip Buscopan awak hari tu."
Meletus tawa Nur Biru kemudiannya. Macamtu rupanya reaksi orang bijak bila kena sindir. Rela hati pula mengaku serasi dengan dia berbanding bekas tunang sendiri. Bohong. Takkanlah macam tu kan? Apalah sangat dengan ubat rawatannya hari tu. Bukan luar biasa pun. Saja nak cover diri lah tu.
"Romantik sangat," sindir Biru lagi.
Kali ni muka Dr Hurdan merah macam biji saga. Pakej dengan kedua-dua belah telinganya sekali.
"Jangan jatuh hati dengan sayalah Nur Biru," ujar Hurdan lagi.
"Saya tak jatuh. Tergelincir sikit aje."
"Awak ni memang susah nak kalah kan?"
Masing-masing meletus tawa kemudiannya sehingga..
Tok tok.
Pintu bilik rawatan tiga tiba-tiba diketuk. Namun belum sempat ia dibuka, pintu tersebut sudah ditolak dari luar.
"Sorry. I nak masuk sekejap. I nak pass surat ni," tubuh Kaira kini sudah tercegat di dalam bilik rawatan tersebut.
Biru terus diam. Matanya sempat menjeling ke arah tangan doktor wanita tersebut. Kosong! Pelikkan? Mana suratnya?
"I ada patient ni Dr Kaira," tegur Hurdan tak selesa.
"Oh, ini la Nur Biru ya? The Buscopan girl?" tegur Kaira sambil melangkah masuk dengan senyum yang dibuat-buat. Muka Nur Biru sengaja ditenung lama.
Terangkat kening gadis itu kemudiannya. Buscopan girl? Begitukah nama jolokan yang diberi kepada dia? Dah viral ke sampaikan bekas tunang doktor ni pun dah tahu.
"Err...ya...ya. Saya Nur Biru," jawab Biru sopan. Jujurnya, dia mula rasa tak selesa. Riak Dr Kaira macam sinis aje memandang dia sekarang.
"Unik awak ni. Jarang-jarang ada pesakit yang boleh buatkan Dr Hurdan tersenyum ketika buat ward round."
Biru tunduk. Perasaannya macam sedang bercampur-baur sekarang. Rupa-rupanya dia taklah seberani watak macam dalam tv tu. Tak ada bakat jadi pelakor gamaknya. Kena sindir macam ni pun rasa dah nak lari keluar. Menyesal pula usik-usik bekas tunang dia. Kalau kena jerkah lagi teruk ni. Nasib baik, orang profesional macam Dr Kaira ni sindir dalam senyum. Adeh, tak kuat!
"Dr. Kaira," tegas suara Dr Hurdan kemudiannya. "Kalau semua dah settle, you boleh keluar dulu kan?"
Sepi kemudian bilik tersebut sebelum Kaira menjawab.
"Ya, I know. I memang nak keluar. Tapi susah jugak bila tahu ada someone yang boleh buat you senyum macam dengan I dulu,"
Boom! Bergegar jantung Nur Biru dek peluru emosi tersebut. Kes macam makin besar aje. Bimbang kedua-dua doktor tu tegang nanti.
"Dr. Kaira, pleaseeee" ulang Hurdan lagi. Suaranya makin tegas sekarang. Dan Biru makin tunduk menikus.
"Ya, I keluar sekarang. Nice to meet you, Nur Biru. Jaga dia elok-elok. Dia jenis yang... kuat simpan. Tapi bila meletup... dia terus hilang." Kaira akhirnya akur dan senyum lalu melangkah keluar.
Apabila pintu tertutup, keadaan jadi sunyi seketika.
"I'm so sorry Nur Biru... Dia tak patut...."
"Dia masih sayang doktor kan?" Namun cepat-cepat Biru memotong sambil senyum tipis.
Hurdan tarik nafas. "Entahlah. Saya tak nak ulang kesilapan."
Nur Biru hanya diam tatkala mata redup doktor muda itu kini bertaut dengan matanya.
"Saya cuma tak nak lukakan sesiapa lagi, termasuk awak." Sambung Hurdan lagi seraya menghulur kad rawatan susulan seterusnya itu.
Biru tersentak. Ayat yang terpacul sekarang jelas menunjukkan kehadirannya memang memberi kesan ke atas kehidupan peribadi lelaki itu.
"Tapi kalau awak serius... jangan lari bila saya mula rasa." Sambungnya lagi.
Biru menyambut huluran dengan senyuman.
"Saya tak reti lari doktor. Saya jenis duduk dan tunggu, walau sakit."
Hurdan senyum malu-malu. Wajahnya sengaja dikalih ke dinding.
Dan Nur Biru keluar dari bilik tersebut dengan dada berombak. Senyumnya tak lekang. Dinding hati doktor itu sedang retak. Dan bila dinding tu roboh nanti... dia akan pastikan dialah orang pertama yang akan masuk.
BERSAMBUNG...
haaa....dah bekas tunang pulak masuk frame...lecehla kan macam ni...hehe...xsyiukkkk...hehe
Share this novel
boleh sambung lagiiiĆi....??
ala kacau la Dr Kaira ni...