LANGSIR kelabu ruangan katil 2B segera diselak. Nur Biru yang masih lena itu terus dikejutkan oleh beberapa orang jururawat yang bertugas. Gadis yang masih terpinga-pinga itu kebingungan seketika. Petang semalam, dia baru aje lega bila semua wayar dan jarum di tangan dicabut. Tiada lagi bunyi mesin berdetik dan tiada lagi rasa sejuk salur darah bila ubat disuntik perlahan-lahan. Dia akhirnya bebas waktu itu.
Tapi, awal pagi ni..
“Cik Nur Biru... Cik Biru, bangun ya. Kami nak periksa semula,” suara lembut jururawat membuatkan gadis itu mengerutkan kening.
Biru menggeliat sedikit. Matanya dibuka separuh, masih keliru dengan apa yang terjadi. Tapi nalurinya cepat menangkap satu perkara pelik. Kenapa ada terlalu banyak kaki berkasut getah putih di sekelilingnya pagi-pagi begini?
“Hmm… kenapa...ya?” Dia cuba bangun, tapi terasa tangan kanannya dipegang. Belum sempat dia bertanya lanjut, satu garisan IV cuba dimasukkan semula ke vena tangannya.
“Aduh! Sakit lah... Kenapa nak cucuk-cucuk lagi?” suaranya separuh menjerit. Wajahnya turut bertukar cemas.
Bukankah keadaannya dah stabil seperti yang dikatakan oleh Doktor Kaira petang semalam? Doktor itu sendiri yang mencabut semua wayar dan jarum di tangan dan dia pun dah mula berkemas segala barang-barang peribadi malam tadi ke dalam bagasi kecilnya bersedia untuk balik hari ni. Tapi kenapa macam makin banyak wayar sekarang?
Matanya meliar. Ada mesin ECG dan monitor tekanan darah di situ. Mesin pam infusi pun perlahan-lahan berbunyi untuk menghantar cecair melalui salurannya.
“Errr.... kenapa ni nurse? Saya kan dah okey? Hari ni boleh balik kan? Kenapa banyak sangat mesin ni?.." Tanya Biru naif.
Jururawat Afiqah kelihatan serba salah. “Cik Biru, ada sedikit perubahan pada keputusan darah pagi tadi. Kami ikut arahan doktor, ya.”
“Perubahan? Apa maksud nurse? Saya okey aje kan? Saya siap boleh nyanyi dengan doktor lagi semalam.....” suaranya mula panik.
Biru cuba tarik tangannya semula, namun jururawat tetap bertegas menahan.
“Cik Biru, tolong ya. Kami nak pasang line ni elok-elok. Jangan gerak banyak sangat, nanti tercabut tau.”
“Aduh, sakitlah! Saya tak nak! Tangan ni dah lebam tau dari hari tu.... Janganlah paksa....” Biru merengek lagi. Jujur, tangannya betul-betul sakit hari ni. Seksa nya bila berwayar dan berjarum begini. Terhad sekali pergerakannya. Tak bebas.
"Sabar Cik Biru, hospital kan nak tolong Cik Biru. Sabar ya..." Sekali lagi Jururawat Afiqah memujuk. Namun Biru meronta lagi.
"Saakiittt.... Tak naklah nurse.. Semalam Doktor Kaira kata saya dah......."
“Baring elok-elok!! Jangan banyak soal!!” Suara parau itu kemudian menegah. Terus sepi seketika ruangan tersebut.
Hurdan masuk dan berdiri tepat di hadapan Biru dengan wajah yang serius. Jauh lebih tegang dari awal-awal kemunculan jejaka itu dulu. Biru terdiam. Tangannya yang meronta tadi terus dilurut ke bawah. Gerun juga lihat lelaki itu marah. Tiada wajah romantik seperti yang dilihat petang semalam. Kenapa?
“Saya....Saya....sakit doktor. Tangan dah lebam dah.... kenapa nak cucuk lagi…” Biru merengek perlahan sambil menunduk.
"Kita nak bagi awak ubat Nur Biru. Cucuk tu sikit aje sakitnya berbanding biarkan awak tanpa rawatan macamtu..." Akhirnya meletus ucapan dari Hurdan.
Dia mendekat sambil mata merenung tepat ke arah gadis itu. Tangan pula kejap memegang fail rawatan yang tercatat butiran angka yang membimbangkan.
Biru tunduk. Entah kenapa hatinya jadi diruntun sedih. Kenapa doktor muda itu kembali kasar dengannya? Wajah dan nada tegang itu kembali diguna ketika bersua. Padahal, bukan main romantik lagi lelaki itu semalam.
“Afiqah, boleh beri saya ruang sekejap? Saya nak buat confidential clinical review dengan pesakit ni.”
Nada suara Hurdan kekal tenang dan profesional, namun cukup jelas untuk difahami sebagai arahan. Jururawat Afiqah segera mengangguk, faham benar dengan protokol itu.
“Baik, doktor.”
Dia memberi isyarat kepada dua jururawat lain untuk berundur, kemudian menarik langsir kelabu yang mengelilingi katil 2B, menutup ruang itu dengan sopan. Keadaan kembali sunyi apabila bunyi langkah kaki jururawat-jururawat itu mula menjauh dari situ.
Wajah Biru yang masih tunduk kembali ditatap. Dari sisi, nampak gadis itu mengesat juring mata. Faham, Biru pasti sedang beremosi.
"Sakit lagi kan? Badan tu lemah lagi. Macam mana nak balik...." Suaranya kali ini dikendurkan.
Biru geleng. Cuba menafikan untuk nampak lebih sihat.
"Saya dah okey lah doktor. Semalam kan Dr Kaira pun...."
"Yalah.... Awak memang okey sangatkan? Dr Kaira cakap awak okey kan? Muka pucat, mata lesu, bibir pun kering....." Pintas Hurdan sengaja bermain dengan emosi Biru. Gadis itu terus nampak berkerut. Tangannya terus diletak ke muka. Ye ke macam tu? Bibirnya pula spontan dikemam-kemam untuk kelihatan lebih basah.
"Saya...tak minum air lagi. Pucat dan keringlah sikit muka..bibir pun...." Biru cari alasan. Padahal dia tahu yang duduk di hadapannya sekarang, boleh tahu dengan lebih terperinci punca sebenar.
Hurdan senyum sinis. Perempuan tetap perempuan kan? Mesti nak menang juga.
"Ooo...tak minum lagi. Nah, saya yang tuangkan ni. Nak tengok hilang tak pucat tu.." segelas cawan kemudian pantas dihulur. Lambat-lambat Biru menyambut. Jujur, badannya pun rasa lebih lemah dari semalam. Pening pun ada. Demam lagi ke?
"Saya pening sikit je. Lain okey..." Masih lagi Biru cuba membela diri.
Hurdan ketap bibir. Geram. Kena sekolahkan juga gadis ni baru dia betul-betul faham.
"Pening sikit je? Hm...sampaikan paras hemoglobin jatuh. Sekarang dah borderline kritikal tau. Kenapa tak cakap petang semalam? Itu simptom penting tau. Tak boleh sembunyikan benda tu dari doktor. Orang lain tak tahu badan kita exactly. Kita kena jujur Biru. Ya, Dr Kaira benarkan discaj, tapi Dr Hurdan tak bagi."
Biru terus angkat muka. Paras hemoglobin kritikal? Cuak seketika dia. Bukanke hemoglobin ni adalah pigmen penting yang ada dalam darah untuk pengangkutan oksigen? Oksigen perlu bergabung dengan hemoglobin membentuk oksihemoglobin dahulu sebelum dihantar ke seluruh organ dan sel-sel badan. Kalau tidak, oksigen takkan dapat dihantar ke mana-mana walau banyak disedut dengan banyak ke dalam alveolus paru-paru. Itu yang pernah diterangkan oleh cikgu sains di sekolah dulu. Sebab itulah, asap rokok dan mana-mana asap yang mengandungi karbon monoksida bahaya untuk kesihatan. Gas itu jadi pengganggu pembetukan oksihemoglobin tersebut. Kalau pigmen tu kurang, macam-macam masalah boleh berlaku. Malah ada yang boleh sampai ajal kalau tak dirawat dengan betul. Eh, takutlah!
“Luka kat dalam perut awak tu disebabkan gastritis kronik Biru. Ada pendarahan halus dalam sistem. Kalau tak rawat cepat, bukan setakat anemia tapi boleh collapse jantung tu.”
Biru diam. Jantungnya terus berdegup kencang. Teruk sangat ke keadaannya?
"Tapi...tak terukkan doktor?" Tanya Biru lagi naif. Jujur, dia mula rasa takut sekarang."Kan semalam Dr Kaira...."
"Stop mentioning her...." potong Hurdan laju. Naik sedikit nadanya kali ini. Geram betul dengar nama tu diulang-ulang. Betapa besarnya bahana penipuan yang dibuat. Pesakit naif seperti Biru ni terus percaya bulat-bulat.
“Awak percaya Dr Hurdan ke Dr Kaira?" Soalan itu akhirnya keluar dari bibir.
Biru terkebil-kebil. Serius betul muka doktor muda itu sekarang. Tapi setiap perkataan Dr Hurdan lebih meyakinkan menurutnya.
“Saya doktor awak Biru. Selagi saya hidup, saya akan buat apa aje untuk pastikan awak tak collapse kat depan mata saya. Faham?”
Biru telan liur. Hatinya bergetar. Seluruh tubuh terasa sejuk tiba-tiba.
"Ni..." Kain baldu biru yang dihadiahkan olehnya semalam sengaja ditayang oleh Hurdan di depan matanya.
"Saya tak nak benda ni jadi kenangan untuk saya sorang-sorang...." Nada lelaki itu pula yang bergetar ketika ni.
“Sebab tu saya arahkan untuk pasangkan semula line. Dan saya sendiri akan pantau ubat IV ferric carboxymaltose untuk naikkan hemoglobin awak. Kita juga akan start proton pump inhibitor dan sucralfate untuk protect perut awak dari berdarah lagi. Awak perlukan full hydration dan pemantauan sampai darah stabil."
“Saya tak nak ambil risiko lepaskan awak hari ni. Awak fahamkan sekarang? Sampai bacaan darah awak stabil, baru boleh fikir pasal discharge...."
Biru tidak menjawab. Hanya anggukan kecil yang perlahan-lahan menggantikan tutur. Suasana jadi sunyi seketika. Hanya deru halus penghawa dingin dan bunyi mesin di sisi yang menemani.
Hurdan menghela nafas panjang sambil meraup muka. Tona suara dan wajahnya tidak lagi setegang tadi.
“Biru...” panggilnya sekali lagi, lebih lembut. “Saya bukan marah suka-suka tau. Saya risau. Sangat risau.......”
Ayat itu membuatkan dada Biru terasa berombak sedikit. Terbit rasa bersalah dalam hati. Dia tak tahu keadaan sebenar dirinya adalah seteruk itu. Dia fikir, semua yang berlaku cuma drama hospital ringan macam biasa. Sekadar pening dan gastrik sahaja. Langsung tak jangka darahnya jatuh ke tahap kritikal begitu.
Perlahan-lahan pandangannya kembali berkalih ke arah Hurdan. Wajah lelaki itu nampak letih, tapi dalam matanya ada satu perasaan yang sukar diterjemah. Antara kecewa, sayang dan marah yang bertaut dalam satu.
“Saya minta maaf...” lirih suara Biru akhirnya kedengaran.
Hurdan hanya mengangguk sekali. “Cukuplah kalau awak tak ulang lagi. Lepas ni, apa-apa yang awak rasa pelik, tak selesa, awak kena cakap. Boleh?” perlahan saja nada lelaki itu.
Biru mengangguk perlahan. “Boleh, doktor...”
Lelaki itu tersenyum kecil. Dia kembali bangkit berdiri dan membuka langsir sedikit, memberi isyarat kepada jururawat untuk kembali masuk.
“Pasang line semula. Saya sendiri akan buat pemantauan IV nanti. Pastikan Cik Biru dapat air secukupnya dulu. Lepas tu kita mulakan rawatan lain.”
“Baik doktor,” angguk jururawat Afiqah.
Biru pejam mata sekejap. Cuba bersabar melawan rasa. Namun...
“Sakiiiit…” keluhnya kuat sambil melarikan tangan saat jururawat mula cuba menyambungkan garisan IV ke tangannya semula.
Hurdan geleng kepala. Nampaknya dia sendiri yang perlu turun padang sekarang.
"Biru, awak pandang atas. Cuba kira ada berapa bintang?" Ujarnya seraya mengenakan sarung tangan dan memberi isyarat tangan kepada jururawat-jururawat yang ada di situ. Masing-masing faham dan memberi ruang.
Biru pula terus mendongak ke atas. Bintang? Matanya mula meliar naif sehingga....
"Aduhhhh....."
"Siap! Sakit sikit aje kan? Dah kira berapa bintangnya?" Soal Hurdan lagi seraya tersenyum.
Jururawat-jururawat yang berada di situ hanya mengulum senyum. Bijak betul doktor itu mengalih fokus.
Biru hanya mampu ketap bibir. Dah selamat cannula tajam itu tersemat di tangannya. Tertipu rupanya dia tadi. Mana ada bintang pun di situ.
"Doktor tipu...." Balas Biru sengaja berwajah kelat. Tapi jujur, rasa sakitnya tak sekuat tadi. Mungkin doktor itu lebih cekap menyuntik cannula tajam itu berbanding staf-staf yang lain.
Hurdan ketawa.
"Ada. Awak aje yang tak nampak. Kan nurse?" Hurdan sengaja kenyit mata ke arah jururawat-jururawat tersebut.
Biru jadi makin bingung.
"Mana ada bintang kat situ. Ada kipas, ada lampu..."
"Ada kat tepi ni haa...." Potong Hurdan dengan senyuman yang cukup manis.
Jururawat-jururawat yang ada di situ turut meleret senyum. Manis gila punchline doktor muda ni. Beruntung betul pesakit yang bernama Nur Biru ni. Masing-masing pun cair tengok lekuk di pipi doktor tegas itu sekarang.
Biru?
Terus tersipu-sipu malu. Mod romantik Hurdan kadang-kadang tak dapat diduga.
BERSAMBUNG...
P/S : kena doktor kesayangan juga yang suntik cannula kan...hehe. nasib baik kau ler Biru. Kalau Usako kena makan penampo gamaknya...hehe
Share this novel
ouch!! berbintang-bintang dihati biru hihi