BAB 22 : Perjalanan ke neraka

Romance Series 1274

2:30 Petang – Apartmen B, Pyongyang

Derap but berat bergema di koridor, menghampiri apartmen Seo Yeon seperti deruan ombak sebelum badai.

BANG!

Pintu apartmen dirempuh dengan kekuatan brutal. Engselnya tercabut serta-merta dan pintu itu terhempas ke lantai dengan dentuman yang menggoncang ruang sempit itu. Serpihan kayu berhamburan dan debu tebal berkepul di udara. Seo Yeon tersentak, tubuhnya membeku. Jari-jemarinya mencengkam erat tangan ibunya yang sudah menggigil.

Empat lelaki berseragam hitam Jabatan Keselamatan Negara Korea Utara (Ministry of State Security, MSS) melangkah masuk tanpa ragu. Riak wajah mereka berempat tidak menunjukkan sebarang emosi saat mereka memandang Seo Yeon dan ibunya seolah-olah dua perempuan dihadapan mereka ini bukan lagi manusia.

Seo Yeon dan ibunya tidak lebih daripada kewujudan yang sia-sia, sesuatu yang tidak patut dibiarkan terus bernafas.

Mereka berdua sepatutnya sudah disingkirkan tetapi arahan dari atas masih memberi nilai kepada nyawa mereka walaupun hanya untuk sementara.

Di hadapan seorang pegawai berpangkat tinggi berdiri tegak lencana merah bersinar di dadanya simbol kuasa yang tidak boleh dicabar. Matanya tajam dan dingin. Menusuk seperti bilah pisau yang sedia diacu ke leher mereka.

Ketakutan menggantung di udara, menekan dada Seo Yeon seperti beban yang tak tertanggung.

"Seo Yeon. Nyonya Kim. Ikut kami."

Seo Yeon menegakkan bahunya cuba menyembunyikan ketakutan yang bergolak dalam dadanya. Ibunya, sebaliknya, menggeleng perlahan.

"Kami tak buat salah," suara Nyonya Kim bergetar. "Kenapa kami ditangkap?"

Pegawai itu tidak menjawab. Sebaliknya, dia memberi isyarat kepada dua pegawai lain untuk menarik kedua-dua wanita itu keluar.

Di luar jiran-jiran mereka berkumpul. Wajah-wajah penuh simpati dan ketakutan memerhati dari celah pintu dan tingkap. Seo Yeon menangkap pandangan seorang budak kecil yang memandangnya dengan mata bulat tanpa memahami betapa gelapnya nasib yang menanti dia.

Langit Pyongyang kelabu. Musim sejuk yang beransur pergi meninggalkan sisa-sisa salji mencair di celah jalan berbatu. Angin dingin masih terasa menusuk ke dalam tulang seolah-olah memberi amaran bahawa tempat yang mereka tuju lebih dingin dan lebih kejam.

3:00 Petang – Dalam Kenderaan, Menuju ke Timur

Kenderaan pacuan empat roda hitam meluncur keluar dari Pyongyang, meninggalkan hiruk-pikuk ibu kota. Dua pegawai duduk di hadapan manakala seorang lagi duduk di sebelah Seo Yeon dan ibunya di belakang. Tangan mereka tidak diikat, tetapi itu tidak memberikan sebarang keselesaan. Mereka tahu bahawa mereka dalam kawalan penuh pihak berkuasa.

Seo Yeon melirik keluar tingkap. Bangunan-bangunan konkrit kelabu berganti dengan ladang-ladang kosong dan jalan-jalan mula berlumpur kerana salji sudah mencair. Di kejauhan, gunung-ganang yang masih dilitupi salji semakin menghampiri.

"Kita ke mana?" Seo Yeon akhirnya bersuara.

Tiada siapa menjawab.

Ibunya duduk diam menggenggam tangannya dengan erat. Mungkin cuba menenangkan diri ataupun berdoa dalam hati.

Selepas beberapa lama pegawai di hadapan akhirnya bersuara tanpa menoleh ke belakang.

"Kem Yodok."

Seo Yeon terasa darahnya seakan berhenti mengalir.

Yodok.

Nama itu cukup untuk membuat sesiapa sahaja di Korea Utara menggeletar. Ia bukan sekadar penjara ia adalah tanah neraka bagi sesiapa yang dituduh sebagai musuh negara. Kem itu bukan tempat hukuman mati segera tetapi tempat di mana manusia dilenyapkan dalam kesengsaraan yang perlahan.

5:30 Petang – Mendekati Kem Yodok

Kenderaan memasuki kawasan pergunungan. Jalan semakin sempit dan berliku serta udara semakin dingin. Kabus nipis mulai turun, menyelubungi pokok-pokok pinus yang tegak berdiri seperti penjaga bisu.

Dari jauh, pagar berduri muncul, menjulang tinggi dengan menara kawalan di setiap sudut. Di belakangnya, kem itu terhampar luas dipenuhi barak kayu usang dan tanah beku yang tandus.

Di pintu masuk beberapa pegawai bersenjata menanti. Kenderaan berhenti dan pintu dibuka dengan kasar.

"Turun!"

Seo Yeon menggenggam tangan ibunya lebih erat. Mereka turun perlahan diiringi pegawai keselamatan yang memerhati tanpa ekspresi.

Di seberang pagar sekumpulan tahanan yang kurus kering berdiri dalam barisan memerhati pendatang baru dengan mata kosong. Sebahagian mereka memakai pakaian lusuh berwarna coklat manakala yang lain tidak lebih daripada rangka hidup. Wajah mereka diselaputi kotoran dan kelaparan.

Seo Yeon merasakan ketakutan yang belum pernah dia alami seumur hidupnya.

Mereka kini berada di tempat yang tiada siapa mahu masuk dan tiada siapa yang pernah keluar dengan selamat.

Seo Yeon berdiri kaku di hadapan pagar kawat berduri yang menjulang tinggi. Jari-jarinya menggenggam erat lengan ibunya, mencari kekuatan dalam kehangatan tubuh wanita itu. Angin petang yang dingin menggigit kulitnya, membawa bersama bau tanah lembap dan sesuatu yang lebih suram iaitu bau kematian yang terpendam di setiap sudut tempat ini.

Dari jauh, seorang lelaki berseragam hijau gelap dengan tanda pangkat di bahunya melangkah mendekati mereka. Wajahnya keras, matanya kosong tanpa belas kasihan.

"Bawa mereka ke blok pemeriksaan," arahnya dingin.

Dua pegawai keselamatan menarik Seo Yeon dan ibunya, mengheret mereka ke sebuah bangunan kecil berhampiran pintu masuk. Seo Yeon menoleh ke belakang, melihat tahanan lain yang sedang berbaris. Kebanyakan mereka kelihatan seperti bayangan manusia terlalu kurus dan tidak bermaya.

Matanya tertancap pada seorang wanita tua yang bertelanjang kaki, bibirnya pecah-pecah akibat kesejukan. Wanita itu menatap Seo Yeon dengan pandangan yang sukar ditafsirkan.

‘Adakah ini nasib yang menunggu aku?’ Seo Yeon menelan liur, cuba mengusir bayangan ngeri itu dari fikirannya.

6:00 Petang – Pemeriksaan Tawanan

Di dalam bangunan kecil itu, mereka dipisahkan. Seo Yeon didorong ke sebuah bilik berlampu malap hanya diterangi mentol tunggal yang berayun perlahan di siling. Pegawai yang mengiringinya menyuruhnya berdiri tegak sementara seorang wanita berseragam biru masuk dengan clipboard di tangan.

"Nama?"

"Seo Yeon."

"Umur?"

"26."

Wanita itu mencatat sesuatu sebelum mendongak, meneliti wajah Seo Yeon.

"Kau tahu kenapa kau di sini?"

Seo Yeon mengetap bibirnya.

"Tidak."

Wanita itu ketawa kecil, sinis.

"Semua orang yang berada di sini juga berkata begitu."

Seo Yeon diam.

Wanita itu berjalan mengelilinginya, menilai dari hujung rambut ke hujung kaki.

"Arahan dari atas menyatakan kau tidak boleh diapa-apakan... Itu sesuatu yang jarang berlaku di sini."

Seo Yeon memandangnya dengan mata penuh tanda tanya.

Wanita itu berhenti di hadapannya dan tersenyum nipis.

"Tapi itu tidak bermakna hidup kau akan selesa di sini."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience