BAB 10 : Musim sejuk yang terakhir

Romance Series 1274

Langit Pyongyang mendung petang itu menambah kesuraman dalam hati Aiman. Dia duduk di dalam kereta memandang ke luar tingkap dengan pandangan kosong. Pemandunya, Pak Jin Ho tidak banyak bercakap hanya fokus pada jalan raya yang masih diliputi sisa-sisa salji musim sejuk yang mulai cair.

Selepas mereka menuju ke stesen minyak Kwangbok. Aiman tidak pasti kenapa dadanya terasa berat. Dia sudah bersedia untuk menjarakkan diri daripada Seo Yeon, tetapi hatinya masih belum belajar untuk menerima keputusan itu sepenuhnya.

Setibanya di stesen minyak Aiman keluar dari kereta tanpa banyak bicara. Seo Yeon seperti biasa berdiri di belakang kaunter menyusun sesuatu di rak. Saat dia berpaling dan melihat Aiman, ada sedikit sinar di matanya tetapi ia segera pudar apabila dia perasan perubahan sikap Aiman.

"Annyeonghaseyo," sapanya lembut.

"Annyeong," balas Aiman pendek matanya tidak lama bertemu dengan mata Seo Yeon sebelum dia mengalih pandangan ke arah lain.

Seo Yeon memandangnya sejenak seolah-olah cuba membaca fikirannya. Suasana yang dulu penuh dengan percakapan ringan kini dipenuhi dengan kesunyian yang menyesakkan. Aiman menyerahkan jumlah won Korea yang diperlukan dan Seo Yeon mengambilnya tanpa sepatah kata.

Saat dia kembali dengan baki wang, tangannya sedikit terketar dan dia tanpa sengaja menjatuhkan beberapa keping syiling. Aiman refleks menghulurkan tangan begitu juga Seo Yeon. Tangan mereka bersentuhan seketika sentuhan yang singkat tetapi cukup untuk membuat degupan jantungnya bergetar.

Dia menarik tangannya pantas, meraup rambutnya dengan gelisah.

"Maaf," ujar Seo Yeon, suaranya lebih perlahan daripada biasa.

"Tidak mengapa." Aiman cuba kedengaran biasa tetapi dia tahu nadanya kedengaran lebih dingin daripada yang dia maksudkan.

Seo Yeon menggigit bibirnya, ragu-ragu sebelum akhirnya menghulurkan sesuatu kepadanya sehelai scarf yang dia tenun sendiri. Warna kelabu kebiruan, benangnya halus dan tenunan itu kelihatan sempurna, hasil kerja tangan yang penuh dengan kesabaran.

"Aku buat ini... untuk kau," katanya perlahan, tidak pasti sama ada Aiman akan menerimanya atau tidak.

Aiman memandang scarf itu. Hatinya bergolak. Dia mahu menolak mahu menegaskan bahawa dia tidak sepatutnya menerima apa-apa daripada Seo Yeon. Tetapi dia juga tahu berapa banyak usaha yang telah Seo Yeon curahkan ke dalam hadiah ini.

Tangannya terangkat untuk mengambil scarf itu tetapi sebelum sempat dia menyentuhnya dia menarik kembali tangannya, seolah-olah ada benteng yang menghalangnya. Seo Yeon nampak kekecewaan dalam ekspresi Aiman yang sukar dibaca.

"Kau tak perlu buat ini," katanya, cuba mengawal nada suaranya.

"Aku tahu," jawab Seo Yeon perlahan. "Tapi aku tetap nak buatkan scarf ini untuk kau sebab aku tengok kau asyik guna scarf yang sama setiap hari."

Aiman akhirnya mengambil scarf itu jarinya merasai kelembutan benang yang ditenun kemas. Dia menatapnya seketika sebelum menghela nafas panjang.

"Terima kasih," katanya, suaranya hampir berbisik.

Seo Yeon hanya tersenyum kecil, tetapi ada kesedihan dalam senyumannya. Seolah-olah dia tahu bahawa selepas ini Aiman akan terus menjauh.

Tanpa menunggu lebih lama, Aiman menyimpan scarf itu ke dalam poket kotnya, memberi anggukan kecil, dan melangkah pergi. Dia masuk semula ke dalam kereta tanpa menoleh ke belakang.

Seo Yeon berdiri di situ melihat bayangan Aiman semakin menjauh. Hatinya berat tetapi dia tahu kadang-kadang perasaan yang paling tulus adalah yang tidak pernah terucap.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience