Jam baru menunjukkan pukul 5:30 pagi, tetapi Aiman sudah terjaga. Udara di biliknya terasa sejuk lebih sejuk daripada malam sebelumnya. Dia menarik selimut sebelum bangun dan menuju ke bilik air kecil di penjuru biliknya.
Air paip terasa seperti ais tetapi dia sudah terbiasa. Selepas berwuduk, dia membentangkan sejadah dan menunaikan solat Subuh dalam keheningan.
Hidup sebagai seorang Muslim di Korea Utara bukan mudah. Tiada masjid besar, tiada azan, tiada jemaah. Hanya dia dan Tuhannya.
Selesai solat, dia melangkah ke tingkap apartmennya di Mundong-dong dan menyalakan sebatang 7.27. Rokok tempatan yang popular dalam kalangan diplomat asing. Murah, berkualiti, dan kadangkala berguna sebagai bargaining chip dalam rundingan tidak rasmi.Asap putih berkepul perlahan, bercampur dengan udara sejuk yang menyelinap masuk dari celah tingkap.
Pyongyang masih gelap. Bangunan-bangunan kelabu berdiri sunyi hanya diterangi lampu jalan yang suram. Di kejauhan, Menara Juche berdiri tegak siluetnya samar dalam kegelapan.
Tiba-tiba, bunyi statik kedengaran dari speaker yang dipasang di setiap blok apartmen. Beberapa saat kemudian, suara wanita memenuhi udara pagi yang dingin nyaring, tegas, dan tidak beremosi.
"Rakyat sekalian, marilah kita bekerja dengan semangat Juche! Marilah kita bersatu di bawah kepimpinan Kim Jung ung yang Bijak dan Agung untuk membina tanah air yang lebih kuat!"
Aiman menghela nafas perlahan. Asap rokok keluar bersama hembusannya.
Propaganda pagi. Dia sudah lali.
Dia memandang puntung rokok di tangannya sebelum mematikannya di bekas abu di tepi tingkap.
Hari ini akan menjadi hari yang panjang.
---
Sarapan di Restoran Tempatan
Satu jam kemudian, Aiman dan Farid keluar dari kedutaan untuk bersarapan di sebuah restoran kecil yang sering dikunjungi diplomat asing.
Restoran itu terletak di tingkat bawah sebuah bangunan lama. Tidak ada papan tanda besar, hanya pintu kayu dengan satu simbol Korea di atasnya. Di dalamnya, suasana agak tenang.
Mereka duduk di meja di sudut restoran. Seorang pelayan wanita menghampiri mereka, menyambut dengan senyuman tipis sebelum menyerahkan menu.
Aiman memandang sekeliling. Beberapa meja lain diduduki oleh orang asing diplomat dari Rusia, China, dan mungkin juga beberapa pegawai PBB. Di sudut lain, seorang pegawai Korea Utara dengan seragam kemas sedang duduk seorang diri matanya sesekali melirik ke arah mereka.
Aiman meneguk teh panasnya sebelum bersuara perlahan, “Kau perasan pegawai tu?”
Farid mengangguk sambil belek menu. “Standard procedure. Mereka sentiasa ada.”
Farid meletakkan cawan di atas meja. “Apa rancangan kau hari ni?”
Aiman menyelak halaman menu. “Ada mesyuarat dengan pegawai kanan Korea utara di kementerian luar negeri Korea utara, Hak chol petang nanti. Lepas tu aku nak ke stesen minyak.”
Farid mengangkat kening. “Lagi?”
Aiman tersenyum. “Aku nak isi minyak.”
Farid menggeleng perlahan. “Aiman, kau ni memang tak makan saman lah.”
Aiman hanya diam. Dia tahu risikonya.
____
Pertemuan dengan Hak chol
Bilik mesyuarat kecil itu tenang, hanya bunyi kipas pendingin hawa yang berdengung perlahan. Bendera Korea Utara dan Malaysia tergantung di dinding, simbol hubungan diplomatik yang kompleks. Di meja kayu yang tersusun kemas, beberapa dokumen diletakkan bersebelahan dengan botol air mineral yang belum disentuh.
Aiman duduk dengan postur tegap berbincang mengenai perdagangan dua hala dengan nada yang yakin. Di hadapannya, Hak Chol mendengar dengan penuh perhatian, wajahnya tetap tenang tetapi matanya seolah-olah meneliti setiap pergerakan Aiman.
Ketika mesyuarat hampir selesai, Hak Chol menyandarkan badannya ke belakang dan berkata dengan nada yang mesra tetapi penuh makna, “Encik Aiman, saya perasan anda kerap ke stesen minyak yang sama.”
Aiman mengekalkan ekspresi neutral. Dia tersenyum tipis sebelum menjawab dengan nada santai. “ Ohh stesen minyak itu berhampiran dengan apartment saya jadi saya sering isi minyak atau beli barang keperluan harian di situ.
Hak Chol mengangguk perlahan, seolah-olah mempertimbangkan jawapan itu. “Ah, begitu rupanya. Bagus kalau begitu.”
Walaupun nada lelaki itu bersahaja, Aiman tidak terlepas isyarat tersirat di sebaliknya. Mereka tahu. Dan mereka sedang memerhatikannya.
_____
Pertemuan di Stesen Minyak
Petang itu, Aiman sekali lagi pergi stesen minyak tempat Seo yeon bekerja bersama dengan pemandu nya . Salji turun perlahan, melitupi jalan raya dengan lapisan putih nipis.
Seo Yeon sedang berdiri di luar kedai kecil, memeluk tubuhnya sendiri untuk menahan kesejukan.
Apabila dia melihat Aiman, ekspresinya tetap neutral tetapi matanya sedikit berubah. Seperti dia tidak pasti sama ada harus gembira atau risau.
Aiman melangkah keluar dari kereta, serta-merta disambut oleh udara dingin yang menggigit. Dia menghembus nafas perlahan dan wap putih segera terbentuk di udara sebelum hilang ditiup angin. Dia tersenyum ke arah Seo Yeon.
“Sejuk betul hari ini.”
Seo Yeon membalas senyuman. “Salji akan turun lebih lebat malam ini.”
Aiman menghulurkan beberapa keping wang kepadanya. “Isi penuh.”
Mata Seo Yeon tertumpu pada kamera kecil yang tergantung di leher Aiman. Dengan nada ingin tahu, dia bertanya perlahan, “Kamera itu untuk apa?”
Aiman angkat kamera yang tergantung di lehernya, jari-jarinya main di permukaan lensa. Dia senyum sikit macam tengah memikirkan sesuatu.
""Aku suka ambil gambar… sebab aku tak nak momen-momen bahagia dalam hidup aku hilang begitu saja. Aku takut suatu hari nanti ingatan aku tak lagi sejelas sekarang… tapi sekeping gambar ?.
Dia mengangkat kameranya sedikit sambil tersenyum kepada Seo Yeon
" ia boleh bawa aku kembali ke saat itu seolah-olah semuanya masih sama jadi kamera ini seperti mesin masa mini "
Seo Yeon tersenyum, tetapi matanya masih penuh tanda tanya.
"Apa maksud kau… ingatan kau tak sejelas sekarang? Dan mesin masa? Apa tu?"
Aiman tersentak sedikit, tidak menyangka Seo Yeon akan bertanya tentang itu. Dia hampir sahaja mahu menjelaskan tentang konsep mesin masa dalam budaya pop yang terdapat dalam filem barat tetapi dia segera sedar.
Di Korea Utara, perbincangan tentang dunia luar adalah satu perkara yang berbahaya. Menonton DVD filem luar lebih-lebih lagi K-drama dari Korea Selatan boleh membawa hukuman berat malah ada yang dihukum mati hanya kerana itu.
Aiman menelan kata-katanya dan tersenyum nipis memilih untuk tidak menjawab pertanyaan Seo Yeon tentang mesin masa
"Seo Yeon… kalau kita tak jumpa selama sepuluh tahun adakah kau masih akan ingat aku?"
Seo Yeon terdiam sejenak. Dia menarik nafas perlahan sebelum cuba mencari jawapan yang tepat untuk menjawab pertanyaan Aiman
Tetapi sebelum dia sempat berkata apa-apa, klik!
Aiman tiba-tiba menangkap gambar selfie bersama Seo Yeon. Seo Yeon tersentak kecil matanya membulat kerana terkejut.
“Ya!” Dia menoleh ke arah Aiman “Kau buat apa!!!”
Aiman hanya ketawa kecil sebelum menunjukkan skrin kamera kepada Seo Yeon.
“Sekarang, kalau kita tak jumpa selama sepuluh tahun pun… Aku akan tetap ingat kan kau.
Pipi Seo Yeon merona merah, entah kerana kesejukan atau rasa malu yang tiba-tiba menyelubunginya. Dia menggigit bibir sebelum bertanya dengan nada ingin tahu.
“Gambar apa yang kau ambil?”
Aiman tersenyum kecil lalu menatal skrin kameranya sebelum menunjukkan sekeping gambar dia berdiri di tepi Sungai Taedong.Salji turun perlahan di sekelilingnya.
“Aku selalu kirim gambar yang aku ambil di sini kepada keluarga aku di Malaysia.”
Seo Yeon memandang jauh ke jalan bersalji ekspresinya muka berubah sedikit. Seperti ada sesuatu yang bermain di fikirannya. Setelah beberapa saat, dia menoleh kembali ke arah Aiman.
“Negara Malaysia itu macam mana?”
Aiman bersandar pada kereta, cuba membayangkan cara terbaik untuk menggambarkannya dalam kata-kata yang cukup indah.
“Panas… kadang-kadang hujan. Ada banyak pantai, makanan yang buat kau rasa nak makan lagi dan lagi… dan orangnya ramah, murah dengan senyuman.”
Seo Yeon mengangguk perlahan mendengar setiap perkataan nya seperti melukis gambaran tentang Malaysia dalam kepalanya.
“Jadi, orang di tempat kau… semuanya bebas untuk buat apa saja dan hidup bahagia?”
Aiman terdiam. Soalan itu, walaupun kedengaran mudah, membawa makna yang lebih dalam. Dia menatap Seo Yeon, mencari sesuatu dalam matanya yang sukar dia jelaskan.
Tanpa sedar, dia menghela nafas perlahan sebelum berkata, “Aku harap… kau boleh pergi sendiri dan alami semua tu.”
Seo Yeon menoleh memandang Aiman dengan renungan yang sukar ditafsir.
Senyap seketika.
Kemudian Seo Yeon tersenyum tipis, tetapi senyuman itu terasa berat. Seperti ada sesuatu yang ingin dikatakan, tetapi dia memilih untuk menahan.
“Nama awak siapa? Hari itu saya lupa nak tanya.”
Aiman sedikit terkejut dengan pertanyaan itu, tetapi dia tersengih
“Aiman..”
Seo Yeon mengangguk perlahan.
“Aiman…” Dia menyebut nama itu perlahan, seolah-olah mahu mengingatinya.
Hening seketika. Seo Yeon tersentak dari lamunannya, menyedari dia terleka. Dengan sedikit gelabah, dia segera mengambil nozzle dan mula mengisi minyak kereta Aiman dengan pantas.
Aiman menarik nafas perlahan sambil memerhati gelagat Seo Yeon, senyuman tipis masih terukir di wajahnya. Dia tahu dia telah terlepas cakap.
Dan dia juga tahu, di negara seperti ini… setiap kata ada harganya.
Share this novel