BAB 23 : Malam Pertama di Yodok

Romance Series 1274

Angin gunung bertiup masuk melalui celah-celah dinding kayu yang reput membawa bersama kesejukan yang mencengkam tulang. Seo Yeon menggigil duduk rapat di sebelah ibunya di satu sudut barak. Lantai kayu di bawah mereka terasa keras dan lembap menambah kesengsaraan yang baru sahaja bermula.

Di sekeliling mereka kelibat wanita-wanita lain kelihatan samar dalam kegelapan. Sebahagian besar hanya berbaring kaku kerana terlalu lemah untuk bergerak yang lain pula duduk bersandar di dinding. Mata mereka kosong seolah-olah sudah pasrah serta hilang semangat untuk hidup.

Seo Yeon terdengar derapan langkah perlahan di belakangnya. Seorang perempuan lebih kurang sebaya dengannya menghampiri dia serta ibunya dengan wajah pucat dan tubuh yang tinggal rangka berbalut kulit. Bau hapak tubuhnya menusuk hidung memaksa Seo Yeon menahan rasa loya.

"Kau dari Pyongyang?" suaranya perlahan tetapi tegas.

Seo Yeon mengangguk.

Wanita itu mengeluh. "Mereka yang dari Pyongyang selalunya tak tahan lama di sini. Kau patut bersyukur kalau kau masih hidup selepas sebulan."

"Kenapa?" Seo Yeon bertanya meskipun dia sudah tahu jawapannya.

Wanita itu mengangkat bahunya. "Sebab mereka semua dah terbiasa hidup dengan serba mewah. Di sini semuanya berbeza. Kalau kau tak cepat belajar kau akan jadi salah seorang daripada mereka.

Dia menuding ke satu sudut barak. Seo Yeon mengikut arah jarinya lalu pandangannya jatuh pada seorang wanita yang kurus kering terbaring di lantai kayu. Tubuhnya menggigil halus.

"Dia baru seminggu di sini," kata perempuan itu, suaranya hambar, tanpa secalit simpati. "Dulu, dia isteri seorang pegawai kerajaan. Tapi suaminya mengkhianati Kim Jong Un dengan menggelapkan wang negara dan melarikan diri ke Kazakhstan. Sekarang, dia cuma menunggu ajal. Esok dia akan dibawa ke Kwanliso

Dia berhenti seketika, matanya tajam menikam pandangan Seo Yeon sebelum menyambung, suaranya dingin seperti udara beku di dalam barak.

"Jangan ingat kematian satu-satunya jalan keluar dari tempat ini."

Sun Hee mendekat sedikit, suaranya masih tenang tetapi mengandungi nada kejam yang tak berperasaan.

"Di sini, mati bukan bererti kau bebas. Mayat kau takkan diberi penghormatan terakhir seperti manusia. Kalau kau mati di kem ini, mayat kau akan dihumban ke sungai atau gunung, dikambus dalam lubang besar bersama mayat banduan lain, dibiarkan mereput dalam sel, atau dibakar. Dan kalau kau benar-benar malang..." Dia menoleh ke arah ibu Seo Yeon sebelum kembali menatap Seo Yeon. "Kau akan jadi makanan babi."

Seo Yeon merasakan tengkuknya meremang.

Sun Hee bersandar sedikit, tetapi pandangannya masih menusuk.

"Di sini, kau tak mati sebagai manusia. Kau mati seperti sampah."

Dia menarik nafas sebelum menambah, "Jadi kalau kau nak bertahan, lupakan hidup lama kau di Pyongyang. Itu semua tak bermakna lagi."

Sun Hee menghela nafas kecil sebelum akhirnya berkata, "Nama aku Sun Hee." Dia memandang Seo Yeon, matanya redup tetapi tajam. "Kalau kau nak hidup, kau kena belajar daripada kami yang dah lama bertahan dalam neraka ini."

Dia diam sejenak sebelum bertanya, "Kau dah makan?"

Seo Yeon menggeleng. "Belum."

Sun Hee menghulurkan sesuatu dari belakangnya semangkuk sup berwarna keruh. Wap nipis masih berkepul di udara, menandakan ia baru saja dipanaskan.

"Ambil. Kau perlukan tenaga."

Seo Yeon menjeling ke dalam mangkuk itu. Bau hanyir segera menusuk hidungnya. Ada ketulan kecil terapung di permukaannya. Sun Hee seakan dapat membaca fikirannya.

"Daging tikus," katanya tenang. "Di sini, kau makan apa saja yang ada. Atau kau mati."

Seo Yeon menelan liur, tekaknya terasa loya. Dia menolak perlahan. "Aku... tak boleh."

Sun Hee mendengus kecil sebelum mengangkat mangkuk itu dan menyuap sup itu tanpa sebarang reaksi jijik.

"Cepat atau lambat, kau akan belajar." Dia mengunyah dengan tenang sebelum menyambung, "Bila perut kau benar-benar kosong, kau takkan peduli lagi apa yang kau telan."

Malam semakin larut. Suara tangisan kecil kedengaran di beberapa sudut barak mungkin dari seseorang yang baru tiba dan belum mampu menerima hakikat kehidupan di Yodok.

Seo Yeon berbaring di atas lantai kayu yang keras dan sejuk dengan Tubuhnya kaku menahan keletihan dan ketakutan yang semakin mencengkam. Dia cuba memejamkan mata, tetapi kegelapan di sekelilingnya tidak memberi sebarang ketenangan hanya kesunyian yang menyesakkan dada.

Air matanya jatuh tanpa suara Nafasnya bergetar dan dalam hati yang penuh harapan yang hampir pudar dia berbisik dalam diam.

Aiman… tolong selamatkan aku dari tempat ini.

Di sebelahnya, ibunya masih terjaga. Seo Yeon memegang tangan wanita itu, merasakan kehangatan yang sedikit menenangkan.

"Eomma, kita akan keluar dari sini."

Nyonya Kim mengusap rambut anaknya perlahan. "Kita hanya boleh berharap, sayang."

Seo Yeon memejamkan matanya, cuba mengusir ketakutan yang menghantui fikirannya.

Tapi jauh di sudut hati, dia tahu harapan mungkin satu-satunya perkara yang mereka ada sekarang.

Dan itu mungkin tidak cukup untuk bertahan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience