BAB 4 : Pertemuan di stesen Minyak

Romance Series 1274

Beberapa minggu telah berlalu sejak Aiman Mukhriz tiba di Pyongyang sebagai Setiausaha Kedua Kedutaan Malaysia. Rutin hariannya kini sudah sebati berulang-alik dari kedutaan ke kediaman, menghadiri majlis diplomatik yang penuh dengan perbualan berkias tentang Korea Utara dan berjalan di laluan-laluan rasmi yang telah ditetapkan untuk diplomat asing. Setiap langkahnya diperhatikan, setiap interaksi direkodkan.

Kadang-kadang, dia terasa seperti tinggal dalam sebuah gelembung kaca. Dia melihat dunia luar tetapi tidak benar-benar menjadi sebahagian daripadanya.

Namun petang itu, sesuatu yang di luar jangkaan berlaku.

Dalam perjalanan pulang dari satu mesyuarat dengan pegawai Ministry of Foreign Affairs (MOFA), kereta rasmi kedutaan kehabisan minyak. Itu bukan sesuatu yang biasa terjadi. Farid, pegawai kedutaan yang duduk di sebelahnya, mengerutkan dahi.

“Pelik…” gumamnya. “Park Jin Ho biasanya sangat teliti soal ini.”

Aiman tidak menjawab. Hanya melihat ke luar tingkap saat pemandu mereka, Park Jin Ho, memberhentikan kereta di sebuah stesen minyak kecil di pinggir kota Pyongyang.

Sesuatu tentang tempat ini terasa berbeza.

Stesen itu kelihatan sederhana dan sunyi hanya sebuah bangunan kecil dengan bendera Korea Utara berkibar di depan. Satu pam minyak yang sudah lama, dan seorang gadis berseragam biru pudar yang berdiri di tepinya.

Aiman turun dari kereta, membiarkan udara sejuk Pyongyang menyentuh wajahnya. Ada bau minyak yang kuat di udara.

Dia melangkah ke arah gadis itu dan menghulurkan beberapa wang won Korea Utara.

“Isi penuh, tolong.”

Gadis itu mengambil wang itu tanpa ekspresi.

“Baik.”

Suara itu.

Pendek, tetapi ada sesuatu dalam nada suaranya yang membuatkan Aiman terhenti.

Matanya kini benar-benar memerhati gadis itu. Kulitnya cerah, matanya tajam tetapi ada kesayuan di dalamnya. Bibirnya mungil, tetapi seolah-olah terbiasa untuk tidak tersenyum.

Dia kelihatan seperti seseorang yang sudah lama hidup dalam bayang-bayang.

Dan pada saat itu, Aiman sedar sesuatu.

Di negara ini, dia sudah terbiasa melihat wajah-wajah yang kosong dan kaku. Wajah yang dipenuhi kepatuhan mutlak. Tetapi gadis ini… ada sesuatu yang berbeza. Seperti masih ada sedikit cahaya yang tersisa dalam dirinya.

Tanpa sedar, Aiman bersuara, “Apa nama awak?”

Gadis itu menghentikan pergerakannya seketika. Matanya beralih dari pam minyak ke arah Aiman. Sekilas, dia kelihatan seperti sedang menimbang sama ada mahu menjawab atau tidak.

Kemudian, tanpa berkata apa-apa, dia hanya mengangkat tangan dan menunjuk ke name tag di dadanya.

서연

Seo Yeon.

Aiman membaca nama itu dalam hati.

Seo Yeon.

Nama itu terasa seperti sebuah rahsia yang baru sahaja terbuka.

Dia cuba menyembunyikan senyumnya, tetapi entah kenapa, dadanya terasa hangat.

“Terima kasih,” kata Seo Yeon selepas selesai mengisi minyak, suaranya sopan tetapi hambar.

Aiman mengambil baki wang dari tangannya. Untuk seketika, jarinya bersentuhan dengan jari gadis itu. Hanya sekejap, tetapi cukup untuk membuatkan hatinya berdegup sedikit lebih laju daripada biasa.

“Sejuk hari ini, kan?”

Seo Yeon mengangkat sedikit wajahnya seperti tidak pasti sama ada orang asing ini benar-benar ingin berbual dengannya.

“Setiap hari pun sejuk di sini.”

Aiman ketawa kecil. “Betul juga.”

Dia melihat bagaimana Seo Yeon mencuri pandang ke arah pemandu yang masih berada di dalam kereta. Mungkin dia risau diperhatikan.

Aiman menarik nafas, menyedari batasan situasi ini.

“Maaf kalau saya ganggu. Saya cuma jarang dapat berbual dengan orang di sini.”

Seo Yeon tidak segera menjawab. Dia hanya memandang ke arah jalan raya yang hampir kosong, kemudian kembali ke arah Aiman.

“Awak bukan dari sini.”

"Ya, saya orang Malaysia."

Seo Yeon mengangguk sedikit, lalu tunduk kembali ke arah pam minyak.

Aiman menunggu seketika, tetapi tiada lagi kata-kata dari Seo Yeon.

Dia mengangguk memahami. “Baiklah. Jumpa lagi.”

Sebaik sahaja dia melangkah kembali ke kereta, dia sempat melihat Seo Yeon menjeling ke arahnya sekali lagi sebelum meneruskan tugasnya.

Di dalam kereta, Farid yang duduk di sebelahnya bersuara perlahan.

“Jangan terlalu friendly dengan rakyat tempatan, Aiman.”

Aiman tidak menjawab.

Tetapi di dalam hatinya, dia tahu.

Ini bukan kali terakhir dia akan bertemu Seo Yeon.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience