BAB 8 : Mata yang memerhati

Romance Series 1274

Selepas seharian di pejabat kedutaan, Aiman akhirnya melangkah keluar dari bangunan itu. Langit sudah kelam, dan salji masih turun perlahan, menyelimuti jalan raya dengan lapisan putih. Di tepi jalan, sebuah kereta hitam dengan nombor plat diplomatik menunggu. Enjinnya masih hidup, dan wap ekzos berkepul di udara sejuk.

Pak Jin Ho, pemandunya, duduk di tempat pemandu, tangan bersarung kulit menggenggam stereng. Wajahnya biasa sahaja, tapi ada sesuatu dalam ekspresinya yang membuatkan Aiman berasa tidak selesa.

Aiman masuk ke dalam kereta dan menutup pintu rapat. Suasana di dalam lebih hangat, tetapi kebisuan Pak Jin Ho terasa luar biasa.

“Kau nampak serius,” kata Aiman, cuba membaca wajah lelaki itu.

Pak Jin Ho tidak segera menjawab. Dia menghidupkan lampu kecil di dashboard, kemudian menoleh sedikit ke arah Aiman.

“Tadi masa aku tunggu kau, aku ada sembang dengan seorang kawan.”

Aiman mengangkat kening. “Kawan? Siapa?”

Pak Jin Ho mengangguk perlahan. “Seorang pegawai yang aku kenal. Dia bukan jenis banyak cakap, tapi tadi dia tanya sesuatu yang buat aku terfikir.”

Aiman bersandar, cuba mengekalkan riak wajahnya setenang mungkin. “Apa dia tanya?”

Pak Jin Ho memandangnya sejenak sebelum menjawab, “Dia tanya… kau selalu pergi ke stesen minyak Kwangbok, kan?”

Jantung Aiman berdegup sedikit lebih laju, tapi dia memastikan ekspresinya tetap neutral. “Mungkin terserempak masa kita berdua pergi isi minyak kat situ.”

“Mungkin.” Nada suara Pak Jin Ho perlahan. “Tapi dia juga tanya… siapa yang selalu kau jumpa di sana?”

Aiman mengeratkan genggaman tangannya di atas paha. “Dan kau jawab apa?”

Pak Jin Ho mengangkat bahu. “Aku cakap aku cuma pemandu. Aku tak tahu semua hal kau.”

Aiman mengangguk perlahan. Itu jawapan yang baik. Tidak memberi maklumat tetapi juga tidak mencetuskan syak wasangka.

Mereka berdua diam sejenak. Kereta bergerak perlahan menyusuri jalan raya yang suram, hanya ditemani lampu-lampu jalan yang malap.

Selepas beberapa saat, Pak Jin Ho bersuara lagi, nada suaranya lebih perlahan kali ini. “Kau diplomat, Aiman. Kau ada kelebihan yang orang sini tak ada. Kalau ada masalah, kau boleh keluar dari negara ini… tapi perempuan itu?” Dia menggeleng. “Dia akan terperangkap di sini buat selama-lamanya.”

Aiman menoleh, cuba menafsir maksud di sebalik kata-kata itu. “Kenapa tiba-tiba kau cakap macam tu?”

Pak Jin Ho ketawa kecil, tapi nadanya kosong. “Sebelum aku keluar dari tandas semalam, aku sempat tengok apa yang kau cuba buat dengan perempuan itu.” Dia memandang Aiman dengan renungan tajam. “Sebab itu aku selak pintu tandas dengan kuat… supaya kau batalkan niat kau.”

Aiman tidak menjawab. Dia hanya membuang pandang ke luar tingkap.

---

Malam itu selepas sampai ke kediaman nya di Munsu-dong, Aiman masih belum dapat melelapkan mata. Kata-kata Pak Jin Ho masih terngiang di kepalanya.

Dia duduk di meja kecil di ruang tamu menatap laporan-laporan dari pejabat kedutaan. Dokumen tentang situasi ekonomi Korea Utara, perkembangan hubungan diplomatik, dan permohonan visa rakyat Malaysia di sini berselerak di hadapannya. Tapi fikirannya sudah melayang ke tempat lain ke stesen minyak Kwangbok, ke Seo Yeon, dan ke pegawai yang mula bertanya tentangnya.

Ketukan di pintu mengejutkannya.

Dia bangkit, berjalan ke pintu dan mengintai melalui lubang kecil. Wajah Farid terpampang di luar.

Aiman membuka pintu. “Masuk.”

Farid melangkah masuk masih memakai kot tebalnya. Dia menoleh ke belakang sebelum menutup pintu dengan berhati-hati.

“Kau macam dah agak aku nak datang,” katanya perlahan.

Aiman tidak menjawab, hanya mempersilakannya duduk.

Farid menghela nafas sambil duduk di sofa kecil di sudut bilik. Dia menanggalkan sarung tangannya, memandang Aiman dengan wajah serius.

“Aku dapat berita,” katanya tanpa berbasa-basi.

Aiman menarik kerusi dan duduk bertentangan dengannya. “Aku dah tahu. Pak Jin Ho dah cakap dengan aku.”

Farid mengangkat kening. “Dia pun tahu?”

Aiman mengangguk. “Ada pegawai mula bertanya pasal aku. Dia tanya Pak Jin Ho tentang aku serta apa yang aku buat kat stesen minyak Kwangbok.”

Farid bersandar, kelihatan tidak terkejut tetapi jelas tidak senang. “Mereka bukan sekadar tanya Aiman.” Dia merendahkan suaranya. “Aku dapat tahu dari sumber lain ada sekurang-kurangnya dua pegawai dah mula buat laporan tentang kau. Setakat ni, mereka hanya perhati.”

Aiman menghela nafas perlahan. “Tapi itu boleh berubah bila-bila masa.”

Farid mengangguk perlahan. “Betul. Kalau kau memang ada… sesuatu dengan perempuan tu lebih baik kau lupakan je lah . Kau masih ada tiga tahun lagi kat sini, Aiman. Banyak lagi perempuan lain dalam dunia ni tak perlu kau gadaikan nyawa semata-mata untuk dia. Aku dah pesan dulu, jangan cuba jadi hero. Tempat ni tak ada ruang untuk orang yang nak bertindak ikut hati.

Aiman diam. Dia tahu apa maksud Farid. Di Korea Utara, seorang rakyat biasa yang berhubungan dengan orang asing boleh dituduh sebagai pengkhianat negara. Jika mereka tahu tentang Seo Yeon, akibatnya mungkin lebih buruk daripada sekadar diperhati.

Farid menyandarkan tubuh merenung Aiman dengan wajah yang sukar dibaca. Dia kemudian menghela nafas perlahan sebelum berkata, “Aku tahu benda ni bukan mudah, Aiman. Tapi kau kena buat keputusan sebelum keadaan jadi lebih buruk. Jangan biar emosi kaburkan pertimbangan kau. Kat tempat macam ni, silap langkah sikit je… habis.”

Aiman menatapnya lama sebelum berkata perlahan, “Aku faham, Farid.”

Farid menghela nafas dan bangkit dari sofa. “Bagus kalau macam. itu.”

Aiman tidak berkata apa-apa, hanya memerhati rakannya berjalan ke pintu.

Sebelum melangkah keluar, Farid menoleh dan berkata, “Hati-hati, bro .”

Pintu tertutup perlahan.

Aiman mengusap wajahnya, merasakan tekanan yang makin berat di bahunya.

Dia menoleh ke luar tingkap. Pyongyang masih sunyi seperti biasa. Tetapi dia tahu, di sebalik kegelapan itu, ada mata yang sedang memerhati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience