LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA KUALA LUMPUR (KLIA)
1 JANUARI 2017 | 10:45 MALAM
Ruang legar KLIA dipenuhi bunyi pengumuman penerbangan dan derapan kasut penumpang yang berlalu-lalang tetapi bagi Aiman suasana ini terasa jauh dan sunyi.
Di tangannya, pasport diplomatik berwarna merah gelap tergenggam erat. Nama penuh dan cap rasmi Kementerian Luar Negeri Malaysia tertera di atasnya tanda rasmi bahawa dia kini sebahagian daripada kor diplomatik yang dihantar ke luar negara.
Namun, destinasinya bukan kota yang sibuk seperti London atau Tokyo. Pyongyang.
Di sebelahnya, ibunya, Puan Latifah, berdiri dengan wajah yang sukar ditafsirkan antara bangga dan risau. Encik Mukhriz, ayahnya, kelihatan lebih tenang, tetapi ada sesuatu dalam renungannya yang menunjukkan kebimbangan yang tidak diungkapkan.
Di hadapan mereka, Mejar (B) Dato’ Shahril, pegawai kanan dari Wisma Putra yang menguruskan pemindahannya, sedang bercakap dengan pegawai imigresen. Aiman tahu, ini adalah prosedur standard untuk diplomat yang dihantar ke negara-negara berisiko tinggi.
“Bila sampai Beijing nanti, pegawai kedutaan kita akan tunggu di sana,” kata Dato’ Shahril setelah selesai berbincang dengan pegawai imigresen. “Kita dah aturkan transit dengan selamat sebelum kau naik Air Koryo ke Pyongyang.”
Aiman mengangguk. Dia sudah tahu semua ini dari taklimat keselamatan yang dihadiri seminggu lalu. Sebaik saja kakinya menjejak bumi Korea Utara, dia akan berada di bawah pemerhatian ketat.
“Aiman,” suara ayahnya akhirnya kedengaran. Serius, tenang, tetapi tegas. “Ingat satu benda. Dekat tempat orang, kau tak boleh percaya sesiapa. Kawan pun boleh jadi musuh.
Puan Latifah menunduk, memegang erat lengan anak lelakinya. “Mak tak suka tempat tu, Aiman... Tapi kau anak lelaki kami. Kalau ini jalan kau, kami doakan yang terbaik.”
Aiman menelan liur. Dia tidak mahu menunjukkan rasa berat hati, tetapi hakikatnya dia juga tidak tahu apa yang menantinya di Pyongyang.
Dato’ Shahril mencelah, cuba mencairkan suasana. “Budak aiman ini degil sangat Puan Latifah tapi jangan risau kalau dia boleh survive latihan Wisma Putra dia akan survive kat Pyongyang sana .”
Aiman tersenyum kecil, tetapi tidak lama. Sebuah pengumuman bergema, memanggil penumpang penerbangan Malaysia Airlines ke Beijing transit pertamanya sebelum ke Korea Utara.
Dia menarik nafas dalam.
Tiada lagi ruang untuk berpatah balik.
Dengan tangan yang sedikit berat, dia tunduk mencium tangan ibunya. “Mak, doakan saya.”
Ibunya mengangguk, tetapi genggaman tangannya semakin erat. “Kalau boleh telefon, telefon ya?” suaranya bergetar sedikit.
“InsyahAllah mak ,” balas Aiman perlahan.
Dia kemudian bersalaman dengan ayahnya. Encik Mukhriz hanya menepuk bahunya, tetapi Aiman dapat merasakan beratnya pesanan yang tidak diucapkan.
Hafiz menepuk belakangnya. “Jaga diri, bro. Kalau ada apa-apa guna saluran rasmi jangan bertindak sendiri dan lagi satu hantar lah poskad. kau tulis lah pengalaman kau duduk kat negara petapa itu. Hehehe.
Aiman mengangguk.
Dia mengambil bagasi kabinnya dan mula melangkah menuju ke pintu pelepasan. Namun, sebelum benar-benar masuk, dia menoleh sekali lagi.
Ibunya masih di situ, menahan air mata. Ayahnya tetap tegak, tetapi matanya penuh dengan sesuatu yang Aiman tidak pasti.
Dan saat dia melangkah ke dalam kawasan pelepasan, satu hakikat menyelinap dalam fikirannya
Setelah menaiki pesawat ini, tidak ada jaminan dia akan kembali dengan cara yang sama.
______
DI UDARA, PENERBANGAN MALAYSIA AIRLINES
2 JAN 2017 | 1:30 PAGI
Enjin Boeing 737 berdengung perlahan di tengah malam. Cahaya dari lampu kabin suram, kebanyakan penumpang sudah terlelap tetapi Aiman masih terjaga.
Dia duduk di kerusi tepi tingkap memandang keluar ke dalam kegelapan. Di bawah sana, Laut China Selatan terbentang luas sunyi dan tidak berpenghujung.
Dalam genggamannya, ada fail bertulis "SULIT" yang diberikan oleh Wisma Putra sebelum dia berangkat. Di dalamnya, terdapat butiran lanjut tentang tugas rasminya di Pyongyang.
Namun, Aiman tidak membuka fail itu. Dia sudah hafal segala maklumat dalamnya.
Malaysia masih mengekalkan hubungan diplomatik dengan Korea Utara tetapi hubungan itu tegang selepas beberapa insiden sebelum ini.
Kedutaan Malaysia di Pyongyang beroperasi dengan sekatan yang ketat pegawai diplomatik tidak bebas bergerak sesuka hati.
Setiap pergerakan akan dipantau.
Dia menarik nafas perlahan.
Apa sebenarnya yang menantinya di sana?
Seorang pramugari menghampirinya, tersenyum sopan. “Encik Aiman, minuman?”
Dia tersentak sedikit, tetapi kemudian menggeleng. “Air kosong saja, terima kasih.”
Pramugari itu menuangkan segelas air ke dalam cawan kecil dan menyerahkannya. Aiman mengangguk sebagai tanda terima kasih sebelum kembali menyandar.
Pyongyang.
Dia sudah mengembara ke banyak negara, tetapi ini berbeza.
Kali ini, dia bukan sekadar pelawat, tetapi seorang wakil negara di tanah yang paling tertutup di dunia.
Ketika pesawat menghampiri ruang udara Beijing, pengumuman kapten bergema.
“Para penumpang yang dihormati, kita akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Capital dalam masa 20 minit. Cuaca di Beijing sekarang adalah 2 darjah Celsius.”
Aiman memejamkan mata sebentar.
Transit pertama selesai.
LAPANGAN TERBANG BEIJING CAPITAL, CHINA
3 JAN 2017 | 5:45 PAGI
Beijing masih diselimuti kegelapan musim sejuk ketika Aiman melangkah keluar dari pesawat. Udara dingin menggigit kulitnya, jauh berbeza daripada kelembapan tropika di Malaysia.
Di balai ketibaan, seorang lelaki berpakaian kemas sudah menunggunya ,Zainuddin, pegawai Kedutaan Malaysia di Beijing.
“Aiman?”
“Ya,” Aiman menghulurkan tangan.
Zainuddin bersalaman dengannya. “Selamat datang ke Beijing. Kau ada masa beberapa jam sebelum penerbangan ke Pyongyang. Jom ke lounge dulu, kita bincang sikit.”
Aiman hanya mengangguk. Dia tidak banyak bercakap, masih menyesuaikan diri dengan perubahan drastik ini.
Mereka berjalan menuju ke lounge eksklusif untuk diplomat.
Dalam masa beberapa jam, dia akan menaiki penerbangan terakhirnya Air Koryo, satu-satunya syarikat penerbangan Korea Utara yang masih beroperasi.
LAPANGAN TERBANG BEIJING CAPITAL, CHINA
1 FEBRUARI 2016 | 6:15 PAGI
Lounge diplomatik di Beijing Capital International Airport sunyi, jauh dari hiruk-pikuk terminal utama. Hanya beberapa individu berpakaian sut berada di dalam masing-masing tenggelam dalam kerja atau perbualan perlahan.
Aiman duduk berhadapan dengan Zainuddin yang sedang menuangkan teh panas ke dalam dua cawan kecil.
“Aku takkan berlapik, Aiman.” Nada suara Zainuddin serius. “Selepas kau naik Air Koryo nanti, kau bukan lagi di dunia yang kau kenal. Kau dah bersedia?”
Aiman mencapai cawan teh dan menghirup sedikit. Kehangatannya mengurangkan sedikit kesejukan yang menyelubungi tubuhnya.
“ Insyaallah aku dah bersedia”
Zainuddin tersenyum kecil, tetapi matanya tetap tajam. “Bagus. Itu tanda kau faham situasi yang kau bakal hadapi.”
Dia meletakkan fail nipis berwarna kelabu di atas meja. “Ini sedikit ringkasan tambahan. Kau mungkin dah tahu, tapi biar aku ulang sekali lagi.”
Aiman membuka fail itu.
Kedutaan Malaysia di Pyongyang dikawal ketat.
Pegawai diplomatik hanya boleh bergerak dalam radius tertentu.
Setiap perbualan di luar kedutaan mungkin dipantau.
Diplomat asing sentiasa diperhatikan.
Pegawai keselamatan Korea Utara
Gukga Anjeon Bowibu akan mengawasi setiap langkahnya.
Interaksi dengan rakyat tempatan hampir mustahil.
Mereka dilarang berkomunikasi secara bebas dengan warga asing.
Aiman menghela nafas perlahan. “Jadi... aku cuma buat kerja dan duduk diam dalam kedutaan?”
Zainuddin menyandarkan badan. “Secara teorinya, ya. Tapi dunia diplomatik tak pernah semudah itu.”
Dia menjeling jam tangannya. “Lagi dua jam sebelum kau naik Air Koryo. Ada apa-apa yang kau nak tahu sebelum berlepas?”
Aiman termenung sebentar. Banyak soalan bermain di kepalanya, tetapi akhirnya dia hanya bertanya satu perkara:
“Apa benda paling penting yang aku kena ingat bila aku dah jejak kaki di sana?”
Zainuddin mengetuk jarinya di atas meja, berfikir. Akhirnya, dia menjawab perlahan tertapi tegas.
" jangan cuba2 nak mengorat awek kat sana. "
“ Alaaaa ”
Zainuddin mengangkat bahu. “ banyak diplomat yang dihantar pulang kat negara asal sebab terpaut dengan perempuan kat sana lebih-lebih lagi diplomat bujang macam kau ini ”
Aiman tidak bertanya lagi. Dia hanya menutup fail itu dan menghabiskan teh di cawannya.
Dalam masa beberapa jam, dia akan menaiki penerbangan ke destinasi yang paling penuh misteri di dunia.
____
PENERBANGAN AIR KORYO KE PYONGYANG
4 JAN 2017 | 9:30 PAGI
Ilyushin Il-62M milik Air Koryo tidak seperti pesawat moden yang biasa Aiman naiki. Interior kabinnya kelihatan seperti terperangkap dalam era Soviet.
Duduk di tempatnya, dia memerhatikan penumpang lain. Kebanyakannya adalah pegawai kerajaan Korea Utara, beberapa rakyat China, dan segelintir diplomat asing.
Pramugari berpakaian kemas menghampirinya. “Minuman?”
Aiman menoleh. “Air kosong, tolong.”
Pramugari itu tersenyum kecil sebelum berlalu pergi.
Dia menghela nafas perlahan. Dari Beijing ke Pyongyang, hanya dua jam penerbangan. Tetapi dalam masa dua jam itu, dunianya akan berubah sepenuhnya.
Aiman memandang ke luar tingkap. Di kejauhan, awan putih berarak perlahan menyembunyikan tanah yang akan menjadi tempat tinggalnya entah untuk berapa lama.
Selamat tinggal dunia yang aku kenal.
Share this novel