7:15 pagi – Kedutaan Malaysia, Pyongyang
19 Februari 2017
Aiman berdiri di balkoni kedutaan, menghisap rokok 7.27 sambil memerhati jalan raya yang masih lengang. Salji nipis menutupi permukaan jalan tetapi fikirannya lebih tertumpu kepada berita yang menggoncang hubungan Malaysia-Korea Utara.
Di bawah beberapa pegawai Korea utara berpakaian gelap berjalan melintasi bangunan kedutaan. Mereka bukan sekadar pejalan kaki biasa. Pergerakan mereka terlalu teratur.
Aiman tahu kedutaan sedang diperhatikan.
Pintu utama kedutaan terbuka, dan Farid muncul dengan ekspresi serius.
"Datuk nak jumpa kita sekarang."
Aiman membuang puntung rokok sebelum masuk ke dalam.
---
7:30 pagi – Bilik Mesyuarat Kedutaan
Duta Besar Datuk Mohamad Nizan duduk di hujung meja, sepucuk nota diplomatik Korea Utara terbuka di hadapannya.
Aiman dan Farid mengambil tempat, memerhati wajah duta yang serius.
"Kementerian Luar Korea Utara menuntut akses penuh ke dalam siasatan Kim Jong Nam," kata Datuk Nizan perlahan. "Mereka mahu hantar pasukan mereka ke Malaysia untuk ‘bekerjasama’ dengan PDRM."
Aiman dan Farid saling berpandangan.
"Wisma Putra dah bagi jawapan?" tanya Farid.
"Belum. Mereka sedang tunggu laporan lengkap dari Bukit Aman sebelum buat keputusan."
Aiman meneliti surat itu. Bahasanya keras, tapi masih dalam nada diplomatik.
“…Malaysia seharusnya tidak membenarkan anasir luar mencemarkan hubungan persahabatan antara kedua-dua negara. Kami percaya kerajaan Malaysia akan bersikap adil dan membenarkan pegawai kami terlibat dalam siasatan bagi menegakkan kebenaran.”
Aiman mengetap bibir. "Mereka cuba gunakan diplomasi untuk tekan kita."
Datuk Nizan mengangguk. "Ya. Tapi selagi Wisma Putra belum buat keputusan, kita hanya boleh tunggu . Dalam masa yang sama, kita kena bersedia untuk sebarang kemungkinan."
---
8:45 pagi – Pejabat Kedutaan
Aiman duduk di mejanya, meneliti senarai rakyat Malaysia yang masih berada di Pyongyang.
Mereka semua kini berpotensi menjadi sasaran jika hubungan semakin buruk.
Telefon Aiman berdering. Sofiya.
"Aiman, aku baru dapat mesej daripada kawan aku yang kerja dengan syarikat China kat sini. Dia cakap ada ura-ura kerajaan Korea Utara akan buat sesuatu terhadap rakyat Malaysia."
Aiman mengerutkan dahi. "Maksud kau?"
"Aku tak pasti. Tapi mereka macam tengah kumpul maklumat pasal kita. Kalau Malaysia tak tunduk dengan permintaan mereka maka merka mungkin akan ‘guna’ kita sebagai leverage."
Darah Aiman berderau.
"Jangan panik. Kau stay dalam kampus, jangan keluar kalau tak perlu. Kalau rasa ada yang pelik, terus call aku."
Sofiya terdiam seketika. "Kalau benda ni jadi buruk… kau rasa kita boleh keluar dari sini?"
Aiman tak terus jawab. Dia memandang ke luar tingkap ke arah beberapa lelaki yang berdiri di seberang jalan yang sedang memerhati kedutaan.
"Aku akan pastikan kita semua selamat, Sofiya. Apa pun yang jadi."
---
10:00 pagi – Luar Kedutaan Malaysia
Beberapa lelaki berpakaian kot gelap masih berdiri di luar. Mata mereka tertumpu ke bangunan kedutaan. Aiman menonton dari tingkap pejabatnya.
Farid masuk ke bilik, menarik langsir sedikit. "Kau perasan mereka juga?"
Aiman mengangguk. "Kita sedang diperhatikan."
Farid menghela nafas panjang. "Sial lah weh sampai bila mereka nak terpacak kat luar kedutaan ini ?"
Aiman mengetap rahang. "Sampai Malaysia buat keputusan.
Share this novel