Bab 5 :Rasa Ingin Tahu yang Boleh Membunuh

Romance Series 1274

Salji semakin menebal di jalan raya Pyongyang. Udara semakin sejuk, tetapi di dalam hatinya, Aiman mula merasakan sesuatu yang jarang berlaku dalam kota ini rasa ingin tahu yang tulus terhadap seseorang.

Seo Yeon.

Nama itu masih berlegar di fikirannya walaupun dia sudah kembali ke Munsu-dong, kawasan khas tempat tinggal diplomat. Di dalam biliknya yang sederhana dinding putih, perabot standard, tingkap yang menghadap Sungai Taedong. Aiman termenung.

Dia tidak tahu kenapa, tetapi ada sesuatu tentang gadis itu yang berbeza.Namun, dia juga sedar, perasaan ini bukan sekadar perasaan biasa.Di Korea Utara, setiap interaksi dengan rakyat tempatan diperhatikan. Setiap pergerakan boleh disalah tafsir. Dan bagi orang seperti Seo Yeon, bercakap terlalu lama dengan seorang diplomat asing bukan sekadar mencetuskan syak wasangka ia boleh menjadi hukuman mati.

Mungkin dia hanya harus lupakan saja. Tetapi hatinya berkata sebaliknya.

Hari sibuk di kedutaan

Keesokan harinya, Aiman kembali sibuk dengan tugasnya di kedutaan. Dia menghabiskan masa di pejabat, membaca laporan dari Putrajaya menghadiri mesyuarat dengan pegawai Korea Utara, dan menulis laporan harian untuk dihantar ke Wisma Putra.

Tugasnya kelihatan mudah menjaga hubungan diplomatik, memastikan komunikasi antara Malaysia dan Korea Utara berjalan lancar, serta melaporkan apa sahaja perkembangan penting.

Namun, bekerja di negara seperti Korea Utara bukan sekadar menulis laporan.

Setiap mesyuarat terasa seperti permainan psikologi. Kata-kata perlu dijaga. Reaksi perlu dikawal. Dan setiap kali dia bercakap dengan pegawai Korea Utara dia tahu bahawa dia sedang diperhatikan.

Hari ini, Aiman ditugaskan untuk menghadiri satu pertemuan penting di Kementerian Luar Negeri Korea Utara sebagai pencatat nota rasmi bagi pihak Duta Besar Malaysia, Datuk Mohamad Nizan Mohamad. Lawan bicara mereka bukan calang-calang orang iaitu Menteri Luar Negeri Korea Utara, Ri Yong-ho sendiri akan hadir.

Di dalam bilik mesyuarat yang sederhana hanya potret besar pemimpin agung Kim Jong-un tergantung di dinding. Tiga lelaki duduk di sofa hitam

Datuk Mohamad Nizan, Duta Besar Malaysia di Pyongyang duduk di tengah. Di sebelahnya, Aiman Mukhriz, Setiausaha Kedua Kedutaan Malaysia membuka buku notanya dengan tenang. Di hadapan mereka Ri Yong Ho, Menteri Luar Negeri Korea Utara duduk dengan wajah tenang tetapi matanya tajam.

Di depan mereka tiga cawan teh hijau panas yang tidak terusik.

Permainan Diplomasi Bermula

Ri Yong Ho menyandarkan tubuhnya sedikit menatap Nizan dengan ekspresi berkecuali.

"Malaysia adalah sahabat lama Republik Demokratik Rakyat Korea," katanya, suaranya perlahan tetapi berwibawa. "Kami menghargai hubungan yang telah lama terjalin ini. Namun, dalam dunia yang semakin kompleks ini. kita perlu sentiasa memahami antara satu sama lain."

"Aiman kekal diam jarinya perlahan-lahan memutar pen di tangannya. Dia tahu bahawa dalam diplomasi Korea Utara mesej tersirat lebih penting daripada kata-kata yang diucapkan secara langsung."

Datuk Nizan tersenyum tipis. "Hubungan kita sememangnya unik. Malaysia sentiasa percaya kepada pendekatan diplomasi terbuka dan saling menghormati kedaulatan negara masing-masing."

Ri Yong Ho mengangguk perlahan, seolah-olah berpuas hati dengan jawapan itu. Tetapi kemudian, nadanya berubah sedikit lebih tajam.

"Begitu juga di sini. Kami amat menghormati sahabat-sahabat kami di Kedutaan Malaysia. Namun, seperti yang anda sedia maklum dunia ini penuh dengan pemerhati yang sentiasa ingin tahu… dan ada perkara tertentu yang jika tidak dikendalikan dengan cermat boleh menimbulkan salah faham yang tidak diingini."

Aiman menahan nafas. Itu bukan ancaman terus, tetapi satu peringatan halus.

Datuk Nizan tidak menunjukkan sebarang perubahan ekspresi. "Malaysia sentiasa memastikan semua diplomat kami mematuhi norma dan peraturan negara tuan rumah."

Ri Yong Ho mengangguk lagi, tetapi kali ini dengan senyum samar. "Itulah yang kami harapkan. Diplomasi adalah mengenai kepercayaan. Dan kepercayaan adalah sesuatu yang rapuh jika tidak dipelihara dengan baik."

Aiman mencatat nota, tetapi dalam fikirannya dia memahami maksud tersiratnya.

Ini adalah peringatan halus supaya diplomat asing tidak terlalu akrab dengan rakyat tempatan.

Tapi… bagaimana mereka tahu?

Atau ini sekadar ujian psikologi?

Satu permainan minda untuk mencetuskan paranoia bagi melihat reaksi mereka berdua?

ataupun adakah itu peringatan buat dia ?

Permainan Berakhir Tetapi Paranoia Bermula

Mesyuarat berakhir selepas perbincangan mengenai program pertukaran budaya dan isu-isu perdagangan kecil antara Malaysia dan Korea Utara. Datuk Nizan berjabat tangan dengan Ri Yong Ho, senyuman profesional terukir di wajahnya.

Namun, ketika mereka meninggalkan bangunan itu, Aiman dapat merasakan sesuatu yang berbeza.

Saat dia memasuki kereta kedutaan, dia membuka butang pertama kotnya, menghela nafas perlahan.

"Mereka tahu sesuatu, Datuk?" akhirnya dia bertanya.

Datuk Nizan menutup failnya dengan tenang. "Mereka selalu tahu lebih daripada yang kita sangka. Tapi jangan sesekali tunjuk yang kita goyah."

Aiman mengangguk, tetapi fikirannya masih belum tenang.

Di Pyongyang rasa ingin tahu boleh membawa bahaya.

Dan kini, dia mula bertanya kepada dirinya sendiri adakah dia sudah melangkah terlalu jauh?

---

Malam di Pyongyang

Malam itu, selepas solat Isyak, Aiman keluar dari biliknya dan berjalan ke ruang tamu kedutaan.

Farid sedang duduk di sofa, membaca laporan. Dia mengangkat wajahnya ketika melihat Aiman.

“Kau nak keluar ke mana malam-malam macam ni?”

Aiman tersenyum kecil. “Saja nak jalan-jalan. Rasa bosan duduk dalam bilik.”

Farid mengangkat kening. “Kau nak ke stesen minyak tu lagi?”

Aiman tersentak. “Mana kau tahu?”

“Farid tersenyum sinis. “Kau ingat aku tak perasan ? Dari cara kau tengok dia pun aku dah tahu yang kau dah angau dengan perempuan itu.”

Aiman menghela nafas. “ Hishh mana ada. Aku cuma... curious je dengan dia.. hmmm.

Farid menutup failnya. “Aiman, kita berdua ini diplomat. Kita ada imuniti, tapi kau tahu siapa yang tak ada? Seo Yeon. Kalau mereka syak dia ada hubungan dengan kau, kau tahu apa yang akan jadi?”

Dia bersandar ke hadapan, suaranya lebih perlahan tetapi tegas.

“Kau ingat kes staf kedutaan British tahun lepas? Pegawai dia kena deport tapi perempuan tempatan yang terlibat… hilang terus. Tak pernah dengar berita sampai sekarang.”

Aiman terdiam. Dia tahu Farid bercakap benar.

Tetapi, semakin dia cuba melupakan Seo Yeon, semakin dia ingin tahu lebih lanjut tentangnya.

Aiman melangkah keluar dari apartmennya. Langit gelap tanpa bintang hanya diterangi lampu jalan yang malap.

Sebuah kereta sedan lama dengan plat diplomatik berhenti di hadapannya. Park Jin-ho, pemandunya, menundukkan kepala sedikit sebagai tanda hormat sebelum Aiman masuk ke dalam.

"Ke mana, tuan?" suara Jin-ho perlahan tetapi jelas.

"Stesen minyak Kwangbok," balas Aiman ringkas.

Jin-ho tidak bertanya lanjut. Enjin sedan berdengung perlahan membawa mereka menyusuri jalan-jalan Pyongyang yang lengang.

Beberapa minit kemudian, mereka tiba di stesen minyak yang suram. Hanya beberapa pelanggan kelihatan . kebanyakannya terdiri dari pegawai kerajaan serta diplomat asing. Aiman turun dari kereta dan melangkah ke dalam kedai kecil di tepi stesen. Bau minyak dan habuk memenuhi ruang sempit itu. Rak-rak besi di dalam kedai hampir kosong hanya ada beberapa botol air mineral, bungkusan mi segera dan beberapa kotak rokok tempatan yang tersimpan di rak depan kaunter

Di belakang kaunter Seo Yeon sedang menyusun kotak rokok di dalam kabinet berkunci. Dia memakai jaket tebal kelabu lusuh dengan lambang "Naegohyang" di lengan tanda bahawa dia bekerja di bawah kendalian kerajaan.

Aiman mendekati kaunter. Seo Yeon tidak mengangkat wajahnya, hanya menunggu dengan ekspresi kosong seperti biasa.

"Satu botol air, satu kotak rokok 7.27, dan… epal itu," kata Aiman perlahan.

Seo Yeon mengambil barangan yang diminta tanpa berkata apa-apa. Pergerakannya pantas, cekap, seolah-olah dia hanya mahu menyelesaikan urusannya dengan cepat.

Ketika dia menghulurkan baki, jari mereka bersentuhan seketika. Seo Yeon segera menarik tangannya, matanya melirik sekilas ke arah kamera CCTV kecil di atas kaunter.

Namun, sebelum dia menarik tangannya sepenuhnya Aiman sempat merasakan kulitnya sejuk seperti seseorang yang sudah terlalu lama bekerja dalam cuaca dingin.

Aiman mengambil baki dan barangan dengan tenang. Sebelum beredar dia melirik ke arah Seo Yeon yang masih berdiri di belakang kaunter.

"Kat sini ada kopi panas?" tanyanya ringkas.

Seo Yeon mengangkat wajah, sedikit terkejut. "Ada. Nescafe Kopi Latte dalam tin dekat rak pemanas sebelah kaunter."

Aiman mengangguk. "Okey, ambil dua tin serta tambah satu Maxwell House setin"

Selepas membayar dia mencapai satu tin kopi panas dari rak pemanas. Wap halus masih berlegar di permukaannya. Tanpa banyak bicara, dia menghulurkannya kepada Seo Yeon.

Seo Yeon berkelip beberapa kali keningnya sedikit berkerut. "Untuk saya?"

Aiman hanya tersenyum kecil. "Ya satu untuk awak dan satu ini pula untuk saya ."

Seo Yeon menatapnya sejenak tetapi akhirnya dia hanya mengambil tin kopi itu.

Aiman tidak berkata apa-apa lagi. Dia hanya mengangguk kecil sebelum berpaling dan melangkah keluar dari stesen minyak

Di dalam kedai,Seo Yeon memandang nescafe latte di tangannya. Permukaannya masih suam. Dia menggenggamnya erat-erat membiarkan kehangatan itu meresap ke dalam jemarinya. Malam masih panjang tetapi entah kenapa tangannya terasa lebih hangat daripada sebelumnya.

Di Stesen Minyak, Sekali Lagi

Keesokan petangnya selepas waktu kerja, Aiman sekali lagi pergi ke sana bersama dengan pemandu nya ke stesen minyak itu.

Seo Yeon ada di sana seperti biasa. Kali ini dia sedang membersihkan tingkap kedai kecil di stesen itu.

Aiman keluar dari kereta dan berjalan ke arahnya.

Seo Yeon menyedari kehadirannya dan berhenti.

“Kau datang lagi?” suaranya perlahan seperti teragak-agak.

Aiman tersenyum lembut ke arah nya . “ kau tak suka aku datang ke sini ? .”

Seo Yeon turut tersenyum kecil tetapi cepat-cepat mengalihkan pandangan. Dia tidak mahu menarik perhatian sesiapa.

Aiman menghulurkan wang. “Isi penuh lagi.”

Seo Yeon mengambil wang itu dan mula mengisi minyak. Kali ini, suasana lebih senyap.

Aiman memandangnya seketika sebelum berkata, “Berapa lama kau dah kerja di sini , Seo Yeon ?”

Seo Yeon tidak menjawab terus. Dia menutup pam minyak dan menyerahkan baki wang kepada Aiman. “Tiga tahun.

Lepas itu Aiman tanya “Kenapa kerja di sini?”

“Di sini lebih baik daripada tempat lain.” jawab Seo Yeon

Aiman tidak menekan lebih lanjut. Dia tahu dalam negara seperti ini setiap jawapan mempunyai lapisan makna yang lebih dalam.

Sebelum Aiman berpaling Seo Yeon bersuara perlahan.

"Terima kasih sebab semalam kau bagi aku kopi tu."

Aiman terhenti sejenak, memandangnya. Senyuman kecil terukir di wajahnya.

"Sama-sama, Seo Yeon.".

Aiman tahu kopi itu mungkin perkara kecil baginya tapi tidak bagi Seo Yeon. Di tempat seperti ini kopi import bukan sesuatu yang mudah diperoleh oleh orang seperti Seo Yeon kerana harga nya tersangat mahal.Ketersediaan produk ini hanya untuk memenuhi selera diplomat serta pelancong asing . Jadi, dia faham kenapa Seo Yeon menghargainya.

Setelah beberapa kali pertemuan dia dengan Seo Yeon dia juga tahu satu perkara iaitu dia ingin mengenali Seo Yeon lebih mendalami

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience